meteor
Pergerakan meteor sebelum terhempas di bandar Chelyabinsk, Urals, wilayah timur Rusia semalam. Lebih 1,000 cedera. - Foto EPA
Meteor timpa Rusia 400 cedera
Meteor timpa Rusia 400 cedera
[DIKEMAS KINI]MOSCOW - Meteor dari angkasa menimpa Rusia pagi tadi (waktu tempatan) menyebabkan bola api, yang mengejutkan ramai, dan mencederakan lebih 1,000 orang Di Chelyabinsk, wilayah Ural, timur Moscow, pagi tadi waktu tempatan.
Jurucakap pihak berkuasa Chelyabinsk berkata, sembilan orang dimasukkan ke hospital. Kebanyakan cedera disebabkan terkena kaca yang pecah.
Agensi berita tempatan, RIA Novosti melaporkan, sekurang-kurangnya tiga lagi kritikal, juga akibat terkena kaca pecah dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi.

Menurut laporan agensi berita rasmi, Itar-Tass, satu cahaya terang berwarna putih muncul di langit untuk beberapa saat diikuti dengan bunyi "bang" yang sangat kuat seperti letupan.

Itar-Tass melaporkan, letupan itu berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk.

Sementara itu, pegawai kecemasan Rusia berkata, meteor telah musnah selepas sebahagiannya terbakar ketika berada di atmosfera lebih rendah berbanding daerah Ural.

Pegawai Kementerian Kecemasan Gennady Onishcenko berkata, kebanyakan mangsa cedera akibat terkena serpihan kaca selepas hujan meteoroid tersebut jatuh ke kawasan perumahan dan sekitar bangunan.
“Kebanyakan mangsa dikejarkan ke hospital akibat terkena serpihan kaca yang berterbangan selepas meteoroid itu terkena premis bangunan, kedai dan kediaman,” katanya.
Presiden Vladimir Putin bersyukur kerana insiden yang mengejutkan ini tidak menyebabkan kehilangan nyawa.
Meteor ini disaksikan di Yekaterinburg, 200 kilometer ke utara dan di Kazkhstan di selatan.
Jabatan Kesihatan Chelyabinsk mengesahkan lebih 1,000 orang setakat ini mengalami kecederaan, termasuk 200 kanak-kanak.
Angka awal menyebut hanya sekitar 300 orang cedera.
Dua orang di bandar Kopeysk berada dalam keadaan serius.
Menurutnya, seramai 20,000 petugas kecemasan dikerah ke Chelyabinsk dengan tiga pesawat tentera udara.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kilang zink runtuh, sistem telekomunikasi terputus, penggera keselamatan bangunan, rumah dan kereta berbunyi.
“Satu letupan kuat bersama gumpalan cahaya terang menyerupai api melintasi bandar ini hingga jatuh dan mengenai beberapa kawasan premis sekitar bandar ini,” katanya.
Beliau berkata, beberapa penduduk mendakwa, letupan dapat didengar ketika asteroid itu memasuki atmosfera bumi.
Sementara itu, Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid dikenali sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini.
“Pemantauan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu. Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,” katanya.
Pemerhati langit mendakwa kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi dengan acara Tunguska yang terkenal tahun 1908 di kawasan terpencil Siberia apabila asteroid yang memasuki atmosfera dan meletup sehingga memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km persegi - kira-kira dua pertiga saiz Rhode Island.

Dalam kejadian itu, secara keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah ditebang.
-SH