Pages

Showing posts with label burqa. Show all posts
Showing posts with label burqa. Show all posts

Saturday, August 20, 2011

Penjara jika enggan buka burqa

SEORANG wanita  Muslim memakai  burqa ketika  beli-belah  di sebuah pasar raya di  Sydney, Australia.
SEORANG wanita Muslim memakai burqa ketika beli-belah di sebuah pasar raya di Sydney, Australia.

Australia denda pemandu wanita tak tanggal niqab jika diarah polis

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia semalam berkata pengguna jalan raya yang enggan membuka penutup muka seperti burqa, topi keledar dan topeng selepas polis, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun.
Di bawah undang-undang pindaan di New South Wales, polis akan meminta pemandu menanggalkan topi keledar, topeng, niqab yang menutup muka dan burqa.
Enggan berbuat demikian boleh dikenakan denda A$220 (RM681.21), namun dalam kebanyakan kes serius boleh menyebabkan mereka dipenjara hingga setahun dan denda A$5,500 (RM15,477.97).

“Penduduk hanya diminta membuka penutup muka untuk mengenal pasti identiti mereka,” kata Perdana Menteri New South Waltes, Barry O’Farrell.

“Mereka yang mahu dikenal pasti secara persendirian atas alasan budaya dan agama boleh meminta untuk pergi ke balai polis.”

Perubahan itu yang akan diperkenalkan ke parlimen minggu depan, juga memberi kerajaan kuasa untuk meminta menanggalkan penutup muka di mahkamah sambil pelawat ke penjara juga diminta mengeluarkan mana-mana penutup yang menghalang pengenalan identiti mereka.
Mereka yang enggan boleh dikenakan denda sehingga A$550 (RM1,700.63).

“Saya menghormati setiap aspek agama dan kepercayaan berbeza namun apabila ia membabitkan penguatkuasaan undang-undang, polis perlu diberi kuasa mencukupi untuk mengenal pasti identiti,” kata O’Farrell dalam satu kenyataan.

Perubahan itu diikuti kes terbaru seorang wanita Islam dilepaskan apabila seorang majistret memutuskan dia tidak dapat dikenal pasti secara positif kerana memakai burqa. – Agensi , bharian

Thursday, May 26, 2011

Belgium mungkin haram burqa selepas Perancis


BRUSSEL 26 Mei - Belgium mungkin menjadi negara kedua di Eropah untuk mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam selepas Parlimen meluluskan rang undang-undang mengharamkan pemakaian tudung.

Rang undang-undang baru itu akan berkuatkuasa dalam tempoh 10 hari selepas ia diterbitkan dalam jurnal rasmi Belgium bulan depan.
Perancis menjadi negara pertama Eropah untuk mengharamkan pemakaian burqa pada 11 April lalu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Sunday, May 1, 2011

Setelah Perancis, Belgium latah larang purdah

BRUSSEL (Arrahmah.com) - Khamis (28/4/2011) malam parlimen Belgium hampir menyetujui rancangan undang-undang pelarangan burqa dan niqab itu. Setahun lalu, Belgium hampir saja menjadi negara pertama yang memberlakukan larangan burka, namun jatuhnya pemerintahan menghalangi hal itu. Selain itu parlimen juga telah memberi lampu hijau bagi larangan burqa, tapi usulan itu tidak tembus ke senat.

Resminya, larangan itu diperuntukkan bagi ‘busana yang menutupi seluruh dan sebagian besar wajah’. Siapa yang tertangkap mengenakan burqa atau niqab dapat dikenakan denda atau hukuman penjara sampai tujuh hari.
Larangan cadar juga diberlakukan di Perancis. Wartawan Perancis dan juga sutradara film Naima Bouteldja menilai larang cadar tersebut pada dasarnya sebagai langkah Presiden Nicolas Sarkozy untuk mempromosikan undang-undang anti-Islam. Langkah itu, menurut Bouteldja, bertujuan untuk meraih dukungan dari Front Nasional Perancis untuk maju kembali dalam pemilu mendatang.
“Saya pikir Sarkozy mungkin mengira ia akan memperoleh kembali suara dari beberapa pendukung Front Nasional. Dan saya kira dia tidak peduli sama sekali tentang burka,” tuturnya saat diwawancarai Press TV, Rabu (27/4).
“Maksud saya adalah tentang minoriti yang sangat kecil di Perancis. Tidak ada yang bertanya kepada mereka apa yang mereka pikirkan, bahkan organisasi-organisasi progresif dan Sarkozy pada dasarnya hanya berusaha untuk mendapatkan kembali dukungan,” sambung Bouteldja lagi.
Di Perancis, larangan burqa bisa diartikan sebagai sebuah anti-Muslim yang dilakukan oleh politisi anti-progresif. “Saat ini jilbab dilarang di sekolah dan sekarang burqa dilarang di mana-mana. Dan ada seruan agar jilbab juga dilarang di tempat umum, sehingga orang seperti saya tidak akan bisa ke tempat-tempat seperti dokter atau kantor pos,” tutur Bouteldja.
Pada 11 April 2011, Perancis menjadi negara pertama di Eropa yang menerapkan larangan mengenakan penutup wajah penuh, termasuk burqa Islam.
Aturan tersebut langsung diikuti oleh penangkapan hampir 60 perempuan yang menentang larangan tersebut dengan berjalan di luar Katedral Notre Dame di Paris. Pelanggar undang-undang itu akan dikenakan sanksi berupa denda sebesar 217 dolar Amerika Serikat dan kerja sosial. (rasularasy/arrahmah.com)
Setelah Perancis, Belgia latah larang cadar! - Arrahmah.com

Sunday, April 17, 2011

Larangan burqa di Perancis sekadar mainan politik


Foto
PRESIDEN Perancis, Nicolas Sarkozy menunjukkan isyarat tangan ketika menyampaikan ucapan di Versailles, 12 April lalu.

Foto


SEORANG kanak-kanak berdiri berhampiran sepanduk Parti Jamaat-e-Islami Pakistan ketika tunjuk perasaan membantah pengharaman memakai burqa oleh kerajaan Perancis.


Sarkozy cuba sekat parti berhaluan kanan terus eksploitasi isu imigran, Islam

PADA 11 April lalu, Perancis menjadi negara Eropah pertama secara rasmi mengharamkan pemakaian penutup muka yang dikenali burqa, purdah atau niqab oleh wanita Islam, selepas rang undang-undang mengenainya diluluskan tahun lalu.
Undang-undang baru itu segera menimbulkan kemarahan kumpulan dan organisasi Islam yang mendakwa tindakan bertujuan memencilkan umat Islam, manakala penyokong pengharaman berkata ia wajar diambil bagi membolehkan pendatang asing berintergrasi lebih baik dengan masyarakat setempat.

Sebelum ini pada 2004, Perancis mengharamkan pemakaian simbol agama secara di sekolah awam. Ia termasuk pemakaian tudung, salib, serban penganut Sikh dan sebarang simbol agama lain.

Keputusan yang diambil Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan jika kita melihat hala tuju politik di Eropah.

Isu kontroversi pengharaman burqa mempunyai tiga dimensi dalam politik Perancis. Pertama, tradisi sekular yang amat kuat di negara itu, kedua, kedatangan dan penghijrahan pendatang asing yang menjadi isu politik penting di semua negara Eropah Barat dan ketiga, integrasi etnik dan agama kumpulan minoriti dengan budaya kebangsaan Perancis.

Kebanyakan parti politik di Eropah, jika pun bukan semua, cuba menggunakan perbezaan pendapat mengenai kebanjiran kaum pendatang untuk mendapatkan faedah politik.
Antaranya termasuk kaedah menghalang kebanjiran pendatang dan pekerja asing, memperketat undang-undang imigresen, antaranya permohonan untuk menjadi warganegara selain meningkatkan tekanan ke atas golongan pendatang agar berintegrasi dengan nilai Eropah.

Tanpa ragu, dasar ini mendapat sokongan besar penduduk awam Perancis. Selain itu nilai sekular menjadi pegangan kuat masyarakat Perancis.

Sarkozy melihat langkah yang diambilnya sebagai satu kemenangan dalam usaha memperkukuh tradisi Eropah dan beliau semakin yakin apabila keputusannya mendapat sokongan besar rakyat Perancis.

Tanpa diragui, Islam dan pendatang akan menjadi dua isu utama dalam kempen pilihan raya presiden Perancis pada 2012.

Mengikut tinjauan terbaru parti Kesatuan Pergerakan Popular (UMP) pimpinan Sarkozy tidak mendapat sokongan menggalakkan dan semakin ketinggalan di belakang Parti Barisan Kebangsaan (NF). Berikutan itu beliau terpaksa mencari bahan perdebatan ‘lebih panas’ untuk menarik perhatian pengundi Perancis.

Kerajaan Perancis mengakui bahawa hanya kira-kira 2,000 wanita Islam memakai burqa berbanding lima juta penduduk Islam di negara itu.

Secara jelas undang-undang itu hanya sekadar ‘isyarat simbolik’ kerana ia tidak akan membabitkan majoriti wanita Islam di negara itu.

Apa yang pasti setakat ini ia tidak berkesan. Kerajaan Perancis sekadar cuba menangani dan menyelesaikan isu yang sebenarnya bukan suatu masalah.

Hanya sekumpulan kecil wanita Islam memakai burqa (Islam tidak mewajibkan pemakaian burqa).

Pada masa sama, larangan ini hanya bertujuan untuk menunjukkan bahawa nilai Barat mempunyai kuasa lebih besar hingga boleh memencilkan minoriti Islam di Perancis.

Ketika sebilangan ahli politik Perancis mempertahankan larangan ini sebagai tindakan membebaskan wanita daripada ‘penindasan’ hakikatnya, kebanyakan wanita negara itu memakai burqa atas kerelaan sendiri.

Dari perspektif ini, undang-undang itu mungkin gagal memenuhi matlamatnya untuk mempromosi integrasi, sebaliknya akan lebih memencilkan umat Islam.

Sejak hari pertama undang-undang itu dikuatkuasakan hingga kini, hanya dua wanita ditahan tetapi bukan atas kesalahan memakai burqa, sebaliknya kerana menyertai tunjuk perasaan membantah larangan itu dan enggan bersurai. Mereka dibebaskan beberapa jam kemudian.

Seorang lagi wanita, Kenza Drider, tiba di Paris dari bandar Avignon dengan menaiki kereta api dan memakai burqa, untuk menyertai tunjuk perasaan itu tanpa dicabar polis atau pihak berkuasa.

“Saya berbuat begini untuk menguji polis Perancis dan sebagai amaran terbuka bahawa saya akan terus memakai burqa. Undang-undang yang dikuatkuasakan adalah serangan kepada kebebasan hak peribadi dan agama saya,” katanya.

Di bawah undang-undang yang baru itu, mereka yang didapati melanggar peraturan, boleh didenda hingga 150 Euro (RM655), manakala seseorang yang memaksa orang lain memakai burqa boleh dihukum penjara hingga dua tahun.

Penganalisis berkata adalah amat sukar untuk membuktikan bahawa seseorang wanita dipaksa memakai burqa.

Undang-undang baru itu tidak membenarkan anggota polis atau pihak berkuasa menanggalkan burqa secara kekerasan atau memaksa mereka membukanya dikhalayak.
Mereka sebaliknya dikehendaki membawa wanita terbabit ke balai polis untuk disoal sebelum tindakan lanjut diambil.

Larangan yang dikuatkuasakan di Perancis boleh dianggap longgar atau tidak mempunyai kesan secara langsung, jika dibandingkan dengan peraturan keras pengharaman memakai tudung kepala yang dikuatkuasakan Turki, sebuah negara yang 95 peratus penduduknya beragama Islam sejak 1923.

Lebih menyedihkan, larangan dilaksanakan oleh kerajaan yang ditadbir secara keseluruhannya oleh pemimpin beragama Islam dan sehingga kini tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengubahnya.

Pada Mei 1999, pengharaman pemakaian tudung menimbulkan kegemparan di negara itu , apabila Merve Kackci dihalang daripada mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen kerana memakai tudung dan enggan mematuhi arahan meninggalkan dewan.

Perdana Menteri Bulen Ecevit menuduh beliau melanggar prinsip sekular dan beliau kemudian didakwa di mahkamah atas dakwaan provokasi kebencian agama.

Beberapa bulan kemudian kerajaan melucutkan kerakyatannya sebagai warga Turki apabila beliau didapati mempunyai kerakyatan Amerika.

Wanita yang hafaz al-Quran itu, kini menjadi profesor pelawat di Universiti Washington dan meneruskan kempen membantah larangan memakai tudung di Turki. Pada 2007 Mahkamah Hak Asasi Eropah, memutuskan bahawa tindakan kerajaan mengusir beliau dari bangunan parlimen Turki, melanggar hak asasi.

Pada 2000, seorang pelajar Nuray Bezirgan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah Turki atas dakwaan mengingkari arahan apabila memakai tudung ketika menduduki peperiksaan akhir. Mahkamah Hak Asasi bagaimanapun menyokong keputusan itu dan berpendapat ia sesuatu yang perlu.

Laporan Negara Turki 2007 menyatakan, wanita yang memakai tudung dan penyokong mereka berdepan tindakan disiplin dan risiko kehilangan kerja di sektor awam.
Mahkamah Agung Turki pada 2007, mahkamah memutuskan untuk menafikan hak seorang guru wanita daripada dinaikkan pangkat apabila beliau didapati memakai tudung di luar waktu bekerja.

Seorang pegawai imigresen di Kedutaan Kanada di Ankara pernah menyatakan bahawa kakitangan kerajaan tidak dibenarkan memakai tudung ketika bertugas, tetapi wanita bertudung boleh bekerja di sektor swasta.

Pada April 2005, seorang profesor sains politik dengan pengkhususan membabitkan isu wanita di Universiti Bogazici di Istanbul berkata, wanita yang memakai tudung di negara itu menghadapi kesukaran mendapat kerja dalam kedua-dua sektor swasta dan kerajaan.

Ramai diantara mereka juga gagal mendapatkan rawatan di hospital kerajaan hanya semata-mata kerana memakai tudung.

Berbanding Perancis, keadaan di Turki jauh lebih sukar bagi wanita yang bertudung, apabila undang-undang dilaksanakan dengan keras dan ketat, sekali gus menjejaskan sistem kehidupan mereka.

Pertubuhan Islam dan kumpulan aktivis yang prihatin, perlu berusaha agar wanita Islam di Turki berpeluang menikmati kebebasan melaksanakan tuntutan agama dan memilih jalan hidup mereka sendiri.

Bagaimana masa depan pengharaman memakai burqa di Perancis? Apa yang jelas, bantahan demi bantahan yang datang seluruh pelusuk dunia, pasti menjadikan pelaksanaannya semakin sukar.
Berita Harian Online | Larangan burqa di Perancis sekadar mainan politik

Friday, April 15, 2011

Erdogan bidas burqa diharam




PENYOKONG parti Islam Pakistan, Jamaat-e-Islami memprotes pengharaman burqa  di Islamabad, semalam.
PENYOKONG parti Islam Pakistan, Jamaat-e-Islami memprotes pengharaman burqa di Islamabad, semalam.


BRUSSELS: Perdana Menteri Turki mengkritik kerajaan Perancis kerana menguatkuasakan pengharaman memakai burqa oleh wanita Islam di khalayak ramai sambil menyifatkannya serangan terhadap kebebasan beragama. 


“Memang pelik melihat dasar sekular hari ini dibahaskan di Eropah hingga menjejaskan kebebasan tertentu.
“Di Perancis pada hari ini, tiada penghormatan langsung kepada hak individu bebas beragama,” kata Erdogan di Dewan Parlimen Majlis Eropah.
Perancis secara rasminya mengharamkan wanita Muslim memakai burqa mulai 11 April lalu, negara pertama di Eropah melaksanakan langkah itu. 


Undang-undang berkenaan dijangka menimbulkan ketegangan antara pihak berkuasa dan masyarakat Muslim Perancis yang membentuk kumpulan agama terbesar di Eropah. 


Seorang wanita yang memakai burqa hingga menutup seluruh tubuh, boleh didenda 150 euro (RM450) serta diarah menghadiri kelas pendidikan semula. 


Tetapi, lelaki yang mengarahkan anggota keluarga wanita mereka memakai burqa boleh dikenakan hukuman lebih berat termasuk penjara dua tahun dan denda 30,000 euro (RM90,000) atau lebih jika pelakunya di bawah umur. 
Dianggarkan enam peratus daripada 65.8 juta penduduk Perancis beragama Islam tetapi hanya 2,000 saja memakai burqa. – Agensi 

Thursday, April 14, 2011

AS sokong kebebasan bersuara dan beragama


MENUNTUT KEBEBASAN: Seorang wanita yang memakai purdah mengadakan bantahan ke atas tindakan Perancis melarang pemakaian purdah, di luar Kedutaan Perancis di London, pada Isnin lalu. -- Foto REUTERS




PERANCIS LARANG PURDAH DAN BURKA
Bagaimanapun Washington tidak bidas tindakan Perancis
WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menyokong hak rakyat untuk 'menzahirkan kepercayaan agama melalui pakaian keagamaan' selepas Perancis menyaman seorang wanita kerana memakai purdah.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Mark Toner, berkata negara itu memperjuangkan kebebasan bersuara dan beragama.Beliau bagaimanapun tidak membidas tindakan Perancis melarang pemakaian purdah dan burka.'Saya perlu merujuk anda kepada pemerintah Perancis bagi memberi penjelasan terperinci berkaitan undang-undangnya tetapi kami menyokong kebebasan beragama dan bersuara dan ini termasuk hak untuk menzahirkan amalan agama melalui pakaian keagamaan,' katanya sambil menekankan Perancis merupakan sekutu rapat Amerika.Isnin lalu, seorang wanita berusia 28 tahun didenda 150 euro ($273) setelah didapati memakai purdah di sebuah pusat beli-belah di Mureaux, di barat laut Paris.Kelmarin, polis di bandar Saint-Denis telah meminta seorang lagi wanita membuka purdahnya tetapi beliau enggan berbuat demikian.Wanita berusia 35 tahun itu telah dibawa ke balai polis dan beliau membuka purdahnya.Beliau kemudian dibebaskan selepas diberi peringatan bahawa pemakaian purdah tidak lagi dibenarkan di tempat awam.Perancis telah menguatkuasakan larangan memakai purdah dan burqa sejak Isnin lalu, menjadikannya negara pertama di Eropah melaksanakan undang-undang itu.Hanya selang beberapa jam pengharaman itu, dua wanita berpurdah ditangkap semasa menyertai satu protes di bandar raya negara itu.Demonstrasi di dataran berbatu menghadap gereja Notre Dame itu penuh simbolik sejarah zaman pertengahan Perancis dan semangat memberontak yang biasa ditunjukkan oleh warganya pada zaman moden.Sesetengah pihak melihat pengharaman itu sebagai menandakan sentimen Islamofobia yang semakin menular.Namun, pemerintah Presiden Nicolas Sarkozy mempertahankan undang-undang itu sebagai benteng yang melindungi identiti Perancis daripada ketidaksamaan dan fahaman pelampau.Dianggarkan hanya 2,000 wanita Islam di Perancis yang memakai purdah atau burka.Sebelum ini, pihak polis Perancis melahirkan kebimbangan undang-undang baru itu sukar dikuatkuasakan.Namun, Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Claude Gueant, menegaskan bahawa larangan itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menegakkan 'sekularisme dan kesaksamaan di antara wanita dengan lelaki... dua prinsip yang kita tidak akan bertolak ansur.' - AFP, AP, Reuters, Cyberita

Sunday, April 10, 2011

Perancis haram burqa esok



PARIS: Perancis akan menguatkuasakan pengharaman pemakaian purdah mulai esok, menjadikan negara Eropah pertama berbuat demikian.
Ramai penganut Islam dan pemerhati hak asasi manusia mendakwa, pelaksanaan pengharaman itu adalah taktik Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy untuk meraih undi daripada kumpulan antipendatang dengan menunjukkan beliau turut berkongsi kebimbangan bahawa Islam menjadi ancaman terhadap budaya negara itu.


Pegawai Perancis menganggarkan, hanya 2,000 wanita daripada anggaran empat hingga enam juta penduduk Islam memakai purdah.


Wanita yang melanggar pengharaman itu boleh didenda sebanyak RM650. — AFP
myMetroPerancis haram burqa esok

Saturday, December 11, 2010

Bandar di Sepanyol larang pakai purdah dan burqa di 130 lokasi

BARCELONA: Sebuah bandar di utara Sepanyol kelmarin menguatkuasakan larangan pemakaian purdah dan burqa di bangunan-bangunan majlis bandaran.
Bandar Lleida, yang mempunyai 120,000 penduduk, meluluskan larangan itu pada Julai lalu.Pemakaian burqa dan purdah dilarang di 130 lokasi, termasuk pusat sivik dan kolam renang.Undang-undang berkaitan larangan itu merupakan yang pertama dikuatkuasakan di Sepanyol.'Saya percaya burqa dan purdah, serta pakaian serupa yang menutup seluruh muka, bertentangan dengan dasar hak sama rata di antara wanita dengan lelaki. Ia juga satu serangan ke atas maruah wanita.'Saya percaya hak sama rata ini merupakan satu perkara yang diperjuangkan oleh masyarakat kami sejak beberapa tahun lalu dan tidak ada sebab, sama ada agama atau budaya, yang boleh menentang prinsip asas ini,' kata Datuk Bandar Lleida, Encik Angel Ros.Undang-undang tersebut melarang pemakaian 'purdah atau pakaian-pakaian lain yang menutup muka' yang menyukarkan identiti seseorang itu dikenal pasti di 'bangunan dan prasarana majlis bandaran'.Pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga 600 euro ($1,041).Pemakaian purdah dan burqa telah mencetuskan perdebatan hangat di banyak negara Eropah.Pada Oktober lalu, Perancis turut meluluskan larangan pemakaian purdah dan burqa di tempat-tempat awam.Sebahagian besar daripada 47 juta penduduk Sepanyol merupakan penganut Roman Katolik.Jumlah pendatang yang menetap di Sepanyol telah meningkat daripada setengah juta pada 1996 kepada 5.7 juta tahun lalu. -- AFP.

Saturday, September 25, 2010

Penganut Islam digesa hormati larangan pakai burqa

LUAR NEGARA



PARIS: Para pemimpin Islam Perancis menggesa penduduk Islam setempat agar menghormati larangan pemakaian burqa dan purdah yang telah diluluskan pemerintah.

Pada masa yang sama, mereka berharap pemerintah tidak menggunakan undang-undang itu untuk menyebabkan penduduk Islam distigma.

Para pemimpin Islam berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Nicolas Sarkozy di Istana Elysee, kelmarin.

Minggu lalu, Dewan Senat Perancis meluluskan undang-undang melarang pemakaian purdah dan burqa di tempat awam.

Undang-undang itu akan berkuat kuasa enam bulan mendatang jika ia diluluskan kelak oleh Majlis Perlembagaan.

Perancis merupakan negara pertama di Eropah yang memperkenalkan undang-undang serupa itu.

Pesalah boleh disaman 150 euro ($265) atau diminta menghadiri kelas kewarganegaraan.

Bilangan masyarakat Islam di Perancis sekitar lima juta - terbesar di negara Eropah. Kurang daripada 2,000 wanita Islam di Perancis memakai purdah dan burqa.

Ketua Majlis Islam Perancis (CFCM), Encik Mohammed Moussaoui, berkata pihaknya akan memantau bagaimana undang-undang itu dikuatkuasakan agar ia 'tidak menyebabkan penduduk Islam distigma'. -- Reuters.

Thursday, September 16, 2010

Perancis haramkan burqa


PARIS 15 Sept. - Senat Perancis hari ini meluluskan rang undang-undang mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di tempat awam di negara ini, tindakan yang dilihat sebagai simbol melindungi nilai-nilai Perancis.
Sebanyak 246 anggota Senat mengundi menyokong rang undang-undang tersebut berbanding hanya satu menentang, dan ia kini menunggu kelulusan daripada pemerhati Perlembagaan Perancis sebelum rang undang-undang pengharaman pemakaian burqa dan niqab itu menjadi satu undang-undang.
Penduduk Islam percaya, undang-undang berkenaan merupakan satu tamparan baru buat agama kedua terbesar di negara ini di mana rumah ibadah seperti masjid, dilihat sebagai sasaran kebencian.
Bagaimanapun, pihak yang menyokong rang undang-undang itu berkata, undang-undang itu akan memelihara nilai-nilai Perancis, termasuk asas sekularnya dan tanggapan persaudaraan yang bercanggah dengan golongan yang menutup muka mereka.
Dalam satu usaha untuk menghalang sebarang bantahan terhadap alasan undang-undang itu mungkin menyekat kebebasan beragama, pemimpin di kedua-dua Dewan Parlimen meminta satu badan khas iaitu Majlis Perlembagaan meluluskannya dalam tempoh sebulan.
Sebagai langkah keselamatan, perkataan 'wanita', 'Islam' dan 'niqab' tidak disebut pada mana-mana bahagian dalam rang undang-undang yang mengandungi tujuh artikel tersebut.
"Undang-undang ini adalah hasil perdebatan kompleks yang panjang," kata Presiden Senat, Gerard Larcher dan Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Bernard Accoyer dalam satu kenyataan bersama ketika mengumumkan keputusan itu.
Perancis menjadi negara pertama di Eropah meluluskan undang-undang seumpama itu, walaupun negara-negara lain seperti Belgium sedang menimbangkan untuk melaksanakan undang-undang yang sama, selepas ia dilihat bercanggah dengan budaya tempatan.
Sementara itu, keputusan Perancis tersebut mendapat bantahan kuat daripada Majlis Ulama Indonesia atas alasan pemakaian burqa dan niqab di kalangan wanita Asia Barat adalah sebahagian budaya dan kepercayaan mereka.
"Sekiranya Parlimen Perancis mahu memperjuangkan hak asasi kemanusiaan, ia perlu membenarkan wanita memakai burqa dan niqab di tempat awam.
"Jika ia dibuat atas sebab-sebab keselamatan, persoalannya ialah setakat mana ancaman yang boleh ditimbulkan oleh wanita memakai burqa?," kata pengerusi majlis, Amidhan. - AP/AFP

Tuesday, September 14, 2010

Perancis undi larang wanita tutup muka




2010/09/14

PARIS: Parlimen Perancis hari ini mengundi kali terakhir berhubung rang undang-undang yang melarang wanita menutup muka di khalayak ramai. 

Undian Senat menyusuli undian yang dibuat dalam parlimen bagi meluluskan undang-undang terbabit yang mengharamkan penutupan muka Julai lalu dengan 335 undian menentang satu.Beberapa negara Eropah lain mengikuti jejak langkah melakukan larangan sama. Namun pihak yang menentang larangan itu bimbang ia akan ditolak hakim Majlis Perlembagaan, badan perundangan tertinggi di Perancis.

Walaupun Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memperoleh sokongan politik mencukupi bagi melarang pemakaian niqab dan burqa, namun pihak yang menentangnya berpendapat ia melanggar hak asasi manusia di negara berkenaan dan Eropah. 

Rang undang-undang itu mendefinisikan ungkapan ‘khalayak ramai’ dengan maksud meluas dan tidak hanya terhad di bangunan kerajaan dan pengangkutan awam, tetapi meliputi semua jalan raya, pasar, laluan, premis persendirian serta kawasan hiburan. – AFP 

Sunday, May 9, 2010

Belgium negara pertama haramkan burqa






AKTIVIS hak asasi manusia, Sara Bokker sebelum ini mempunyai pandangan negatif terhadap agama Islam. Wanita yang berasal dari Selatan Dakota, Amerika Syarikat (AS) itu beranggapan Islam sebuah agama yang menafikan hak wanita, membenarkan poligami dan cenderung kepada keganasan.
Bagaimanapun, peristiwa serangan 11 September 2001 di Washington dan New York telah membuka matanya berhubung prejudis dan sikap berat sebelah Barat terhadap Islam. Selepas itu, dia mula mempelajari agama itu dengan lebih mendalam.
Pada usia 29 tahun, Sara akhirnya memeluk Islam dan sejak itu penampilan dirinya berubah seperti seorang Muslimah. Malah, dia turut memakai niqab (purdah) atas alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan yang terbaik demi agamanya.
Sayangnya penampilan itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia.
Mereka mengatakan pakaiannya itu merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita. Lebih menyedihkan ia dikatakan sebagai petanda kemunduran dan ketinggalan zaman.
Dilema yang dihadapi oleh Sara sebenarnya turut dirasai oleh sebilangan besar wanita Islam yang menetap di negara-negara Barat.
BELGIUM menjadi negara pertama Eropah yang mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam.


Di Belgium, majoriti Ahli Parlimen negara itu menyokong rang undang-undang yang melarang pemakaian burqa di tempat awam. Sebaik sahaja dikuatkuasakan kelak, ia bakal menjadi negara Eropah pertama yang menguatkuasakan undang-undang sedemikian.
Perancis
Senario yang sama turut dilihat di Perancis. Selepas melarang penggunaan sebarang simbol keagamaan seperti pemakaian tudung oleh wanita Islam pada 2004, negara itu kini cuba mengharamkan burqa pula.
Kerajaan negara itu sedang menyusun draf perundangan untuk mengharamkan pemakaiannya selepas satu laporan Parlimen mencadangkan pengharaman memakai burqa di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan di dalam pengangkutan awam.
Presidennya, Nicolas Sarkozy, sebelum ini menyatakan, burqa tidak dialu-alukan dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong undang-undang yang mengharamkannya.
"Ia bertentangan dengan harga diri wanita, jadi kita perlu mengharamkannya," katanya pada satu perbahasan ahli politik kerajaan dan pembangkang.

KEBANYAKAN wanita yang memakai burqa di Belgium berketurunan Arab.


Ketika ini, dianggarkan kira-kira 1,900 wanita daripada keseluruhan lima juta umat Islam di negara Perancis memakai burqa namun kebanyakannya memakai niqab.
Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, pihak yang menyokong larangan terhadap pakaian itu sebenarnya belum dapat membuktikan bahawa wanita yang memakai burqa merupakan golongan yang lebih tertindas berbanding orang lain.
Beliau berkata, pemakaian tudung juga tidak melemahkan demokrasi atau nilai moral umum.
"Melarang burqa dan niqab dipakai tidak membebaskan wanita tertindas tetapi mungkin menyebabkan mereka semakin terasing daripada kehidupan masyarakat Eropah.
"Larangan umum terhadap pemakaian seperti itu juga akan dianggap pencabulan hak individu yang tidak wajar," katanya yang bimbang tindakan itu akan menimbulkan kontroversi di kalangan kelompok-kelompok Islam terutamanya daripada puak fanatik.
Chandra berkata, sentimen anti-Islam dilihat semakin meningkat berikutan pelbagai kontroversi yang berlaku di Eropah sejak akhir-akhir ini.
Di Warsaw, ibu negara Poland, terdapat demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu manakala di Switzerland, rakyatnya disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.
"Tindakan yang dilakukan menunjukkan kebencian dan penghinaan berterusan kuasa besar terutama Barat ke atas umat Islam.
"Sebelum ini merekalah yang paling lantang menuding jari dan menyelar negara-negara lain kononnya gagal melaksanakan hak asasi manusia, namun kini sikap yang ditunjukkan adalah sebaliknya," kata Chandra.
Beliau menjelaskan, sentimen anti-Islam masih menebal di Barat khususnya selepas Perang Salib yang berlaku antara kurun ke-11 sehingga ke-13.
Katanya, Perang Balkan di Bosnia sekitar tahun 90-an membuktikan usaha untuk menyingkirkan umat Islam di Eropah masih wujud sehingga kini.
"Faktor itu ditambah dengan kebanjiran ramai penganut Islam khususnya dari rantau Arab dan Afrika Utara, Bangladesh serta Pakistan ke Eropah sejak beberapa dekad lalu yang kini dilihat mula menguasai ekonomi mereka.
"Penonjolan identiti Islam di sana dianggap sebagai satu ancaman apatah lagi bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian," jelasnya.
Sewaktu pemerintahan Taliban di Afghanistan pada pertengahan tahun 90-an dahulu, kaum wanita di negara itu diwajibkan memakai burqa setiap kali keluar rumah. Mereka yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas.
Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Fatimah Daud menyifatkan apa yang berlaku merupakan satu bentuk diskriminasi moden.



Menurutnya, berdasarkan teori hubungan etnik, diskriminasi oleh segelintir masyarakat kulit putih di Barat telah lama wujud.
Ia bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam malah turut melibatkan kaum lain seperti Afrika dan Asia termasuk bangsa Eropah yang berasal dari negara-negara bekas komunis.
"Dasar Aparteid di Afrika Selatan merupakan satu cara ortodoks yang menunjukkan kebencian secara terang-terangan melalui perbezaan warna kulit sehingga sanggup membunuh.
Keselamatan
"Bagaimanapun, perkembangan zaman menyebabkan kaedah seperti itu tidak lagi sesuai digunakan, lalu golongan itu beralih pula kepada diskriminasi moden yang dilakukan secara halus, misalnya menguatkuasakan peraturan yang ketat dan cukai yang tinggi ke atas orang luar yang ingin menetap di negara itu," katanya.
Fatimah menjelaskan, bangsa Eropah secara amnya tidak suka bercampur antara satu sama lain. Rakyat di Perancis dan Britain misalnya tidak begitu rapat walaupun mereka berjiran dan mempunyai warna kulit yang sama.
Katanya, kehadiran ramai warga asing termasuk dari negara-negara Islam menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk dan pemerintah tempatan kerana mereka dianggap cuba merampas hak keistimewaan dan ekonomi mereka.
Fatimah berkata, teori hubungan etnik juga menyifatkan apa yang berlaku ke atas umat Islam di Eropah kini merupakan satu proses kesamaran etnik.

TIADA bukti yang menunjukkan wanita yang memakai burqa merupakan golongan tertindas seperti yang didakwa media Barat.


Jelasnya, mengikut teori itu, sempadan yang mendasari setiap etnik perlu dihapuskan, warga asing yang tinggal di negara mereka perlu menyerap budaya tempatan dan tidak menonjolkan budaya masing-masing melalui pakaian, cara hidup, keagamaan dan sebagainya.
"Pemakaian burqa dan niqab dan pembinaan menara masjid dilihat menonjolkan imej Islam di Eropah, lebih-lebih lagi jumlah umat Islam semakin meningkat di sana.
"Melalui undang-undang dan sekatan yang dilakukan, ia akan menghakis imej tersebut dan mengurangkan sempadan etnik. Mereka mahu semua rakyat di negara itu mengamalkan cara hidup Barat," katanya.
Perdebatan tentang pengharaman pemakaian burqa itu turut mendapat reaksi daripada Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.
"Jika ia semata-mata atas alasan keselamatan, kebimbangan itu keterlaluan. Adalah tidak adil untuk mengatakan semua wanita memakai pakaian itu menimbulkan ancaman," katanya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, menyifatkan Perancis mencabul hak Muslim apabila tidak membenarkan penganutnya menunaikan tanggungjawab agama termasuk memakai hijab.
Bagi ahli perundangan Syria, Mohammed Habash yang mengetuai Pusat Kajian Islam negara itu, langkah Perancis dan Belgium hanya akan meningkatkan kebencian terhadap Islam.
"Tidak ramai wanita di Perancis memakai niqab. Pakaian itu tidak memberi ancaman keselamatan atau budaya. Langkah seperti ini tidak membantu merapatkan hubungan negara Islam dan Barat," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Fiqh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr. Datuk Mahmood Zuhdi berkata, di dalam al-Quran menyatakan wanita hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka.
WANITA Islam hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka. Burqa dianggap pakaian pilihan.


"Islam tidak melihat pemakaian niqab atau burqa sebagai sesuatu yang wajib kepada seseorang wanita kecuali ia menimbulkan pelbagai fitnah kepada dirinya malah sehingga kini masih wujud pertindihan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum pemakaiannya," katanya.
Ujarnya, dalam konteks masyarakat Islam di Eropah yang dianggap golongan minoriti, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.
"Adakalanya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam itu sendiri, kita perlu lebih bersederhana dan bertoleransi dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh keadaan dan keharmonian yang dicapai.
"Bagaimanapun tindakan itu agak keterlaluan seperti mengharamkan penggunaan masjid, melarang umat Islam berjemaah atau menyekat kebebasan beragama, maka ia wajar ditentang," jelasnya.