Pages

Sunday, June 29, 2014

Masjid Merah jambu dibuka

Masjid Merah jambu dibuka
Masjid Merah Jambu menjadi mercu tanda baru di Maguindanao.
 Bandaraya Cotabato: Penduduk Maguindanao menyaksikan pelancaran Masjid Merah Jambu sempena Ramadan ini di bandar Datu Saudi Ampatuan, yang dibina Datuk Bandar, Samsodin Dimaukom.

Beliau berkata, ia dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula semalam.

Sementara itu, ulama berkumpul di kawasan ditentukan di Bandaraya Cotabato dan bandar sekitar Maguindanao bermula jatuh matahari semalam, untuk melihat anak bulan menentukan permulaan Ramadan.
Pada bulan Ramadan, umat Islam berpuasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari, bagi menunaikan rukun Islam ketiga.

“Jika anak bulan tidak kelihatan disebabkan pelbagai punca seperti kadar penglihatan teruk atau cuaca buruk, puasa akan bermula esok,” kata jurucakap Darul Iftah di Mindanao Tengah, Jaafar Ali.

Pengumuman Ramadan

Jaafar berkata, mereka akan membuat pengumuman akhir mengenai permulaan Ramadan pagi ini di stesen radio tempatan.
Pejabat Wilayah Autonomi Muslim Mindanaao (ARMM), Gabenor Mujiv Hataman dan jabatan perdagangan dan industri akan mengendalikan pasar makanan Ramadan, yang membolehkan peniaga menjual makanan berbuka puasa pada harga murah.

Setiausaha Eksekutif ARMM, Laisa Alamia, berkata jualan di perkarangan kerajaan tempatan seluas 32 hektar akan dibuka Isnin ini.
Alamia berkata, pentadbiran Hataman mahukan suasana Ramadan berjalan lancar dan aman.

Jurucakap Unit Infantri Ke-6 Tentera, Kolonel Dickson Hermoso, memberitahu wartawan Gabenor Esmael Mangudadatu meminta unitnya mengecualikan anggota tentera beragama Islam daripada menjalani tugasan fizikal sepanjang Ramadan. - AGENSI

12 bandar Piala Dunia


SETIAP kali temasya sukan bertaraf dunia muncul, ia akan memberi manfaat besar kepada negara tuan rumah, terutama kepada sektor pelancongan dan perniagaan yang sekali gus memberikan pulangan besar kepada ekonomi negara tersebut.
Apa tidaknya, pelawat yang datang bukan sekadar mahu menonton aksi sukan atau perlawanan melibatkan negara masing-masing tetapi turut mengambil kesempatan untuk berbelanja bagi berjalan-jalan melihat pemandangan serta membeli-belah sepanjang berada di negara tuan rumah yang dikunjungi.
Tahun ini, Piala Dunia FIFA 2014 menyaksikan Brazil menjadi tuan rumah dan sudah pasti jumlah pelancong yang mengunjungi negara itu meningkat secara mendadak. Jika tidak percaya, lihat sahaja jumlah penonton di stadium yang penuh selama sebulan perlawanan berprestij itu berlangsung.
Bagi penyokong fanatik bola sepak khususnya, teruskan pembacaan anda di ruangan Kisah Luar Negara bagi mengenali 12 bandar utama yang telah dipilih menjadi lokasi atau venue kepada 64 perlawanan yang sedang berlangsung di Brazil, sekarang. - DHIYA’ZULHILMI DAUD
1. Rio de Janeiro
BANDAR ini telah dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2014 dan Olimpik Musim Panas 2016.
Terdapat pelbagai lokasi tarikan pelancong seperti Christ the Redeemer, Tijuca National Park, Sugarloaf Mountain dan Outeiro da Gloria Church. Bagi penggemar aktiviti lasak, boleh melawat ke Paraty, Angra dos Reis serta Buzios. Selain itu, Rio de Janeiro juga terkenal dengan ‘Rio Carnival’ yang mengumpulkan lebih 4,000 penari samba yang diadakan setiap tahun. Malah, terdapat pantai yang menarik dan terkenal seperti Ipanema dan Copacabana untuk beriadah.
2. Sao Paulo
SEBAGAI bandar ekonomi dan pusat kewangan Brazil, Sao Paulo mempunyai lebih 11 juta penduduk. Antara tarikan di bandar terbesar di Brazil ini adalah terdapat lebih 12,500 restoran yang menyajikan pelbagai sajian makanan. Selain itu, tempat menarik atau mercu tanda yang boleh dilawati adalah Ponte Astaiada, Muzium Kesenian Sao Paulo, Muzium Seni Moden Sao Paulo, Minggu Fesyen Antarabangsa Sao Paulo dan venue bagi perlumbaan Grand Prix Formula 1.
3. Salvador
BANDAR ini terkenal dengan pengaruh Portugis dan Afrika selain tempat asalnya tarian capoeira. Antara tempat menarik di Salvador adalah Pelourinho iaitu tempat bersejarah yang mempunyai tinggalan binaan semasa penjajahan Portugis ke atas negara itu, selain Forte Santo Antonio da Barra dan Pasar Municipal. Terdapat juga beberapa pantai menarik seperti Itapua, Artistas dan Porto da Barra.
4. Brasilia
IBU negara Brazil ini merupakan bandar pertama yang dibina pada abad ke-20 yang berjaya menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kawasan menarik yang terdapat di kawasan ini lebih kepada bangunan-bangunan bertaraf nasional seperti Mahkamah Agung Persekutuan, Istana Planalto, bangunan Kongres Kebangsaan, National Theatre dan Muzium Negara.
5. Recife
RECIFE mendapat gelaran sebagai Venice of Brazil kerana terletak di titik pertemuan Sungai Beberibe dan Capibaribe. Penonton boleh menyaksikan pemandangan menarik bandar yang memiliki seni bina Portugis dengan menyusuri sungai serta memenuhi setiap pelosok jalan sambil berhibur dengan menari dan bermain muzik. Bukan itu sahaja, terdapat pantai yang paling terkenal untuk dikunjungi iaitu Boa Viagem.
6. Belo Horizonte
DIKENALI sebagai Bandar Taman, Belo Horizonte mempunyai tarikan seperti pergunungan Serra do Curral, Liberty Square dan kaya dengan kehidupan budaya seperti teater jalanan, pusat pameran, muzium , panggung wayang dan teater.
7. Amazon
BANDAR ini memiliki hutan hujan yang mempunyai keluasan lebih 143.44 meter persegi (1,544 batu persegi). Pintu masuk ke hutan itu terletak di Manaus. Selain itu, hampir semua etnik Orang Asli yang tinggal di sini sedia menerima kunjungan pengembara yang menaiki pelayaran menyelusuri Sungai Amazon.
8. Curitiba
PENGUNJUNG yang datang ke Curitiba kerap melawat Botanical Garden of Curitiba untuk aktiviti santai. Selain itu, taman ini juga menempatkan Iguazu National Park yang memiliki lebih 275 air terjun setinggi 62.8 meter (206 kaki).
9. Natal
ANDA perlu menaiki baggy untuk meneroka timbunan pasir setinggi 102.1 meter (394 kaki) yang terletak di Ponta Negra Beach. Ia merupakan tarikan utama yang wajib dilawati pengunjung. Natal juga dikenali sebagai Bandar Matahari kerana menerima limpahan cahaya matahari lebih 300 hari setahun.
10. Porto Alegre
PORTO Alegre merupakan bandar yang dipenuhi dengan lebih sejuta pokok di seluruh bandar berkenaan. Selain itu, bandar tersebut disifatkan sebagai ibu negeri yang mempunyai pokok paling banyak. Pengunjung boleh melawat Catedral Metropolitana yang menjadi lokasi tumpuan popular, selain mengenali lebih lanjut sejarah penulis terkenal seperti Mario Quintana dan Erico Verissimo.
11. Fortaleza
FORTALEZA mempunyai 15 pantai yang memiliki pinggir pantai berpasir yang cantik. Kehadiran angin kencang menyebabkan pantai di sebelah Brazil Utara ini sesuai untuk aktiviti sukan air seperti ‘surfing’. Pelancong juga boleh melihat nelayan tempatan keluar ke laut dengan menggunakan bot buatan tangan.
12. Cuiaba
CUIABA merupakan kawasan bekas lombong emas tinggal yang mula diterokai pada tahun 1700 lagi. Antara aktiviti pelancongan menarik adalah pengembaraan ke pergunungan Chapada dos Guimaraes yang merupakan salah satu landskap semula jadi Brazil paling menakjubkan dan mempunyai hampir 50 tapak arkeologi serta lukisan prasejarah. Bukan itu sahaja, tempat menarik lain yang terdapat di Cuiaba adalah anak sungai utama yang merentasi empat negara iaitu Brazil, Paraguay, Bolivia dan Argentina.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140628/lu_12/12-bandar-Piala-Dunia#ixzz35yIyAfO3
© Utusan Melayu (M) Bhd