Pages

Tuesday, September 18, 2012

Iran ada penasihat di Syria, Lubnan


Iran ada penasihat  di Syria, Lubnan
Mohamm ad Al i Jafari
TEHERAN - Komander Pengawal Revolusi Iran, Mejar Jeneral Mohammad Ali Jafari, memberitahu bahawa Pengawal Revolusi Iran mempunyai penasihat peringkat tinggi di Syria dan Lubnan sekali gus akan mencampuri urusan kerajaan Syria, jika perlu berbuat demikian.

Dipetik laporan AFP, beliau berkata, Pasukan Quds iaitu ejen Pengawal Revolusi yang beroperasi di luar negara, kini berada di Lubnan dan Syria.

“Anggota pasukan itu tidak menyediakan bantuan ketenteraan, tetapi memberi nasihat, pendapat dan bantuan kewangan,” katanya.

Menurutnya,  ejen Pasukan Quds akan campur tangan dan memberikan bantuan ketenteraan ke Syria mengikut keadaan tertentu memandangkan Iran mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan masalah keganasan di beberapa negara.

“Kami bangga mempertahankan Syria, yang merupakan rintangan kepada kedudukan Zionis,” katanya.

Sementara itu, akhbar Lubnan melaporkan kenyataan itu hanya akan meningkatkan tekanan ke atas pemimpin Hizbullah Lubnan, Sayyed Hassan Nasrallah sekali gus mewujudkan lebih geseran antara etnik dan politik yang berbeza di negara itu.

Mac lalu, gabungan parti politik dan bebas yang menentang rejim Assad dan Hizbullah Lubnan, mengemukakan cadangan kepada Presiden Lubnan, Michel Suleiman supaya menghantar Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unifil) di sempadan timur dan utara negara itu untuk menghalang kuasa asing daripada mencampuri urusan dalam kerajaan.

Sementara itu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat berhubung program nuklear Iran, Amerika Syarikat pulan semakin giat melakukan latihan dan persediaan ketenteraan di perairan Teluk hingga ke Lautan Hindi dengan 12 kapal perang dari 30 negara , bersiap sedia di kawasan itu.

Menurut Washington, latihan itu juga melibatkan gerakan pengesanan periuk api, kecekapan pelaksanan senjata darat dan udara serta ujian perkakas senjata yang baru dibeli.

Lima kanak-kanak maut serangan helikopter Syria


Lima kanak-kanak maut serangan helikopter Syria
Sebuah bangunan musnah selepas diserang pagi kelmarin.
BEIRUT - Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak termasuk seorang wanita maut dalam serangan helikopter tentera Syria ke atas bandar Kafr Aweid di utara Syria, pada hari pertama persekolahan, kelmarin.

Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, video di laman YouTube menunjukkan imej mengenai keadaan yang menyayat hati kanak-kanak berkenaan termasuk seorang lelaki mendukung budak perempuan berbaju biru tanpa kepala.

“Allahu akbar!” Adakah ini reformasi dilakukan Presiden Bashar al-Assad, hanya Tuhan yang boleh menolong kami,” demikian tangisan yang kedengaran di dalam klip video berkenaan.

Menurut pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman, serangan berdarah itu berlaku sehari selepas lima lagi kanak-kanak maut di Saraqeb dalam wilayah sama.

Lebih daripada 27,000 orang terbunuh sejak pemberontakan menentang pemerintahan Assad tercetus pada Mac tahun lalu.-AP

Ketua keselamatan Benghazi dipecat

BENGHAZI 18 Sept. - Menteri Dalam Negeri Libya telah memecat ketua keselamatan bandar ini selepas serangan berdarah ke atas konsulat Amerika Syarikat (AS) minggu lalu
Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk wilayah timur, Wanis al-Sharef, dan ketua keselamatan kebangsaan Benghazi, Hussein Bou Hmida telah digantikan, kata dua kenyataan berasingan bertarikh 12 September, sehari selepas serangan.
Duta AS, Chris Stevens dan tiga rakyat Amerika terbunuh setelah konsulat Amerika di Benghazi diserang dengan pelancar roket bom tangan semasa demonstrasi membantah filem anti-Islam yang dibuat di Amerika. - AFP

Gempa bumi sederhana landa Sumatera pagi ini

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter melanda barat laut Sumatera, Indonesia pukul 11.23 pagi hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pusat gempa bumi itu terletak di 249 kilometer (km) di barat laut Bandar Lampung, Indonesia dan 901 km selatan Pontian, Johor.
“Bagaimanapun ia tidak membawa ancaman tsunami," demikian menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Pakistan lancar peluru berpandu



Peluru berpandu Hatf-VII Babur mampu terbang lebih rendah, boleh menyerang sasaran sama ada di laut atau darat dengan ketepatan yang tinggi. - AGENSI
ISLAMABAD 17 Sept. - Pakistan hari ini, melancarkan ujian peluru berpandu nuklear yang dilengkapi dengan ciri-ciri 'sukar dikesan radar' menerusi latihan ketenteraan pertama negara ini sejak Jun lalu.
Menurut pihak ketenteraan Pakistan, peluru berpandu Hatf-VII Babur mampu terbang lebih rendah, boleh menyerang sasaran sama ada di laut atau darat dengan ketepatan yang tinggi dalam rangkaian jarak hingga 700 kilometer.
Hatf-VII Babur dilancarkan menggunakan Kenderaan Pelancar Roket (MLV) bagi meningkatkan keupayaan sasarannnya.
Pada Jun lalu, Pakistan melancarkan lima ujian peluru berpandu dalam tempoh enam minggu.
Kekerapan pelancaran tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati India sehingga negara itu menjalankan ujian peluru berpandu jarak jauh, Agni V, yang mampu mengenai sasaran hingga ke China.
India dan Pakistan yang telah tiga kali berperang sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1947, sering melakukan ujian peluru berpandu sejak kedua-dua negara mempamerkan keupayaan senjata nuklear masing-masing pada 1998. - AFP

Hassan cadang protes seminggu

BEIRUT: Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah, menggesa umat Islam Lubnan mengadakan protes seminggu membantah sebuah filem mempersenda Islam sebagai simbol campur tangan Amerika Syarikat (AS).

Kata Hassan, seluruh dunia perlu melihat sendiri kemarahan “pada wajah, genggaman tangan dan laungan” umat Islam ekoran penerbitan filem berkenaan.

Menurutnya, dia sengaja menangguhkan gesaan itu sehingga pemimpin tertinggi Kristian, Pope Benedict XVI, meninggalkan Lubnan selepas mengadakan lawatan bersejarah selama tiga hari ke situ.

Dalam lawatan berkenaan, Pope Benedict turut mendoakan pemimpin Timur Tengah berusaha mencapai keamanan dan perpaduan.

Hassan berkata, umat Islam di seluruh dunia juga perlu membantah filem berkenaan yang dianggapnya sebagai “serangan paling buruk ke atas Islam.” “Ia jauh lebih jahat berbanding novel Satanic Verses karangan Salman Rushdie, pembakaran al-Quran di Afghanistan dan lakaran kartun di media Eropah,” katanya. Ekoran penerbitan filem Innocence of Muslims, umat Islam sedunia bangkit menyatakan kemarahan atas penghinaan pembuatnya. Di Kabul, Afghanistan, kira-kira 1,000 orang turun ke jalan raya sambil melontar batu ke arah pangkalan tentera AS sambil melaungkan kutukan terhadap negara berkenaan. Dua kereta polis juga dibakar di sebatang jalan di Jalalabad, yang menempatkan pangkalan tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Kenyataan Hassan semalam dikeluarkan selepas pertubuhan al-Qaeda Di Semenanjung Arab (AQAP) menggesa lebih banyak keganasan dilakukan ke atas misi diplomatik AS di Timur Tengah dan Afrika.

AQAP juga menggesa serangan dilakukan ke atas kepentingan AS di Barat. - AFP

Gaji amah Filipina mahal

SINGAPURA: Sekiranya majikan terpaksa membayar upah tinggi kepada pembantu rumah Filipina, mereka terpaksa mencari pembantu rumah dari negara lain.

Ini bermakna, agensi yang membawa pembantu rumah dari Filipina mungkin terpaksa menutup perniagaan mereka.
Isu bayaran tinggi timbul selepas Kedutaan Filipina meminta agensi pekerjaan menuruti peraturan oleh Pengurusan Pekerjaan Luar Negara Filipina, bulan lalu.

Peraturan itu menyebut, gaji pembantu rumah sekurang-kurangnya AS$400 (RM1,218) sebulan. Pembantu rumah juga dapat satu hari seminggu dan tidak dikenakan bayaran penempatan.


Wakil daripada sekurang-kurangnya 50 agensi pekerjaan menghadiri perbincangan dengan Persatuan Agensi Pekerjaan (Singapura) (AEAS), semalam.


Presiden persatuan, K Jayaprema berkata, beliau telah menulis kepada Kedutaan Filipina meminta syarat yang dikenakan Manila dikaji semula. - ST

Kereta ‘terbang’ rempuh rumah

LAKARAN artis menunjukkan bagaimana kemalangan berlaku.
LAKARAN artis menunjukkan bagaimana kemalangan berlaku.
JURUTERA memeriksa struktur rumah selepas dirempuh.
JURUTERA memeriksa struktur rumah selepas dirempuh.
LONDON: Satu kemalangan membabitkan dua kenderaan bukan saja mencemaskan orang ramai, malah turut menyebabkan mereka kehairanan.
Dalam kejadian awal pagi semalam itu, sebuah kereta Lexus berwarna perak melayang sebelum merempuh dinding bilik tidur sebuah rumah di tingkat satu yang terletak kira-kira 24 meter dari situ.

Menurut saksi, sebelum itu, pemandu kereta Lexus berkenaan terbabas sebelum merempuh sebuah kereta lain yang diletakkan di kawasan sama. Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta terbabit melambung dan melayang merempuh rumah berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan dinding tingkat atas rumah berkenaan berlubang. “Penghuni rumah itu sedang tidur apabila kereta berkenaan merempuh bangunan mereka kira-kira jam 3 pagi,” katanya. Bagaimanapun, pasangan suami isteri serta dua anak mereka yang ada di situ ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu kereta Lexus itu pula, katanya, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Dua lelaki yang jadi penumpang juga dihantar ke hospital kerana kecederaan ringan,” katanya. Sementara itu, jurucakap polis Epsom di Surrey berkata, selain bilik tidur utama, bilik air di sebelahnya juga rosak. “Lima kereta, satu peti surat dan pagar juga rosak,” katanya. Seorang jurutera struktur menyiasat tempat kejadian bagi memastikan bangunan itu selamat ketika polis menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana ia boleh berlaku. - TS

100 kedai baju dalam diarah tutup

Riyadh: Kementerian Buruh Arab Saudi mengarahkan sekurang-kurangnya 100 kedai pakaian dalam di ibu negara supaya ditutup kerana mengambil lelaki sebagai sebahagian pekerjanya, lapor akhbar di sini semalam.

Akhbar Al-Eqtisadiah memetik seorang pegawai kementerian sebagai berkata, semua kedai yang melanggar peraturan menetapkan pekerjaan tertentu hanya membabitkan jantina khusus akan ditutup. Langkah yang diambil menutup kedai terbabit bertujuan mewujudkan keadaan lebih selamat bagi wanita yang bekerja, katanya.
Pada awal tahun ini, kementerian berkenaan melarang jurujual lelaki bekerja di kedai pakaian dalam wanita diikuti dengan perintah bahawa hanya wanita boleh menjual alat kosmetik di kedai mekap.

Kurangkan kadar penganggur

Pada Jun 2011, pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah mengumumkan peraturan bahawa hanya wanita tempatan boleh bekerja di kedai pakaian.

Ia bertujuan mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan wanita Arab Saudi yang dianggarkan 30 peratus.
Pihak berkuasa Arab Saudi melarang pergaulan di kalangan wanita dan lelaki bukan muhrim yang dianggap antara faktor menyebabkan ramai wanita tidak diambil bekerja di banyak sektor.

Dalam perkembangan lain, wanita Arab Saudi dibenarkan bertanding dalam pilihan raya tempatan mengikut syarat sama dengan lelaki.

Akhbar Al-Watan memetik pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Perbandaran dan Tempatan sebagai berkata:

Semua syarat seperti dikenakan kepada lelaki juga sama kepada wanita yang mahu bertanding, kata Pengarah Hal Ehwal Majlis Perbandaran di kementerian berkenaan, Jidaie bin Nahar Al-Qahtani.

Katanya, sistem yang diamalkan majlis perbandaran tidak membezakan antara lelaki dan wanita dari segi penyertaan mereka dalam pengundian.
Agensi

Dua gunung berapi Indonesia meletus

Jakarta: Dua gunung berapi paling aktif di Indonesia meletus semalam, memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk dekat kawasan berkenaan berjaga-jaga.

Gunung berapi Lokon di Sulawesi Utara dan Gamalama di Ternate, Maluku Utara mula meletus semalam, lapor Agensi Bantuan Bencana Nasional (BNPB). Lokon memuntahkan abu setinggi 1,500 meter selain lahar manakala Gamalama mengeluarkan abu yang menyelimuti sebuah bandar berdekatan.
Lokon yang terletak di daerah Tomohon meletus pada 7 malam kelmarin, kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho.

Letusan Lokon

Letusan itu memecahkan tingkap sebuah pos pemantauan dekat situ, katanya.
BNBP sudah memberi amaran kepada pentadbir tempatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk penduduk setempat, katanya lagi.
Penduduk tidak perlu dipindahkan buat masa ini tetapi mereka tidak boleh dekati kawasan lima kilometer dari gunung berapi, kata Sutopo.

BNPB juga meminta pentadbir Tomohon memberi maklumat terkini kepada penduduk.

Abu lonjak ke udara

Sementara itu, letusan Gamalama menyaksikan abu melonjak ke udara selama 15 minit pada jam 11 malam sebelum angin membawanya ke ibu kota Maluku Utara, Ternate.

Abu Gamalama menyelimuti kota itu dan mengurangkan jarak penglihatan kepada 50 meter, kata Sutopo.

Katanya, anggota pejabat BNPB di situ sudah mengunjungi kawasan berkenaan dan membentuk empat pusat bantuan bagi membantu penduduk jika letusan lebih besar berlaku.

Di sini juga kami belum dapati ada keperluan memindahkan penduduk. Tetapi, kami akan terus berjaga-jaga, katanya lagi.

Lokon sudah beberapa kali meletus. Kali terakhir ia meletus pada Julai 2011 yang memaksa lebih 5,200 penduduk dipindahkan.

Ia memuntahkan abu setinggi 3,500 meter. Pada 1991, letusannya menyebabkan seorang pelancong Switzerland maut.
Agensi

70 ekor cacing tanah dikahwinkan

TAIPEI - Sejumlah 70 cacing tanah dikahwinkan pada majlis perkahwinan besar-besaran di selatan Taiwan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dan masalah hakisan tanah, kata pihak penganjur semalam.
Semua cacing tanah itu tiba di Taman Takang di bandar Tainan kelmarin.
Persatuan Pembangunan Komuniti Takang yang menganjurkan perkahwinan tersebut menyatakan, haiwan itu tiba dengan menaiki sebuah kereta yang dihias kain merah untuk disatukan dengan tanah-tanih di taman berkenaan.
"Upacara perkahwinan ini dilakukan menurut budaya tradisional Taiwan," kata ketua kumpulan persatuan itu, Huang Sen-nan.
"Kami mahu meningkatkan kesedaran orang awam berhubung keperluan untuk melindungi tanah tempat kita tinggal," katanya.
Hakisan tanah yang menyebabkan tanah runtuh apabila ribut taufan melanda merupakan antara masalah alam sekitar utama di Taiwan.
Kehadiran cacing tanah itu dapat membantu menghalang hakisan dengan meningkatkan struktur dan aliran air dalam tanah. - AFP

Kedutaan AS dilempar bom petrol



BEBERAPA penunjuk perasaan membaling batu ke arah Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta semalam.



JAKARTA - Sejumlah penunjuk perasaan melontar bom petrol dan bertempur dengan polis Indonesia di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini semalam selepas tunjuk perasaan membantah sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW bertukar menjadi ganas.
Beratus-ratus orang di Indonesia menunjuk perasaan pada Jumaat dan Sabtu lalu kerana membantah filem bajet rendah, Innocence of Muslims yang menghina agama Islam tetapi bantahan tersebut berlangsung secara aman.
Namun, demonstrasi yang diadakan semalam bertukar ganas apabila sejumlah penunjuk perasaan melontar bom petrol dan melaungkan slogan anti-AS.
Polis pencegah rusuhan bertindak balas dengan menembak meriam air dan melepaskan tembakan amaran ke udara dalam usaha menyuraikan sekitar 700 penunjuk perasaan.
Anggota-anggota polis turut dilihat menendang dan menyeret beberapa penunjuk perasaan ketika asap hitam daripada bom-bom petrol itu menyelubungi udara.
Seorang anggota polis yang cedera di muka dibawa meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki ambulans.
"Amerika, Amerika pergi jahanam!" laung beberapa penunjuk perasaan dengan sebahagian mereka membawa sepanduk yang menyatakan, "hapuskan Amerika" dan "penggal kepala mereka yang menghina Islam".


BEBERAPA penduduk Islam membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel di bandar Marawi, Pulau Mindanao semalam.



Sebelum ini, seorang lelaki yang dikatakan penulis skrip filem itu, Nakoula Basseley Nakoula mengaku dia membocorkan sebahagian kandungan filem itu disiarkan di laman YouTube.
Filem itu telah mencetuskan tunjuk perasaan di kebanyakan negara sejak Rabu lalu sehingga mengakibatkan tujuh orang terbunuh termasuk di Lebanon.
Pada minggu lalu, agensi berita melaporkan filem itu dihasilkan oleh sebuah kumpulan agama Kristian di AS yang dikenali sebagai Media for Christ.
Ia melaporkan filem tersebut diarahkan oleh seorang pengarah filem lucah, Alan Roberts yang berusia 65 tahun.
Roberts pernah mengarahkan filem lucah seperti Young Lady Chatterley II.
Filem bajet rendah itu yang mana para pelakonnya bertutur dengan menggunakan loghat AS menampilkan orang Islam sebagai tidak bermoral dan ganas.
Ia memperlekehkan Nabi Muhammad dan menyentuh tentang tema homoseks serta fidofilia.
Filem tersebut menunjukkan Nabi Muhammad tidur bersama beberapa wanita, bercakap mengenai pembunuhan kanak-kanak dan merujuk keldai sebagai "haiwan Islam yang pertama".
Beberapa tunjuk perasaan turut berlaku semalam di Yemen, India. Filipina, Pakistan dan penduduk Islam di London. - Agensi

Dua firma Jepun tutup operasi



DUA penunjuk perasaan merosakkan sebuah pasar raya Jepun di Shenzhen, selatan China kelmarin.



BEIJING - Sekurang-kurangnya dua firma utama Jepun menggantung operasinya di China ekoran peningkatan protes anti-Jepun pada hujung minggu lalu, kata kedua-dua syarikat berkenaan semalam.
Kakitangan kilang Canon Inc. di bandar Zhoushan, dalam wilayah Guangdong di selatan China diberikan cuti dua hari bermula semalam selepas berlaku tunjuk perasaan yang berlaku di berpuluh-puluh buah bandar di negara berkenaan berhubung pembelian tiga kepulauan kecil oleh kerajaan Jepun.
Pulau-pulau berkenaan turut dituntut oleh Beijing.
"Notis yang diterima menyatakan kami diberikan dua hari cuti dan akan mula bekerja pada 19 September ini," kata seorang kakitangan kilang Canon.
Menurutnya, cuti tersebut diberikan "kerana hal ehwal dalaman" pihak pengurusan kilang tersebut.
Seorang kakitangan kilang firma Panasonic Corp. di bandar Zuhai yang terletak berdekatan Zhoushan pula memberitahu bahawa mereka diberikan cuti sehingga esok.
Pekerja Panasonic itu yang dikenali sebagai Liao menyatakan beberapa pekerja kilang berkenaan melancarkan mogok berhubung pemilikan tiga kepulauan kecil tersebut.


SEORANG penunjuk perasaan mengibarkan bendera China di depan Kedutaan Jepun di Beijing semalam.



Gugusan pulau berkenaan dikenali sebagai Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun.
"Sekitar 12 pekerja China melancarkan mogok kerana isu kepulauan Diaoyu," kata Liao.
"Anda tahu, kami marah berhubung isu ini (pembelian kepulauan berkenaan oleh kerajaan Jepun," tambahnya.
Media Jepun pula melaporkan Canon menggantung operasinya di dua kilang lain di China semalam.
Media negara berkenaan menyatakan, peruncit Jepun, Muji telah menggantung jualan di beberapa kedainya di sini manakala beberapa kedai dan restoran berkaitan Jepun di bandar raya ini turut ditutup semalam.
Serangan ke atas beberapa kereta buatan Jepun dan kedai serta restoran berkaitan Jepun turut dilaporkan di sini dan beberapa bandar raya lain pada hujung minggu lalu.
Dalam usaha mengawal bantahan tersebut, polis dan media China semalam menggesa penunjuk perasaan supaya bertindak secara rasional dan mematuhi undang-undang serta mengelak daripada menyerang hartanah dan rakyat Jepun. - dpa