Pages

Showing posts with label dugaan. Show all posts
Showing posts with label dugaan. Show all posts

Tuesday, December 7, 2010

Dugaan datang bersama hikmah


http://images.nationalgeographic.com/wpf/media-live/photos/000/299/cache/amazon-drought-aerial_29943_600x450.jpg
Oleh: ZAMRI MOHAMAD
DUGAAN dalam kehidupan manusia sering bertali arus dalam kehidupan. Kerana nilai dugaan yang cukup besar harganya, manusia perlu menghadapinya dengan sepenuh kekuatan yang diberikan Allah dalam jiwa melalui kekuatan iman dan akal fikiran.
Hari ini, tragedi demi tragedi berlaku dalam sejarah manusia memerlukan nilai kesabaran yang tinggi untuk melaluinya.
Bukan semudah kata-kata, ia umpama hempedu yang perlu ditelan walau pahit rasanya.
Malaysia mengalami sejarah hitamnya dalam tragedi bencana alam yang terburuk dan pertama kali berlaku sehinggakan mengorbankan puluhan nyawa yang tersayang.
Di negara-negara dunia seperti Sri Lanka, Thailand, Sumatera kedengaran ratapan yang mengiringi kematian di luar jangkauan manusia.
Umat Islam dalam berhadapan dengan bencana sebegini, perlu bersedia bukan sahaja daripada keperluan fizikalnya tetapi minda dan hati yang teguh dengan keimanan terhadap Allah.
Ujian yang diturunkan Allah sememangnya cukup berat, jika ia diterima dengan keredhaan, akan hadir sedikit ketenangan dalam kehidupan.
Allah meletakkan kepentingan sabar sebagai asas dalam menghadapi ujian dan malapetaka.
Firman-Nya disebutkan, Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al-Baqarah: 45)
Ujian membuktikan kekuatan manusia dalam berhadapan dengan keadaan tersebut. Malah tingkat ujian berbeza menurut kemampuan seseorang.
Ujian hadir dalam pelbagai bentuk, kehendak hati terhadap sesuatu yang dilarang, konflik antara individu yang akrab dalam keluarga, halangan-halangan dakwah, penderitaan, kemiskinan dan kekayaan, kejadian-kejadian di luar jangkauan kecil mahupun besar adalah antara ujian yang sering dihadapi.
Malah ujian dan dugaan sering membawa bersama manusia dengan dua pilihan, bagaimana seseorang menghadapinya.
Adakah dengan menyalahkan takdir atas kejadian buruk yang menimpa sehingga Tuhan turut dipersoalkan atau menerimanya sebagai satu musibah yang mengingatkan diri tentang kebesaran-Nya dan yakin dengan hikmah-Nya.
Ke manakah motivasi tindakan kita dijanakan, sama ada antara yang membunuh keyakinan atau ke arah yang mengukuhkan diri menghadapi cabaran, ia adalah pilihan yang diberikan Allah.
Melalui dugaan inilah, terpamer sikap seorang bergelar Muslim, dalam kelompok mana seseorang itu berada kini. Boleh jadi dalam kelompok Muslim yang benar-benar ikhlas beriman kepada Allah atau sebaliknya. Firman Allah, surah al-Baqarah ayat 155:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Seorang yang beriman, perlu menghadapi setiap dugaan dan cabaran dengan nilai-nilai positif sebagai usaha mengimbangi kehidupan yang sedia agar sentiasa lurus di jalan-Nya.
Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membelakangi suruhan-Nya dengan andaian-andaian palsu kononnya Tuhan tidak menyayanginya lagi sehingga gelap masa depannya.
Kesabaran dalam menghadapi dugaan datang bersama tindakan daripada diri sendiri dan secara kolektif melalui bantuan yang termampu.
Nilai kehidupan berjemaah dalam masyarakat Islam dapat ditingkatkan dengan pertolongan yang diberikan, yang secara langsung mengikat nilai ukhuwah dan pertautan jiwa atas nama persaudaraan Islam.
Dugaan datang bersama hikmah. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara.
Umpamanya konflik antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di bawah kerajaannya hari ini bersedia berdamai atas nama kemanusiaan dan bergandingan membantu mangsa-mangsa yang terkorban.
Jika dilihat dengan mata kasar manusia biasa, ia mungkin tidak membawa erti. Tetapi buat pencinta keamanan dan kedamaian, konflik yang dihentikan seketika ini membuktikan akan berlaku keharmonian antara dua pihak walau ada yang pesimis mengenainya, cuma ia masih bermain dengan masa.
Manusia dalam situasi pertentangan kepentingan berhenti daripada bermain api permusuhan apabila musibah ini melanda.
Kepentingan terhadap majoriti melebihi kehendak diri, masing-masing perlu mengubah sikap buat seketika.
Ujian dan dugaan menjadikan diri sentiasa menghargai apa yang sudah dimiliki. Ia mengingatkan manusia agar tidak cepat lupa dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
Seandainya waktu ini kita dikelilingi oleh insan bernama ibu, ayah, adik dan abang, bersama rakan-rakan yang baik, suasana yang sentosa, wajarlah kita menghargai melalui kesyukuran dan menggunakan peluang sebaik-baiknya untuk bersama dalam suasana positif yang sentiasa saling memaafkan. Ingatlah, seburuk mana pun insan-insan ini, mereka adalah darah daging kita.
Dalam masa yang sama bergeraklah dalam kelompok di kalangan rakan-rakan atau keluarga untuk sama-sama membantu mereka yang telah kehilangan dengan rasa simpati dan empati yang mendalam terhadap mereka. Kata orang, hari ini hari mereka, mungkin esok hari kita.
Nasihat sabar dalam keimanan adalah kata-kata terbaik yang perlu diungkapkan dengan mengingatkan mereka tentang perjalanan penuh cabaran manusia-manusia bergelar nabi dan rasul pilihan Allah, sebagaimana disebutkan dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 4:
Demi masa. Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.

Wednesday, October 13, 2010

Setiap dugaan ada hikmah tersirat


MOTIVASI paling mujarab dalam kita menempuh hidup yang penuh pancaroba ini. Setidak-tidaknya, ia membuka akal dan minda kita untuk melihat setiap ujian Allah SWT itu sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya, bukan sebaliknya atau Allah SWT bertindak tidak adil terhadap segelintir umat-Nya, terutamanya yang dibebani dengan ujian kesusahan dan kesempitan.
Bertitik-tolak daripada ayat di atas inilah, sebagai hamba Allah kita kena yakin dengan jaminan Allah bahawa akan ada kesenangan selepas menempuh segala kepayahan dan cabaran-Nya. Maka untuk berjaya menempuhinya, ia perlu kepada kesabaran. Barulah, datangnya kemanisan iman.
Pada 17 Syawal lalu sebagai kesinambungan kepada program Feed The Fasting atauBantulah Mereka Berbuka Puasa oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama pengurusan Sudara Beach Resort, yang terletak di Tok Bali, Bachok, Kelantan telah berjaya mengagih dan menyerahkan pek makanan kepada 200 buah keluarga yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim serta insan Orang Kurang Upaya (OKU).
Majlis istimewa itu telah melibatkan penerima manfaat daripada penduduk di sekitar jajahan Bachok, Kelantan. Di mana pengurusan Sudara Beach Resort bertanggungjawab memilih senarai penerima.
Pengurus Kewangan dan Operasi IRM, Farouq Zauji berkata, ia merupakan tahun ke tiga kerjasama yang dibuat bersama Sudara Beach Resort acapkali tibanya Syawal.
"Menerusi kempen ini, setiap sumbangan RM50 yang diperoleh daripada orang ramai akan dibeli barangan keperluanm asas. Kalau kita congak perbelanjaan kita satu hari, boleh dikatakan lebih daripada itu. Pun begitu, pemberian anda sebanyak itu, bukan sahaja membawa makna besar dalam aspek kemanusiaan tetapi turut menjadi saham akhirat. Insya-Allah.
"Wang sumbangan orang ramai itu, akan digunakan untuk membeli keperluan harian berupa; beras, gula, garam, susu, tepung, minyak masak, sardin dan sebagainya.
"Setiap satu pek makanan ini adalah untuk satu keluarga dan ia diharapkan akan dapat membantu meringankan beban keluarga tersebut selama dua hingga tiga minggu," katanya yang menghargai kerjasama yang terbina terutamanya kepada Pengarah Urusan Sudara Beach Resort, Maimun Mohd. Hussain yang tidak dapat turut serta meraikan program hari itu kerana masalah kesihatan.
Tambah Farouq, sumbangan yang disalurkan melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi penyediaan bungkusan makanan dan barangan keperluan harian untuk meringankan bebanan perbelanjaan harian mereka.
Semua kos bagi penyelengaraan program itu adalah hasil sumbangan orang ramai dari seluruh negara melalui kempen Bantuan Aidilfitri 2010 yang telah dilaksanakan IRM.
"Program ini adalah kesinambungan daripada program Bantulah Mereka Berbuka Puasa, yang dilaksanakan oleh Islamic Relief Worldwide yang telah berjaya mengagihkan pek makanan kepada lebih sejuta penerima di seluruh dunia termasuk 20,000 orang di Malaysia.
"Makanan yang diagihkan merupakan makanan tradisi penduduk sesebuah negara dan pengagihan di peringkat antarabangsa lebih fokus kepada golongan yang menghadapi krisis makanan disebabkan kemiskinan, bencana alam, konflik dan peperangan.
"Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, mereka boleh melayari laman web rasmi IRM iaitu www.irm.org.my," kata Farouq.
Sementara itu, Pengurus Besar Sudara Beach Resort, Sabari Mohd. Afffandi yang mewakili ibunya dalam ucapan perasmian program itu berkata, pihaknya berminat untuk melebarkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti IRM pada tahun-tahun akan datang.
"Mungkin kalau sebelum-sebelum ini kerjasama yang terjalin hanya dalam penganjuran program Aidilfitri, mungkin pada lain kali kita akan cuba mencari program bentuk kebajikan yang lain.
"Tiga tahun berturut-turut ini, membuktikan keprihatinan pihak pengurusan Sudara Beach Resort dan IRM, sekali gus memastikan mereka yang tidak bernasib baik di jajahan ini terbela nasibnya," kata Sabari.-utusan