Pages

Showing posts with label mubarak. Show all posts
Showing posts with label mubarak. Show all posts

Saturday, January 21, 2012

Tiada bukti kukuh Mubarak bersubahat


Hosni Mubarak

KAHERAH - Peguam bela kepada bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, kelmarin mempertikaikan kebe­na­­­ran dakwaan pihak pendakwa raya bahawa anak guamnya mengarahkan pembunuhan terhadap penunjuk perasaan yang dilihat sebagai tidak berasas sebaliknya tuduhan itu dilemparkan akibat tekanan dari orang ramai.

“Kes terhadap Mubarak telah difailkan pada 24 Mei lalu, dan sehingga kini pihak pendakwa raya masih tidak menemui bukti kukuh bahawa bekas presiden tersebut bersubahat untuk mengarahkan polis menembak mati kira-kira 850 penunjuk perasaan,” menurut Farid El-Deeb.

Dalam perbicaraan pada 3 Januari lalu, peguam negara, Mostafa Suleiman menyifatkan Mubarak sebagai pemimpin yang kejam dan pada masa ini pasukan pendakwa berusaha untuk membuktikan bekas pemimpin kuku besi tersebut melakukan jenayah terancang itu.

“Mubarak seharusnya dikenakan hukuman berat atas penyalahgunaan kuasa dan kekejamannya terhadap rakyat Mesir,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Dr Yasser Abdel Kader menyatakan bekas presiden tersebut tidak akan menjalani rawatan kemoterapi selepas didakwa oleh peguamnya bahawa dia sedang menderita barah.

“Kami masih menjalankan ujian susulan untuk memastikan dia tidak menghidap penyakit berbahaya itu. Hasil pemeriksaan awal mendapati Mubarak hanya mengalami masalah lemah otot akibat pergerakan terhad,” jelasnya.

Kenyataan ringkas tersebut dikeluarkan selepas beberapa pihak mula mempersoalkan tahap kesihatan Mubarak yang terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter dan diusung untuk masuk ke mahkamah.

Wednesday, December 28, 2011

Perbicaraan Mubarak disambung semula selepas rehat tiga bulan


KAHERAH: Perbicaraan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak disambung semula hari ini selepas rehat tiga bulan yang menyaksikan nasib pemimpin itu semakin gelap akibat dicemari pertempuran berdarah dan kemenangan parti Islam dalam pilihan raya.

Mubarak berdepan kemungkinan dijatuhi hukuman mati jika dia didapati terbabit dalam pembunuhan kira-kira 850 orang ketika tunjuk perasaan yang menggulingkannya pada Februari lalu.

Bekas presiden berusia 83 tahun itu, tiba dengan ambulans di Akademi Polis yang pernah menggunakan namanya dan dibawa menggunakan kerusi roda ke dalam mahkamah.
Kira-kira 5,000 anggota polis ditugaskan bagi mengawal perbicaraan berkenaan dan dibantu pihak tentera. - AFP

Wednesday, October 19, 2011

Anak Mubarak ada RM1.07b di bank Swiss

Berita Harian Online | Anak Mubarak ada RM1.07b di bank Swiss: "


2011/10/19

KAHERAH: Dua anak lelaki presiden disingkir Hosni Mubarak mempunyai anggaran wang tunai bernilai AS$340 juta (RM1.07 bilion) dalam akaun bank Swiss, kata seorang pegawai kanan Kementerian Kehakiman Mesir, kelmarin.

Assem Al-Gohary berkata, pihak berkuasa Swiss sedang menyiasat sama ada seorang daripada anak lelakinya, Alaa, terbabit dalam pembersihan wang haram bersama individu lain bekas rejim itu.
Di tanah airnya, Mubarak dan anak lelakinya didakwa atas tuduhan rasuah dan ketiga-tiganya ditahan.
Mubarak juga dituduh bersubahat dalam pembunuhan kira-kira 850 penunjuk perasaan ketika pemberontakan 25 Januari hingga 11 Februari lalu.

Khabar angin berlegar ketika pemberontakan bahawa Mubarak dan anak lelakinya mengumpul puluhan bilion dolar dalam amalan rasuah, membantu memacu kemarahan yang berjaya menggulingkannya.

Switzerland membekukan aset keluarga Mubarak dan individu lain bekas rejim dianggarkan Al-Gohary berjumlah hampir AS$450 juta (RM1.41 bilion). AP "

'via Blog this'

Monday, September 26, 2011

Perbicaraan Mubarak dituduh berat sebelah

KAHERAH: Sebuah mahkamah Mesir yang mengendalikan perbicaraan Bekas Presiden Hosni Mubarak memutuskan untuk menangguhkan sesi perbicaraan sehingga 30 Oktober selepas peguam secara rasmi meminta hakim digantikan selepas dituduh berat sebelah.

Peguam plaintif mewakili keluarga penunjuk perasaan yang terkorban ketika kebangkitan popular ke atas Mubarak awal tahun ini menuduh mahkamah tidak memberi mereka masa mencukupi menyoal Ketua Majlis Pemerintah Tentera Mesir, Hussain Tantawi, ketika memberi keterangan dalam satu sesi tertutup.
Sebuah lagi mahkamah dijangka menentukan permohonan peguam hari ini. Jika ia menerima permohonan itu, mahkamah akan melantik sepasukan hakim baru bagi menguruskan perbicaraan sejak mula. Perbicaraan bermula 3 Ogos lalu di tengah perhatian besar-besaran orang awam dan media.
Mubarak didakwa mengarahkan penunjuk perasaan dan rasuah dibunuh. Tantawi yang berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan di bawah Mubarak sehingga penyingkirannya dalam pemberontakan popular Februari tahun ini, pada awalnya memberi keterangan, dua minggu lalu.

Dia dan penyandang ketua Turus Tentera Mesir, Samy Anan, gagal muncul dalam apa yang digambarkan media rasmi sebagai alasan keselamatan berikutan serangan ganas ke atas kedutaan Israel di sini.

Tantawi dan Anan diminta memberi keterangan secara tertutup mengikut arahan mahkamah bagi melindungi keselamatan nasional.

Ketika kemuncak kemunculannya, Tantawi berkata beliau akan hadir di mahkamah bagi menegakkan kedaulatan undang-undang.
Mengikut peraturannya, tentera perlu hadir di hadapan mahkamah tentera saja, Tantawi dipetik oleh Agensi Berita Asia Barat sebagai berkata.

Tetapi, saya memutuskan untuk pergi ke mahkamah jenayah awam untuk memberi keterangan saya bagi menegakkan kedaulatan undang-undang yang sepatutnya satu ruang kukuh buat Mesir selepas 25 Januari, katanya, merujuk kepada hari ketika pemberontakan anti-Mubarak bermula.

Mubarak, Bekas Menteri Dalam Negeri Habib Al Adly dan enam anggota polis kanan didakwa dengan pembabitan dalam pembunuhan sekurang-kurangnya 846 penunjuk perasaan ketika pemberontakan.

Turut dibicarakan sama adalah dua anak lelaki Mubarak, Alaa dan Jamal, yang dituduh melakukan rasuah.

Bagaimanapun semua defendan mengaku tidak bersalah. Mahkamah itu, didirikan di sebuah Akademi Polis di pinggir ibu kota ini, mengarahkan satu sekatan media supaya tidak membocorkan maklumat keterangan yang diberi secara tertutup. Agensi 

Sunday, August 7, 2011

Arab Mesir benci Ramadan Mubarak

Ucapan sambut puasa cetus pelbagai pandangan rakyat terhadap bekas presiden disingkir
KAHERAH: Ketika umat Islam menjalani ibadat puasa bulan Ramadan, ada banyak ucapan ‘Ramadan Mubarak’ disebut. Pada hakikatnya, ia adalah ucapan tradisi di seluruh negara yang menjadi topik biasa Mesir dalam Twitter kerana menganggapnya ada kaitan dengan bekas Presiden Hosni Mubarak.Namun ketika beberapa orang menuding dalam laman mikro blog itu, frasa itu mempunyai kesan berbeza terhadap kebangkitan rakyat yang mengakibatkan pengunduran ketika pemberontakan Arab - namanya dan perkataan ‘berkat’ seperti cadangan terjemahan, pada hakikatnya sama makna.
“Jangan sebut Ramadan Mubarak kepada rakan Mesir anda, mereka benci dengan nama itu. Sebaliknya gunakan ucapan Ramadan Kareem,” kata pakar Asia Barat Turki Ufuk Ulutas menasihatkan, antara lain menyokong cadangan Jenan Moussa dari televisyen Al Aan.
Tulisan Twitter Gaza Youth Break Out menawarkan panduan sama: “Saya benci mengingati Mubarak, katakan Ramadan Kareem. Syukur tiada lagi pemimpin Arab lain digelar kareem.Mungkin semua ini menjelaskan mengapa Presiden Barack Obama memberi ucapan kepada umat Islam seluruh dunia satu ‘bulan diberkati’ dalam bahasa Inggeris dan ‘Ramadan Kareem’ dalam bahasa Arab.Anda akan fikir mereka akhirnya menganggap Mubarak sebagai ucapan biasa yang tiada kena mengena dengan mereka,” beliau menulis.Ramadan Mubarak seperti pada 2010. Kini kita mengucapkan Ramadan Tantawi,” tulis aktivis Mesir Hussein Allam, sebagai rujukan kepada Mohamed Hussein Tantawi, ketua majlis pemerintah Mesir.Tampar diri anda jika anda fikir Ramadan Mubarak merujuk kepada anak lelaki Hosni Mubarak,” kata penulis blog Kenya, Gidi O Gidi.Namun, tidak semua orang geli hati. “Saya, secara serius tidak akan mengikuti sesiapa yang menulis jenaka menghina mengenai Ramadan ‘Mubarak’ dan Eid ‘Mubarak’,” pengguna Twitter Mesir @sselhelw memberi amaran.Hari pertama Ramadan, pada hakikatnya agak tegang di Mesir. Sehari selepas satu gabungan parti politik dan aktivis pro-demokrasi mengumumkan mereka menunda bantahan di Dataran Tahrir dan akan mengadakannya semula selepas Ramadan. – Agensi bharian

Tuesday, August 2, 2011

Mubarak, anak dibicara esok



Foto
PENUNJUK perasaan anti-Mubarak memegang sepanduk dalam bahasa Arab bermaksud ‘Awas, Revolusi Berpatah Balik’ ketika menyertai protes baru di Medan Tahrir menuntut Mubarak dan pegawai rejimnya segera dibicara.
Hukuman mati jika sabit dakwaan

KAHERAH: Bekas pemimpin Mesir yang dijatuhkan, Hosni Mubarak bakal dibicarakan mulai esok bersama dua anaknya, Gamal dan Alaa, selain ketua keselamatan, Habib Al Adly dan enam pegawai kanan polis dalam prosiding yang disiarkan secara langsung oleh televisyen.
Mubarak, Habib Al Adly dan enam pegawai polis itu boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atas tuduhan mengarahkan kekerasan ke atas penunjuk perasaan yang memberontak selama 18 hari di Mesir.
Seramai 850 penunjuk perasaan dibunuh ketika mengambil bahagian dalam protes berkenaan. Gamal dan Alaa juga dibicarakan bersama bapa mereka dan seorang sekutu rapat atas tuduhan rasuah.

Jika Mubarak hadir, beliau akan berdepan 600 orang, termasuk sanak saudara mangsa yang maut dalam protes itu, Februari lalu.

Aktivis percaya, kesihatan Mubarak sengaja digunakan bagi menangguhkan prosiding dan mereka menuduh Majlis Tentera yang memerintah sengaja melambat-lambatkan pendakwaan ke atas bekas pemimpin itu dan tertuduh lain.

Pengerusi majlis yang juga seorang jeneral kanan adalah Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Mubarak.
Bagi mengelak krisis baru meletus, Ketua Pendakwa Raya, Abdel-Meguid Mahmoud sudah memohon supaya pihak berkuasa membawa Mubarak ke muka pengadilan.

Menteri Dalam Negeri, Mansour el-Issawi menerima permintaan Ketua Pendakwa Raya memintanya memastikan bekas Presiden Hosni Mubarak dihadapkan ke mahkamah pada 3 Ogos, menurut kenyataan agensi berita kelmarin.

Selain itu, hakim yang akan mengendalikan prosiding juga berazam supaya proses perbicaraan diadakan dengan lancar dan pantas.

Hakim Ahmad Rifaat memberitahu sidang media, beliau akan membenarkan beratus-ratus orang menghadiri perbicaraan itu di akademi polis nasional negara itu di pinggir Kaherah.

“Perbicaraan itu yang diadakan di sebuah pusat konvensyen di tengah ibu kota ini dipindah ke akademi polis terbabit,” kata Ketua Mahkamah Rayuan Kaherah, Sabtu lalu.

Perubahan itu jelas dikaitkan dengan kebimbangan berhubung tahap keselamatan ketika perbicaraan pemimpin disingkir berkenaan supaya keadaan terkawal ketika perbicaraan.

Bantahan sekali lagi memuncak baru-baru ini selepas rakyat Mesir menuntut Majlis Tertinggi yang memerintah melakukan perubahan lebih pantas menerusi pendakwaan terhadap Mubarak dan bekas pegawai rejim.

Akademi polis itu terletak di Kaherah Baru, sebuah daerah di pinggir timur ibu kota ini yang kini tidak mempunyai penduduk padat seperti kawasan di sekitar pusat konvensyen.

Perubahan tempat itu diumumkan Hakim Al Sayed Abdul Aziz Omar sejajar dengan undang-undang yang memberikannya kuasa memutuskan lokasi perbicaraan. – AP
http://www.bharian.com.my

Thursday, May 26, 2011

Mubarak hadapi dakwaan jenayah


KAHERAH: Ketua pendakwa raya Mesir mengarahkan bekas Presiden Hosni Mubarak dibicarakan atas tuduhan rasuah dan bersubahat mengarahkan penunjuk perasaan ditembak ketika protes besar-besaran meletus bagi menyingkirkannya.

Ia dianggap langkah mengejutkan ke atas pemimpin yang kuasanya hampir tidak dipersoalkan ketika memerintah selama tiga dekad.
Pengumuman kelmarin bahawa Mubarak akan dihadapkan ke mahkamah jenayah mengabulkan tuntutan rakyat Mesir yang mengancam mengadakan revolusi kedua ketika kebimbangan meningkat atas langkah perlahan pemimpin tentera membawa perubahan.
Tuduhan itu mungkin membawa hukuman mati, kata jurucakap ketua pendakwa raya Adel el-Said.

Ia menjadi kali pertama satu-satunya seorang pemimpin Arab akan dibicarakan oleh rakyatnya dalam sejarah moden. - AP Berita Harian Online | Mubarak hadapi dakwaan jenayah

Thursday, May 19, 2011

Tentera Mesir tiada rancangan maafkan Hosni



KAHERAH - Majlis ketenteraan yang mentadbir Mesir buat sementara menolak spekulasi bahawa ia akan memaafkan bekas Presiden, Hosni Mubarak.
Hosni, 83, yang kini sedang disiasat kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa ditahan di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di negara ini.
Isterinya, Suzanne yang juga sakit semasa ditahan pihak berkuasa telah dibebaskan kelmarin selepas bersetuju menyerahkan sejumlah aset tetapi berdepan dengan siasatan rasuah.
"Majlis Tertinggi Angkatan Tentera menegaskan tidak terdapat sebarang kebenaran berhubung apa (berita) yang disiarkan oleh media bahawa pihak majlis akan memaafkan bekas presiden dan keluarganya," kata satu kenyataan tentera yang disiarkan di laman Facebook.
Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas penunjuk perasaan berkumpul selama 18 hari di Dataran Tahrir, Kaherah bagi menuntut beliau meletakkan jawatan selepas berkuasa hampir 30 tahun. - Agensi

Wednesday, May 18, 2011

Hosni Mubarak rayu diberi pengampunan


pix_gal0
Bekas Presiden Mesir mohon maaf kepada rakyat, isteri serah aset

KAHERAH: Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak akan mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada rakyat negara itu dan merayu diberi pengampunan, tiga bulan selepas beliau digulingkan dalam satu tunjuk perasaan besar-besaran.
Isteri Mubarak, Suzanne akan menyerahkan asetnya dan bakal dibebaskan daripada tahanan atas langkahnya itu.
Seorang pegawai berkata, siasatan oleh pendakwa raya anti-rasuah mendedahkan bahawa Suzanne memiliki AS$3 juta (RM9.13 juta) dalam akaun bank di Mesir dan sebuah villa di pinggir bandar tempat beliau dan suaminya tinggal.

Tidak jelas berapa banyak wang disimpan Mubarak di luar negara.

Pegawai itu yang enggan dikenali berkata, kes ke atas isteri pemimpin berkenaan belum ditutup namun penyerahan wang terbabit menyebabkan beliau dibebaskan dengan bersyarat.

Mubarak pula sedang merangka surat untuk disiarkan di televisyen Mesir dan negara Arab, memohon maaf bagi pihak diri dan keluarganya atas sebarang kesalahan kepada rakyat, lapor akhbar al-Shorouk.
“Beliau juga akan memohon maaf terhadap sebarang sikap yang berpunca daripada maklumat salah yang diterima daripada penasihatnya,” kata akhbar itu lagi.

Mubarak, 83, dan isterinya Suzanne, 70, ditahan di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh dekat Laut Merah, selepas mengalami serangan jantung ketika disoal siasat atas dakwaan rasuah.

Mubarak juga bersedia menyerahkan asetnya kepada kerajaan dalam usaha untuk kemungkinan ‘mendapat pengampunan’ Majlis Tertinggi Angkatan Tentera,” kata al-Shorouk.

Satu sumber tentera memberitahu, beberapa pihak di Mesir dan negara Arab lain, meminta supaya Mubarak diberi pengampunan ‘mengikut kaedah yang boleh diterima undang-undang.’

Pengampunan itu boleh diberi kepada Mubarak, Suzanne dan dua anak lelaki mereka, Alaa dan Gamal yang ditahan di penjara Tora di Kaherah atas dakwaan rasuah.

Bagaimanapun, sumber berkenaan berkata Alaa dan Gamal, berkemungkinan besar tidak akan diberi pengampunan.

Sekurang-kurangnya 846 orang terbunuh, manakala 6,000 lagi cedera dalam tunjuk perasaan Februari lalu.

Majlis Angkatan Tentera yang mengambil alih pemerintahan sementara berikutan peletakan jawatan Mubarak 11 Februari lalu memberi jaminan untuk membawa semua pemimpin di bawah pemerintahan beliau yang melakukan kesalahan ke muka pengadilan. – AFP

INFO

Kekayaan keluarga Hosni Mubarak


  • Keluarga Mubarak dianggar memiliki harta bernilai 40 bilion euro (RM172.68 bilion).

  • Kekayaan itu dipercayai hasil sumber mineral Mesir, hartanah, industri pelancongan dan penswastaan.

  • Mereka menyimpan aset dalam akaun bank di seluruh dunia sejak beberapa tahun lalu.

  • Anak lelaki Mubarak, Gamal, pewaris presiden pula memiliki kekayaan bernilai AS$17 bilion (RM51.72 bilion) sementara seorang lagi anaknya Alaa, memiliki AS$8 bilion (RM24.34 bilion).

  • Isterinya, Suzanne, dianggar memiliki kekayaan antara AS$3 hingga AS$5 bilion (RM9.13 hingga RM15.21 bilion).

  • Keluarga itu memiliki hartanah mewah termasuk rumah bandar Georgia di London, memudahkan mereka membeli-belah di Harrods, serta hartanah di Los Angeles, Washington dan New York.
Berita Harian

Tuesday, May 17, 2011

Isteri Hosni Mubarak serah aset kepada kerajaan Mesir


KAHERAH: Isteri presiden Mesir yang digulingkan, Suzanne Thabet, bersumpah beliau sudah menyerahkan harta dan wangnya kepada kerajaan, beberapa hari selepas arahan penangkapan dikeluarkan atas dakwaan rasuah, menurut laporan agensi berita MENA. 


"Suzanne Thabet, isteri kepada Hosni Mubarak, memberi kuasa kepada ketua Pihak Berkuasa Pendapatan Haram, Assem al-Gohari, dengan membenarkan beliau mengeluarkan wang daripada akaun di dalam dua bank dan menjual villa miliknya," katanya di sini, Isnin (waktu tempatan). - AFP

Sunday, May 15, 2011

Isteri Hosni Mubarak diserang sakit jantung


KAHERAH: Bekas wanita pertama Mesir, Suzanne Mubarak (gambar) dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas diserang sakit jantung, beberapa jam setelah mahkamah mengarahkan dia ditahan untuk siasatan kes rasuah.
“Suzanne dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Sharm el-Sheikh selepas diserang sakit jantung,” lapor televisyen Mesir.

Pengarah hospital, Mohammed Fathallah, dalam satu kenyataan kepada wartawan berkata, Suzanne disyaki diserang sakit jantung dan mengalami tekanan darah yang terlalu tinggi.

Dia sebelum ini diarah ditahan selama 15 hari atas tuduhan mengumpul kekayaan secara haram.

Persiapan untuk membawanya dari Hospital Sharm el-Sheikh, tempat dia menetap bersama suaminya, ke penjara wanita di Qanater, pinggir Kaherah, sedang dilakukan apabila Suzanne tiba-tiba diserang penyakit itu.

Dalam keputusannya kelmarin, pihak berkuasa Mesir turut mengarahkan Mubarak ditahan untuk siasatan terhadap tuduhan yang sama. — AP, metro

Saturday, May 14, 2011

Isteri Hosni Mubarak dimasukkan ke hospital, arahan penahanannya dikeluarkan


SHARM EL-SHEIKH (Mesir): Isteri Hosni Mubarak yang digulingkan, Suzanne Mubarak, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) ke hospital komuniti pusat peranginan Laut Merah, selepas mengadu sakit dada.


Beliau dilaporkan sakit dada selepas mendapat berita arahan penahanannya atas dakwaan rasuah sudah dikeluarkan.
Pengarah hospital itu, berkata Suzanne mengalami masalah jantung dan kini berada dalam keadaan stabil.
Pegawai keselamatan berkata, Isteri Hosni Mubarak akan ditempatkan di hospital buat sementara waktu, tetapi dijangka dibawa ke penjara wanita di Kaherah. - AP , bharian

Mesir dakwa Mubarak kaya secara haram


KAHERAH: Mesir semalam mengarahkan bekas Presiden Hosni Mubarak ditahan selama 15 hari di atas tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk meraih kekayaan secara haram. 


Agensi berita MENA melaporkan, ketua pihak berkuasa penyiasat harta haram, Essam al-Gohari membuat arahan berkenaan selepas menyoal siasat Mubarak dan isterinya di Sharm el-Sheikh.
Ia adalah kali pertama Mubarak dan isterinya disoal siasat oleh pihak berkuasa penyiasat harta haram terbabit.
Mubarak masih lagi ditahan di hospital Sharm el-Sheikh berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, sebelum ini beliau disoal siasat berhubung beberapa tuduhan termasuk memberi arahan untuk menembak tunjuk perasaan antikerajaan. 

Pemerintahan selama 30 tahun bekas presiden yang disifatkan sebagai pemerintah kuku besi itu berakhir 11 Februari lalu apabila rakyat bangkit mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran menuntut pengunduran beliau. 

Mubarak dimasukkan ke hospital pada 12 April lalu selepas mengalami serangan jantung dan ditahan di hospital sehari kemudian. 

Tempoh penahanannya dilanjutkan dua kali dengan yang terbaru Selasa lalu. 
Majlis tentera yang mengambil alih kuasa selepas Mubarak meletak jawatan bertekad membawa ke muka pengadilan mereka yang dituduh menyalah guna kuasa dan terbabit dengan penyelewengan. 

Mubarak, isterinya Suzanne, dua anak mereka Alaa dan Gamal serta isteri masing-masing dilarang keluar negara dan harta mereka dibekukan oleh pendakwa raya Abdel Magid Mahmud. 

Kedua-dua anak lelaki Mubarak itu, bersama beberapa pegawai kanan kerajaan yang lalu dan beberapa ahli perniagaan berpengaruh kini ditahan di penjara Tora di sini. – AFP , bharian

Tuesday, May 3, 2011

Aset Gaddafi, Mubarak, Ben Ali dibeku

GENEVA: Switzerland hari ini mengesahkan pihaknya membekukan sejumlah 830 juta franc (AS$960 juta atau 646 juta Euro) simpanan wang dan dana yang dimiliki beberapa pemimpin Afrika Utara selepas tercetusnya pergolakan di negara terbabit awal tahun ini.

Menteri Luar Switzerland, Micheline Calmy-Rey mendedahkan angka itu pada sidang media di Tunisia ketika beliau dalam lawatan tiga hari ke negara itu.

Sebahagian besar dana yang dibekukan berjumlah 410 juta franc dikaitkan dengan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan rakan sekutunya.
Baki 360 juta franc lagi yang dibekukan Switzerland dipercayai milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi manakala 60 juta franc lagi milik bekas pemimpin Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan rakan sekutunya.

Switzerland diarah membekukan aset Ben Ali dan Mubarak sebaik pemimpin terbabit digulingkan dalam pemberontakan rakyat yang tercetus pada Januari dan Februari lalu. - AFP

Friday, April 22, 2011

Mahkamah arah nama Mubarak, isteri dimansuh


KAHERAH: Sebuah mahkamah di sini mengarahkan supaya nama bekas Presiden negara itu Hosni Mubarak dan isterinya Suzzane dimansuhkan dari semua tempat awam, lapor agensi berita MENA. 


Hakim Mohammed Hassan Omar berkata nama Mubarak dan Suzzane akan ‘dipadamkan’ di medan awam, jalan perpustakaan dan semua institusi awam di seluruh negara.
Sementara itu Mubarak kini disahkan secara klinikal menghidap kemurungan teruk dan hanya menghabiskan masa seharian dengan berbaring di katil hospital, kata pegawai tertinggi Mesir.
Pegawai rasmi memberitahu Fox News kelmarin, pemerintah kuku besi yang digulingkan itu masih berada di hospital di resort Laut Merah, Sharm el-Sheik, bercanggah dengan laporan awal yang mengatakan beliau sudah dipindahkan ke hospital tentera di Kaherah. 

“ Beliau akan ke Kaherah sebaik saja mampu menaiki helikopter,” kata pegawai rasmi. 

Doktor berkata Mubarak, 82, menghabiskan masa seharian di katil sambil ditemani isterinya, Suzanne dan hanya menjamah sedikit makanan. 

Beliau dimasukkan ke hospital selepas dilaporkan mengalami masalah tekanan jantung ketika disoal siasat pihak polis minggu lalu. 
Tiada dakwaan rasmi yang difailkan terhadapnya. 

Doktor yang dituduh merakam gambar Mubarak menggunakan telefon bimbit sudah dipindahkan daripada merawat beliau, katanya. 

Sekurang-kurang 846 warga Mesir terbunuh sepanjang tempoh tiga minggu kebangkitan popular yang menjatuhkan Mubarak, menurut hasil kajian yang dijalankan kerajaan. – AFP , kosmo

Tuesday, April 19, 2011

2 menteri Hosni didakwa


KAHERAH: Dua bekas menteri kanan Mesir dihadapkan ke mahkamah semalam, tindakan junta tentera yang dilihat sebagai semakin serius memerangi rasuah yang menjadi punca kejatuhan rejim Hosni Mubarak tidak lama dulu.
Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Ahmed Nazif dan Menteri Kewangan, Youssef Boutros-Ghali itu.

Tindakan junta tentera itu dijangka menggembirakan penunjuk perasaan prodemokrasi yang menamatkan pemerintahan selama 30 tahun Hosni pada Februari lalu dan mendesak supaya anggota Kabinetnya dihukum.

Ramai pelabur dan ahli perniagaan memandang tinggi Ahmed Nazif dan Youssef kerana menerajui reformasi pasaran bebas yang mempercepatkan pertubuhan ekonomi tahunan Mesir sehingga tujuh peratus selama tiga tahun sebelum krisis ekonomi dunia pada 2008.

Bagaimanapun rakyat Mesir menganggap pemimpin terbabit sebagai rasuah sepertimana rakan mereka yang lain yang kini disoal siasat atau dibicarakan atas pelbagai tuduhan membabitkan rasuah.

Pendakwa berkata, kedua-dua bekas menteri itu didakwa atas tuduhan mendapatkan lesen kenderaan secara tidak sah sehingga negara kerugian kira-kira RM50 juta. - Reuters

Monday, April 18, 2011

Bekas presiden Mesir dalam keadaan stabil



KAHERAH - Bekas Presien Mesir, Hosni Mubarak dilaporkan dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat mengalami tekanan darah rendah, semalam.

Mubarak, Selasa lalu, mengalami serangan jantung ketika disoal siasat pendakwa raya.

Mubarak terpaksa ditempatkan di bawah unit rawatan rapi di sebuah hospital di Sharm el-Sheikh pada hari yang sama sebelum diletakkan di bawah tahanan selama 15 hari.

Sementara itu, pendakwa raya memerintahkan Mubarak dipindahkan ke hospital tentera di pinggiran Kaherah namun tarikh pemindahannya masih belum diketahui.

Selain itu, kedua anak Mubarak, Alaa dan Gamal turut dipenjarakan dan berdepan tuduhan yang sama.

Parti Mubarak dibubarkan



KAHERAH - Mahkamah memerintahkan pembubaran part:i pimpinan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan merampas segala aset mereka, semalam.

Keputusan yang dibuat terhadap Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) pimpinan Mubarak menunjukkan Pemerintah Tentera Tertinggi Mesir sedang berusaha bertindak dengan lebih cepat untuk memenuhi tuntutan rakyat.

"Ia adalah tuntutan utama rakyat untuk melihat parti yang mendominasi politik negara dan kerajaan selama puluhan tahun akhirnya tamat," menurut kenyataan mahkamah.

Keputusan itu diumumkan beberapa hari selepas Mubarak dan kedua anaknya, Alaa dan Gamal diletakkan di bawah tahanan penguat kuasa untuk menyiasat dakwaan rasuah dan pembunuhan penunjuk perasaan oleh pegawai keselamatan kerajaan.

"NDP mendominasi politik Mesir selama bertahun-tahun lamanya dengan mereka mengadakan pemilihan berdasarkan majoriti secara konsisten di Parlimen, te:rutama undian yang dilakukan terhadap sesama sendiri ketika pilihan raya," tambahnya lagi.

Mubarak dirawat di hospital

KAHERAH 17 April – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dimasukkan ke hospital pada minggu ini kerana tekanan darah rendah dan keadaannya kini stabil.
Mubarak yang didakwa mengarahkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan antirejim sehingga menyebabkan kematian, sebelum ini dilaporkan menghadapi serangan jantung ketika disoal siasat oleh pendakwa raya pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, agensi berita MENA yang memetik pegawai perubatan yang enggan dikenali berkata, pemimpin berusia 82 tahun itu menghidap tekanan darah rendah.
``Satu ujian ultrabunyi telah dilakukan ke atas jantungnya menunjukkan ia berfungsi pada kapasiti 70 peratus yang membawa maksud kesihatan dia sudah stabil,’’ kata agensi berita itu. – AFP

Akhbar puji mahkamah bubarkan parti Hosni





KAHERAH - Akhbar-akhbar Mesir semalam memuji tindakan Mahkamah Agung Persekutuan membubarkan Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) yang pernah memerintah negara ini semasa Hosni Mubarak menjadi presiden.
Akhbar al-Shorouk menyatakan parti itu sudah tiada manakala akhbar Al-Masry al-Youm melaporkan parti tersebut sudah mati.
Komen akhbar berkenaan dibuat selepas Mahkamah Agung Pentadbiran kelmarin mengarahkan parti NDP dibubarkan dan mengarahkan dana serta hartanah miliknya diserahkan kepada pemerintah yang kini ditadbir tentera buat sementara waktu selepas Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu ekoran desakan rakyat.
Menurut laporan stesen televisyen, ibu pejabat parti tersebut yang menghadap Sungai Nil dan pernah dibakar oleh penunjuk perasaan akan dijadikan muzium.
Sebuah lagi bangunan NDP akan dijadikan pejabat Majlis Kebangsaan Hak Asasi Manusia.
Menurut penghakiman mahkamah, parti tersebut telah merosakkan kehidupan politik.
"Ia (parti itu) menerapkan dasar yang memperkukuhkan kepimpinan diktator dan memonopoli kuasa.
"Parti itu menipu pilihan raya dan mengawal parlimen dan merencatkan ekonomi dan sosial negara," kata penghakiman mahkamah tersebut.
Pembubaran itu merupakan antara tuntutan utama para penunjuk perasaan selepas pemerintahan Hosni selama 30 tahun berakhir.
Sementara itu, Hosni yang dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat tekanan darah rendah kini berada dalam keadaan stabil, lapor agensi berita rasmi MENA dalam satu kenyataan ringkas semalam.
Hosni yang ditahan berkaitan kes keganasan ke atas penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat sebelum ini dilaporkan mengalami serangan sakit jantung sewaktu disiasat oleh pendakwa raya pada Selasa lalu.
Hosni ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di tepi Laut Merah.
Beliau ditahan selama 15 hari untuk disoal siasat.
Dua anak lelakinya, Alaa dan Gamal ditahan di penjara di sebuah penjara di Kaherah dan menghadapi tuduhan sama. - Agensi, kosmo