Mail Online yang memetik akhbar The Telegraph melaporkan, pemandu-pemandu teksi itu ditemubual dalam satu kajian oleh Universiti Tohoku Gakuin, Sendai.
Seorang daripada pemandu teksi itu menjelaskan, dia pernah membawa seorang penumpang wanita dari Stesen Ishinomaki ke daerah Minamihama.
Apabila pemandu teksi itu memberitahu lokasi yang mahu dituju telah musnah akibat bencana tsunami, wanita itu berkata, ‘Adakah saya sudah mati?’.
Sejurus pemandu teksi itu menoleh, tempat duduk penumpang di bahagian belakang teksi didapati kosong.
Seorang lagi pemandu teksi mendakwa, dia pernah mengambil seorang remaja lelaki dan membawanya ke sebuah lokasi di bandar itu dan sejurus tiba ke destinasi, penumpang berkenaan sudah tiada.
Dalam bencana pada Mac 2011, bandar Ishinomaki dilanda ombak tsunami setinggi sembilan meter, mengakibatkan sebanyak 29,000 penduduk kehilangan rumah.
Kira-kira 3,100 orang penduduk Ishinomaki disahkan terbunuh, manakala 2,770 lagi hilang dalam bencana yang mengorbankan lebih 19,000 rakyat Jepun itu.
Sejumlah pemandu teksi yang menawarkan perkhidmatan di bandar yang dihuni 145,800 penduduk dan sedang dibangunkan semula itu mendakwa mereka pernah menumpangkan hantu.
Sementara itu, satu kajian oleh Universiti Manitoba, Universiti Columbia, dan Universiti Regina terhadap individu yang mengalami Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD) mendapati, satu daripada lima orang mendakwa melihat sesuatu yang orang lain tidak boleh lihat.
Kajian itu menyatakan, semua pemandu teksi berkenaan yang melalui pengalaman melihat hantu adalah mereka yang menghidap PTSD kerana mengalami sendiri bencana berkenaan.