Pages

Tuesday, November 22, 2011

Isu Murtad: Empat beranak dibenar rujuk undang-undang


PUTRAJAYA 21 Nov. - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan empat beranak berketurunan India Muslim merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha mendapat perisytiharan bahawa mereka bukan lagi beragama Islam.

Zaina Abidin Hamid @ S. Maniam dan tiga anaknya iaitu Surindran a/l Zaina Abidin, Mohanasubash a/l Zaina Abidin dan Chandrika a/p Zaina Abidin memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon perisytiharan bahawa mereka telah murtad selepas mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

Mereka memohon Mahkamah Persekutuan menentukan lima persoalan undang- undang antaranya adalah sama ada ibu bapa bagi anak-anak yang berusia di bawah 18 tahun berhak menentukan agama anak masing-masing menurut Perkara 11 dan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Linton Albert membenarkan mereka merujuk persoalan undang- undang itu selepas menolak rayuan Kerajaan Malaysia tanpa mendengar meritnya.

Bagaimanapun Kerajaan Malaysia mempunyai peluang terakhir untuk merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan permohonan bagi kebenaran merayu.

Ketika membenarkan bantahan awal keluarga berkenaan, panel itu bersetuju rayuan pihak kerajaan tidak mematuhi Peraturan 6, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 kerana notis rayuan tidak diserahkan kepada tiga pihak lain.

Pihak-pihak tersebut yang turut dinamakan sebagai responden dalam saman pemula terdiri daripada Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh.

Sehubungan itu, mahkamah berpendapat, oleh kerana kelima-lima persoalan undang-undang berkenaan mempunyai kesan langsung terhadap ketiga-tiga responden, maka wajar notis rayuan diserahkan kepada kesemuanya.

Sebelum itu, peguam Fahri Azzat yang mewakili keluarga berkenaan berhujah, rayuan itu tidak sempurna kerana ia gagal mematuhi peruntukan yang menghendaki kesemua pihak yang terlibat secara langsung dalam rayuan itu diserahkan dengan notis rayuan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Norhisham Ismail yang mewakili Kerajaan Malaysia berhujah, notis tidak semestinya diserahkan kepada ketiga-tiganya kerana jika rayuan Kerajaan Malaysia dibenarkan, persoalan undang-undang tidak perlu dirujuk dan saman pemula itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Kerajaan Malaysia merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 27 September tahun lalu yang membenarkan permohonan empat beranak itu merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan undang-undang, Zaina Abidin, 60, dilahirkan sebagai seorang Islam kerana bapanya yang beragama Hindu memeluk Islam dan berkahwin dengan ibunya yang berketurunan India Muslim.

Dia kemudian berkahwin dengan seorang wanita beragama Hindu. Pernikahan itu didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Utusan Malaysia Online - Parlimen:

'via Blog this'

No comments: