Pages

Showing posts with label jenayah. Show all posts
Showing posts with label jenayah. Show all posts

Monday, July 12, 2010

Jenayah remaja di Haiti


GEMPA bumi merubah kehidupan para penduduknya terutama kanak-kanak dan remaja.


GEMPA bumi yang melanda Haiti menyebabkan sejumlah besar kanak-kanak telah kehilangan ibu bapa masing-masing. Lebih memilukan apabila mereka yang sepatutnya berada di sekolah kini berubah karektor menjadi gangster.
Situasi itu berlaku kerana mereka mahu menyara diri daripada kegiatan jual beli dadah dan memiliki pistol.
Ketidakselesaan di rumah dan makanan yang tidak mencukupi antara cabaran yang terpaksa didepani oleh ribuan remaja di Haiti. Gempa bumi yang berlaku pada 12 Januari lalu telah banyak merobah corak hidup mereka.
Segelintir anak-anak yatim yang miskin menjadikan kehidupan gangster yang tidak berperikemanusiaan sebagai pilihan.
Misalnya di Sun City, sekumpulan anak muda melabelkan diri mereka sebagai Toutou Soleil 19 sering berada di lorong-lorong gelap dan kotor.
Seorang pemuda yang bernama Toutou, 31, sentiasa membawa pisau dan mengakui bahawa senapang-senapang miliknya telah diserahkan ketika pengampunan daripada kerajaan empat tahun lalu.
"Sekitar lapan atau sembilan anak yatim yang tidur di sini semenjak berlakunya gempa bumi," terang Toutou sambil menunjukkan keadaan rumahnya yang daif kerana tiada individu yang datang memberi bantuan.
Dalam pada itu, di luar pintu pondok kelihatan kanak-kanak sedang menghendap sebuah radio yang dipegang oleh Jef. Toutou yang berada di situ memberikan sekotak susu kepada Jef, 14, untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakannya yang lain.
"Ramai kanak-kanak yang terpaksa hidup susah di sekitar Cite Soleil. Meskipun saya tidak tahu jumlah sebenar tetapi mereka memang memerlukan makanan, klinik dan minuman bersih," beritahu Toutou.

KUMPULAN gangster menjadi tonggak kebanyakan remaja di Haiti.


Ketiadaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pegawai tempatan menyebabkan sekurang-kurangnya 300,000 penduduk di Haiti menggunakan kuasa de facto iaitu seseorang yang memegang kuasa tanpa mengikut apa yang ditetapkan oleh undang-undang.
Menjadi penyelamat
Selepas berlakunya malapetaka itu, semakin ramai anak-anak yatim berubah menjadi gangster.
"Mereka datang kepada kami kerana tiada tempat untuk berteduh. Kami cuba untuk membantu mereka tetapi di sini juga tiada apa-apa," jelas Toutou yang menolak topi yang dipakainya ke bawah.
Sementara itu, Jef memberitahu, keluarganya telah terbunuh apabila rumah mereka musnah akibat gempa bumi. Kini dia terpaksa menjalani kehidupan dengan memecah masuk rumah pada waktu malam.
"Kami lakukannya bersama kanak-kanak lain. Kami mahu bersekolah tetapi tidak ada duit," akuinya yang berhenti sekolah selepas tragedi gempa bumi.
"Lagipun kesemua sekolah di Cite Soleil turut musnah," tegas Jimis, 25, yang merupakan seorang ahli kumpulan geng Toutou dan juga penyanyi rap.
Persekitaran tempat tinggal kanak-kanak itu dipenuhi dengan iklan dan tampalan gambar lucah di dinding. Mereka bukannya tidur di tempat yang selesa sebaliknya sekadar beralaskan kotak lama yang diletakkan di atas lantai yang pecah.
Kesemua ahli kumpulan gangster itu amat menghormati Toutou dan menganggapnya sebagai seorang bapa. Kebanyakan anak muda ditangkap kerana melakukan beberapa kesalahan setelah kehidupan masing-masing terabai akibat kematian ibu bapa.
"Ada antara mereka menjual dadah dan memiliki pistol yang telah diberikan oleh kumpulan itu," luah seorang pekerja sosial.
Sejurus itu, Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini melakukan siasatan ke atas anak yatim di kawasan kotor itu. Pekerja PBB bertanggungjawab dengan projek terbabit bagaimanapun masih tidak mempunyai maklumat yang lengkap.
Bagaimanapun, ketua gangster kini berperanan menjadi penyelamat dan jurucakap untuk memberi bantuan.
"Kami memerlukan pertolongan sekurang-kurangnya kanak-kanak itu tidak akan menjadi seperti kami. Jadi mereka tidak akan dipandang negatif dan berbahaya kepada persatuan," beritahu Ea yang turut keluar daripada tawanan Port-au-Prince.

KEHILANGAN ibu bapa akibat gempa bumi menyebabkan ramai remaja di Haiti terlibat dalam jenayah.


Seorang Pengarah Kemudahan Kumpulan Perubatan Antarabangsa Medecins Sans Frontieres, Karel Janssens, memberitahu, bilangan mangsa yang cedera akibat ditembak telah meningkat.
"Perkara itu cukup membimbangkan," ungkapnya.
Sementara itu, seorang lagi ketua pasukan gangster, Patrick menjelaskan, dia tidak gembira sekiranya bantuan perubatan tidak tiba kerana penduduk Haiti pasti akan memberontak.
"Kami akan memperjuangkannya sehingga kami menerima sokongan dan keamanan. Kehidupan di sini seperti tahanan dalam penjara," keluhnya. - AFP

Sunday, June 6, 2010

Kriminal: Kekejaman Yakuza


Susunan MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my
2010/05/30

TERKENAL sebagai samseng atau ‘Yakuza’ paling digeruni di Jepun, Anai Kenichi, 41, antara nama paling dikenali kebanyakan kongsi gelap berikutan mengetuai kumpulan ‘Kato Rengo-kai’, iaitu kumpulan Yakuza kedua berpengaruh dalam dunia jenayah di negara itu.

Kerana kekejamannya itu, beratus-ratus orang maut dibunuh olehnya atau pengikutnya secara kejam, antara paling terkenal adalah dengan memerah limau ke atas badan mangsa yang ditoreh dengan pisau sebelum dibiarkan mati. Malah, dia juga akan menghukum pengikutnya yang belot atau gagal melaksanakan tugas diarahkan.

Selain itu, Kenichi juga dijadikan idola individu yang baru menyertai kongsi gelap di Jepun kerana bijak menjalankan urus niaga senjata api di Jepun dan di luar negara. Kelicikannya melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa turut menyebabkan dia digelar ‘Penjenayah Pintar’.

Pembabitan Kenichi dalam dunia kongsi gelap atau Yakuza di Jepun bermula sewaktu dia masih bersekolah lagi berikutan bapanya turut menganggotai satu kumpulan kecil Yakuza. Ketika masih bersekolah dia sudah ada kumpulan sendiri dan semua pelajar mengikuti arahannya.

Sebaik menamatkan pelajaran di sekolah tinggi, Kenichi memohon melanjutkan pelajaran di universiti namun hanya untuk tiga bulan sebelum meninggalkan pengajiannya selepas memukul tiga ahli kongsi gelap jauh lebih dewasa daripadanya.

Berikutan itu, ketua kumpulan Kato Rengo-kai yang dikenali sebagai Sumiyoshi menariknya masuk ke dalam kongsi gelap berkenaan dan Kenichi ditugaskan mengutip hutang dan wang perlindungan daripada peniaga.

Setahun kemudian, dia dilantik sebagai ‘bouncer’ di disko dimiliki kumpulannya itu dan dia semakin dekat dengan Sumiyoshi sebelum dijadikan orang kanan paling dipercayai.

Ketika berumur 30 tahun, Sumiyoshi melantik Kenichi sebagai ketua kumpulan Kato Rengko-kai dan gandingan mereka berdua merubah Kato Rengo-kai menjadi kumpulan Yakuza sebaris dengan beberapa kumpulan lain seperti Yamaguchi-gumi, Motoyokuto Aioh, Inagawa-kai dan Ichiwa-kai.

Dalam tempoh setahun saja, jumlah pengikut kumpulannya bertambah menjadi 3,000 orang daripada 1,000 orang dan Kenichi mula berani membunuh dan menyeksa mangsanya terutamanya musuhnya daripada kumpulan Yakuza lain.

Kenichi juga menjalin perhubungan dengan kongsi gelap dari luar negara seperti Thailand, China, Vietnam dan Kemboja terutama untuk urusan jual beli senjata api.

Namun, kes pembunuhan dilakukannya pada 2004 merubah hidupnya. Ini kerana mangsanya kali ini ialah anggota polis yang melakukan penyamaran. Dalam kejadian itu Kenichi bersama beberapa pengikutnya melepaskan puluhan tembakan di pelabuhan menyebabkan 13 mati di tempat kejadian.

Biarpun pada mulanya dia berjaya meloloskan diri daripada buruan polis dengan lari ke luar negara dengan pesawat persendirian, namun selepas tujuh tahun hidup dalam buruan Kenichi ditahan pihak berkuasa Thailand pada 10 Februari lalu atas kesalahan tinggal melebihi had visa.

NAMA: Anai Kenichi
USIA: 41 tahun
LAHIR: Jun 1969
FAKTA KES: Kenichi adalah ketua kumpulan Yakuza ‘Kato Rengo-kai’ paling dikehendaki di Jepun berikutan terbabit dalam beberapa siri pembunuhan serta penjualan senjata api secara haram.
STATUS KES: Kenichi yang bersembunyi di Thailand ditahan pihak berkuasa negara berkenaan pada 10 Februari lalu setelah mendapati visa yang dimilikinya tamat tempoh. Berdasarkan maklumat terkini, pihak berkuasa Jepun berusaha untuk membawa Kenichi balik ke negara itu semula bagi membolehkan dia didakwa.

Monday, April 19, 2010

Apabila jenayah berlaku di depan rumah





RAKYAT sudah diperjelaskan secara terperinci apa sebenarnya projek menaik taraf sistem laporan polis (PRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa melibatkan perisik Israel.
Jawapan yang dikemukakan oleh kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa walaupun ia lebih menjurus kepada soal teknikal. Tanpa menafikan wujudnya ahli lembaga pengarah berasal dari Israel pada entiti asal Asiasoft, apa yang disalah mengertikan adalah proses mengambil alih Asiasoft yang kemudiannya memisahkan sama sekali hubungan kerja dengan mereka.
Lagi pun secara logik, PDRM tidak akan mudah terjebak untuk mengguna pakai kepakaran Israel, yang bukan sahaja bertentangan dengan dasar Malaysia yang tidak mengiktiraf negara Yahudi itu, malah dikhuatiri menjadi platfrom untuk rejim Zionis menyelinap dan merisik kegiatan pasukan keselamatan kita.
Nampaknya pasukan polis tidak putus-putus dipolitikkan. Tatkala sebahagian daripada rakyat menganggap isu di atas sebagai proses gemilang demokrasi iaitu periksa dan diseimbangkan antara parti pemerintah dengan pembangkang, sebahagian besar lagi rakyat mahukan fungsi polis diperhalusi oleh kedua-dua pihak dalam konteks membanteras jenayah.
Baru-baru ini, ramai yang menonton siaran berita yang menunjukkan perompak mengejar mangsa sehingga memanjat pagar rumah. Rakaman itu bukan sedutan filem Hollywood. Ia juga bukan kejadian yang berlaku di Kyrgyzstan. Tetapi ia berlaku di bumi Malaysia sendiri. Ini bermakna jenayah kejam sememangnya rancak berlaku di negara ini dan ia boleh berlaku kepada diri kita dan keluarga kita.
Ayat-ayat di atas mungkin tidak sepatutnya ditulis kerana bagi sesetengah pihak, ia dianggap penulisan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan rakyat menjadi panik. Namun, jikapun tidak ditulis perenggan di atas pun, setiap hari kita akan membaca dan melihat kejadian jenayah berlaku sama ada pembunuhan, rompakan, samun, ragut, buang anak dan sebagainya melalui media massa.
Kegelisahan di hati bertambah meruncing apabila jiran di sebelah rumah dirompak pada pukul 11.30 pagi Selasa lalu. Dua penunggang motosikal mendekatinya semasa dia tiba di hadapan rumah, seorang daripadanya membuka helmet sebelum digunakan untuk memecahkan tingkap kiri kereta dan meragut beg tangan jiran yang tergamam dan ketakutan. Difahamkan kes seumpamanya sudah banyak dilaporkan di Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara dan di mana saja.
Mungkin 'panik' bukan istilah tepat untuk menggambarkan perasaan rakyat sekarang, sebaliknya 'trauma' lebih afdal. Ini kerana ia berlaku di depan rumah! Apabila kita ke pejabat, perasaan jadi tidak tenteram memikirkan keselamatan anak-anak yang ditinggalkan bersama orang gaji di rumah. Ada dua lagi jiran yang merupakan pegawai kanan polis pun tidak menjamin apa-apa kerana apabila mereka ke pejabat, risiko masih wujud.
Maka di kalangan jiran mula berbincang. Perlukah diadakan Rukun Tetangga? Ia berkesan pada waktu malam. Bagaimana pada waktu siang? Sedangkan, jenayah kini boleh berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika ramai kaum lelaki tiada di rumah. Cadangan meletak penghadang di pintu masuk pun kelihatan sukar dilaksanakan. Ini kerana dengan hanya satu aduan penduduk yang terasa kebebasannya disekat oleh penghadang akses itu, pihak berkuasa tempatan dengan pantas akan mencabutnya. Jadi, bagaimana?
Di samping mengadakan dialog dengan polis mengenai kaedah-kaedah pencegahan jenayah proaktif di pihak penduduk, pihak polis juga diminta kerap mengadakan rondaan di kawasan perumahan. Mungkin langkah seterusnya adalah membina pondok polis tetap di situ tetapi ia juga bergantung kepada kesudian polis.
Senario ini perlu dinilai oleh wakil-wakil rakyat. Mereka sepatutnya memberi tumpuan jujur bagi menghalusi fungsi polis kepada masyarakat iaitu apakah polis memiliki keupayaan yang cukup baik daripada segi tenaga kerja dan peralatan? Bagaimana tahap kemahiran mereka? Jika kurang, luluskan dana untuk memperkasakan polis.
Dan tentu sekali paling mustahak, kebajikan polis. Ini kerana jika kebajikan mereka dijaga, akan berkuranganlah 'buah epal busuk' dalam pasukan sekali gus persepsi umum akan meningkat.
Pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan kadar baru gaji dan elaun polis untuk anggota berpangkat sarjan, inspektor dan pegawai atasan yang diyakini akan meningkatkan taraf kehidupan anggota polis, sekali gus meningkatkan keupayaan dan prestasi pasukan berkenaan. Ini langkah yang cukup bagus walaupun kena tunggu beberapa lama untuk diluluskan.
Dalam konteks sekarang, adalah mustahak PDRM diberi dana peruntukan yang secukupnya bagi memperkuatkan pasukan baik dari segi anggota, kemahiran dan peralatan. Kebanyakan penjenayah merasakan diri mereka halimunan kerana merasakan tidak wujud anggota polis di kawasan yang mereka hendak serang.
Jika wakil-wakil rakyat baik pembangkang mahupun kerajaan ketepikan sikit hal-hal politik dan tumpukan kepada isu menangani jenayah, alangkah baiknya.

Monday, March 8, 2010

Tentera Malaysia mempunyai aklak terbaik didunia

 Malaysia mempunyai tentera yang terbaik di dunia dan patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia.Tentera Malaysia mempunyai disiplin yang paling bagus didunia, mereka dididik dengan aklak terpuji hasil daripada pemerintahan kerajaan Barisan Nasinal yang bersih, cekap dan amanah. hidup satu Malaysia.Buktinya...Baca di sini

Pelajar sekolah contoh

 Contoh pelajar sekolah yang patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia.Ini adalah hasil daripada
didikan sekolah yang sangat berkesan dalam meningkatkan taraf pendidikan negara. Hidup satu Malaysia.Buktinya...baca di sini

Monday, February 1, 2010

Penjenayah guna Facebook ugut musuh

LONDON: Britain memberi amaran akan mengenakan hukuman berat ke atas banduan yang menyalahgunakan Facebook selepas seorang penjenayah menggunakan laman web sosial itu untuk mengugut musuhnya.

Colin Gunn, yang digeruni di Nottingham hingga kawasan itu dianggap ‘bandar pembunuhan’, berada dalam penjara kawalan keselamatan maksimum dengan hukuman penjara 35 tahun kerana bersubahat membunuh.

Gunn, 42, menjadi dalang pembunuhan balas dendam pasangan John dan Joan Stirland di banglo mereka di Lincolnshire pada 2004 dan dikaitkan dengan tembakan ke atas pereka barang kemas Marian Bates hingga menyebabkan kematiannya pada 2003.
Sejak dipenjara dia berkomunikasi secara bebas dengan 565 rakan penjenayah dalam Facebook sebelum dihentikan Jumaat lalu, dakwa The Sunday Times.


“Saya akan pulang satu hari nanti dan tidak sabar untuk berdepan orang tertentu dan melihat jika mereka takut saya ada di sana,” tulis Gunn dalam satu tulisan yang dicetak akhbar. - Agensi

Wednesday, January 20, 2010

Taktik rompakan dilebuhraya guna telur ayam

UNTUK PENGETAHUAN SEMUA….
Taktik Rompakan Di Lebuhraya Guna Telur Ayam! Ni aku ada dengar satu cerita. Nak kata baru tu tak jugak lah. Cuma sekadar peringatan buat kita semua, supaya sentiasa berhati-hati walau di mana kita berada. Kisah ni terjadi sewaktu member kepada member aku ni, Mat Hassan (bukan nama sebenar) sedang memandu di Lebuhraya Kesas dekat Plaza Tol Puchong menuju ke Kajang 23 Disember 2007 lalu lebih kurang jam 11 malam. Dia bersama isterinya Tipah (juga bukan nama sebenar), pulang dari makan malam di rumah adiknya di Bandar Sunway. Kemudian, sebuah motosikal memotongnya. Si pembonceng tiba-tiba melempar dua biji telur ayam ke arah cermin hadapan (windscreen) kereta Mat Hassan. Habis kotor cermin tu, sampai susah nak tengok depan. Mat Hassan yang terus ter-refleks, tariklah spray wiper. Apalagi terus hilang pandangan hadapan! Langsung tak nampak apa-apa. Mana taknya, telur tu bila diratakan dengan bilah wiper, makin memutih la kat atas cermin tu dengan sebati dan sekata lagi... Terus Mat Hassan berhenti mengejut di lorong kecemasan. Dia pun keluar dari kereta, lap kesan telur tadi. Tipah pulak cemas je dalam kereta. Tiba-tiba sebuah Proton Satria berhenti belakang kereta Mat Hassan. 3 orang lelaki sasa keluar dari kereta terus meluru ke arah Mat Hassan dengan pedang Samurai sebilah seorang sambil menempik menyuruh diorang serah diri - bagi kunci kereta, wallet, dan handset. Nasib baik laa, nak dijadikan cerita, Mat Hassan ni pegawai polis. Polis apa, aku pun tak tau (member aku tak citer pun). Terus dia keluarkan revolver dia dan melepaskan 2 das tembakan kecemasan amaran ke udara. 3 lelaki tadi terus lari lintang pukang, melompat masuk macam orang gila, ke dalam kereta dan terus blah, dengan lajunya, dengan tak bagi isyaratnya.. . Mat Hassan pun terus call bantuan, dan mereka akhirnya selamat. Kesan telur pecah jer tak sempat nak lap lagi. Modus operandi sebegini sebenarnya dah banyak digunapakai di lebuhraya. Mangsa yang dituju biasanya golongan perempuan - lebih lagi yang bawak anak kecil kat belakang. Jadi, tolonglah kita sama-sama kena ingat. Bila perkara sebegini berlaku kepada anda, pastikan: 1. Jangan sesekali tarik spray wiper; 2. Teruskan memandu dengan apa jua keadaan pun, ke mana-mana stesen minyak, balai polis, 7-Eleven, atau mana sahaja tempat tumpuan orang ramai. Tolong pesan sekali kepada semua ahli keluarga, sedara mara dan rakan-rakan Pandulah dengan selamat, wallahu a'lam. P/s: Kadang-kadang bila kita dengar banyak cerita macam ni, kita akan jadi lebih berhati-hati. . Bila perkara yang seumpama ini berlaku pada kita, kita akan jadi lebih alert dan tindakan kita akan jadi lebih proaktif dan berkesan