Pages

Showing posts with label petir. Show all posts
Showing posts with label petir. Show all posts

Saturday, April 7, 2012

Rebah dipanah petir


TINJAU...peronda lebuh raya melihat tempat kejadian.
TINJAU...peronda lebuh raya melihat tempat kejadian.



BUKTI...payung yang turut disambar petir.
BUKTI...payung yang turut disambar petir.
KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki memberhentikan kereta di tepi jalan untuk membantu mangsa kemalangan membawa padah apabila dia disambar petir sebaik menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi peronda lebuh raya bagi memaklumkan kejadian itu, kelmarin.
Berikutan kejadian dalam hujan lebat kira-kira jam 4 petang itu di Kilometer 9.3 Lebuhraya Elite arah Putrajaya selepas susur USJ Subang Jaya, mangsa, Herman Zulkarnaen, 29, yang sedang menggunakan telefon bimbit tiba-tiba disambar petir sebelum rebah tidak sedarkan diri.
Dia sebelum itu melihat sebuah kereta dinaiki seorang wanita, ibunya dan tiga anaknya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di tempat kejadian.

Herman dikatakan dalam perjalanan ke Melaka atas urusan kerja kini dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.


Menurut pemandu kereta terbabit, Rosanita Azizan, 44, ketika kejadian, dia bersama ibu dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Nilai sebelum keretanya hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.

Tuesday, August 23, 2011

Mayat bergelimpangan

MAUT...mayat dua daripada tiga mangsa   yang maut disambar petir di Sungai Choh.
MAUT...mayat dua daripada tiga mangsa yang maut disambar petir di Sungai Choh.
KUALA LUMPUR: “Mereka duduk di depan pintu rumah kongsi kerana berteduh daripada hujan sambil menjulurkan kaki ke dalam air apabila tiba-tiba kilat menyambar sebelum berlaku dentuman kuat berhampiran.
“Semua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun rebah terkena panahan petir itu,” kata Hunarpo, 42, saksi kejadian tiga buruh binaan warga Indonesia maut manakala tiga lagi cedera disambar petir di U5 Glenmarie, Shah Alam, jam 2.40 petang semalam.

Selang lima minit kemudian, petir turut meragut nyawa tiga lagi warga Indonesia dan menyebabkan dua cedera. Ketika kejadian, semua mangsa sedang menanam sayur di sebuah kebun di Sungai Choh, Hulu Selangor, jam 2.45 petang. Saksi kejadian pertama, Hunarpo, berkata, majikan mengarahkan semua pekerja yang sedang melakukan kerja pembinaan berteduh di rumah kongsi terbabit sebaik hujan.

“Kami segera pulang ke rumah kongsi masing-masing termasuk mereka yang terkena panahan itu. Keenam-enam mereka tidak dipanah petir secara langsung, sebaliknya terkena renjatan yang terhasil daripada air yang naik akibat hujan sebaik petir meletup.

“Ini kerana mereka meletakkan kaki di luar rumah yang ditakungi air. Akibatnya, tiga mati di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera akibat terkena renjatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Difahamkan, keadaan tiga mangsa yang cedera dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.


Seorang lagi rakan mangsa, Devi, 40, berkata, mereka baru dua minggu berpindah ke kawasan itu untuk memulakan kerja pembinaan.

“Saya berada kira-kira empat meter dari lokasi enam rakan disambar petir itu. Apa yang saya takutkan benar-benar berlaku apabila terdengar dentuman guruh yang kuat manakala cahaya kilat memanah bumi.

“Selepas dentuman itu, saya lihat keenam-enam mangsa bergelimpangan di tanah sebelum diangkat dan diletakkan di atas meja di rumah kongsi. Kami memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum dia menghubungi ambulans,” katanya.

Jurucakap pemaju yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mereka akan memindahkan semua pekerja ke kawasan lebih selamat selain berjanji tidak mengabaikan kebajikan semua mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norell Azmi ketika dihubungi berkata, dalam kejadian kedua, tindakan pekerja Indonesia meneruskan kerja menanam sayur ketika hujan lebat serta kilat mengundang padah apabila semua mereka dipanah petir.

“Tiga mangsa rebah akibat terkena panahan petir dan mati di tempat kejadian manakala dua rakan mereka sempat melarikan diri, tapi turut cedera akibat terkena tempias petir berkenaan.

“Difahamkan, dua mangsa yang berjaya menyelamatkan diri sempat berlari masuk pondok berhampiran kawasan berkenaan,” katanya.

Norell berkata, tiga yang maut dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), di sini untuk dibedah siasat manakala dua rakan mereka yang cedera dirawat di Klinik Kesihatan Rawang.hmetro

Enam korban panah petir




SEORANG pekerja menunjukkan lokasi tempat tiga lelaki Indonesia maut dipanah petir di sebuah tapak pembinaan di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Enam lelaki Indonesia terkorban manakala lima rakan senegara mereka cedera akibat disambar petir dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Jalan Rektor, Glenmarie di sini dan sebuah kebun sayur di Sungai Choh, Hulu Selangor semalam.
Kedua-dua kejadian itu berlaku ketika hujan lebat pada pukul 2.30 petang dan 2.45 petang.
Dalam kejadian di Glenmarie, tiga lelaki Indonesia maut manakala tiga rakan senegara mereka yang lain cedera.
Mereka yang terkorban dikenali sebagai Hazarin, 29, Surady, 31, dan Mohd. Nasir, 46. Tiga lagi mangsa yang cedera belum dikenal pasti kecuali seorang mangsa wanita dikenali sebagai Som, 20.
Semasa kejadian, tiga mangsa yang terkorban berada di luar rumah kongsi mereka dan berdiri di dalam lopak air.
Petir dipercayai memanah ke kawasan lopak air tempat ketiga-tiga mangsa berdiri dan mengalirkan arus elektrik yang menyebabkan ketiga-tiga mangsa terkena rencatan dan mati di tempat kejadian.
-kosmo

Monday, August 22, 2011

Tiga warga Indonesia maut disambar petir

SHAH ALAM: Tiga lelaki warga Indonesia maut manakala tiga lagi cedera selepas dipercayai disambar petir dalam kejadian di tapak pembinaan di Jalan Rektor, Glenmarie di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika hujan ribut dan pada masa itu ketiga-tiga mangsa berada di luar rumah kongsi serta berdiri di dalam lopak air.
Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Hazarin, 29, Surady, 31, dan Mohd Nasir, 46, manakala seorang identiti mangsa yang cedera dikenali sebagai Som, 20, dan dua lagi mangsa belum dikenal pasti.
Rakan baik mangsa yang hanya mahu dikenali Sunartom, 42, memberitahu, sebelum kemalangan malang itu, kesemua pekerja lain sudah masuk ke dalam rumah setelah kerja pembinaan dihentikan berikutan hujan lebat.

Katanya, tiga mangsa masih berada di luar rumah ketika itu dan ditemui dalam keadaaan terbaring sejurus selepas bunyi petir kuat berdentum.

"Saya pun menjerit minta pertolongan rakan lain dan apabila kami mengangkat mangsa di lokasi kejadian, mereka sudah tidak bernyawa lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini,hari ini.

Beliau berkata, tiga lagi pekerja termasuk seorang wanita yang berada di dalam rumah juga mengalami kecederaan dipercayai terkena kesan akibat panahan petir itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob ketika dihubungi berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes kematian mengejut. - BERNAMA , bharian

Sunday, August 21, 2011

Gadis maut dipanah petir

DI SINI... lokasi Siti Munirah maut dipanah petir. Gambar kecil, Siti Munirah.
DI SINI... lokasi Siti Munirah maut dipanah petir. Gambar kecil, Siti Munirah.
TANAH MERAH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas sebahagian badannya dari telinga hingga ke punggung hangus terkena panahan petir di sebuah bangsal berdekatan rumahnya di Batu Tiga, Kampung Belimbing, dekat sini, kelmarin.
Kejadian pada jam 9 malam itu disedari ibunya, Rosnah Dollah, 49, selepas mangsa, Siti Munirah Nordin, tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa menyebabkan usaha menjejakinya dilakukan sekitar kampung, termasuk rumah rakan.

Ibu tunggal terbabit akhirnya mendapati anaknya meninggal dunia dalam keadaan terlentang di sebuah bangsal 50 meter dari rumah dengan telefon bimbit masih di sisinya.

Menceritakan kejadian itu, Rosnah berkata, sebelum kejadian, dia menegur anaknya kerana bergayut dengan telefon sepanjang hari.

“Saya tegur dia (arwah anak), dengan siapa dia bergayut kerana sepanjang hari dilihat tidak renggang dengan telefon bimbit.

“Mungkin bosan dengan teguran saya, dia kemudian keluar rumah dan sangkaan saya ketika itu mungkin dia ke rumah rakan.


“Selepas teguran itu, saya ingatkan dia masih di rumah rakannya dan berbuka di sana. Bagaimanapun, perasaan saya bercampur curiga berikutan dia masih tidak pulang selepas Maghrib, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Jalan Manal, di sini, semalam.

Rosnah berkata, dia terkejut mendapati rakan anaknya pulang ke kampung mereka di Salor, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di sekeliling rumah.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu. Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini dan terus mencarinya meskipun keadaan sekeliling mulai gelap.

“Bagaikan tidak percaya apa yang saya saksikan apabila menemui anak dalam keadaan separuh tubuhnya hangus, dipercayai terkena panahan petir berdekatan kawasan bangsal semak dan terlindung dari pandangan umum,” katanya.

Katanya, ketika itu Siti Munirah dalam keadaan terlentang, manakala baju T hitam dan seluar pendek merah jambu yang dipakainya turut terkena panahan petir dan hangus sebahagiannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui 50 meter dari rumah dalam keadaan terlentang dengan sebahagian badan hangus.hmetro

Maut kena petir waktu guna telefon



Rosnah menunjukkan telefon bimbit yang digunakan Siti Munirah yang maut dipanah petir di Kampung Belimbing, Tanah Merah semalam.


TANAH MERAH – “Saya mahu tidur puas-puas.” Itu ungkapan aneh yang diucapkan Siti Munirah Nordin (gambar), 13, pada cuti Nuzul Al-Quran Rabu lalu kepada ibunya sebelum remaja itu maut dipanah petir di bangsal berhampiran rumahnya dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit di Kampung Belimbing di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, Siti Munirah meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan pada muka sebelah kanan dan kesan terbakar pada telinga, rambut dan punggung.
Mayat mangsa ditemui abangnya, Mohd. Firdaus, 16, pada pukul 9 malam setelah ahli keluarganya keluar mencarinya selepas tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pada pukul 4.30 petang.
Telefon bimbit milik ibunya yang dipinjam mangsa pula ditemui di atas tanah di bawah bangsal tersebut.
Mangsa merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di sini.
Ibunya, Rosnah Dollah, 49, berkata, pada mulanya dia menyangka Siti Munirah pergi berbuka puasa di rumah kawannya tetapi terkejut apabila mendapat tahu kawan anaknya itu pulang ke kampungnya di Salor dekat sini.
“Sebelum kejadian, Siti Munirah sedang menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah dan apabila saya menegurnya kerana berbual terlalu lama, dia terus keluar dari rumah., kosmo

Saturday, July 2, 2011

Lelaki kena panah petir 6 kali selamat

OCONEE (Carolina Selatan): Seorang lelaki Amerika Syarikat mencatat keajaiban tersendiri apabila masih selamat selepas disambar kilat sebanyak enam kali dan hanya mengalami lecur ringan selepas kilat menyambar jam tangannya.

Melvin Roberts melecur di bahagian kaki dan tapak kaki, tetapi jam tangan yang dipakainya meninggalkan tanda lecur selepas disambar petir.

Roberts berkata, beliau selamat dalam lima kejadian disambar petik sebelum ini dan mempunyai parut di badannya.
“Mereka kata kilat tidak menyambar orang yang sama dua kali tetapi ia berlaku,” katanya. Robert disambar kilat Isnin lalu apabila keluar rumah ketika ribut untuk meninjau ternakan ayamnya.

“Saya keluar untuk menutup pintu reban supaya selamat. Tetapi, apabila saya bangun, saya berdarah dan terbakar serta berada dalam keadaan keliru manakala beberapa ekor anak ayam maut.”

Apa yang diingatinya ialah keluar ke kebun dan dikejutkan di hospital dengan isterinya Martha berada di sisi.

“Saya tidak faham. Ia seperti Tuhan mahu memberitahu saya sesuatu tetapi saya tidak mengetahui apa maknanya,” kata Roberts.
Serangan terbaru menyebabkan jam tangan yang dipakainya meninggalkan kesan lecur dan berhenti pada jam 4.25 petang.

Robert pernah disambar kilat pada 2007 dan mengalami cedera teruk menyebabkan beliau terpaksa berkerusi roda selama setahun selepas mengalami kerosakan saraf pada kakinya.

Kejadian itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan kerjanya sebagai pengendali jentera berat. Martha berkata, kali pertama beliau bertemu, beliau sukar untuk percaya lelaki itu sudah disambar kilat dua kali.

Kejadian ketiga meyakinkan beliau sama ada suaminya itu seorang yang bernasib baik atau terkena sumpahan.

Beliau percaya, peluang suaminya disambar kilat meningkat apabila keluar rumah sewaktu ribut.

Roberts berkata, serangan kilat yang dilaluinya hampir sama dengan kisah hidup beliau yang sudah berkahwin sebanyak lima kali.

“Saya sudah kahwin lima kali dan disambar kilat sebanyak lima kali. Isteri saya berkata ini adalah kali keenam. Saya tidak akan meninggalkan isteri saya, jadi saya akan cuba untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

“Saya tidak mengatakan takut disambat petir tetapi saya akan belajar lebih menghormati. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja.”

Saintis sedang mengkaji mengenai satu dalam sembilan juta peluang untuk disambar kilat sebanyak dua kali tetapi belum berhadapan dengan kes membabitkan disambar kilat sebanyak enam kali. – Agensi
Berita Harian Online | Lelaki kena panah petir 6 kali selamat

Friday, June 24, 2011

3 pengsan tepi wakaf


CEDERA...Mohd Zailani dibawa  ke Hospital Besut.
CEDERA...Mohd Zailani dibawa ke Hospital Besut.


BESUT: Tindakan sekumpulan remaja berkumpul di sebuah wakaf di Kampung Durian Telor, Pasir Akar, Hulu Besut, di sini, mengundang padah apabila tiga cedera apabila wakaf itu ditimpa pokok dipanah petir, kelmarin.
Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang ketika sekumpulan 12 remaja berusia antara 15 dan 40 tahun ceria berbual sambil beberapa orang daripada mereka membalas khidmat pesanan ringkas menerusi telefon bimbit masing-masing.

Bagaimanapun, keasyikan mereka terganggu apabila berlaku ribut petir disusuli hujan lebat, namun remaja terbabit tidak berganjak meninggalkan wakaf berkenaan.

Namun, tindakan mereka membawa padah apabila panahan petir pada sebatang pokok besar di tepi wakaf tempat remaja terbabit berkumpul turut terkena tiga daripada mereka menyebabkan mangsa cedera dan pengsan.

Mangsa, Mohd Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail, 15, dan Mohd Zailani Keria, 23, tercampak dari wakaf berkenaan.


Rakan mangsa, Saiful Bahari Ramli, 15, berkata ketika kejadian dia panik melihat ketiga-tiga mangsa jatuh ke tanah dari atas wakaf berkenaan.

“Melihat tiga rakan kami jatuh tersembam, kami panik dan melarikan diri kerana terkejut selain bimbang menjadi mangsa.

“Panahan petir itu terkena pokok di sebelah wakaf menghasilkan bunyi letupan kuat dan menggerunkan,” katanya.
Menurutnya, selepas hujan dan petir reda, beberapa penduduk kampung dimaklumkan kejadian itu bergegas datang dan membawa semua mangsa ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa yang pengsan hanya cedera ringan dan keadaan mereka tidak membimbangkan meskipun masih trauma.

Saiful berkata, sudah menjadi kelaziman wakaf itu menjadi tempat remaja berkumpul setiap petang dan kejadian kelmarin yang pertama seumpamanya berlaku di kampung berkenaan.
myMetro | 3 pengsan tepi wakaf

Tuesday, May 3, 2011

Lelaki dua kali disambar petir


LELAKI berkenaan rebah ke tanah.


NEW YORK - Malang datang bertimpa buat seorang lelaki apabila dia disambar petir sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai seminit, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki berkenaan sedang berjoging di sebatang jalan raya di pinggir sebuah bandar di Amerika Syarikat pada 11 April lalu apabila insiden itu dirakam kamera video litar tertutup (CCTV).
Ketika kejadian, mangsa disambar petir dan tersungkur ke tanah. Selepas mengambil nafas dan menenangkan dirinya, dia bangkit semula 15 saat kemudian.
Dia sempat berjalan beberapa meter apabila petir sekali lagi menyambarnya menyebabkan dia rebah ke tanah semula.
Lelaki tersebut yang kelihatan bingung memikirkan tentang apa yang sebenarnya telah berlaku kemudian bangun semula dan meninggalkan tempat kejadian.
Rakaman video luar biasa itu mencetuskan sensasi di YouTube dengan beribu-ribu orang memberitahu, mereka terkejut melihat lelaki itu terselamat dalam kejadian tersebut. - Agensi, kosmo