Pages

Friday, September 14, 2012

Bantahan merebak




         
KAHERAH: Polis Mesir menggunakan gas pemedih mata ketika bertempur dengan penunjuk perasaan yang melontar batu dan botol di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, semalam.

Tunjuk perasaan membantah filem yang menghina filem ‘Innocence of Muslims’ turut berlaku di beberapa bandar utama negara Islam lain.
Kementerian Kesihatan Mesir berkata, 13 orang cedera dalam pertempuran di luar kedutaan AS, semalam.

Kementerian Dalam Negeri berkata, pertempuran berlaku selepas penunjuk perasaan melontar batu dan botol ke arah anggota keselamatan yang melindungi kedutaan itu.


Kerajaan Mesir sebelum itu menggesa rakyatnya bersabar dan pada masa sama mengecam filem itu.


Filem berkenaan turut mencetuskan kekacauan di Libya Selasa lalu hingga mengorbankan empat warga AS, termasuk dutanya apabila penunjuk perasaan menyerang pejabat konsul negara itu di Benghazi.

“Filem itu menghina Nabi Muhammad (SAW) dan tidak bermoral. Tetapi, kami menggesa rakyat Mesir supaya bersabar ketika meluahkan kemarahan mereka,” kata kenyataan Kabinet yang dibacakan oleh Perdana Menteri, Hisham Qandil pada sidang akhbar.

Di Sanaa, polis Yaman menggunakan meriam air dan melepaskan tembakan amaran bagi mengusir beribu-ribu penunjuk perasaan yang menyerbu kedutaan AS.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan lima lagi cedera.

Selepas diusir dari pintu utama, penunjuk perasaan berkumpul semula kira-kira 100 meter sambil melaungkan slogan anti-Yahudi.


Di Tunis, polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan juga diadakan oleh ratusan penyokong ulama Syiah Iraq di Najaf, Moqtada al-Sadr.

Kumpulan Asaib al-Haq yang terkenal kerana serangan terhadap tentera asing ketika Perang Iraq memberi amaran akan menyerang kepentingan AS di negara itu.

Filem bajet rendah itu yang membabitkan pelakon dengan loghat pekat Amerika melakonkan watak penganut Islam dengan menggambarkan mereka sebagai tidak bermoral dan ganas. - AFP

Anjing robotik boleh berkata-kata dicipta untuk bantu tentera Amerika


BOLEH membawa beban hampir 200 kilogram sejauh lebih 30 kilometer.
BOLEH membawa beban hampir 200 kilogram sejauh lebih 30 kilometer.
ANJING robotik boleh ditugaskan membantu tentera marin.
ANJING robotik boleh ditugaskan membantu tentera marin.
LONDON: Dua anjing robot yang dihasilkan Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) menampakkan kemajuan luar biasa. Penyelidik kini merancang mengembangkan kebolehan robot itu supaya ia boleh bercakap.
‘Haiwan’ robotik itu dicipta untuk membantu tentera melalui laluan paling mencabar, serta membawa bebanan hampir 200 kilogram sejauh lebih 30 kilometer tanpa perlu diisi minyak.
Dinamakan Sistem Bantuan Skuad Berkaki, jurucakap syarikat pengeluarnya berkata, mereka merancang membina operator radio pada robot berkenaan bagi membolehkan ia menerima arahan.

“Pada masa sama, anjing itu boleh bersuara untuk memaklumkan pengendalinya keadaan semasanya,” katanya. - TS




Kembar bercakap selepas 4 tahun ‘bisu’

KIRSTIE (kiri) bercakap dengan loghat Australia, manakala Catherine mengikut loghat Amerika Syarikat.
KIRSTIE (kiri) bercakap dengan loghat Australia, manakala
 Catherine mengikut loghat Amerika Syarikat.

LONDON: Pasangan kembar seiras yang mengalami penyakit paling jarang ditemui di dunia menerima hadiah amat bermakna sempena hari lahir mereka yang ke-18, semalam.
Kirstie dan Catherine Fields adalah satu-satunya pasangan di dunia mengalami penyakit Fields Condition yang menjejaskan otot mereka.
Disebabkan penyakit itu tidak pernah ditemui sebelum ini, pakar perubatan merujuknya dengan nama pasangan terbabit (Fields).

Penyakit itu menyebabkan mereka tidak boleh bersuara sejak empat tahun lalu.


Bagaimanapun, mereka yang berasal dari Llanelli, South Wales, boleh bercakap semula selepas diberi mesin elektronik sempena hari lahir mereka.

Keadaan itu juga membolehkan kenalan mereka membezakan di antara Kirstie - yang bercakap dengan loghat Australia - dengan Catherine (loghat Amerika Syarikat).

Menurut Catherine, sebelum ini mereka selalu berborak ketika malam.

“Kirstie lebih becok dan boleh bercerita sepanjang malam,” katanya.

Sejak kehilangan suara, katanya, mereka sukar berkomunikasi.

Justeru, kata Catherine, alat bantuan diterima semalam “membuka lembaran baru” dalam hidup mereka.

Bagi Kirstie pula, dia berharap orang ramai tidak terlalu bersimpati dengan apa yang menimpa mereka.

“Hidup hanya sementara. Justeru, nikmati hidup dengan gembira,” katanya.

Sementara itu, kekangan kesihatan tidak menghalang sifat lucu pasangan kembar terbabit.

Kata Kirstie, dia ada soalan yang ingin ditanyakan kepada ibunya tetapi terpaksa dipendam terlalu lama.

“Saya mahu bertanya - adakah ibu masih berasmara dengan bapa?” katanya.

Fields Condition menyebabkan Kirstie dan Catherine mengalami kekejangan lebih 100 otot yang menyakitkan setiap hari.

Ibu bapa mereka, Lyn, 43, dan Chris, 50, ternyata gembira apabila alat berkenaan diterima hasil pembiayaan kerajaan.

Kata Lyn, dengan adanya alat itu, Kirstie dan Catherine kini boleh bertengkar atau berborak seperti selalu.

“Saya bangga dengan apa yang mereka lalui,” katanya. - DM

Gempa kuat gegar selatan Sumatera






KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Ritcher melanda selatan Sumatera hari ini, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Gempa yang berlaku tepat jam 12.51 itu berpusat kira-kira 194 kilometer(km) barat laut Bengkulu, Indonesia dan 633km barat daya Pontian, Johor. Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

4 maut, 34 cedera dalam tunjuk perasaan di Yaman



 
SANAA: Sekurang-kurangnya empat maut manakala 34 yang lain cedera apabila polis tempatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menyerbu kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi membantah penerbitan filem yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, kata pegawai keselamatan.

Sementara itu, Rumah Putih berkata, pihaknya sudah melakukan segala tindakan yang boleh untuk melindungi diplomat mereka di Yaman. Manakala seorang saksi melaporkan, jalan menuju ke kedutaan ditutup sehingga laluan berkenaan kembali tenang di sebelah petang.
"Empat orang terbunuh dan 34 yang lain cedera dalam pertempuran yang berlangsung dari pagi sehingga lewat petang di kawasan sekitar kedutaan AS di Sanaa,” kata pegawai itu, sambil menambah bahawa lapan daripada mereka mengalami cedera parah. - AFP

Gunung berapi Guatemala letus lahar, ribuan dipindahkan



 
BANDARAYA GUATEMALA: Gunung berapi Guatemala yang dikenali Volcano of Fire meletuskan lahar terkuatnya sejak sedekad lalu, semalam sehingga memaksa pihak berkuasa memindahkan lebih 1,500 keluarga yang tinggal di sekitarnya.

Letupan lahar itu menyebabkan kepulan asap tebal menjulang di udara dan dapat dilihat sehingga 75 kilometer dari ibu negara berkenaan. “Letupan kali ini lebih kuat daripada biasa dan tidak pernah berlaku sejak berpuluh tahun lalu.
"Justeru kita mengisytiharkan amaran tahap oren di kawasan sekitarnya iaitu di barat Guatemala," kata Gustavo Chigna,jurucakap Intitut Gunung Berapi Guatemala, hari ini.

Gustavo berkata, letupan kuat gunung berapi setinggi 3,763 meter itu menyebabkan beberapa perkampungan berdekatan lenyap dilitupi lahar. - AFP

Dua bekas komando elit AS antara empat terbunuh



 

WASHINGTON: Dua daripada empat bekas anggota komando elit tentera laut Amerika Syarikat - Navy SEAL terbunuh dalam serangan ke atas konsulat negara itu di Libya, Selasa lalu.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton, berkata identiti bekas tentera berkenaan dikenali sebagai Tyrone Woods dan Glen Doherty. Beliau memuji mereka sebagai tentera veteran yang terbilang dan patut diberi penghormatan atas perkhidmatannya kepada negara.

Duta AS, Chris Stephens dan pegawai pengurusan maklumat, Sean Smith juga antara yang terbunuh dalam serangan mengejut di bandar Benghazi, timur Libya itu.

“Pihak kedutaan tidak dapat menjalankan tugas yang mencabar di seluruh dunia tanpa perkhidmatan dan pengorbanan rakyat yang berani seperti Tyrone dan Glen,” kata Clinton dalam satu kenyataan. - AFP

Turki tingkat kawalan sempadan dengan Syria



 
REYHANLI (Turki): Pihak keselamatan Turki dilaporkan mula meningkatkan kawalan bagi menghentikan pelarian Sria dan pemberontak yang bebas menyeberangi sempadan negara itu berikutan konflik yang sedang melanda negara jirannya itu.

“Polis datang dan mengetuk pintu rumah kami," kata Hassan, pendatang haram Syria di pekan sempadan Reyhanli. Beliau tinggal di rumah berkenaan bersama lebih 20 pejuang yang cedera dan pelarian dari Syria lain.
Mereka tinggal di 'kediaman rehat sementara' itu selepas menyeberangi sempadan secara haram yang biasanya pada waktu malam dengan menebuk lubang pada pagar sempadan.

“Polis memberi masa kepada kami untuk meninggalkan pekan ini dalam tempoh 24 jam. Sesiapa yang tidak mempunyai visa atau dokumen berkaitan mesti berpindah ke kem pelarian atau berpatah balik ke Syria, kata Hassan.

Turki ketika ini berdepan dengan lebih 80,000 pelarian dari Syria yang memasuki negara itu terutama menerusi sempadan Wilayah Hatay. - AFP

Pelakon saman pengarah filem



Los Angeles: Aktres yang berlakon dalam filem mengenai Nabi Muhammad yang mencetuskan kemarahan umat Islam akan menyaman pengarah filem terbabit dan berkata skrip filem itu yang bertajuk Desert Warriors, memfokuskan kepada kehidupan 2,000 tahun lalu.

Cindy Lee Garcia berkata, beliau menghubungi penulis dan pengarah filem itu, yang kini bersembunyi, apabila melihat bantahan dan kenyataan di media. Bosan dengan puak radikal
“Mengapa awak lakukan ini dan dia berkata: “Saya bosan dengan puak radikal Islam membunuh sesama sendiri’. Biarkan pelakon lain tahu ini bukan salah mereka. Saya akan menyamannya,” kata Garcia.

Pengarah mengaku rakyat Mesir

Beliau berkata, pengarah filem yang memperkenalkan dirinya sebagai Sam Bacile, mengaku rakyat Mesir dan bercakap dalam bahasa Arab dengan pembantunya di set penggambaran.

Garcia, yang muncul dalam klip online filem itu, berkata beliau membawa watak wanita yang terpaksa menyerahkan anaknya kepada karakter dinamakan Master George dalam satu adegan. Watak George digambarkan sebagai pemimpin gagah dan kejam.
Namun dalam paparan 13 minit yang ditayangkan di YouTube, karakter Garcia digantikan dalam adegan itu, dengan alih suara karakter itu merujuk kepada Muhammad, bukan George.

Garcia berkata, beliau takut apabila mendapati kaitan video berkenaan dengan kematian empat rakyat Amerika Syarikat selepas serangan di konsulat Amerika di Libya.
REUTERS/AGENSI

Morsi kecam filem hina Islam



 
Brussels: Presiden Mesir, Mohammed Morsi, mengutuk serangan di konsulat Amerika Syarikat di Libya yang membunuh duta Amerika dan berjanji akan melindungi kedutaan asing di Kaherah, yang menyaksikan polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di misi Amerika.

Pada masa sama, Morsi juga lantang mengecam penghasilan filem menghina Islam dan Nabi Muhammad yang mula mendapat perhatian di Mesir selepas sedutan filem itu dialih bahasa ke bahasa Arab dan disiarkan di laman YouTube. Timbulkan kemarahan
Filem yang dihasilkan di Amerika Syarikat bertajuk Innoncence of Muslims itu menimbulkan kemarahan umat Islam dan menyebabkan misi Amerika diserang di tiga negara Arab iaitu Yaman, Mesir dan Libya.

Bercakap ketika melawat Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Morsi berkata beliau bercakap dengan Presiden Barack Obama dan mengutuk serangan Selasa lalu ke atas konsulat Amerika di Benghazi yang menyebabkan duta dan tiga lagi warga Amerika terbunuh.

“Kami juga mengecam keras semua yang memulakan provokasi itu dan mereka yang mendalangi kebencian itu. Pada masa sama kami berasa ia tidak mewajarkan serangan ke atas kedutaan atau konsulat.

Henti semarak kebencian
“Mesir bertanggungjawab melindungi kedutaan dan konsulat dan rakyat Mesir tidak akan terbabit dalam tindakan menyalahi undang-undang itu,” katanya sambil menambah beliau meminta Obama menghentikan tindak tanduk menyemarakkan kebencian seumpama itu.
AP

75 pemberontak Kurdish terbunuh dalam pertempuran terbaru di tenggara Turki



 
ANKARA: Sekurangnya-kurangnya 75 pemberontak Kurdish terbunuh dalam pertempuran selama seminggu dengan pasukan keselamatan tempatan di tenggara Turki.

Pejabat gabenor bagi wilayah Hakkari berkata, pertempuran yang berlaku di bandar Sendinli, berhampiran sempadan dengan Iraq itu, turut meragut nyawa empat askar. Kumpulan pemberontak berjuang untuk mendapatkan pemerintahan sendiri di tenggara Turki yang mengakibatkan puluhan ribu orang terbunuh sejak 1984. - AP

Filem warna pertama ditayangkan




AP
IMEJ oleh Muzium Media Nasional menunjukkan filem pendek warna pertama di dunia yang ditayangkan di muzium berkenaan di London kelmarin.


LONDON - Filem terawal di dunia yang dirakam dalam versi warna sekitar tahun 1906 ditayangkan semula oleh beberapa aktivis filem di Muzium Sains London di sini semalam.
Tayangan tersebut membolehkan penonton mengimbau usaha industri filem memajukan filem warna sehingga mencapai tahap yang kita lihat sekarang.
Filem kabur tersebut merupakan prototaip filem warna dan hanya ditonton oleh segelintir peminat sahaja sebelum ia diserahkan kepada sebuah arkib.
Namun pihak Muzium Media Nasional di bandar Bradford, utara England menyatakan, teknologi digital telah dapat menyelamatkan filem tersebut.
Filem yang ditayangkan di Muzium Sains itu secara purata berdurasi dari 5 hingga 40 saat. Filem itu memaparkan babak seekor burung kakak tua, latar belakang sebuah jalan di sini dan tiga kanak-kanak tersenyum sambil duduk di sebuah meja bulat.
"Tiada sesiapa pun yang pernah melihatnya (filem berwarna pertama) sehingga ke hari ini," kata kurator sinematografi Muzium Media, Michael Harvey.
Filem itu sedikit tersentak-sentak namun mempunyai kualiti yang baik.
Menurut Harvey, seorang usahawan filem Amerika Syarikat era 1930-an, Charles Urban menyerahkan filem pendek berwarna itu kepada Muzium Sains London dengan filem itu diserahkan pula kepada Muzium Media Nasional empat tahun kemudian. - AP

Misteri pengarah filem hina nabi



REUTERS
ORANG ramai melarikan diri apabila polis melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan protes terhadap filem anti-Islam di luar Kedutaan AS di Sanaa, Yemen semalam.


LOS ANGELES - Seorang lelaki dari negeri California mengaku dia memainkan peranan di sebalik pembikinan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sekali gus mencetuskan bantahan hebat umat Islam terutamanya di Mesir dan Libya kelmarin.
Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula yang mengamalkan ajaran Kristian Koptik dan pernah didapati bersalah kerana melakukan jenayah kewangan memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa dia memainkan peranan mengurus dan membekalkan logistik untuk produksi tersebut.
Lelaki berusia 55 tahun itu turut mengaku dia adalah pengurus syarikat yang menerbitkan filem berjudul Innocence of Muslims itu.
Namun, dalam satu temu bual dekat sini kelmarin, Nakoula menafikan dia mengarahkan filem biadap itu.
Sebaliknya, dia menyatakan mengenali penulis dan pengarah Innocence of Muslims, Sam Bacile.
Bagaimanapun, nombor telefon yang dihubungi AP pada Selasa lalu untuk menelefon Bacile didapati menggunakan alamat sama dengan lokasi di mana Nakoula ditemui.
Rekod mahkamah persekutuan AS menunjukkan Nakoula mempunyai beberapa nama lain termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh.
Lelaki itu menyatakan bahawa Bacile menyokong kebimbangan berhubung layanan buruk umat Islam terhadap penganut Kristian Koptik.
Namun, Nakoula menafikan dia menyamar diri sebagai Bacile.
Semasa temu bual tersebut di luar rumahnya, lelaki itu menunjukkan lesen memandunya untuk mengesahkan identitinya tetapi dia menggunakan ibu jari untuk menutup nama tengahnya, Basseley.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang paderi yang mencetuskan kemarahan umat Islam dengan membakar beberapa naskhah al-Quran, Terry Jones menyatakan, dia sempat berbual dengan Bacile melalui telefon kelmarin.
Jones berkata, lelaki berkenaan menghubunginya beberapa minggu lalu untuk mempromosikan filem tersebut.
"Saya tidak menemui dia. Sam Bacile bukan nama sebenarnya.
"Saya cuma bercakap dengannya melalui telefon. Dia tentu bersembunyi dan tidak mendedahkan identitinya," kata Jones.
Bacile sebelum ini menyatakan dia dilahirkan di Israel, berusia 56 tahun dan berketurunan Yahudi.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu kelmarin bahawa Bacile merupakan nama samaran pengarah filem tersebut dengan dia seorang penganut Kristian.
Terdahulu, beberapa pegawai di Israel berkata, tiada rekod ditemui menyatakan Bacile seorang rakyatnya.
Menurut Klein, sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem Innocence of Muslims.
"Kebanyakan mereka enggan memberitahu nama sebenar kerana mereka takut," kata Klein.
Sementara itu, YouTube telah menarik balik klip video filem itu di Mesir dan Libya kelmarin. Namun, video berkenaan masih boleh diakses di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa Libya membuat beberapa tangkapan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS di Benghazi
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kehakiman telah memulakan siasatan dan mengumpulkan bukti dengan beberapa orang telah ditangkap," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wanis Al-Sharif.
Namun, beliau enggan memberikan butiran terperinci berhubung bilangan orang yang ditangkap atau latar belakang mereka kerana tidak mahu menjejaskan siasatan. - Agensi

Anjing Great Dane tertinggi di dunia

AP
ANJING Great Dane, Giant George yang pernah memegang rekod anjing tertinggi di dunia bersama tuannya, David Nasser di San Diego, Amerika Syarikat.


LONDON - Seekor anjing baka Great Dane setinggi 2.2 meter apabila haiwan itu berdiri dengan menggunakan kaki belakangnya dinamakan anjing tertinggi di dunia dalam edisi terbaharu Guinness Book of World Records semalam.
Edisi ke-57 buku rekod global berkenaan menyatakan, anjing jantan seberat 70.3 kilogram bernama Zeus dari negeri Michigan di Amerika Syarikat itu memakan 14 kilogram makanan setiap hari.
Tinggi anjing tersebut dari hujung kaki sampai ke tulang bahu mamalia tersebut adalah 1.18 meter.
Haiwan tersebut merupakan anjing tertinggi pernah direkodkan oleh Guinness Book of World Records.
Berjudul Guinness World Records 2013, buku berkenaan memberitahu, anjing itu 2.54 sentimeter lebih tinggi berbanding pemegang rekod sebelum ini iaitu seekor baka Great Dane bernama Giant George.
"Pertanyaan biasa yang diajukan kepada kami adalah itu seekor anjing ke kuda?" kata pemilik haiwan berkenaan, Denise Doorlag. - AFP