DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 80 tentera Syria dibunuh oleh pemberontak dalam pertempuran dan serangan ke atas pasukan keselamatan di sebuah pintu masuk kelmarin, lapor kumpulan aktivis.

Kejadian itu menyusul tragedi lebih 100 orang awam ditembak mati di Houla dua minggu lalu.

Ekoran kejadian itu kumpulan pemberontak bertekad mahu membalas dendam.

Pemberontak memberitahu kepada Pertubuhan Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), lebih 100 askar meninggal dunia di pinggir bandar Damsyik dan wilayah Idlib.

Mereka mengesahkan 80 terbunuh dan mengesahkan nama tentera yang mati.

Sementara itu, Presiden Majlis Eropah berkata, Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia mesti menggabungkan usaha mereka ke atas Syria.

Ketua SOHR, Abdul Rahman memberitahu agensi berita AFP bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan tentera dan pemberontak bertempur hujung minggu lalu.

“Askar terdedah kepada ancaman ini kerana mereka tidak dilatih untuk bertempur di jalanan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pemberontak menyasarkan kenderaan tentera sambil melepaskan tembakan dari senjata automatik dan melontar bom tangan di kawasan sekitar.

Majlis Kebangsaan Syria berkata, pertempuran berterusan di wilayah Idlib apabila pasukan keselamatan mula menggunakan kereta kebal, pelancar roket dan meriam untuk membedil Bandar Kafr Nabal, Maarat al-Nu’man, Ariha dan Rama.

Ahad lalu, Presiden Assad memberitahu Parlimen bahawa Syria bukan lagi menghadapi krisis dalaman tetapi perang luar yang dilancarkan kerana sokongan terhadap penentangan rejim Israel.

Assad berkata, pintu rundingan masih lagi terbuka bagi sesi dialog dengan pihak pembangkang kerana beliau tidak terlibat secara langsung dengan sebarang perbuatan ganas atau campur tangan dengan pihak luar.