Pages

Thursday, November 28, 2013

Buku paling mahal di dunia


Gambar fail bertarikh 12 April lalu, menunjukkan buku The Bay Psalm Book yang berjaya dilelong pada harga RM45.44 juta di New York, semalam. - AFP
NEW YORK 27 Nov. - Buku pertama dicetak di Amerika Syarikat (AS) pada 1640, berjaya dilelong pada harga AS$14.2 juta (RM45.44 juta), sekali gus menjadikannya buku termahal di dunia.
Buku terjemahan kitab Injil The Bay Psalm Book itu dihasilkan oleh penduduk Puritan di Cambridge, Massachusetts yang datang ke AS untuk mencari kebebasan beragama.
Naskhah berkenaan dilelong di sini oleh sebuah syarikat jualan lelong multinasional, Sotheby's, dan ia sebelum ini dianggarkan mencatat nilai bidaan antara (RM48.43 juta) dan AS$30 juta (RM 96.86 juta).
Sebelum ini rekod buku termahal dipegang oleh buku karya John James Audubon bertajuk Birds of America yang dijual pada harga AS$11.5 juta (RM37.13 juta) pada 2010.
Pengarah Sotheby's, David Redden berkata, nilai sejarah yang terdapat pada buku tersebut memberi makna yang lebih besar daripada menjadi buku pertama dicetak atau ditulis di AS.
"The Bay Psalm Book merupakan naskhah mitos yang jarang ditemui dan sudah tiada di pasaran lebih daripada dua generasi. Ia merupakan satu khazanah yang begitu bernilai.
"Buku kecil yang diterbitkan pada 1640 itu digunakan di kawasan Lexington dan Concord, khususnya oleh ahli politik bebas AS. Buku ini juga telah membawa kepada New England mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Church of England,'' jelas Redden.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Projek Khas Sotheby's, Selby Kiffer menyifatkan buku tersebut sebagai satu ikon dan juga artifak sejarah AS.
Terdapat 1,700 salinan buku tersebut dan hanya 11 naskhah yang masih terselamat dan kini menjadi sebahagian daripada koleksi di Perpustakaan Kongres di New York dan Perpustakaan Kolej Harvard. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131128/lu_08/Buku-paling-mahal-di-dunia#ixzz2lvFFtlfP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pejabat Presiden Rusia minta peti besi gergasi dipindahkan

REUTERS
SEORANG lelaki berjalan dekat peti besi gergasi itu.
KIRI: Beberapa orang pelancong asing dan orang ramai menyaksikan sebuah peti gergasi di Dataran Merah, Moscow semalam.


MOSCOW - Pejabat Presiden Rusia mengarahkan sebuah peti besi gergasi yang mempromosikan fesyen Louis Vuitton dipindahkan dari Dataran Merah di sini, lapor media tempatan semalam.
Jurucakap pejabat itu, Viktor Khrekov berkata, peti gergasi setinggi sembilan meter dan sepanjang 30 meter itu tidak mendapat kelulusan untuk ditempatkan di kawasan tersebut.
Peti gergasi itu diletakkan oleh pihak pengurusan pasar raya GUM. Pihak GUM menyatakan, ia telah meminta syarikat fesyen tersebut memindahkan peti tersebut.
Menurut GUM, peti itu pada mulanya ditempatkan di dataran tersebut bagi meraikan ulang tahun ke-120 pasar raya berkenaan.
Seorang bekas wakil rakyat, Gennady Gudkov berkata, peti tersebut sepatutnya tidak boleh diletakkan di dataran itu tanpa mendapat persetujuan daripada pejabat presiden dan Perkhidmatan Keselamatan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2luFjfC17 
Hakcipta terpelihara