Pages

Showing posts with label kritik. Show all posts
Showing posts with label kritik. Show all posts

Wednesday, November 21, 2012

Dua wanita ditahan kerana kritikan di Facebook




DUA orang wanita yang ditangkap kerana mengkritik di laman sosial Facebooknya berjalan keluar dari sebuah mahkamah di Mumbai semalam.


MUMBAI - Pihak berkuasa India menahan seorang wanita kerana mengkritik dalam akaun Facebooknya mengenai penutupan sebuah kawasan perniagaan di sini bagi memberikan laluan kepada upacara pengkebumian seorang ahli politik berpengaruh India, Bal Thackeray.
Wanita berkenaan menyatakan penutupan tersebut dibuat kerana takut dan bukan kerana menghormati ahli politik tersebut.
Turut ditahan bersama merupakan seorang wanita lain yang menekan butang suka pada komen itu.
Beberapa penganalisis dan pihak media semalam secara meluas mengutuk penangkapan mereka oleh pihak berkuasa negeri Maharashtra sebagai cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Pada Ahad lalu, kedai-kedai, perkhidmatan pengangkutan awam dan kewangan di seluruh bandar raya ini ditutup ekoran kematian pemimpin itu.
Penahanan kedua-dua wanita itu dilihat sebagai langkah oleh polis untuk mengelak daripada berlakunya kekacauan oleh penyokong Thackeray.
Kedua-dua wanita berkenaan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin kelmarin. - AP

Saturday, December 4, 2010

Presiden AS kritik FIFA





ZURICH – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) mengkritik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana memberikan hak penganjuran Piala Dunia 2018 kepada Qatar.
“Saya berpendapat FIFA telah tersilap membuat keputusan,” kata Obama.
Bukan sahaja Obama, tetapi ramai pemimpin lain hairan bagaimana sebuah negeri kecil seperti Qatar yang tidak pernah layak ke pertandingan akhir Piala Dunia dan memiliki suhu panas melampau pada bulan Jun serta Julai ketika kejohanan itu diadakan, boleh mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia.
Qatar mengetepikan AS, Jepun, Korea Selatan dan Australia dalam sesi pengundian rahsia delegasi FIFA pada minggu ini. – AFP

Tuesday, September 7, 2010

Susilo dikritik main gitar

KABANJAHE - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menasihati para petugas bantuan bencana letusan Gunung Sinabung di Tanah Karo, Sumatera Utara, supaya tidak berkecil hati dengan kritikan media yang turut melibatkan dirinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Nasihat tersebut disuarakan selepas Susilo mengaku beliau menerima kritikan pedas di Jakarta kerana bermain gitar dengan tujuan untuk menghiburkan mangsa-mangsa bencana alam di tempat perlindungan sementara.
"Ketika itu, saya bermalam di tempat perlindungan dan bersama-sama bermain gitar untuk menghiburkan mangsa-mangsa bencana alam, tetapi saya dianggap tidak sensitif terhadap kesusahan yang ditanggung mereka," kata Susilo.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sini Tanah Karo semalam.
Menurut Susilo, beliau berbuat demikian dengan niat yang baik.
"Kita tahu sememangnya sukar bagi mereka yang berada dalam situasi seperti ini. Apa yang penting adalah untuk kita terus berkhidmat kepada rakyat," tambahnya.
Menurut akhbar Kompas, gambar Susilo sedang bermain gitar di sebuah lokasi selepas Gunung Merapi meletus dihantar oleh jurugambar Presiden itu kepada pihak media pada 2006.
Gambar-gambar itu kemudian disiarkan oleh pihak media dan kemudian ramai pihak yang mengkritik Susilo. - Agensi