Pages

Sunday, October 17, 2010

Ada apa pada otak, minda manusia?


RHODE ISLAND - Kewujudan manusia di muka Bumi memang amat istimewa dan penuh misteri, sama ada dilihat dari sudut agama, budaya, teknologi, sejarah mahu pun sains perubatan. 

Kajian sains menunjukkan wujud persamaan hampir 98 peratus antara manusia dan cimpanzi, tetapi kajian pakar neurobiologi dan primatologi membuktikan otak manusia adalah jauh lebih kompleks dan istimewa berbanding mana-mana hidupan lain. 

Robert Sapolsky dari Universiti Stanford, California menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Simposium Sains Otak di Providence, Rhode Island, Amerika Syarikat pada 13 Oktober lalu. 

"Kuasa minda dan keistimewaan penuh misteri dalam otak manusia menjadikan kita sangat istimewa dan sekali gus tidak boleh disamakan dengan haiwan," katanya. sumber

Tidak dapat dinafikan bahawa secara saintifik, unit asas sel otak manusia tidak jauh berbeza dengan spesies haiwan lain. 

"Namun, manusia memiliki kemampuan untuk memanfaatkan neuron dalam sel otak dan jaringan otak yang kompleks untuk menjana kemampuannya ke tahap kognitif yang lebih tinggi dan menyeluruh. 

"Sama ada mahu diperakui atau tidak, dari segi fisiologi, manusia dan primat mempunyai banyak persamaan tetapi cara kita menggunakan anugerah otak membezakan kita dengan primat lain," kata Sapolsky. 

Kajian sains menunjukkan bahawa binatang juga mempunyai corak pemikiran yang hampir sama dalam soal budaya, cubaan untuk menguasai dan emosi, tetapi minda manusia lebih terkedepan. 

"Sekadar contoh, sewaktu menonton filem Avatar, rata-rata penonton berasa simpati dan empati terhadap watak makhluk asing yang ditampilkan," katanya

Terowong terpanjang dibina di Switzerland


SEDRUN - Kumpulan jurutera Switzerland berjaya memecahkan batuan terakhir dalam pembinaan rumit terowong terpanjang di dunia yang mengambil masa 60 tahun, kelmarin. 

Kejayaan itu disambut dengan bunyi trumpet dan sorakan di seluruh negara bagi merayakan pencapaian hebat itu. 

Pemecahan batuan itu menandakan pembentukan terowong sepanjang 57 kilometer di Switzerland, sekaligus merampas rekod terowong terpanjang di dunia dari Jepun. 

Pembinaan Terowong Gotthard Base itu dianggap pencapaian baru dalam penghasilan jaringan pengangkutan berkelajuan tinggi yang bakal menghubungkan setiap penjuru Eropah.: 

Pertama kali dicadangkan oleh jurutera Switzerland, Eduard Gruner pada 1947, terowong itu bakal digunakan untuk penghantaran jutaan tan barangan yang pada masa ini dihantar menggunakan lori melalui pergunungan Alps. 

Pembinaan terowong itu mempunyai kepentingan ekonomi kepada negara Eropah itu kerana memudahkan penghantaran barangan ke pelabuhan di Belanda dan Itali. 

Terowong terpanjang di dunia itu juga dibina bagi mengurangkan kerosakan kepada landskap pergunungan Alps disebabkan oleh kenderaan berat yang melalui kawasan itu.sumber

Ibadah korban sunat, cukup sekali dilaksanakan seumur hidup




2010/10/17

Soalan: KETIKA ini, banyak iklan mengenai ibadat korban dipaparkan. Bolehkah ustaz menjelaskan hukum melakukan korban? Apakah ada dalam al-Quran dan hadis? 

YUSRI,
Ukay Perdana.



 Jawapan: Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 36 yang bermaksud: “Dan Kami jadikan unta sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu, menyembelih unta yang ada kebaikan bagi kamu, oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas 3 kakinya, maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta..”
Dalam surah lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban.” (surah al-Kauthar ayat 2). 

Berkorban atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih haiwan tertentu pada Aidiladha dan dua atau tiga hari sesudahnya adalah antara tuntutan agama yang ditegaskan dalam ayat al-Quran di atas. 

Imam Abu Hanifah menilainya wajib bagi setiap orang yang mampu berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah beliau berkata: “Sesiapa yang memiliki kemampuan dan tidak mahu berkorban, maka hendaklah ia tidak mendekati tempat solat kami.” 
Menurut fahaman penganut mazhab Hanafi, ancaman ini menunjukkan wajibnya berkorban. Mazhab lain pula menilainya sebagai sunat muakkad (iaitu sunat yang amat ditekankan melakukannya) berdasarkan sekian banyak hadis. Antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, “Aku diperintahkan berkorban, sedangkan itu sunat bagi kamu sekalian.” 

Ibn Abbas berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang menjadi kewajipan atas diriku dan ketiganya adalah sunat bagi kamu sekalian, iaitu (solat) witir, menyembelih korban dan solat Duha.” 

Menurut Mazhab Syafie, sunat ini cukup dilaksanakan sekali seumur hidup. Di samping itu, disunatkan pula setiap ketua keluarga atau seorang ahli keluarga berkorban untuk dirinya (sekiranya belum dilakukan) atau atas nama seorang ahli keluarganya. Kalangan ulama juga sepakat bahawa haiwan yang boleh dikorbankan mestilah unta, lembu atau kerbau. Haiwan-haiwan itu boleh dikongsi iaitu seekor bagi tujuh orang. Kambing pula tidak boleh dikongsi iaitu seekor seorang. 

Haiwan itu selayaknya yang sihat dan sempurna, baik jantan mahupun betina. Mengenai hukum memakan daging korban yang disembelih, majoriti ulama membolehkannya. Jika korban itu dilakukan untuk memenuhi nazar, maka imam Abu Hanifah dan imam Syafie melarang orang yang bersangkutan dan keluarganya memakan dagingnya. Dalam mazhab Maliki, Hambali dan Hanafi disunatkan bagi orang yang berkorban untuk menggabungkan antara memakannya dan membahagikannya. Bahkan, seandainya dia memakan semuanya atau menyimpannya selama tiga hari kemudian, maka yang demikian itu dibolehkan menurut Mazhab Hanafi dan Maliki, walaupun hukumnya makruh. 

Bagi Mazhab Hanafi dan Hambali, disunatkan untuk membahagi daging korban, iaitu sepertiga untuk diri dan keluarganya, sepertiga untuk teman-teman (walaupun kaya) dan sepertiga untuk fakir miskin. 

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 36 surah al-Haj yang bermaksud: “...Kemudian jika ia (haiwan yang dikorbankan itu) tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang yang tidak meminta dan yang meminta…” 

Imam Malik tidak menetapkan kadar tertentu. Penganut mazhab ini berpegang pada sekian banyak hadis yang menganjurkan agar memakan, memberi makan dan menyisihkannya untuk disimpan. Hadis yang dimaksudkan itu terkandung dalam kitab, antaranya Kitab Nayl al-Awtar yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa Nabi SAW bersabda: “Aku tadinya melarang kamu semua menyimpan daging korban lebih tiga hari kerana adanya addhafat. Kini, sudah datang kelapangan daripada Allah. Maka simpanlah semahu kamu.” 

Menjual sesuatu yang berkaitan dengan haiwan korban tidak dibenarkan sama ada kepala, daging, kulit atau bulunya. Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa menjual daging haiwan korban, maka tidak ada (iaitu tidak sah) korbannya.” Hadis ini riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi. Begitu juga tidak dibenarkan memberikannya sebagai upah kepada penyembelih. Tetapi harus memberikannya sebagai hadiah kepadanya atau kepada orang yang wajar menerimanya. 
Selain itu, yang berkorban atau yang lainnya dapat memanfaatkan kulit haiwan korban untuk dibuat rebana atau produk lain. Wallahua’lam. sumber

Bas maut


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/17

  • Foto
  • Foto

  • Foto
Sikap manusia punca jalan raya jadi pusara

SELANG beberapa bulan, akan ada kemalangan ngeri di negara kita terutama membabitkan bas dan terbaru, 12 nyawa melayang hingga menimbulkan semula persoalan bagaimana tragedi itu berlaku. Sememangnya banyak cadangan dan pandangan yang disuarakan apabila ia terjadi tetapi ia selalunya tidak ke mana.Apabila berlaku saja kemalangan seperti itu, ramai pihak melontarkan pelbagai pandangan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab pula akan muncul dengan saranan serta cadangan tertentu. Tetapi bila diperhati, sesetengah kenyataan itu bagaikan ‘hangat-hangat tahi ayam.’Ini semua perlu kajian menyeluruh dan cari punca sebenar hingga ke akar umbi, bukan ‘mencari kesalahan’ semata-mata. Bayangkan, purata 18 kematian di jalan raya setiap hari di bumi Malaysia ini.

Selain kelajuan dan mengantuk yang menjadi faktor utama kemalangan berlaku, ada beberapa faktor lain yang perlu diambil kira jika ingin melihat tragedi ngeri itu tidak berulang sekurang-kurangnya dalam tempoh waktu terdekat.

Perunding Pengangkutan Awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berkata keadaan jalan raya tidak boleh dikaitkan sebagai faktor kerana tahap lebuh raya di Malaysia setaraf dengan di Britain.

“Pemandu memandu melebihi had laju kerana mengejar trip. Jika kita boleh padamkan keinginan itu, saya yakin kemalangan boleh dielakkan. Ia boleh dibuat dengan cara kerajaan menetapkan gaji minimum untuk pemandu bas. 
“Sebagai contoh, jika gaji minimum untuk pemandu ditetapkan pada kadar RM1,500 sebulan, mereka tidak akan gila mengejar trip kerana ada atau tidak trip, mereka tetap akan menerima gaji itu. Apa yang berlaku sekarang ialah gaji asas pemandu terlalu rendah dan mereka perlu menampungnya dengan trip.

“Apabila terlalu mengejar trip, mereka tidak cukup tidur dan keletihan. Dalam keadaan itu, kemalangan amat mudah berlaku,” katanya.

Katanya, pemandu bas di negara ini jauh ketinggalan dari segi pengetahuan dan ilmu berbanding pemandu negara maju yang amat memahami kerjaya mereka. Pemandu di negara maju mempunyai pengetahuan meluas mengenai tugas mereka melalui pembacaan dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya keselamatan penumpang.

“Kajian menunjukkan 18 orang meninggal dunia setiap hari di Malaysia akibat kemalangan. Namun jika kita bertanya kepada pemandu bas, berapa ramai yang tahu data itu? Dalam 10 orang, saya rasa susah nak jumpa seorang yang tahu perangkaan itu.

“Lain halnya dengan pemandu di luar negara. Mereka membaca dan pengetahuan mereka luas yang menjadikan mereka begitu faham kerjaya mereka. Mereka tidak gopoh dan bersistematik. Lain dengan kita di negara membangun dan negara dunia ketiga. Tamadun kita belum sampai ke tahap mereka yang menjadikan kita kurang berpengetahuan dan agak gopoh.

“Bayangkan jika pemandu kita tahu mengenai data 18 kematian sehari setiap hari akibat kemalangan, saya percaya mereka akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau juga mencadangkan diperkenalkan satu kempen supaya orang di sekeliling berperanan dalam mendidik pemandu supaya lebih bertanggungjawab.

“Orang yang paling dekat dengan pemandu ialah isteri, anak dan penumpang. Mungkin ada baiknya jika ada iklan isteri mengingatkan suami mengenai data 18 kematian sehari dan meminta supaya suami mematuhi had laju.

“Begitu juga perlu ada satu mekanisme mendekatkan penumpang dengan pemandu supaya penumpang boleh menegur pemandu jika pemanduannya mendatangkan bahaya nyawa orang lain. Kita kena wujudkan budaya tidak takutkan pemandu bas, cuba wujudkan hubungan mesra pemandu dengan penumpang.

“Selama ini mungkin ada penumpang yang takut dengan cara pemanduan tetapi tidak ada saluran untuk menegur. Penumpang boleh menjadi pencegah kepada pemanduan melebihi had kelajuan,” katanya.

Beliau juga berkata, kemalangan membabitkan bas sehingga mengorbankan banyak nyawa tidak boleh dielakkan sama sekali kerana ia berlaku disebabkan sikap manusia.

“Ini bukan masalah takdir semata-mata atau sebagainya. Ini adalah sikap manusia yang menjanjikan tragedi itu tetap berlaku tetapi jika kita boleh menjarakkan kejadian itu misalnya jika dulu enam bulan sekali menjadi setahun sekali dan kemudian mungkin lima tahun sekali, saya rasa itu sudah baik,” katanya.

Malaysia antara negara catat kes tertinggi

DI negara miskin dan membangun, kematian disebabkan kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh permukaan jalan raya yang teruk, keadaan kenderaan yang sudah uzur, pemandu mabuk dan tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini tidak wujud di negara maju. Malaysia, negara membangun tetapi sedang menuju menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Keadaan jalan raya di negara kita bertaraf ‘kelas dunia’ tetapi perangkaan menunjukkan 18 kematian sehari disebabkan kemalangan jalan raya.

Tahun lalu, laporan pertubuhan International Transport Forum berpejabat di Paris, menyenaraikan Malaysia antara 33 negara mencatatkan kematian nahas jalan raya tertinggi iaitu 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduknya. Jalan raya di Britain, sebaliknya disifatkan sebagai paling selamat dengan purata 3.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk. Tiga negara yang mencatatkan rekod nahas yang kian buruk adalah Argentina, Kemboja dan Malaysia dengan peningkatan 12 peratus kes kematian jalan raya pada 2000 berbanding 2009.

Kajian itu hanya mengulangi peringatan menerusi penyelidikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1999 yang menganggarkan antara 750,000 hingga 880,000 kematian nahas jalan raya, majoritinya atau 85 peratus membabitkan negara membangun.

Di Nigeria misalnya, kajian kematian akibat kemalangan menunjukkan penyebab utama ialah sikap manusia itu sendiri. Contoh paling jelas ialah pemandu yang mabuk. Manusia juga cuai untuk memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik malah selalunya gagal mematuhi peraturan keselamatan.

Di sesetengah negara, kanak-kanak tidak dibenarkan duduk di depan, begitu juga menjadi satu kesalahan penumpang tidak memakai tali pinggang keselamatan. Namun peraturan itu tidak dilaksanakan di negara membangun.

Keadaan jalan juga menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya di seluruh dunia. Jalan raya di pedalaman selalunya membahayakan. Dalam konteks negara membangun, keadaan jalan raya adalah faktor utama kemalangan. 

Banyak jalan menjadi perangkap maut dengan lubang digali di sepanjang jalan. Jalan raya juga dihalang oleh kenderaan rosak atau sampah yang dibuang agensi kerajaan. 

Papan tanda juga tidak banyak membantu. Projek yang terbengkalai selalunya menyebabkan jalan raya tidak dibina dengan baik dan akhirnya membahayakan manusia.

Di negara maju, agensi yang bertanggungjawab tidak menutup lubang atau kemudahan pengairan akan dipertanggungjawabkan di atas sebarang bentuk kemalangan. Di negara membangun, kerajaan bertanggungjawab memastikan kenderaan yang dijadikan pengangkutan awam memenuhi piawaian minimum dan bertanggungjawab sepenuhnya bagi pembinaan dan keselamatan jalan raya.

Kajian antarabangsa juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi dinaunginya seperti WHO, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan serta Bank Dunia perlu menubuhkan badan khas mengawasi peranan kerajaan dalam menangani kemalangan jalan raya dalam usaha membendung peningkatan kemalangan jalan raya di negara membangun.

Antara nahas bas di luar negara setakat tahun ini:


  • Nigeria: Tiang elektrik patah di Port Harcourt, menimpa dua bas menyebabkan 11 maut terkena kejutan elektrik pada 13 Februari

  • India: Sebuah bas yang membawa rombongan tetamu majlis perkahwinan terjunam ke dalam gaung di India yang membunuh 22 orang pada 17 Februari.

  • Peru: Dua bas bertembung di Lebuh Raya Panamerican membunuh 38 orang pada 22 Februari.

  • Nepal: Sebuah bas yang penuh sesak terjunam ke dalam sungai di Kathmandu mengorbankan 24 orang pada 18 Mac.

  • Pakistan: Sebuah bas terjunam ke dalam sungai di Haramosh Peak membunuh 12 orang pada 16 April.

  • China: Trak bertembung dengan bas di wilayah Liaoning yang mengorbankan 32 orang pada 23 Mei.

  • Korea Selatan: Sebuah bas terjatuh daripada jambatan membunuh 12 orang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 3 Julai.

  • Albania: Empat belas maut apabila sebuah bas terjatuh daripada cerun berhampiran bandar raya Durres pada 18 Julai.

  • Ukraine: 40 maut apabila bas yang melintasi melanggar lampu merah dilanggar kereta api pada 12 Oktober. 
  • Sihir satu jenayah











    "AKU tahu perbuatan ini dosa besar. Tapi aku tak kisah nak santau dia sampai mati pun. Aku sanggup tanggung segala dosa!"
    Demikian ungkapan kesumat seorang wanita Melayu yang nekad mensantau bekas teman lelakinya seperti yang diceritakan rakan penulis, Suhaila.
    Suhaila mengimbas kata-kata yang pernah berdesing di cuping telinganya itu sekitar empat tahun lalu.
    "Aku dengar-dengar, lelaki itu sudah pun mati," cerita Suhaila.
    Sihir atau ilmu hitam bukan perkara baru. Menurut sejarahwan, amalan melakukan sesuatu menerusi bantuan makhluk halus seperti jin dan syaitan telah berakar umbi sejak sekitar 5,000 tahun Sebelum Masihi.
    Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir begitu kuat dan mereka yang mahir dalam bidang ini digelar asipu.
    Dalam tamadun Rom dan Yunani, ahli-ahli sihir mereka mampu melumpuhkan seseorang dengan bacaan mantera manakala dalam tamadun Mesir, ahli-ahli sihir yang hebat digaji menjadi pengawal peribadi.
    Di Malaysia kini, cabang-cabang sihir didapati pada amalan santau, pukau, tuju-tuju, ubat guna-guna dan sebagainya.
    Seorang lelaki dari Pulau Pinang, Salman (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun menderita penyakit misteri selama setahun.
    Berat badannya susut secara mendadak daripada 80 kilogram (kg) menjadi 40 kg dalam tempoh yang agak singkat.
    Setiap kali menjelang Maghrib, dia tidak boleh mengangkat kakinya untuk berjalan sehingga perlu berpaut pada tembok dinding di rumah.
    Dia mendakwa doktor tidak mempunyai penjelasan tentang penyakitnya.
    "Setelah doktor sendiri hairan dengan penyakit saya, saya berjumpa bomoh. Bomoh menyuruh saya membasuh muka kemudian dia memberikan saya cermin.
    "Saya lihat ada benang, duri, serpihan kaca dan sekam menempel pada muka saya.
    "Saya menyentuhnya dan memang terasa ia ada di situ.


    PERBUATAN menyihir hingga menyebabkan mangsa menderita bahkan menemui ajal perlu dianggap satu jenayah. - Gambar hiasan




    Santau
    "Bomoh itu memberitahu, saya telah disantau. Katanya, mujur saya berjumpanya cepat kerana jika tidak, dalam tempoh sebulan lagi, saya mungkin akan menemui ajal," kata Salman kepada Jurnal.
    Ceritanya, daripada gambaran rupa yang diberikan bomoh itu, orang yang berniat menyantaunya ialah seorang kawannya. Salman kini sudah pulih.
    Mangsa santau tidak mengenal usia. Seorang remaja berusia 14 tahun turut terkena santau. Abangnya, Mohd. Sharul Nizam Sharuddin, 29, berkongsi cerita.
    "Sangat menyayat hati melihat keadaan adik saya pada masa itu. Dah macam mayat hidup.
    "Dah jumpa doktor dan lakukan imbasan sinar X, doktor kata ada tompok-tompok hitam mungkin tibi. Tapi keadaan adik masih tidak baik.
    "Kami akhirnya jumpa seorang bomoh di Perak. Selepas dirawat, adik saya muntahkan serpihan kaca, dawai besi dan rambut.
    "Bomoh beritahu, adik saya telah disantau. Tetapi siapa yang santau kami sendiri tidak pasti," katanya.
    Namun, jauh di sudut hati Sharul Nizam, dia bersyukur kerana adiknya dapat disembuhkan, tidak seperti seorang rakannya yang mati kerana santau.
    "Kawan saya itu disantau dengan teruk sampai segala organ dalam badannya hampir hilang.
    "Dikatakan ia penangan santau Orang Asli. Difahamkan, dia disantau oleh kawan baiknya yang sukakan isterinya," katanya.
    Justeru, apa yang membezakan perbuatan sihir ini dengan perbuatan mencederakan atau membunuh mangsa menggunakan pisau atau senjata lain?
    Sebenarnya, jika dihalusi kedua-duanya adalah perbuatan jenayah iaitu membunuh atau mendatangkan kecederaan.
    Cuma, sihir senjatanya ialah makhluk halus dan kerana itu 'penjenayah' sering terlepas. Mahkamah lazimnya tidak mengambil kira hal-hal berbaur metafizik dan di luar logik akal.


    SIHIR biasanya bermatlamatkan negatif seperti melampiaskan rasa dengki dan cemburu.




    Jenayah
    Namun, keadaan ini mungkin akan berubah. Baru-baru ini, seorang pensyarah universiti mengusulkan supaya kerajaan mewujdkan Akta Jenayah Sihir bagi mengekang amalan itu daripada terus berleluasa dan membawa penjenayah sihir ke muka pengadilan.
    Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail menggambarkan jenayah sihir adalah sesuatu yang bersifat realistik dan bukan retorik.
    Beliau cuba mengetengahkan satu formula yang mampu membawa persamaan antara jenayah sihir dan jenayah biasa.
    "Banyak perkara jenayah di negara ini yang turut dikaitkan dengan perbuatan sihir.
    "Jenayah membabitkan sihir boleh berlaku dalam kes bunuh, mendatangkan kecederaan, rogol, penipuan, kecurian, kes orang hilang, kes cerai dan poligami.
    "Daripada kajian saya juga terdapat 13 kes di mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang membabitkan jenayah ini termasuk kes Mona Fandey.
    "Maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hanya 55 peratus kes orang hilang diketahui puncanya sedangkan bakinya tidak diketahui.
    "Terdapat juga kekerapan mangsa santau yang kembali mendapat santau selepas beberapa bulan dirawat.
    "Semua ini mendorong kita untuk segera membanteras masalah ini," katanya yang turut mempunyai pengalaman merawat gangguan makhluk halus.
    Mahyuddin menjelaskan undang-undang berkenaan sihir juga bukan perkara baru. Ia pernah wujud di England dan Australia.
    Ia juga masih wujud di negara-negara Afrika, India, China dan Arab Saudi.
    Namun, kebanyakannya hanya bertumpu pada aspek tertentu misalnya, di China, peruntukan undang-undang jenayah yang diluluskan pada tahun 1979 berkisar tentang mendapatkan wang dengan helah sihir.
    Di Arab Saudi pula penjenayah sihir dikenakan hukuman pancung. April lalu, seorang lelaki Lebanon dijatuhi hukuman pancung di Arab Saudi atas dakwaan mengamalkan ilmu sihir.
    Cedera atau kecederaan parah yang terjadi akibat sihir juga tidak bercanggah dengan maksud cedera yang terdapat dalam Seksyen 319, Kanun Keseksaan.
    Ini bermakna sihir yang menyebabkan kecederaan atau kesakitan termasuk lumpuh, tuli, buta, bisu dan sebagainya dianggap satu jenayah.
    Bagaimana hendak membuktikan perkara yang dianggap ghaib ini?
    Mahyuddin menjelaskan, walaupun dianggap perkara ghaib namun hal-hal sihir biasanya hanya akan berlaku menerusi peralatan dan alat-alat itu boleh menjadi bahan bukti di mahkamah.
    "Sihir berlaku kerana perjanjian antara manusia dengan makhluk halus dan perjanjian itu biasanya menghendaki manusia melakukan pemujaan dan menyediakan bahan-bahan sihir.
    "Secara asasnya terdapat dua kategori bahan iaitu bahan luaran (bahan yang bukan berasal dari tubuh mangsa atau orang yang menyihirnya) atau bahan dalaman (bahan yang berasal dari diri mangsa dan penyihirnya).
    Bukti
    "Antara contoh bahan luaran yang biasa digunakan ialah darah, najis, tengkorak, abu mayat, simpulan kain, air lipan bara, katak puru bertanduk, hati kura-kura, kaca, paku, ranting bunga kertas, benang, tanduk kerbau, tanah liat, lilin atau jerami yang dibentuk menjadi patung.
    "Bahan dalaman pula seperti apa-apa yang menjadi identiti mangsa atau orang yang hendak melakukan sihir seperti pakaian, pakaian dalam, kuku, rambut, bulu roma dan tuala," katanya.

    SIHIR boleh menyebabkan sakit pada anggota badan tertentu.



    Elemen penting dalam penentuan terdapat jenayah atau tidak seperti mens rea (niat) dan actus rea (tindakan) juga boleh dikenal pasti.
    "Tukang sihir juga boleh dianggap sebagai pembunuh upahan atau penceroboh seperti dalam kes jenayah biasa.
    "Pengamal sihir akan didakwa bersama-sama kerana bersubahat dalam jenayah.
    "Bahan bukti juga boleh menyatakan niat mereka yang menyantau sama ada untuk membunuh atau sekadar mencederakan.
    "Misalnya, jika jarum dicucuk pada otak atau jantung patung itu menandakan tujuan bunuh dan jika dicucuk pada anggota lain seperti tangan dan kaki, ia mungkin sekadar mahu mencederakan," ujarnya.
    Jelasnya, dalam hal penyiasatan, satu badan perlu diwujudkan, misalnya menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir.
    Siasatan turut dilakukan dengan kerjasama antara pakar forensik dan pakar rawatan sihir yang terbukti kredibilitinya dan boleh dipercayai.
    "Akta Jenayah Sihir perlu ada. Selama ini orang mungkin memilih kaedah sihir untuk membunuh atau mencederakan kerana fikir ia tidak meninggalkan bahan bukti lalu mereka terlepas.
    "Mereka hanya menyerahkan kepada makhluk halus untuk 'mengerjakan' mangsa.
    "Sedangkan apa yang dilakukan juga jenayah dan patut dibawa ke muka pengadilan," ujarnya sambil memetik kata-kata sarjana Barat, Emmet V. Mittlebeeler:
    "Kalau undang-undang jenayah itu digubal bertujuan menjaga kepentingan awam, maka jenayah sihir ialah jenayah paling utama yang perlu dibanteras."
    sumber