Pages

Showing posts with label saman. Show all posts
Showing posts with label saman. Show all posts

Thursday, August 30, 2012

Pegawai JKJR buta fail saman RM1 juta


Rozali menunjukkan matanya yang buta
di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.
 
KOTA BHARU - Seorang kakitangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan memfailkan saman RM1 juta terhadap pemilik syarikat pengeluar produk penjagaan mata selepas mendakwa ubat titis yang digunakan menyebabkan sebelah matanya buta, tiga tahun lalu.
Pegawai JKJR, Rozali Che Mat, 40, memfailkan writ saman tersebut menerusi peguam, Shaharuddin Mohamed di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin di sini semalam.
Rozali yang menamakan pemilik syarikat tersebut, Mohd. Zulkifli Dollah serta rakan kongsinya Mohd. Azuan Alwi sebagai defendan mendakwa, mata kanannya buta hanya selepas menggunakan satu titisan ubat yang dibeli daripada syarikat defendan.
Syarikat produk penjagaan mata yang terkenal itu sebelum ini beralamat di Tumpat namun telah ditutup dan kini dikatakan beralamat di Petaling Jaya, Selangor.
Sehubungan itu, bapa kepada empat orang anak dari Pengkalan Chepa itu menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM1 juta serta ganti rugi lain yang diserahkan kepada budi bicara mahkamah.
Rozali ketika ditemui di mahkamah memberitahu, dia pergi ke premis perniagaan itu di Pondok Haji Ahmad, Kampung Genting, Pengkalan Kubor pada 19 Disember 2009 kerana mengalami kegatalan pada mata kanannya yang dimasuki habuk ketika bekerja di Labok, Machang.
Semasa mendapat rawatan di premis itu, plaintif mendakwa matanya disembur dengan sejenis ubat sebelum disyorkan membeli dua ubat terapi set siang dan malam untuk dititiskan ke dalam mata.
"Pulang ke rumah pada pukul 11 pagi, saya terus menitiskan ubat titis tersebut ke mata kanan saya dan kira-kira lima jam kemudian saya dapati mata saya mengalami keputihan seperti bernanah yang meliputi mata hitam saya," kata plaintif.
Rozali menambah, pada masa itu, matanya terasa sakit, bengkak serta penglihatannya terjejas namun menyangka ia mungkin tindak balas ubat lalu terus berhenti menggunakan ubat titis tersebut.
Jelas plaintif, selepas dua hari, matanya semakin teruk menyebabkan dia pergi ke sebuah klinik pakar mata di Kota Bharu.
Pemeriksaan doktor pakar itu kemudian mengesahkan mata kanannya buta malah jawapan sama turut diberikan oleh doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Friday, June 8, 2012

Orang Islam New Jersey saman NYPD


Orang Islam New Jersey saman NYPD
Lapan wakil dari New Jersey memfailkan saman untuk mengelakkan
pencabulan hak asasi secara berterusan ke atas orang Islam di AS.
WASHINGTON - Tindakan Jabatan Polis New York (NYPD) mengintip aktiviti orang Islam di beberapa kawasan kejiranan di Amerika Syarikat sebelum ini telah mencetuskan kemarahan.

Bagi mengelakkan pencabulan hak asasi secara berterusan ke atas orang Islam, seramai lapan wakil dari New Jersey, kelmarin telah memfailkan saman. Mereka menggesa NYPD menghentikan semua kegiatan pengintipan yang telah dilakukan sejak tragedi 11 September 2001.

Ia adalah tuntutan pertama mahkamah mencabar program pengintipan pihak berkuasa yang didakwa turut dibiayai oleh Rumah Putih dengan menyasarkan kawasan kejiranan Islam termasuk ke- giatan keagamaan di masjid.
Kegiatan pengintipan NYPD itu terbongkar, Februari lalu selepas aktiviti penyamaran pihak berkuasa dalam kalangan pelajar Islam berjaya dihidu pihak kolej.

Saturday, May 5, 2012

Evangelista saman jutawan



NEW YORK 4 Mei - Bekas model terkenal, Linda Evangelista (gambar), semalam mengemukakan saman terhadap jutawan Perancis, Francois-Henri Pinault bagi menuntut perbelanjaan bagi menyara anak lelakinya, Augustin, 5, yang didakwa merupakan anak jutawan itu bersamanya.
Model tinggi lampai berasal dari Kanada itu meminta perbelanjaan berjumlah AS$46,000 (RM138 juta) setiap bulan, termasuk seorang pengawal, seorang pemandu dan seorang pengasuh sepenuh masa.
Peguamnya, William Beslow, bagaimanapun menafikan jumlah itu, namun tidak menyatakan angka sebenar yang diminta Evangelista bagi menyara anak lelakinya itu.
Pinault, yang memiliki konglomerat barangan mewah termasuk jenama Gucci dan Yves Saint Laurent, memberi keterangan lebih satu jam di Mahkamah Keluarga Manhattan, semalam.
Pinault berkata, dia hanya mengenali bekas model itu selama empat bulan dan menghabiskan masa bersama selama tujuh hari, sebelum Evangelista mengaku mengandung pada awal 2006.
"Saya bertanya Evangelista apa yang ingin dilakukan dengan kandungan tersebut, kami hanya bersama tujuh hari dan saya tidak betul-betul mengenalinya," katanya.
Menurutnya, wanita itu bersetuju untuk membesarkan sendiri anak itu, seandainya dia tidak mahu terlibat dalam keputusannya memiliki bayi tersebut.
Pinault berkahwin dengan aktres Salma Hayek pada 2009 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia empat tahun. Dia juga memiliki dua lagi anak melalui perkahwinan terdahulunya. - AFP

Wednesday, March 14, 2012

Yahoo saman Facebook

14 Mac 2012
facebook-yahoo
SAN FRANCISCO - Syarikat ejin pencari gergasi, Yahoo telah memfailkan saman terhadap laman sosial Facebook di Mahkamah California, kelmarin selepas mendakwa rangkaian sosial terbesar itu mencabuli 10 hak cipta termasuk kaedah dan sistem pengiklanan yang dihasilkan oleh perintis Internet itu.

Difahamkan, Yahoo telah melabur dalam jumlah besar untuk penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan pelbagai hak cipta teknologi seperti syarikat pesaing lain.

“Teknologi ini adalah asas kepada perniagaan kami yang telah berjaya memperoleh 700 juta pelawat sebulan dan semangat inovasi serta kreativiti dipaparkan menerusi Yahoo,” menurut kenyataan syarikat tersebut yang berpusat di California.

Sementara itu, jurucakap Facebook yang telah diasaskan pada 2004, sedekad selepas Yahoo bertapak di dunia siber menyatakan mereka kecewa dengan tindakan syarikat tersebut.

Friday, December 23, 2011

Mangsa banjir Thai saman Yingluck

Mangsa banjir Thai saman Yingluck
BANGKOK - Ratusan mangsa banjir di Thailand mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berkuasa dan beberapa pegawai kerajaan negara itu, termasuk Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Kes pertama dalam sejarah Thailand itu difailkan oleh Persekutuan Hentikan Pemanasan Global (SGWA) di Mahkamah Pentadbiran Pusat, Bangkok bagi pihak mangsa banjir, kelmarin.

Menurut Presiden SGWA, Srisuwan Janya, aduan akan difailkan terhadap 11 agensi dan pegawai kerajaan atas dakwaan kecuaian, lewat memberi bantuan dan perkhidmatan diperlukan serta melakukan perkara yang menyebabkan kemusnahan.

“Pembinaan tembok banjir di sekitar Bangkok turut memberi kesan buruk kepada penduduk yang terpaksa berhadapan banjir berpanjangan kerana air bertakung akibat tembok itu. Kerajaan, termasuk Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap perkara ini,” katanya.

Pertubuhan itu akan mewakili 350 orang mangsa banjir dalam kes pertama bagi menuntut pampasan wang tunai tidak kurang 100,000 baht (RM10,000), sebelum diikuti lebih banyak kes lain dalam tempoh terdekat.

Jutaan penduduk di Thailand menjadi mangsa banjir buruk yang melanda kebanyakan wilayah di negara itu, Julai lalu, dan berlarutan sehingga bulan ini.
Mangsa banjir Thai saman Yingluck - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tuesday, December 20, 2011

Facebook saman ‘Zuckerberg’

 LOS ANGELES 19 Dis. – Facebook mengugut untuk menyaman seorang usahawan dari Israel yang menukar namanya kepada pengasas laman sosial tersebut, Mark Zuckerberg.

Rotem Guez atau kini dikenali sebagai ‘Zuckerberg II’ menukar namanya secara rasmi pada 7 Disember lalu.

Sebelum ini, Guez mendakwa beliau mengemukakan tuntutan saman terhadap Facebook pada Januari lalu selepas laman sosial tersebut tidak membenarkan beliau mengakses akaunnya yang kini telah ditutup.

Guez merupakan pengasas bersama Like Store, iaitu sebuah syarikat pemasaran yang membantu memperkenalkan jenama syarikat lain.

Akaun Facebooknya ditutup selepas Guez menyiarkan iklan berbunyi ‘Anda sedih kerana tiada sesiapa mahu melawat laman Facebook anda? Kami mempunyai penyelesaiannya! Anda memerlukan 1,000, 5,000 dan 10,000 ‘Likes’? Kami akan berikannya kepada anda’

Sehubungan itu, pada September lalu, peguam Facebook, Perkins Coie mengugut untuk menyaman Guez dengan mendakwa nama ‘Zuckerberg II’ itu menceroboh terma perkhidmatan laman sosial terbabit.

Ugutan saman itu turut mengarahkan Guez menutup syarikatnya dan tidak dibenarkan membuka semula akaun Facebook.

Menurut blog teknologi Zdnet.com, Guez menukar namanya kepada Mark Zuckerberg kerana mahu mengelak dari disaman laman sosial tersebut selepas beliau didakwa menceroboh terma perkhidmatan Facebook.

“Jika anda mahu saman saya, anda akan menyaman Mark Zuckerberg,” kata Guez yang berani memberi jaminan syarikat laman sosial tersebut tidak akan menyamannya kerana beliau memiliki nama yang sama dengan pengasasnya.

Sementara itu, Guez turut melancarkan kempen terbarunya menerusi Twitter yang memaparkan identiti barunya sebagai Mark Zuckerberg. – AGENSI
-utusan

Sunday, September 25, 2011

Diplomat liat bayar saman RM53.81 juta





2011/09/25

NEW YORK: Diplomat pelbagai negara berhutang saman tempat letak kereta hampir AS$17 juta (RM53.81 juta) dengan bandar raya ini, termasuk AS$725,000 (RM2.29 juta) oleh diplomat Indonesia, satu jumlah besar yang mungkin meningkat minggu ini ketika pemimpin dunia berkumpul pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). 

Jabatan Kewangan bandar berkata, saman tempat letak kereta tidak berbayar berjumlah AS$16.7 juta (RM52.86 juta) hingga akhir Julai lalu. Mesir mengungguli senarai dengan saman sebanyak AS$1.9 juta (RM6.01 juta) diikuti Nigeria dengan kira-kira AS$1 juta (RM3.17 juta) manakala Indonesia dengan kira-kira AS$725,000.
Anggota kongres Amerika Syarikat Michael Grimm, Peter King dan Edolphus Towns memperkenalkan undang-undang yang mungkin mengenakan sekatan ke atas negara yang diplomatnya gagal membayar saman tempat letak kereta di bandar raya ini.
Kami hanya bayangkan berapa banyak yang dikumpul minggu ini, kata jurucakap Grimm, Carol Danko, mengenai diplomat dan pemimpin dunia yang bertemu di PBB di sini. 

Mengikut undang-undang terkini, 110 peratus jumlah saman tempat letak kereta tidak berbayar yang dihutang kepada Bandar Raya New York dan Washington akan ditahan daripada bantuan asing dan menjadi kewajipan terhadap negara yang melakukan kesalahan itu untuk membayarnya. 

Namun bandar raya itu tidak mendapat mana-mana wang terbabit, kata Danko. 

Cadangan perundangan meminta Jabatan Negara Amerika menafikan pembaharuan lesen diplomatik kepada mana-mana negara dengan saman tempat letak kereta tertunggak. 
Bandar raya ini didiami kira-kira 289 misi asing dan konsulat. Saman diplomat dikeluarkan untuk pelanggaran keselamatan termasuk menghalang pili bomba. 

Tiada perkara seperti kekebalan diplomatik daripada membayar saman tempat letak kereta. Jika anda mendapat saman di New York, anda perlu membayarnya. 
Tiada pengecualian. Bajet Bandar Raya New York cukup ketat seperti sedia ada dan diplomat asing tidak berhak mendapatkan pas percuma atas perbelanjaan pembayar cukai Bandar Raya New York. kata Grimm apabila perundangan itu diperkenalkan Mei lalu. Reuters 

Thursday, September 15, 2011

Komunis: Utusan Malaysia disaman


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 14 sept: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menyaman akhbar Utusan Malaysia ekoran penyiaran satu berita yang didakwa memfitnahnya berhubung isu komunis.

Saman tersebut difailkan pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Ianya berikutan laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu bertajuk "Mohamd Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong" yang didakwanya sebagai fitnah.

"Saya hanya mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah terutama tuduhan komunis, tuduhan sebagai pengganas dan mempertikai aqidah.

"Fitnah-fitnah yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas, maka kita perlu ambil tindakan undang-undang," kata Mohamad pada sidang medianya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Turut serta pada sidang media itu peguam mewakilinya, Hanipa Maidin.

Menurut Hanipa, saman tersebut menamakan dua pihak iaitu Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai pencetak dan penerbit akhbar berbahasa Melayu itu.

Antara yang dituntut termasuklah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Bagaimanapun jumlah ganti rugi tersebut tidak ditentukan dan bergantung kepada tafsiran mahkamah.

Dalam laporan Utusan Malaysia 27 Ogos lalu, akhbar itu menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Bagaimanapun laporan itu dakwa Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh Utusan Malaysia.

Ekoran laopran itu juga menurut Mohamad, beliau dan anggota keluarganya yang lain menerima pelbagai ugutan termasuk dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti ‘awak patut bertaubat, awak berbohong dan jangan sampai ada yang simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan kamu.’

Beliau berkata, ada juga mendesak beliau dibuang negara, termasuk dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selepas laporan akhbar didakwa memesongkan kenya­taannya

Saturday, September 10, 2011

Sembunyi bawah bas elak kena saman




PIHAK polis cuba mencari seorang pemandu bas yang bersembunyi di bawah bas di bandar Zhongshan, China baru-baru ini.


BEIJING - Seorang pemandu sebuah bas bersembunyi di bawah badan bas untuk mengelak dikenakan notis saman di Zhongshan, China, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia melakukan perbuatan itu selepas memandu basnya dalam keadaan laju ketika ia melepasi sebatang tiang lampu isyarat yang menunjukkan warna merah.
Pemandu itu juga bertindak dengan menukar haluan bas berkenaan dalam keadaan berbahaya.
Dia bersembunyi di bawah badan bas selepas basnya berhenti semasa diarahkan polis dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Tindakan pemandu bas itu menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk berlaku kerana kejadian tersebut berlaku dekat dengan bulatan.
Beberapa anggota polis juga gagal untuk memujuk dia keluar dari bawah badan bas menyebabkan trak penunda dipanggil untuk menunda kenderaan itu.
Namun, pemandu bas itu merangkak di bawah badan bas semasa kenderaan tersebut bergerak semasa ditunda.
Anggota-anggota polis kemudian bertindak menarik tangan pemandu bas tersebut sekali gus menangkapnya. - Agensi

Thursday, September 8, 2011

Bapa saman Facebook

BELFAST 7 Sept. - Seorang lelaki memfailkan saman terhadap laman web Facebook selepas anak perempuannya berumur 12 tahun boleh memuatkan gambar lucahnya sendiri di laman web itu, lapor saluran BBC.
Saman itu mempersoalkan sama ada Facebook yang mengharamkan mereka berumur 13 tahun ke bawah menggunakannya, mengambil pendekatan yang mencukupi untuk mengesahkan umur penggunanya.
Peguam lelaki itu, Hilary Carmichael berkata, berdasarkan pandangannya, Facebook tidak sesuai untuk mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, tetapi syarikat itu tidak mengambil pendekatan mencukupi untuk menghalang mereka dibawah umur 13 tahun menggunakan laman web tersebut.
‘‘Pemeriksaan umur seperti meminta nombor pasport merupakan pendekatan mudah untuk dilaksanakan oleh Facebook,’’ ujarnya.
Menurut Carmichael, gambar kanak-kanak tersebut sangat lucah di mana kanak-kanak itu berada dalam gaya provokatif selain disolek tebal menjadikannya kelihatan lebih tua daripada 12 tahun.
Kanak-kanak perempuan itu juga dilaporkan memberikan maklumat kediaman dan sekolahnya dalam laman web tersebut.
Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Belfast tersebut mendakwa Facebook cuai.
Ia juga mendakwa laman web yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS), Palo Alto mewujudkan risiko ancaman seksual dan fizikal kepada kanak-kanak perempuan tersebut.
Jika akaun itu tidak dipadamkan oleh Facebook, saman tersebut menyatakan satu aplikasi akan diwujudkan bagi menghalang Facebook beroperasi di Ireland Utara, kata Charmichael dalam laman webnya. - Agensi

Monday, September 5, 2011

Bekas hamba seks akan saman lelaki lacurkannya



JETSADOPHORN CHALADONE

SYDNEY - Seorang wanita Thailand yang pernah menjadi hamba seks semasa dia berumur 13 tahun, Jetsadophorn Chaladone berhasrat untuk menyaman seorang lelaki Sydney yang bertanggungjawab melacurkannya di rumah pelacuran miliknya pada 1995, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia diseludup untuk bekerja di sebuah rumah pelacuran dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan lebih 100 lelaki.
Selepas 10 hari, dia ditangkap dalam satu serbuan pihak imigresen dan diusir pulang.
Kini dengan bantuan bekas detektif polis Australia, Chris Payne dan seorang pembikin filem, Luigi Acquisto, wanita tersebut merancang untuk menyaman pengendali rumah pelacuran tersebut.
- Agensi, kosmo

Ahli astronomi diancam saman pertikai tarikh Aidilfitri



SEJUMLAH orang bersolat Hari Raya Aidilfitri di luar sebuah masjid di Mekah pada Selasa lalu.

JEDDAH - Sejumlah cendiakawan Islam mengancam untuk menyaman seorang ahli astronomi Arab Saudi yang juga seorang saintis, Khaled Al-Zaaq kerana meragui tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Selasa lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Khaled sebelum ini mempertikaikan pengakuan beberapa rakyat Arab Saudi yang mengaku melihat anak bulan Syawal pada hari Isnin lalu.
Beberapa rakyat yang melihat anak bulan itu membuat penemuan tersebut kepada Jawatankuasa Melihat Bulan di Arab Saudi yang dikenali sebagai Hilal yang kemudian memutuskan Aidilfitri jatuh pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, Khaled menyatakan apa yang dilihat oleh rakyat Arab Saudi itu adalah planet Zuhal dan bukan anak bulan Syawal.
Beberapa cendiakawan mempertahankan kenyataan kumpulan orang yang melihat anak bulan itu dengan menyatakan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah tepat.
Anak bulan itu amat jelas kelihatan pada malam hari Selasa lalu.
Ia sekali gus menyokong kumpulan orang yang melihat anak bulan itu.
Sejumlah penduduk di kawasan Al-Ais menyatakan mereka melihat anak bulan itu pada Isnin lalu selama setengah jam.
Kumpulan orang yang dipilih untuk melihat anak bulan itu merupakan golongan yang berintegriti.
Mufti Besar, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Asheikh semasa membacakan khutbah Jumaat lalu di Masjid Imam Turki bin Abdullah di Riyadh menyatakan, ahli astronomi yang mempertikaikan anak bulan tersebut cuba untuk memaksakan pandangan mereka ke atas rakyat.
"Kami mengikuti ajaran Sunah Nabi kita dengan kuat semasa menentukan puasa dan Hari Raya Aidilfitri," katanya. - Agensi, kosmo

Sunday, September 4, 2011

Wanita mati terima saman


Evelyn
Evelyn
LONDON: Seorang duda berang selepas menerima sepucuk surat menyatakan isterinya yang mati empat tahun lalu, dipanggil ke mahkamah dan didenda kerana kesalahan berkait dengan kenderaan.
Barry Bartin, 65, dimaklumkan majistret mendenda mendiang isterinya sebanyak £175 (RM875) kerana gagal memaklumkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan mengenai pemilik baru keretanya.

Bartin berkata, kereta mendiang isterinya dilupuskan pada 2009 selepas isterinya, Evelyn (gambar), meninggal dunia pada Jun 2007 akibat barah pada usia 47 tahun.

“Sebaik melihat saman itu saya terkejut. Saya tidak percaya ini akan berlaku selepas empat tahun Evelyn mati.

“Yang menyedihkan saya, dia tidak pernah melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang sepanjang hidupnya.

“Saya tidak faham bagaimana ia boleh berlaku. Saya sudah maklumkan kepada semua pihak mengenai kematiannya tetapi kesilapan ini tetap berlaku,” katanya.


Menurut Bartin, jabatan berkenaan mendakwa mendiang isterinya tidak memaklumkan kepada mereka mengenai pemilik kereta baru.

“Saya sudah menghantar kereta itu untuk dilupuskan,” katanya.
Anehnya, menurut Bartin, dia juga menerima surat tahun lalu yang dialamatkan kepada Evelyn yang memaklumkan wanita yang sudah mati itu didenda kerana kesalahan parkir.

“Saya menghubungi jabatan itu dan beberapa hari lalu, saya terbaca dalam akhbar, majistret mendenda isteri saya sebanyak £60 (RM300) untuk kos perbicaraan,” katanya. - Agensi

Wednesday, August 24, 2011

Lohan saman Pitbull kerana lirik lagu

LOS ANGELES - Artis bermasalah Hollywood, Lindsay Lohan menyaman penyanyi rap, Pitbull kerana dia menggunakan namanya dalam lirik tanpa kebenaran.
Lohan membantah penggunaan namanya dalam lagu popular masa kini, Give Me Everything. Lagu itu dinyanyikan Pitbull dan penyanyi Ne-Yo dan artis wanita, Mayer. Di laman YouTube lagu itu sudah ditonton lebih 109 juta kali.
Lohan menyaman Pitbull kerana terdapat lirik yang menyatakan 'saya dikurung seperti Lindsay Lohan.' Menurut Lohan, penggunaan namanya itu melanggar hak awamnya dan mahu satu sekatan dilakukan ke atas lagu itu daripada disiarkan selain meminta ganti rugi.
Pada awal tahun ini, aktres berusia 25 tahun itu menjalani hukuman tahanan di rumah kerana mencuri seutas rantai leher. - Agensi, kosmo

Thursday, August 18, 2011

Lelaki mahu saman Belgium, Perancis

BRUSSELS: Seorang ahli perniagaan Perancis semalam membayar denda dua wanita di sini kerana memakai pakaian menutup seluruh tubuh dan mendedahkan rancangan menyaman Belgium dan Perancis di mahkamah kerana menguatkuasakan undang-undang mengharamkan pemakaian niqab dan burqa.

Ejen hartanah, Rachid Nekkaz membentuk dana 1 juta euro (RM4.3 juta) untuk membayar denda terhadap wanita Islam terbabit yang didenda 50 euro (RM215) seorang.
“Perancis dan Belgium memutuskan untuk menghalang kebebasan wanita memakai apa yang mereka mahu,” katanya kepada wartawan di luar pejabat perbandaran di sini, disaksikan dua wanita berkenaan.
“Saya beranggapan adalah tidak boleh diterima kerajaan Eropah mengadakan undian bagi meluluskan undang-undang yang tidak menghormati hak individu,” katanya.

Undang-undang Belgium mengharamkan sebarang penutup muka di khlayak ramai mula berkuat kuasa bulan lalu manakala Perancis adalah negara pertama memperkenalkan larangan itu, April lalu. – Reuters , bharian

25,000 saman iPhone



iPHONE


SEOUL, Korea - Seorang peguam menyatakan sekumpulan pengguna yang mengandungi lebih 25,000 warga Korea Selatan kini menyaman firma Apple Inc. kerana melanggar hak persendirian mereka.
Menurutnya, pelanggaran hak persendirian itu berkaitan dengan pengumpulan maklumat lokasi pengguna telefon pintar keluaran Apple, iPhone.
Peguam itu, Kim Hyeong-seok semalam menyatakan, saman tersebut melibatkan 27,612 orang dengan setiap seorang menuntut ganti rugi sebanyak AS$932 (RM2,772).
Hyeong-seok berkata, saman itu ditujukan ke atas Apple Inc dan anak syarikatnya di Korea Selatan.
Dia mengemukakan saman serupa pada awal tahun ini dan diberikan ganti rugi AS$932.
Apple berdepan aduan dan kritikan sejak pendedahan di Amerika Syarikat bahawa iPhone menyimpan senarai lokasi menara telekom berdekatan dan pusat WiFi berhampiran lokasi ia digunakan.
Data tersebut boleh digunakan untuk mencipta peta yang merekodkan pergerakan pemilik iPhone. - AP, kosmo

Saturday, August 13, 2011

Bekas kekasih saman Soros




Adriana Ferreyr


NEW YORK 12 Ogos - Bekas kekasih penyangak mata wang, George Soros memfailkan saman tuntutan sebanyak AS$10 juta (RM30 juta) terhadap hartawan tersebut kerana 'gagal memenuhi janji menyediakan apartmen mewah untuknya di New York'.
Menurut saman yang difailkan di Mahkamah Agung New York di Manhattan, Adriana Ferreyr, 28, mendakwa Soros berjanji sebanyak dua kali untuk membelinya apartmen tersebut sepanjang mereka bercinta selama lima tahun tetapi tidak memenuhinya.
Ferreyr yang juga pelakon wanita drama Brazil berkata, Soros berjanji untuk membelinya apartment bernilai hampir AS$2 juta (RM6 juta) yang terletak kira-kira dua blok dari rumah Soros, 81, pada 1 Januari 2010.
Mereka berpisah dua bulan kemudian namun kembali bercinta tetapi Soros memaklumkan pada Ogos 2010 bahawa apartmen itu telah diberikan kepada teman wanitanya yang baru, kata dokumen saman tersebut.
Dokumen itu berkata, tindakan itu menyebabkan mereka bertengkar di mana Soros menampar muka dan cuba mencekik Ferreyr selain melemparkan sebuah lampu ke arahnya namun terkena dinding, menyebabkan kaki wanita itu luka dan memerlukan jahitan.
Bagaimanapun, mereka tetap kembali bercinta dan Soros sekali lagi berjanji akan membeli Ferreyr apartmen ketika mereka bercuti di St. Bart, kata dokumen itu.
Ferreyr menuntut pampasan berjumlah AS$10 juta kerana ditipu, mengalami penderitaan emosi, diserang dan tuntutan lain.
Peguam Soros, William Zabel menyatakan saman itu bersifat remeh-temeh dan tidak wajar serta akan meminta mahkamah membatalkan saman tersebut.
''Soros pernah mempunyai hubungan tidak eksklusif dengan Ferreyr.
''Saman ini berdasarkan tuduhan palsu dan ia jelas merupakan satu cubaan mendapatkan wang daripada anak guam saya,'' ujarnya. - Reuters, utusan

Wednesday, August 10, 2011

Kepala bayi putus: Doktor mungkin kena saman

MANILA: Seorang doktor mungkin akan disaman kerana menyebabkan bayi yang disambutnya ketika dilahirkan, terputus kepala.
Dr Marie Antonette Pasion adalah doktor yang bertanggung jawab menyambut kelahiran anak Emilo Veleroso di Hospital Ablan di Bandar Laoag.
Tetapi, Dr Marie mendakwa bayi itu sudah mati di dalam kandungan ibunya.

Katanya, ketika dia menarik kaki bayi itu, kepalanya sudah tertanggal di dalam perut Valeroso.
Katanya lagi, Emily sepatutnya menjalani pembedahan Caesarian kerana kedudukan bayinya yang songsang, tetapi kaki bayi itu sudah keluar menyebabkan doktor terpaksa meneruskan kelahiran secara normal.

Emily tidak dapat menerima penjelasan doktor dan bertegas yang dia telah menjaga dirinya dengan baik semasa mengandung.-hmetro

Tuesday, August 9, 2011

Bekas tunang saman RM1.1 juta


PEGUAM Murtadzar (kiri) dan Latifah menunjukkan kad jemputan perkahwinan anak guam mereka di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Seorang penjawat awam memfailkan saman sebanyak RM1.1 juta ke atas bekas tunangnya di Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana membatalkan perkahwinan kira-kira enam jam sebelum mereka sepatutnya diijabkabulkan pada 3 Jun lalu.
Plaintif, Mohd. Masran Ab. Rahman, 32, dari Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah memfailkan writ saman tersebut menerusi dua peguam, Latifah Ariffin dan Mohd. Murtadza Mohd. Mokhtar, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Plaintif tidak hadir di mahkamah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
Selain bekas tunangnya, Norzulyana Mat Hasan @ Mat Hussin, 28, yang dinamakan sebagai defendan pertama, Mohd. Masran turut menamakan bapa wanita itu, Mat Hasan @ Mat Hussin Ibrahim, 60, dari Taman Maka, Tanah Merah di sini sebagai defendan kedua.
Lelaki itu menuntut daripada defendan-defendan ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi teruk sebanyak RM500,000, ganti rugi malu sebanyak RM500,000 dan ganti rugi khas yang akan ditentukan kemudian.
Mohd. Masran yang bekerja di Kuala Lumpur kecewa dengan tindakan bekas tunangnya yang membatalkan perkahwinan pada hari mereka sepatutnya bernikah iaitu pada 3 Jun lalu setelah mengikat tali pertunangan sejak tahun lalu.
Norzulyana yang merupakan seorang juruteknik makmal di sebuah hospital di Kuala Lumpur didakwa membatalkan perkahwinan mereka pada pukul 11 pagi, kira-kira enam jam sebelum majlis akad nikah yang dijadualkan selepas Asar tanpa memberitahu apa puncanya.kosmo