Pages

Showing posts with label HIV. Show all posts
Showing posts with label HIV. Show all posts

Wednesday, August 29, 2012

AS lulus pil tunggal untuk rawat HIV



WASHINGTON - Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) meluluskan pil baharu bagi melawan jangkitan virus HIV yang menyebabkan penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) di Amerika Syarikat (AS).
Pil tersebut yang diluluskan penggunaannya kelmarin menggabungkan empat jenis ubat bagi melawan virus AIDS.
Diberi nama Stribild, ubat tersebut dikeluarkan oleh firma AS, Gilead Sciences Inc. Pil itu boleh digunakan untuk merawat pesakit dewasa yang belum pernah menerima rawatan HIV.
Penghidap HIV sebelum ini terpaksa memakan kombinasi beberapa biji pil pada setiap hari bagi mengekang jangkitan virus berkenaan di dalam badan mereka.
Kajian firma tersebut mendapati tiada kesan virus HIV dalam darah 88 hingga 90 peratus pesakit yang mengambil pil Stribild selepas 48 minggu. - AP

Monday, December 6, 2010

3,206 isteri hidap HIV



KEGIATAN melanggan pelacur oleh si suami boleh mendedahkan isteri kepada jangkitan HIV. – Gambar hiasan


KOTA BHARU - Sikap segelintir suami yang kerap 'makan luar' dengan pelacur di negara jiran dikenal pasti menjadi punca ramai suri rumah di Kelantan dijangkiti penyakit HIV/AIDS berbanding wanita di negeri lain.
Presiden Majlis AIDS Se-Malaysia (MAC), Datuk Mohd. Zaman Khan (gambar kecil) yang mendedahkan perkara itu berkata, gaya hidup bebas golongan lelaki terutama yang telah berkahwin menjadi faktor utama isteri dan wanita secara tidak langsung terdedah kepada jangkitan virus berkenaan.
"Ramai wanita yang menghidap HIV/AIDS mendapat (penyakit itu) daripada suami mereka, sesetengah orang (lelaki) pergi pada pelacur dan mereka terdedah (kepada jangkitan HIV/AIDS).
"Misalnya orang lelaki selalu pergi ke Sungai Golok, selepas melakukan 'lawatan' ke sana, mereka kembali pada isteri mereka yang kemudian telah menyebabkan wanita atau isteri mereka menerima akibatnya dengan dijangkiti virus berkenaan," katanya pada majlis sambutan Hari AIDS Sedunia 2010 peringkat kebangsaan di sini semalam.

Sunday, August 8, 2010

Cicak tokek mampu jadi penawar penyakit HIV/AIDS?



DUA ekor cicak tokek kepunyaan Mohamad Fauzi di Bukit Setongkol, Kuantan.


KUANTAN 7 Ogos - Cicak tokek mungkin spesies yang jarang didengari oleh masyarakat tempatan tetapi haiwan itu mempunyai nilai tinggi di pasaran kerana didakwa mempunyai khasiat mujarab untuk merawat pelbagai penyakit termasuk HIV/AIDS.
Seorang pengarah urusan sebuah syarikat di sini yang memiliki dua ekor cicak tersebut berharap satu kajian saintifik dapat dilakukan bagi membuktikan kebenaran dakwaan itu.
Mohamad Fauzi Mohd. Norman (gambar), 42, berkata, dia mula memelihara dua ekor cicak tersebut selepas salah seorang daripada saudaranya memberikan haiwan itu kepadanya sebagai cenderahati.
Menurutnya, saudaranya itu menangkap cicak tersebut di kawasan hutan Hulu Terengganu dan ketika diberikan kepadanya, dia tidak mengetahui keistimewaan haiwan itu.
"Saya bertanya kepada kenalan dan merujuk dalam laman web mengenai spesies cicak ini sebelum mendapati ia amat bernilai kerana mempunyai pelbagai khasiat," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, hasil rujukan yang dibuat mendapati cicak miliknya yang berusia tiga bulan itu dipercayai boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit kronik seperti HIV/AIDS, sakit kulit dan asma.
"Dipercayai setelah cicak itu mencecah berat 350 gram ke atas, ia boleh mengeluarkan satu enzim yang mampu mengubati penyakit HIV dan AIDS," katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, kebenaran dakwaan itu tidak dapat dipastikan dan ia boleh dibuktikan jika satu kajian saintifik dijalankan terhadap haiwan tersebut.
Dalam pada itu, dia turut dimaklumkan harga bagi seekor cicak tersebut di pasaran boleh mencapai RM3 juta jika berat haiwan tersebut mencecah 500 gram.
"Saya anggarkan dua ekor cicak tokek yang saya pelihara ini masing-masing seberat 100 gram dan 90 gram. Tetapi saya percaya ia mampu untuk membesar lagi,'' katanya.