Pages

Showing posts with label lombok. Show all posts
Showing posts with label lombok. Show all posts

Thursday, May 24, 2012

'Siasat, hukum jejaka Lombok'

Berita Harian Online | 'Siasat, hukum jejaka Lombok':
 MOHD Zuhari  menyiram di pusara anaknya, Nur Afifah (gambar kecil), sambil diperhatikan  Hasliza (kiri) di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah Tekah, Asam Kumbang, semalam.

MOHD Zuhari menyiram di pusara anaknya, Nur Afifah (gambar kecil), sambil diperhatikan Hasliza (kiri) di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah Tekah, Asam Kumbang, semalam.
Keluarga Nur Afifah mahu kerajaan adili lelaki larikan anak mereka

TAIPING: Keluarga Nur Afifah Mohd Zahuri, 16, gadis yang dipercayai dilarikan seorang lelaki warga Indonesia ke Lombok sebelum meninggal dunia di sana, meminta kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Indonesia membawa lelaki terbabit ke negara ini untuk disiasat dan diadili.
Mohd Zahuri Idris, 47, berkata walaupun reda dengan pemergian anaknya di Rumah Sakit Bhayan Kara Bolda, Lombok pada 6 Mei lalu, beliau mahu kerajaan dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia membawa Mohamad Yani, 30, yang didakwa melarikan anaknya pada 18 April lalu.
Tindakan tegas perlu ambil sebagai satu pengajaran dan peringatan supaya tidak ada mana-mana warga negara itu melarikan gadis negara ini ke Indonesia dengan sewenang-wenangnya secara tipu helah dan haram. Saya difahamkan, kebanyakan gadis Malaysia dilarikan oleh jejaka dari Indonesia (Lombok) dipercayai dengan menggunakan ilmu pukau dan hitam sehingga anak gadis kita menurut saja apa yang dikehendaki oleh lelaki seperti itu, termasuk anak saya sendiri. - Mohd Zahuri Idris
“Tindakan tegas perlu ambil sebagai satu pengajaran dan peringatan supaya tidak ada mana-mana warga negara itu melarikan gadis negara ini ke Indonesia dengan sewenang-wenangnya secara tipu helah dan haram.

“Saya difahamkan, kebanyakan gadis Malaysia dilarikan oleh jejaka dari Indonesia (Lombok) dipercayai dengan menggunakan ilmu pukau dan hitam sehingga anak gadis kita menurut saja apa yang dikehendaki oleh lelaki seperti itu, termasuk anak saya sendiri.

“Saya juga berharap perkara ini ditimbulkan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, termasuk kemungkinan membuat undang-undang bagi mengawal perbuatan itu dan mereka yang terbabit pula dikenakan hukuman berat,” katanya ditemui sebaik selesai pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hidayah, Tekah, Asam Kumbang, Kamunting, dekat sini, awal pagi semalam.

Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian yang dihadiri kira-kira 300 penduduk apabila ahli keluarga Nur Afifah, termasuk ibu, Hasliza Ismail, 46, menatap wajahnya buat kali terakhir sebaik keranda dibuka. 
Jenazah pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Panglima, Kamunting itu tiba di Kompleks MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang kelmarin dan disembahyangkan di Masjid Hidayah sebelum dikebumikan jam 12 tengah malam kelmarin.

Mohd Zahuri yang tinggal di Taman Panglima berkata, beliau hairan arwah begitu mudah mengikuti lelaki berkenaan.

Sementara itu, Hasliza yang ditemui bersyukur jenazah anaknya selamat dikebumikan di sini selepas penantian dua minggu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu, termasuk Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi berkata, polis memerlukan maklumat terbaru daripada Mohd Zahuri bagi membolehkan pasukan itu membuat tindakan selanjutnya.

Katanya, polis sebenarnya sedang menjalankan siasatan kes itu selepas menerima laporan pada 19 April lalu dan baru menerima berita kematian arwah.
'via Blog this'

Saturday, August 13, 2011

Serik 10 tahun derita di Lombok

SALMAH (kiri) serta ahli keluarga menyambut kedatangan Sanisah (kanan) bersama tiga anak, Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, semalam.
SALMAH (kiri) serta ahli keluarga menyambut kedatangan Sanisah (kanan) bersama tiga anak, Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, semalam.
Tekad pulang semula ke tanah air demi kehidupan selesa, pendidikan anak

MELAKA: "Saya tidak mahu tinggal di sana lagi (Lombok). Cukuplah, 10 tahun terlalu lama. Saya terlalu rindu nak berpuasa dan beraya dengan emak di sini," luah Sanisah Abu Bakar, 37, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam, dekat sini, tengahari semalam.
Sambil menitiskan air mata, beliau yang terkandas di negara jiran itu bersama suami dan lima anak gara-gara tiada wang sejak 2002, mengakui mendapat hadiah Aidilfitri paling bermakna dalam hidupnya sebaik berjaya menjejakkan kakinya semula di negara ini.
“Hari ini (semalam) saya dapat melihat kembali ke Malaysia dengan selamat dan melihat wajah emak yang saya rindui selepas sekian lama teringin pulang. Allah SWT sudah makbulkan doa saya, Alhamdulillah,” katanya sebak.

Ibunya, Salmah Mahmud, 71, juga seperti hilang kata-kata sebaik melihat kelibat anak perempuannya itu keluar dari balai ketibaan Lapangan Antarabangsa Melaka itu pada kira-kira 12.30 tengahari.

Kedua beranak ini berdakapan erat, sebelum kedengaran tangisan dari mereka sekali gus menjadikan suasana di situ terasa hiba. Mereka terpisah selepas Sanisah mengikut suaminya Widodo Chinasin, 39, balik ke kampung halamannya di Lombok pada Mac 2002.

“Ramadan kali ini cukup bermakna bagi makcik kerana dapat bertemu kembali anak dan cucu selepas 10 tahun berpisah. Makcik rasa sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya doa dimakbulkan Allah SWT.
“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam usaha membawa balik mereka. Mungkin ini adalah hadiah Aidilfitri paling istimewa untuk makcik,” kata Salmah dalam nada agak sebak sejurus pertemuan itu.

Kepulangan Sanisah dan keluarganya itu semalam adalah hasil usaha Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan kerajaan Melaka yang menyalurkan peruntukan RM15,000.

Hadir sama semalam ialah Ketua Menteri merangkap Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Hasil perkahwinan dengan Widodo itu, Sanisah dikurniakan lima anak iaitu Nurshahada, 15; Nurizwan, 13 dan Nurakma Najwa, 11; Nur Aliff Zulkarnain, 9 dan Nurain Asyikin, 6. Bagaimanapun semalam, hanya Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa turut serta dalam penerbangan itu.

Nur Aliff dan Nurain dijadual tiba bersama bapa mereka, esok menaiki feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor Bahru.

Mengulas lanjut kepulangannya itu, Sanisah berkata, beliau bertekad kembali ke negara ini kerana mahu semua anaknya mendapat pendidikan sebaik mungkin selepas hidup dalam keadaan menderita di kampung halaman suaminya itu.

Sementara itu, Mohd Ali melahirkan rasa syukur dengan kepulangan Sanisah itu dan berharap usaha DMDI itu dapat menyatukannya semula dengan keluarga di Kuala Linggi.

“Di sana kami tinggal di rumah mentua dan saya bekerja sebagai pembantu sukarelawan kesihatan dengan upah RM200 untuk enam bulan, manakala suami bekerja mekanik menerima gaji RM200 sebulan,” katanya. 
bharian

Monday, June 6, 2011

Hampir lemas sewaktu pulang




KUALA NERANG - “Pengalaman hampir lemas semasa mahu kembali ke Malaysia kira-kira jam 4 pagi pada 4 Jun lalu pasti menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan,” kata Zarina Abu Bakar, 30, wanita yang ke Lombok, Indonesia selepas mengikuti teman lelakinya yang dikenali sebagai Helmi kira-kira dua tahun lalu.

Mengimbas kembali kejadian berkenaan, Zarina yang tidak pandai berenang berkata, dia dan beberapa orang lain yang mahu memasuki sempadan Malaysia melalui Ulu Tiram, Johor diarahkan terjun ke dalam laut kerana bot yang membawa mereka tidak menghampiri pesisiran pantai.

Menurutnya, sebaik sahaja terjun, dia tidak ingat apa-apa dan dimaklumkan oleh tekong bot bahawa dia pengsan.

“Nyawa saya masih panjang dan bersyukur kerana telah diselamatkan oleh tekong bot berkenaan dan saya mula sedar dari pengsan kira-kira jam 6 pagi.

“Kemudian dengan bantuan orang-orang tekong bot itu, saya telah dibawa untuk membeli tiket bas ke Kuala Lumpur kerana ibu saya, Maryam Kasim, 49, sudah menanti di sana,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kuala Pai, Kuala Nerang.

Kisah Zarina sebelum ini mendapat liputan media cetak dan elektronik yang luas selepas dia merayu dan memohon bantuan untuk kembali ke negara ini selepas pergi ke Lombok pada September 2009.

Dia yang juga seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak berusia 6, 7 dan 10 tahun pergi ke sana selepas teman lelakinya yang dikenali Helmi, 29, berjanji akan mengahwininya.

Menurutnya, pada awal perkenalan, dia terus jatuh hati kepada jejaka berkenaan yang mengambil berat akan dirinya.

“Pada awal berkenalan, sekiranya sehari tidak bertemu saya akan teringat-ingat kepadanya, setiap yang diperkatakan dan diminta olehnya langsung tidak dibantah.

“Saya pun tidak tahu mengapa saya tidak sabar-sabar mengikutinya pulang ke Lombok selain mendapat pelawaan dari pada ibu Helmi untuk pergi ke sana,” katanya.

Dia mengakui semasa di dalam perjalanan menuju ke sana melalui Ulu Tiram, ingatannya kepada ibu bapa dan juga anak-anak di Kedah seolah-olah tidak ada dan hanya memikirkan untuk ke Lombok saja.

“Saya seolah-olah dipukau tetapi pada waktu yang sama rasa sangat bahagia,” katanya.

Namun, selepas lima bulan menetap di Desa Jeruk Mani, Dusun Jawa Guar, Kacamantan Timur, barulah rasa rindu kepada kampung halamannya di Malaysia kembali berbunga.

Menurutnya, dia mendakwa selepas lima bulan menetap di sana, layanan ibu Helmi kepadanya semakin dingin.

“Selain menetap di rumah yang tidak mempunyai kemudahan elektrik dan air, kadang-kadang makanan tidak cukup dan perlu bergantung kepada roti sahaja, makanan yang sering saya jamah ialah ubi kayu, ubi keladi dan pucuk paku-pakis.

“Saya pun tidak tahu mengapa ibu Helmi bersifat dingin dan sering memarahi dan memukul saya, sifat ramah mesra seperti saya dengar di dalam telefon sebelum ini sudah tidak ada,” katanya.

Tambahnya, dia juga terpaksa pergi bekerja mengambil upah menanam padi dengan upah sebanyak RM2.50 sehari.

“Setiap hari saya memikirkan untuk pulang sahaja, selain hidup umpama pelarian di sana,” katanya yang mendapat bantuan suaminya untuk mendapatkan kad pengenalan palsu di sana dengan harga RM80.

Bagaimanapun, impiannya berkecai apabila Helmi membatalkan hasrat untuk berkahwin dengannya selepas dia melahirkan seorang anak perempuan hasil hubungan sulit dengan lelaki berkenaan kira-kira lima bulan yang lalu.

“Biarlah kisah perjalanan hidup saya ini menjadi iktibar dan pengajaran kepada wanita di negara ini supaya ia tidak akan berulang lagi.

“Kepulangan saya ke negara ini juga turut dibantu oleh Helmi selepas melihat saya sudah nekad untuk pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Maryam ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana masih lagi dapat memeluk anak sulungnya itu.

“Setiap hari saya berdoa kepada Allah SWT, akhirnya doa saya dimakbulkan, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi dorongan kepada keluarga kami,” katanya.

Tambahnya, dia mendapat bantuan daripada adik angkatnya dari Kubor Panjang, Pendang, Kedah untuk membantu membawa pulang Zarina.

Kepulangan Zarina mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO Kedah merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Badrol Hisham Hashim; Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Ismail Ibrahim dan Ketua Biro Remaja Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) Sharmila Ibrahim yang melawatnya.
SH

‘Mak tolong bawa Lisa balik’

Ibu kecewa anak gadis kahwin, lahir bayi di Lombok hidup sengsara

KLUANG: Seorang ibu dari Simpang Renggam di sini, tidak menyangka anak gadisnya yang menghilangkan diri tiga tahun lalu dan disangkanya bekerja di bandar raya, sebenarnya lari meninggalkan keluarga kerana mengikut teman lelakinya ke Lombok, Indonesia.

Malah, Joriyah Ismail, 41, seorang pekerja kilang, turut terkejut apabila anak sulungnya Norhalisa Umno@Mohammad Jaafar, 23, memberitahu dia kini sudah melahirkan anak lelaki berusia satu setengah tahun selepas berkahwin dengan kekasih hatinya yang dikenali sebagai Man di Lombok.

Rahsia itu terbongkar selepas Norhalisa mula menghubungi ibunya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak dua bulan lalu, bagi meminta bantuan membawa diri serta anaknya, Haiqal, pulang ke Malaysia selepas sengsara ditinggal suaminya yang kini bekerja di Brunei selain tidak diterima keluarga mentuanya.
Malah beberapa SMS yang dihantar Norhalisa termasuk: “Ampunkan Lisa mak, sebab buat mak dengan adik-adik macam ini” dan “Mak, tolonglah bawa Lisa dengan Haiqal balik Simpang Renggam cepat-cepat. Lisa sakit kat sini, sekarang pun numpang rumah orang... mentua orang tak suka orang dengan Haiqal" meruntun naluri keibuan Joriyah.

Joriyah berkata, selepas anaknya itu menghilangkan diri secara tiba-tiba pada 2008 ketika dia keluar bekerja, Norhalisa mula menghubunginya semula Mac lalu bagi bertanya khabar dirinya serta lima orang adik beradiknya.

"Saya amat sedih, kecewa dan marah atas tindakan Norhalisa yang menghilangkan diri dari rumah ketika berusia 19 tahun dan tiba-tiba menghubungi saya semula menerusi SMS bagi menyatakan dirinya sudah berkahwin dan melahirkan anak di Lombok.

"Dia tidak tahu macam mana kami sekeluarga puas mencarinya ke sana sini sejak tiga tahun lalu, namun saudara-mara akhirnya memujuk mengatakan dia akan kembali dan mungkin bekerja di bandar untuk mencari pengalaman hidup selepas tamat sekolah seperti rakan-rakannya yang lain.
"Walau hati saya hancur apabila mengetahui perkara sebenar, saya juga tidak sanggup melihat darah daging saya sendiri menderita apatah lagi apabila mengetahui dia sebatang kara jauh di negara asing bersama anaknya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam sambil ditemani suami, Yunus Mat Zin, 45.
Berita Harian Online | ‘Mak tolong bawa Lisa balik’

Wednesday, June 1, 2011

Bakal pengantin nyaris ke Lombok



IBNU SINA menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap seorang lelaki yang ingin melarikan Nurul ke Lombok ketika ditemui di Kota Masai, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Tindakan pantas seorang bapa menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengesan anak perempuannya yang bakal berkahwin pada Sabtu ini dapat menyelamatkan wanita berkenaan daripada dilarikan seorang lelaki ke Lombok pada 9 Mei lalu.
Ibnu Sina, 50, mendakwa, dia menyedari kejadian itu pada pukul 4 pagi apabila mendapati anaknya yang dikenali sebagai Nurul, 21, hilang ketika dia bangun untuk menunaikan solat Subuh.
Katanya, dia terus memberitahu penduduk kampung sebelum anak kedua daripada lapan beradik itu dikesan di laluan 'tikus' di Ulu Tiram di sini yang biasa digunakan oleh warga asing untuk pulang ke Indonesia.
"Dalam SMS itu, saya nyatakan segala maklumat peribadi mengenai anak saya sebelum seorang tekong bot di situ dapat mengesan Nurul sebelum dia dilarikan ke Lombok.
"Ketika disoal, lelaki Lombok yang dikenali sebagai Hasan Basri berusia 24 tahun itu memberitahu wanita itu berketurunan India namun pemeriksaan pada Mykad menunjukkan namanya sama dengan SMS yang diterima," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Masai di sini semalam.
Tambahnya, lelaki Lombok itu kemudian dibelasah sebelum diserahkan kepada polis
Kosmo! Online - Negara

Thursday, February 24, 2011

Ibu pengsan anak telefon dari Lombok


PETALING JAYA: Selepas enam hari mencari anak daranya yang hilang, seorang ibu pengsan apabila dihubungi anaknya dan memberitahu sudah berkahwin dengan lelaki Indonesia dan berada di Lombok Timur.
Zaiton Jaafar, 43, dari Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang berkata, kehilangan Norbaizura Mohd Salleh, 19, yang juga anak keempat daripada enam beradik disedari selepas rakan serumah lelaki Indonesia di Felcra itu menghubungi keluarganya dan memberitahu rancangan melarikan gadis terbabit, 5 Februari lalu.

Dia berkata, anggota keluarga dengan dibantu penduduk kampung melakukan pencarian selama enam hari di Jerantut sebelum ke Melaka selepas mendapat maklumat Norbaizura ada dilihat di negeri itu.
“Sehari selepas mengetahui dia hilang, saya membuat laporan di Pondok Polis Kuala Tahan sebelum kes dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

“Berdasarkan maklumat, kami cuba mencari Norbaizura di sekitar Jerantut sebelum pencarian diteruskan hingga ke Melaka apabila mendapat petunjuk baru.

“Bagaimanapun, minggu lalu saya terkejut, lemah semangat dan pitam menerima panggilan telefon daripadanya memaklumkan berada di Kampung Jobeng, Lombok Timur dan kahwin dengan lelaki dikenali sebagai Suparlan berusia 30-an yang juga penoreh getah tidak jauh daripada tempat kami,” katanya.
Menurutnya, perbualan telefon itu terputus selepas Norbaizura memberitahu sudah berkahwin dan apabila cuba hubungi semula, talian itu tidak berjawab.

“Jika benar mahu memperisterikan anak saya, saya sedia menerimanya sebagai menantu, tetapi biar kena caranya. Kami sekeluarga tidak mempunyai sebarang halangan jika lelaki itu kahwin dengan Norbaizura tetapi harus mengikut hukum Islam, adab serta adat Melayu di negara ini.
“Saya rasa golongan tua di sana (Lombok) juga tidak bersetuju dengan perbuatan tidak beradab ini, lebih-lebih lagi majoriti penduduknya berpegang teguh kepada ajaran Islam. Justeru, perbuatan sebegini harus dihentikan segera,” katanya.

Namun, Zaiton berkata, rakan serumah Suparlan yang bekerja sebagai penoreh getah di Kuala Tembeling pernah memberitahu suspek menyimpan perasaan terhadap anak perempuannya itu.

“Difahamkan, dia selalu mengekori anak saya pulang dari tempat kerjanya di pusat peranginan di Kuala Tahan, tetapi tidak pernah mengganggu Norbaizura.

“Dia dilarikan sehelai sepinggang dan dipercayai dibawa masuk secara haram ke Lombok melalui jalan laut dari Melaka kerana tidak mempunyai pasport antarabangsa.

“Saya berharap Norbaizura dapat dibawa pulang secepat mungkin kerana kami sekeluarga, terutama ayahnya yang uzur amat merinduinya,” katanya.myMetro

Thursday, December 2, 2010

Halizan - anak bakal pulang dari Lombok



02/12/2010 4:52pm

KUALA TERENGGANU - Keluarga Halizan Ibrahim, wanita dari Terengganu yang lari mengikut kekasihnya ke Lombok, Indonesia gembira apabila mendapat khabar yang dia akan pulang ke Malaysia bersama anaknya tidak lama lagi.
Kakak kepada Halizan, Hartini Ibrahim, 39, yang tinggal di Kampung Nibong di sini berkata, beliau baru sahaja berhubung dengan adiknya melalui telefon petang semalam dan Halizan, 38, menyatakan dia akan pulang tidak lama lagi bersama anaknya yang hanya dikenali sebagai Zulfakar yang baru dilahirkan.
"Perkhabaran terbaru ini melegakan keluarga kami. Sebelum ini kami tidak tahu kesudahan apakah dia akan pulang atau sebaliknya," katanya di sini hari ini.
Hartini berkata, semasa perbualan semalam, adiknya menyatakan dia kini sudah tidak ada halangan lagi untuk pulang bersama anaknya.
Ini kerana Halizan sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan Indonesia untuk membawa anaknya pulang bersamanya ke Terengganu, katanya.
Beliau berkata, sebelum ini adiknya bukan tidak mahu pulang ke kampung mereka tetapi disebabkan kesukaran untuk membawa pulang anaknya bersama.
"Halizan tidak akan pulang sekira anaknya tidak boleh dibawa bersama ke Terengganu," katanya.
Hartini berkata, keluarganya terutama ibunya sungguh gembira apabila mendengar perkhabaran terbaru itu.
"Jika sudah tinggal di kampung, susah senang kita sama-sama dapat membantunya," katanya.
Halizan bersama anaknya kini berlindung di Rumah Kebajikan Bude Rini setelah ditinggalkan kekasihnya yang dikenali sebagai Asitah yang kini kembali bekerja di Malaysia. - Bernama

Saturday, October 23, 2010

'Mimpi ngeri berakhir'


SYUKUR...Shafika dicium ibu dan bapanya sebaik tiba di LCCT, malam tadi.
SYUKUR...Shafika dicium ibu dan bapanya sebaik tiba di LCCT, malam tadi.
SEPANG: “Syukur Alhamdulillah, mimpi ngeri sudah berakhir, lupakan segala yang berlalu, saya nak Shafika sambung belajar selepas ini,” kata Mazanah Abdul Latif, 38, ibu remaja perempuan yang dilarikan teman lelakinya ke Lombok, Jawa Tengah, Indonesia, 4 September lalu.
Mazanah berkata, keluarga dan penduduk kampung akan mengadakan kenduri kesyukuran sempena kepulangan anak sulungnya selepas lebih sebulan berada di pulau berkenaan.

“Kami sekeluarga tidak pernah marah pada Shafika dan kami amat berterima kasih pada Kelab Putera 1Malaysia serta Umno Baling yang membantu membawa pulang Shafika ke pangkuan keluarga,” katanya ketika ditemui ketika menyambut ketibaan ShafikaMarlina Mohd Safiee, 16, di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, malam tadi.


Sementara itu, Shafika Marlina yang tiba dari Surabaya, Indonesia, kira-kira jam 9.46 malam tadi meluru dan memeluk ibu bapanya, Mohd Safiee Sardi, 43 dan Mazanah yang mengharungi perjalanan lebih 100 kilometer dari Teluk Intan, Perak, semata-mata menyambut anak kesayangan mereka.

Dia juga memeluk dua adiknya iaitu Mohd Shafiq, 13 dan Mohd Syamil Ikmal, 7, sambil menangis tanpa menghiraukan orang ramai di sekelilingnya.

Bagaimanapun, tangisannya reda apabila ditenangkan ibu bapa serta Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang hadir menyambut kepulangannya.

Ketika ditemubual, remaja itu mengakui menyesal kerana terlalu mengikut kata hati dengan mengikut teman lelakinya ke Lombok sehingga membelakangkan keluarga.

“Saya mohon maaf dan menyesal tinggalkan keluarga tanpa izin,” katanya.

Kepulangan remaja itu diiringi Setiausaha Agung kelab, Abdul Khalid Chairul yang diberi tanggungjawab oleh kelab berkenaan untuk membawa pulang gadis itu ke tanah air.

Shafika Marlina dilaporkan hilang 4 September lalu selepas dihantar ayahnya di depan sebuah bank di Bandar Baru Teluk Intan, Perak, kira-kira jam 9.15 pagi untuk membayar bil telefon.

Bagaimanapun, dia tidak pulang ke rumah sebelum kehilangannya disedari kira-kira jam 9 malam pada hari sama, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu, kemudian membuat panggilan kepada bapanya lima hari kemudian memaklumkan dia berada di Lombok bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya dikenali sebagai ‘Misbah’, 20 yang bekerja di sebuah ladang getah di Ladang Rubana di Perak.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kisah Shafika perlu dijadikan iktibar remaja lain supaya tidak mudah termakan pujukan orang asing.