Pages

Showing posts with label barah. Show all posts
Showing posts with label barah. Show all posts

Monday, February 20, 2012

Pesakit barah meninggal dunia


ABDUL GHANI menyiramkan air mawar di pusara Mohd. Zulhafiz di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Goh, Kuantan semalam.


KUANTAN - Pesakit barah tulang, Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani (gambar kecil), 21, menghembus nafas terakhir pada pukul 8.55 malam kelmarin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Menurut bapanya, Abdul Ghani Mohamed, 64, anak bongsu daripada lima beradik itu meninggal dunia ketika ditemani semua ahli keluarga di hospital tersebut.
"Seminggu sebelum ini, ketumbuhan di bahu kirinya tiba-tiba pecah lalu mengeluarkan darah dan cecair yang banyak.
"Akibat itu, arwah dilihat menahan kesakitan kerana terdapat kesan lubang sebesar bola pingpong dan ketumbuhan itu mengecil," katanya.
Abdul Ghani berkata demikian ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian Mohd. Zulhafiz pada pukul 11 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Goh di sini.
Kosmo! 31 Januari lalu melaporkan penderitaan yang ditanggung Mohd. Zulhafiz disebabkan ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kirinya sejak hampir setahun lalu.
Susulan itu, dia diberikan rawatan paliatif bagi mencuci luka serta mengeluarkan nanah oleh pihak HTAA selepas disahkan menghidap kanser tulang tahap akhir.
Ujar Abdul Ghani lagi, pihak hospital memaklumkan kematian Mohd. Zulhafiz disebabkan jangkitan kuman di paru-paru serta beberapa organ lain akibat penyakit tersebut.
"Kami sekeluarga menyimpan niat untuk mengadakan kenduri kesyukuran kalau dia sembuh. Tapi hajat itu tidak kesampaian dan kami reda," kata Abdul Ghani.
Dalam pada itu, ibunya, Safiah Lebai Yahya, 58, pula berkata, Mohd. Zulhafiz pernah meminta untuk dibawa pulang ke rumah kerana sudah tidak mampu menahan penderitaan.
"Akhirnya dia 'pulang' juga dan saya reda kerana Allah lebih sayangkan dia.
"Kami sekeluarga juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan kepada arwah sebelum ini," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Saturday, September 3, 2011

Anggota bomba 9/11 hadapi risiko barah

SEKUMPULAN anggota bomba memeriksa runtuhan WTC di New York pada 9 September 2001.
SEKUMPULAN anggota bomba memeriksa runtuhan
WTC di New York pada 9 September 2001.

CHICAGO: Anggota bomba yang terdedah dengan debu toksid dan asap ketika serangan 11 September 2001 (9/11) terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York menghadapi risiko 19 peratus lebih tinggi menghidap pelbagai jenis kanser berbanding rakan yang tidak terdedah.

Kajian itu adalah yang pertama meninjau kadar penyakit barah di kalangan anggota bomba yang terdedah dan mungkin membuka jalan untuk mereka diberi faedah kesihatan awam untuk pekerja penyelamat yang kini menderita kanser hampir sedekad selepas serangan itu.
“Kajian ini jelas menunjukkan kes barah meningkat di kalangan anggota bomba yang terdedah kepada debu WTC itu,” kata Dr David Prezant dari Jabatan Bomba Bandaraya New York yang kajiannya diterbitkan jurnal perubatan The Lancet.
Setakat ini, kajian itu tidak menemui sebarang peningkatan risiko barah paru-paru yang mengambil masa bertahun untuk dikesan.

Anggota bomba yang bekerja di kawasan runtuhan WTC selepas dua pesawat melanggar menara berkembar itu 10 tahun lalu, terdedah kepada beberapa ejen penyebab barah termasuk polycyclic aromatik hidrokarbon, polychlorinated biphenyls dan dioksin.

Kajian terdahulu menunjukkan peningkatan kadar masalah trauma, asma dan masalah pernafasan lain di kalangan pekerja penyelamat. Sehingga ini, hanya kajian kecil-kecilan menunjukkan peningkatan kadar kanser yang mengambil masa lima ke 20 tahun untuk dikesan.

Julai lalu, laporan pengarah Institut Pekerjaan, Keselamatan dan Kesihatan Nasional, Dr John Howard menyimpulkan tiada bukti kukuh menyokong kaitan serangan itu dengan kanser.
Tanpa bukti itu, anggota bomba dan pekerja penyelamat tidak boleh menerima bayaran rawatan kanser menerusi Akta Pampasan Kesihatan, James Zadroga 9/11 yang menaja rawatan penyakit seperti asma dan masalah pernafasan lain selain kanser.

Prezant mengakui tidak pasti sama ada laporannya memadai untuk mendapatkan faedah bomba yang mengalami kanser selepas serangan 9/11 tetapi Howard yang diberi tugas membuat keputusan, sedar dengan kajian itu.

Prezant berkata kajian itu mempunyai kelebihan tersendiri khususnya kerana ia menilai kesihatan hampir 10,000 anggota bomba.

Pasukan itu mengambil kira kanser yang dikesan dalam tempoh tujuh tahun selepas serangan WTC, membandingkan keadaan anggota yang terdedah dan tidak. – Reuters 

Tuesday, May 18, 2010

Risiko barah jika guna telefon 30 minit sehari

2010/05/17
LONDON: Kajian terhadap penggunaan telefon bimbit selama 10 tahun menunjukkan bukti ada pertalian di antara alat itu dengan kanser otak.
Menurut penyelidikan firma Interphone, penggunaan telefon bimbit sekurang-kurangnya 30 minit sehari meningkatkan risiko seseorang mendapat ketumbuhan sehingga lebih daripada satu pertiga.
Kajian itu dijalankan dengan mengambil data dari 13 negara dan mendapat pembiayaan daripada syarikat pengeluar telefon bimbit.

Sejak lama dulu, orang ramai memang percaya radiasi daripada telefon bimbit dan menara pemancar membahayakan kesihatan pengguna.

Walaupun begitu, kajian itu - berdasarkan temubual dengan lebih 5,000 mangsa kanser otak - menunjukkan hanya ‘pengguna tegar’ berdepan dengan ancaman kesihatan.

Ia termasuklah seseorang yang bercakap menggunakan telefon bimbit lebih daripada setengah jam sehari.

Laporan sama turut menyatakan, tiada risiko ketara ditunjukkan jika seseorang menggunakan telefon bimbit kurang dari 30 minit sehari, atau menggunakan aksesori pendengaran.

Pengkaji juga mengakui, data itu tidak mengambil kira pengguna berusia di bawah 30 tahun. Keadaan itu menyebabkan timbul persoalan terhadap kesahihan keputusan kajian. Hasil kajian Interphone yang menunjukkan tahap penggunaan rendah boleh melindungi seseorang daripada kanser turut dipertikaikan banyak pihak, termasuk di kalangan penyelidik terbabit. - Agensi