Pages

Showing posts with label 9/11. Show all posts
Showing posts with label 9/11. Show all posts

Sunday, September 11, 2011

Tragedi 9/11 hantui pesuruhjaya bomba





2011/09/11

PARIS: Pesuruhjaya Bomba New York pada 11 September 2001 masih trauma dan dihantui serangan yang membunuh beratus-ratus anggota bomba serta menganggap kematian pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden sekalipun tidak dapat mengubat luka lama. 

Saya dalam perjalanan ke pejabat dan menerima panggilan mengenai pesawat kecil merempuh Menara Utara. Saya agak dekat dengan tempat itu dan cepat sampai.
Kami segera sedar ia bukan pesawat kecil tetapi pesawat komersial. Kemudian keadaan bergegar. Sebuah lagi pesawat merempuh Menara Selatan.
Ketika itulah kami sedar kami diserang, kata Von Essen yang berada di sini untuk satu majlis mengingati ulang tahun ke-10 serangan itu. 

Von Essen kemudian meninggalkan kawasan Ground Zero untuk membantu operasi merawat mangsa yang cedera dan memindahkan pekerja dari situ manakala beratus-ratus anggota bomba menaiki tangga di dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC), setiap satu 110 tingkat, melakukan operasi mencari dan menyelamat. 

Seramai 343 anggota bomba menemui ajal selepas dua menara itu roboh. 
Pengebumian menyusul dengan Von Essen sendiri memberi ucapan penghormatan terakhir sebanyak 60 kali. 
Hari itu memang teruk dan semakin menyeksakan beberapa bulan seterusnya kerana kami perlu hadapi kesan serangan, bagaimana seorang ibu menangani kematian suami atau anak lelakinya atau dalam satu kes, seorang lelaki yang kehilangan dua anak lelakinya. 

Ia berlarutan dan menguruskan apa yang berlaku kemudian adalah perkara paling sukar buat saya, kata Von Essen yang bersara 31 tahun selepas bertugas di Jabatan Bomba New York. 

Beliau kemudian menubuhkan satu syarikat perunding dengan Datuk Bandar New York ketika itu, Rudy Giuliani. 

Saya boleh terus bertugas sebagai pesuruhjaya bomba tetapi saya perlu berhenti. Saya sudah kehabisan tenaga dan mahu meneruskan kehidupan baru, katanya lagi. AFP 

200 maut terjun dari Menara WTC



SEORANG lelaki terjun dari bangunan WTC yang runtuh akibat serangan pengganas sedekad lalu.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seramai 200 orang dilaporkan terjun dari Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini ketika pengganas menyerang beberapa lokasi utama di AS pada 11 September 2001, lapor sebuah akhbar semalam.
Berdasarkan rekod tidak rasmi, hampir semuanya menemui ajal secara bersendirian tetapi beberapa saksi mengakui mereka pernah menyaksikan satu pasangan terjun sambil berpegangan tangan.
Malah kata saksi, ketika berada di hujung nyawa seorang wanita turut dilihat memegang kuat skirtnya supaya dia tidak mati dalam keadaan yang memalukan.
Sebahagian lagi mangsa cuba membuat payung terjun daripada langsir dan alas meja tetapi daya graviti menyebabkan ia terlucut daripada pegangan sekali gus menyebabkan nyawa mereka melayang.
"Mangsa-mangsa itu memilih untuk terjun daripada mati terbakar dan saya dapat melihat mereka jatuh seorang demi seorang," kata seorang anggota bomba yang bertugas pada hari kejadian, Maureen McArdle-Schulman.
"Kerana terlalu ngeri, saya dan seorang rakan setugas mengalihkan pandangan kami pada dinding bangunan berdekatan, namun kami masih dapat mendengar bunyi tubuh mereka terhempas di tanah," tambahnya.
Menurutya, dia turut berang dengan tindakan sebahagian individu tidak berhati perut di lokasi kejadian yang merakam mangsa- mangsa itu terjun.
Hampir semua mangsa terjun dari tingkat-tingkat teratas WTC. Mereka jatuh pada kelajuan 200 kilometer sejam dan memiliki 10 saat untuk mengimbas kembali hidup mereka sebelum menemui ajal di tanah.
WTC yang setinggi 417 meter dan memiliki 110 tingkat, terdiri daripada Menara Utara dan Menara Selatan dibuka kepada orang ramai pada 1973. Pembinaannya ketika itu menelan belanja AS$400 juta (RM1.2 bilion).
Pada 11 September 2011, kumpulan pengganas merempuh dua pesawat Boeing 757 ke atas WTC yang menyebabkan ia terbakar dan runtuh. Kejadian itu meragut 2,753 nyawa.
Sebelum ini, berita dan gambar-gambar mereka tidak disiarkan media AS.
Pemerintah AS beranggapan bahawa mereka yang memilih untuk membunuh diri daripada mati terbunuh sebagai tidak patriotik sekali gus mencalar imej negara.
Sementara itu, kawalan keselamatan di sini dan beberapa lokasi utama lain di AS diperketatkan menjelang sambutan ulang tahun ke-10 insiden serangan pengganas ke atas AS hari ini. - Agensi

Friday, September 9, 2011

Persiapan ulang tahun 9/11



BEBERAPA pekerja mengubah kedudukan lampu dalam ujian persembahan cahaya di New York kelmarin.

NEW YORK - Beberapa ujian dilakukan oleh sekumpulan pakar cahaya di tapak bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) bagi membuat persembahan sempena dengan ulang tahun kesepuluh serangan pengganas yang berlaku di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Ujian itu dilakukan menjelang sambutan ulang tahun serangan tersebut yang akan disambut pada Ahad ini.
Dalam serangan pengganas itu, bangunan WTC runtuh akibat dirempuh oleh dua pesawat yang dirampas pengganas sehingga mengakibatkan 2,753 orang terbunuh pada 11 September 2001.
Serangan itu kemudian dikenali sebagai 9/11.
Seorang penerbit teater yang mengendalikan acara persembahan cahaya itu, Michael Ahern berkata, apabila lampu tersebut bercahaya, ia akan memberikan suasana yang amat indah.
Sementara itu, kebimbangan rakyat Amerika Syarikat (AS) berhubung satu serangan pengganas semakin berkurangan.
Maklumat didedahkan dalam satu tinjauan pendapat yang disiarkan semalam.
Seramai 36 peratus responden menyatakan mereka berasa amat bimbang bahawa akan berlaku satu serangan pengganas.
Serangan pengganas itu didakwa dirancang oleh bekas Ketua Al-Qaeda, Osama Bin Laden sehingga dia menjadi orang paling dikehendaki oleh AS.
Namun, Osama mati ditembak anggota komando AS di bandar Abbottabad, Pakistan di sebuah rumah persembunyian pada 2 Mei lalu semasa berusia 54 tahun. - Agensi, kosmo

Monday, September 13, 2010

Dunia memperingati 9/11



WASHINGTON - Presiden Barack Obama merayu rakyat Amerika Syarikat (AS) supaya mengenang peristiwa 11 September 2001 dengan meningkatkan iltizam ke arah mengukuhkan toleransi, pemahaman dan sikap menghormati perbezaan agama, budaya dan etnik yang wujud dalam kalangan penduduk negara itu. 

"Kita tidak harus membiarkan perasaan curiga dan saling tidak percaya memusnahkan keunikan yang ada di negara ini," katanya pada majlis memperingati tragedi 9/11 di Memorial Pentagon, kelmarin. 

Terdahulu, Obama bertafakur di Rumah Putih pada tepat jam 8.46 pagi, menandakan masa kapal terbang pertama melanggar bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, sembilan tahun lalu. 

Serangan ganas yang memusnahkan bangunan berkembar WTC turut mengorbankan hampir 3,000 nyawa manakala serangan di Pentagon membunuh 184 orang. 

"Apa yang berlaku sembilan tahun lalu bukan serangan pejuang Islam ke atas WTC dan Pentagon; sebaliknya serangan pengganas al-Qaeda yang memanipulasi agama. 

"AS tidak pernah dan tidak akan menganggap umat Islam sebagai mu-suh kerana hak beragama dijamin perlembagaan negara," Obama menegaskan dalam ucapannya. 

Obama, bagaimanapun, memberi jaminan bahawa AS akan sentiasa menentang pengganas.