Pages

Showing posts with label Menara. Show all posts
Showing posts with label Menara. Show all posts

Saturday, October 29, 2011

'Menara pokok' berkembar dalam pembinaan




Lakaran artis mengenai konsep hutan di menara Bosco Verticale yang sedang dalam pembinaan di Milan, Itali. - Agensi


MILAN 28 Okt. - 'Menara pokok' berkembar yang diberi nama 'Bosco Verticale' yang dipenuhi pokok-pokok dan tumbuhan renek, mungkin menjadi menara pertama seumpamanya di dunia.
Menara berkembar yang sedang dalam pembinaan dengan setiap satu menara setinggi 111 meter dan 79 meter itu bakal menempatkan kira-kira 730 pokok, 5,000 tumbuhan renek serta 11,000 tumbuh-tumbuhan lain.
Pengarah Boeri Studios, Michele Brunello, 35, bertanggungjawab menguruskan projek tersebut yang telah direka sejak 2006.
"Idea untuk membina 'menara pokok' muncul ketika menyertai satu projek menanam pokok.
Menurutnya, Bosco Verticale dengan setiap satu menara setinggi 27 tingkat terletak di Milan, utara Itali itu akan turut menempatkan apartmen kediaman.
Pokok-pokok akan ditanam dalam pasu sebelum dipindahkan ke menara tersebut apabila siap sepenuhnya.
"Bosco Verticale direka untuk menempatkan pelbagai jenis tumbuhan yang boleh bertindak sebagai penapis pencemaran kepada penghuninya," katanya.
Setiap unit apartment itu dijual dalam lingkungan 560,000 pound (RM2.8 juta) untuk keluasan 80 meter persegi dan 1.7 juta pound (RM8.5 juta) bagi keluasan 200 meter persegi
"Menara tersebut bukan hanya menitik beratkan isu kehijauan dan semula jadi, malah ia turut mementingkan keselesaan dan keselamatan penghuninya.
''Kami telah melakukan pelbagai kajian serta ujian untuk memastikan semuanya berjalan lancar," ujar Brunello sambil menyatakan idea asal projek tersebut diilhamkan oleh arkitek terkenal Milan, Stefano Boeri. - AGENSI

Thursday, August 4, 2011

Menara tertinggi dunia dijangka siap 5 tahun lagi



RIYADH: Pengerusi Syarikat Kingdom Holding (KHC), Putera Alwaleed bin Talal semalam mengesahkan syarikat bersekutunya, Syarikat Jeddah Economic (JEC) sudah menandatangani perjanjian SR4.6 bilion (RM3.7 bilion) dengan Kumpulan Binladen untuk membina menara paling tinggi di dunia di Jeddah.
Bangunan itu yang akan digelar ‘Menara Kingdom’ akan menjangkau lebih 1,000 meter dan pembinaan struktur mercu tanda itu yang boleh melihat Laut Merah dan Obhur Creek akan siap dalam masa lima tahun tiga bulan.

Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat KHC di Riyadh, Alwaleed berkata, projek itu menjadi simbol kepada keyakinan terhadap perkembangan perniagaan di bawah pucuk kepimpinan Raja Abdullah.

“Dasar jangka panjang Raja Abdullah dan kerajaannya menggalakkan masyarakat peniaga melaksanakan projek berjumlah berbilion-bilion riyal seumpama itu,” kata Alwaleed.

Beliau turut menolak sebarang kesan negatif terhadap ekonomi Saudi akibat daripada kekacauan serantau.

Alwaleed juga berkata, status ikon bangunan itu tidak akan bergantung semata-mata pada ketinggiannya.

Menara itu akan menjadi bangunan utama dan fasa pertama pembinaan Kingdom City, projek pembangunan bandar baru JEC yang meliputi kawasan seluas 5.3 juta meter persegi.Menurutnya, projek itu akan menyediakan keuntungan mapan kepada pemegang saham Kingdom Holding.Dengan kawasan pembinaan seluas lebih 500,000 meter persegi, Menara Kingdom akan turut mengandungi bangunan hotel dan apartmen Four Seasons, kondominium mewah dan dek meninjau yang lebih tinggi daripada dek meninjau paling tinggi di dunia ketika ini. Merujuk kepada projek itu, Talal Al-Maiman, anggota lembaga pengarah KHC dan JEC, yang ditubuhkan pada 2009 untuk pembangunan Bandar Raya Kingdom berkata: “Wawasan membina menara paling tinggi di dunia di Jeddah adalah milik Alwaleed.Ia dirancang dengan begitu pintar dan dengan menjadikannya bangunan paling cantik dibandingkan dengan bangunan lain di dunia,” katanya. - ANhmetro

Sunday, January 23, 2011

Menara setinggi 135 meter bakal jadi mercu tanda baru di Langkawi



GAMBAR model menara setinggi 135 meter yang akan dibina di Langkawi sebagai tarikan baru pelancongan. – bernama


LANGKAWI 22 Jan. – Sebuah menara setinggi 135 meter dengan dua ciri istimewa iaitu menara peninjau dan sebuah restoran, yang dianggar menelan kos lebih RM10 juta akan dibina sebagai mercu tanda baru pulau peranginan ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau yakin pembinaan menara yang dirancang sejak lebih 20 tahun itu bakal menjadi tarikan baru pelancongan.
“Saya diberi penghormatan menamakan menara itu, tapi belum dapat nama yang sesuai sehingga kini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan menara itu di Pantai Kuah hari ini.
Beliau berkata menara itu akan membolehkan lebih 50 pengunjung berada di tingkat atas pada satu-satu masa dan pelancong dapat melihat pemandangan indah di sekelilingnya, termasuk ketika matahari terbenam.
Selain itu, pengunjung boleh menikmati makanan di sebuah restoran yang akan ditempatkan di menara tersebut.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri menyokong pembinaan menara tersebut.
“Kita memberi kemudahan kepada syarikat yang hendak membangunkan menara itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah itu.
Pengerusi Eksekutif Syarikat Blackrock, Datuk Abu Hassan Mohamed sebagai pemaju projek itu berkata, tanah seluas 11.33 hektar di pesisir pantai berhampiran Kuah akan ditebus guna pada bulan depan.
Beliau berkata projek pembinaan menara itu akan bermula Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Katanya, sebuah pusat sehenti pelancongan dan gerai makanan yang menghidangkan juadah tempatan akan turut dibina di kawasan menara sebagai tarikan.
Selain itu, kawasan nelayan di situ akan dibangunkan untuk manfaat bersama.
– BERNAMA

Sunday, October 24, 2010

Menara jam tertinggi di Mekah

sumber http://salafus-sholih.blogspot.com
Setelah beberapa entry sebelum ini agak serius, kali ini saya ingin berkongsi kisah yang saya kira ramai yang sudah tahu iaitu mengenai sebuah menara jam tertinggi di dunia yang baru sahaja siap dibina di Mekah. Nama lengkap bagi menara jam ini adalah Menara Jam Diraja Mekah atau nama popularnya Menara Abraj Al-Bait. Menara jam ini dibina oleh syarikat pembinaan tersohor Arab Saudi iaitu, Saudi Binladin Group membabitkan 250 tenaga kerja mahir umat Islam. Ianya terletak bertentangan dengan Masjidil al Haram di atas tapak Kubu Pertahanan Ajyad di zaman Khalifah Uthmaniyah yang telah diruntuhkan.
Menara jam berketinggian 601 m
Antara yang menarik mengenai kompleks yang menempatkan menara jam ini adalah ruang legarnya adalah sangat besar, berukuran 1,500,000 m2(16,150,000 kaki persegi). Ketinggiannya akan melebihi Emirates Park Towers di Dubai yang kini merupakan sebuah hotel tertinggi di dunia dan ianya bakal menempatkan hotel bertaraf 7 bintang. Ini menjadikan menara jam ini sebagai bangunan kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian keseluruhan adalah 601 m, mengatasi menara Taipei 101 (509 meter) dan berada di belakang Burj Khalifa (828 meter).
Jam yang berada pada setiap sudut menara adalah berukuran 43 × 43 m menjadikannya sebagai sebuah jam yang paling besar di dunia. Muka jam yang berdiameter enam kali lebih besar daripada Big Ben di London itu ditulis dengan nama Allah di atasnya dan akan diterangi dua juta cahaya LED. Menara itu turut dilengkapi 21,000 cahaya putih dan hijau yang akan berkilauan sejauh 30 kilometer sebagai pemberitahuan bagi lima waktu solat fardu. Jam ini menggunapakai waktu standad Arab Saudi, tiga jam ke hadapan daripada Waktu Rasmi Dunia (Universal Time Standard). Terdapat ura-ura mengatakan menara jam tersebut bakal menggantikan Universal Time Standard yang sudah berusia melebihi 126 tahun yang lebih dikenali sebagai Greenwich Mean Time (GMT). Dalam persidangan di Doha pada 2008, ulama dan cendekiawan Islam berpendapat waktu di Makkah adalah waktu sebenar meridian dunia kerana kedudukan Mekah di tengah-tengah dunia.

Terletak bertentangan dengan Masjidil al Haram


Diterangi dua juta cahaya LED pada waktu malam
Perbandingan ketinggian di antara bangunan-bangunan lain
Sebelum mengakhiri entry ini, marilah kita menghayati sabda Rasulullah SAW berikut. Walaupon hidup lebih 1431 tahun dahulu, baginda telah mengetahui apa yang bakal berlaku hari ini, membuktikan kebenaran Rasul sebagai utusan Allah. Subhanallah...
Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata; suatu ketika Rasulullah s.a.w. nampak di tengah-tengah orang ramai. Lalu baginda didatangi oleh seseorang yang menanyakan kepadanya: “Wahai Rasulullah s.a.w. bilakah terjadinya kiamat?” Nabi s.a.w. menjawab dengan bersabda: “Tidaklah orang yang ditanya mengenai masalah itu lebih mengetahui daripada yang bertanya. Akan tetapi aku akan memberitahukan kepadamu tentang tanda-tandanya. Iaitu, jika seorang ammah (hamba perempuan) melahirkan majikannya, itulah yang termasuk di antara tanda-tandanya. Juga apabila orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian menjadi pemimpin masyarakat, maka itu juga di antara tanda-tandanya. Demikian pula apabila para pengembala domba berlumba-lumba meninggikan bangunan, maka itulah salah satu tandanya di antara tanda-tanda yang lima, yang mana tidak mengetahui yang sesungguhnya selain Allah SWT.” Kemudian baginda membacakan ayat berikut ini: “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia-lah yang menurunkan hujan, serta mengetahui apa yang ada di dalam rahim" (Hadis Riwayat Ibn Majah)