Pages

Showing posts with label bionik. Show all posts
Showing posts with label bionik. Show all posts

Thursday, January 24, 2013

Tangan bionik pertama Britain

Foto
TANGAN bionik dibeli Taylor membolehkannya melakukan
 kerja harian seperti menseterika pakaian.
London: Apabila Chris Taylor kehilangan tangan akibat kemalangan jet ski empat tahun lalu, dia membayangkan kerjayanya sebagai jurutera bakal berakhir.
Namun, kini dia mampu memanjat tangga, memegang tali, malah menyiapkan pemasangan wayar yang kompleks selepas dia diberikan tangan bionik generasi baru.

Foto
TAYLOR menunjukkan bahagian dalam tangan bionik 
yang membolehkan dia melakukan pelbagai 
aktiviti dengan lebih berkesan.
Taylor juga boleh berbangga kerana dia menjadi manusia pertama di Britain memiliki tangan palsu unik digelar Tangan Michaelangelo yang dilengkapi jari elektronik. Dengan tangan baru itu, Taylor mampu menggerakkan semua lima jarinya menggunakan otot di tangan kanannya.
Alat berharga £47,000 (RM226,800) itu mempunyai elektrod yang mengesan pergerakan pada otot dan mencetuskan isyarat yang dihantar ke tangan.

Kini, Taylor boleh memegang objek pelbagai saiz dengan kukuh, selain melakukan tugasan mudah domestik yang selama ini dipandang remeh sesetengah individu seperti memasang butang atau mengambil set kunci.

Foto

Dia kehilangan tangan kanannya selepas terjatuh dari jet ski dalam kemalangan ngeri di Torquay, Devon, pada 2009.

Tayloy sedang memegang seutas tali panjang yang menarik anak lelakinya ketika ombak besar melanda jet ski berkenaan.

Ketika Taylor tercampak ke air, tali itu terbelit dan mencengkam tangannya sehingga putus. Sejak itu, dia mencuba beberapa tangan palsu disediakan hospital sebelum menemui Tangan Michaelangelo yang dibangunkan di Amerika Syarikat dan Jerman.
Taylor dirujuk kepada klinik swasta, Dorset Orthopaedic, yang kemudian menguruskan pemerolehan tangan berkenaan.

Ia dikenali sebagai Tangan Michaelangelo kerana mengambil nama pelukis terkenal Itali yang digelar sebagai “Tangan Tuhan.” Bapa kepada empat anak berasal dari Ivybridge itu berkata, dia menemui Tangan Michaelangelo selepas melayari Internet bagi mencari alternatif kepada tangan palsu disediakan hospital. - Daily Mail

Monday, October 1, 2012

Tangan bionik


LONDON: Seorang bapa menjadi rakyat pertama di Britain yang mempunyai tangan bionik, di Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS).

Mike Swainger, 33, gembira kerana diberi peluang untuk mencuba teknologi hebat selepas menawarkan diri untuk menjadi bahan eksperimen untuk syarikat yang membuatnya.
Mike, yang kehilangan bahagian bawah tangan kanan dan kakinya ketika dilanggar oleh kereta api ketika usianya 13 tahun berkata, “Ia menukar hidup saya.”

Bapa kepada tiga anak dipasang dengan tangan bionik yang mampu berfungsi membuka dan menutup tangan seperti tangan asli, selepas dia melakukan kajian dan menemui pembuatnya.


Tangan itu bergerak menggunakan elektrod yang disambungkan dengan otot di bahagian atas lengan.


Tangan bionik membantu Mike melakukan kerja biasa yang sebelum ini menjadi masalah padanya, seperti mengikat tali kasut dan kini dia memulakan hobi baru, iaitu memancing.

Katanya, dia sangat seronok kerana akhirnya dapat berpegang tangan dengan anak perempuan bongsunya, Jodie, enam tahun.

Mike yang berasal dari Hull juga menggunakan kaki palsu dan kerusi roda.

Katanya: “Ia menggalakkan anda mencuba sesuatu yang baru dan juga dapat memulakan perbualan dengan orang lain. Saya terdengar seorang kanak-kanak berkata, ‘Lihat, ia robot.’” -TS

Saturday, August 20, 2011

Mangsa jerung dapat kaki bionik

BERNASIB BAIK...Hutto bersama Goldfarb.
BERNASIB BAIK...Hutto bersama Goldfarb.
NASHVILLE: Seorang pemuda yang nyaris mati akibat serangan ganas jerung enam tahun lalu, kini boleh hidup normal selepas menjadi bahan ujian untuk kaki bionik paling canggih dalam pasaran.
Craig Hutto baru berusia 16 tahun apabila seekor jerung mengheretnya dari beting pasir ketika dia leka memancing bersama abangnya, Brian, di Teluk Mexico.

Hutto hanya diselamatkan selepas berlaku tarik-menarik di antara jerung itu dan Brian, tetapi ketika anggota paramedik tiba, dia kehilangan kira-kira separuh daripada darah dalam badannya.

Hutto, 23, juga bernasib baik kerana ketika kejadian, ada tiga anggota perubatan berada di kawasan pantai sama secara kebetulan dan mereka berjaya menghentikan aliran darah.

Apabila Hutto tersedar di sebuah hospital di Panama City beberapa ketika kemudian, dia merayu ibunya supaya menghalang doktor memotong kakinya.

Bagaimanapun, dia sedar kakinya tidak dapat diselamatkan lagi.


Kaki itu akhinya dipotong beberapa sentimeter di atas lutut dan Hutto terpaksa meneruskan pembelajaran di Lebanon, Tennessee menggunakan kerusi roda.

Pengalaman ngeri itu mendorong Hutto mengikuti pengajian perubatan di Universiti Middle Tennessee.

Di situ dia diperkenalkan kepada Prof Michael Goldfarb, seorang pensyarah yang sedang membangunkan kaki robotik palsu di Universiti Vanderbilt.

Kaki itu - memerlukan masa tujuh tahun untuk dicipta - membolehkan pemakainya berjalan lebih sempurna berbanding kaki palsu konvensional.

Penggunaan peralatan pintar, termasuk sistem komputer termaju, alat pengesan dan motor elektrik membolehkan kaki palsu itu memiliki kemampuan bionik.

Ia dianggap kaki palsu pertama di dunia dilengkapi sendi lutut dan buku lali yang bergerak secara seragam.

Kaki itu juga dipasang dengan alat pengesan yang memantau pergerakan, manakala pemproses mikro merakam aktiviti itu untuk dijadikan data bagi meramal apa yang cuba dilakukan penggunanya.

Kata Hutto, anggota palsu dikenali sebagai Kaki Vanderbilt itu hampir-hampir menyamai kemampuan kaki sebenar.

“Ia memudahkan saya bergerak, duduk, berdiri atau menggunakan tangga,” katanya.

Kaki seberat empat kilogram itu mampu berfungsi sehingga tiga hari atau 13 kilometer jika berjalan berterusan sebelum perlu dicaj semula. - DM, bharian

Wednesday, July 6, 2011

Cermin mata bionik untuk si buta


LONDON - Sekumpulan penyelidik di Universiti Oxford, London sedang mencipta cermin mata bionik yang menggunakan kamera kecil dan komputer poket bagi kegunaan orang buta.
Cermin mata itu akan memudahkan orang buta untuk mencari arah di pusat beli-belah, stesen kereta api yang sibuk serta membolehkan mereka 'membaca'nombor bas dan tanda harga elektronik di kaunter bayaran.
"Kami berpuas hati dengan ciptaan ini. Dengan kos berpatutan, orang ramai boleh menggunakannya," kata penyelidik sains neuro klinikal, Dr. Stephen Hicks.
Penyelidikan awal mengenai kaca mata itu telah selesai dan pasukannya sedang menyediakan prototaipnya.
Kombinasi cermin mata yang ringan dan murah itu akan berada di pasaran seawal tahun 2014, sekiranya ujian yang dilakukan berjaya. Ia dikatakan sesuai digunakan oleh lebih 300,000 warga Britain yang dilaporkan buta. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Wednesday, March 31, 2010

Australia perkenal mata bionik



RUDD memeriksa sendiri mata bionik pada pelancarannya di Universiti Melbourne, semalam. – AFP


MELBOURNE 30 Mac – Australia hari ini mempamerkan prototaip mata bionik yang direka untuk memulihkan penglihatan bagi pesakit yang penglihatannya semakin merosot.
Penyokong projek itu berharap mata bionik itu akan menjadi kemajuan terbesar dalam membantu golongan buta dan kurang penglihatan sejak huruf Braille dicipta lebih 200 tahun lalu.
Perdana Menteri, Kevin Rudd berkata, alat tersebut ‘boleh menjadi antara kemajuan perubatan paling penting yang dapat kita saksikan dalam hidup kita’.
Kerajaan Rudd menyumbangkan sebanyak A$42 juta (RM133 juta) untuk projek itu.
“Projek mata bionik ini akan meletakkan Australia di barisan hadapan dalam bidang penyelidikan bionik dan usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan bionik, selain berpotensi untuk memulihkan penglihatan bagi beribu-ribu penduduk di Australia dan di seluruh dunia,” katanya.
Alat bionik tersebut, yang sebahagiannya dimasukkan ke dalam mata menerusi pembedahan, direka untuk pesakit yang mengalami kemerosotan penglihatan disebabkan masalah genetik, retinitis pigmentosa atau disebabkan degenerasi makular yang berlaku apabila usia meningkat.
Ia terdiri daripada sebuah kamera mini, dipasang pada cermin mata, yang menangkap imej dan menghantarnya ke sebuah pemproses yang disimpan di dalam poket pemakai.
Pemproses kemudian memancarkan isyarat secara wayarles ke satu unit yang diimplan di dalam mata untuk merangsang neuron-neuron yang masih terdapat di dalam retina, sekali gus mengisyaratkan imej kepada otak.
Penglihatan pesakit yang memakai mata bionik tidak akan pulih sepenuhnya, tetapi diharapkan mereka akan dapat melihat titik-titik cahaya dalam medan penglihatan mereka untuk disusun semula oleh otak menjadi imej.
Pengarah penyelidikan Bionic Vision Australia yang menghasilkan prototaip itu, Profesor Anthony Burkitt menjangka alat itu boleh mengubah kehidupan pesakit mata.
“Kami menjangka implan retina ini akan memudahkan pengguna untuk bergerak dan berdikari, dan versi implan pada masa depan akan membolehkan pengguna mengecam muka dan membaca tulisan dalam huruf besar,” katanya.
Ujian sedang dijalankan terhadap mata bionik itu sebelum implan pertama dilakukan pada manusia pada 2013. – AFP