Pages

Showing posts with label maksiat. Show all posts
Showing posts with label maksiat. Show all posts

Monday, March 19, 2012

Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan

Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan - Kelantan - Sinar Harian:
Sepasang kekasih antara 63 remaja ditahan operasi bersepadu
KOTA BHARU - Sepasang kekasih yang mempunyai ‘gigitan cinta’ di leher antara 63 remaja yang diberi kaunseling dalam Operasi Lepak dan Cegah Jenayah melibatkan lima agensi yang diketuai Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam.

Selain itu, beberapa pelajar yang berpakaian seksi, berpelukan, berpegangan tangan di khalayak ramai turut diberi kaunseling dalam operasi yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di sini.

Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa MPKB-BRI Ramly Che Hussin berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 3 hingga petang itu berjaya ‘menyelamatkan’ 63 remaja, 15 daripadanya adalah pelajar.

“Seramai 22 daripada yang dipanggil itu menjalani ujian saringan air kencing dan kesemuanya bebas pengaruh dadah. Mereka ini diberikan kaunseling serta pelajar yang terlibat dalam operasi diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN),” katanya semalam.

Ramly berkata, lebih mengejutkan ketika operasi dijalankan ada di antara pengunjung tidak segan silu memakai baju ketat, pelajar perempuan tidak bertudung, mendedahkan dada, malah ada juga yang mewarnakan rambut pelbagai warna dan tindik telinga.

Selain itu, ada juga di antara remaja yang memakai baju menjolok mata, lelaki berketerampilan perempuan, pelajar bawah umur mengunjungi pusat snooker turut ditahan untuk kaunseling.

“Kesemua yang ditahan ini diberi peluang untuk mengubah cara hidup mereka dengan mengikuti kaunseling dari pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan ada diantaranya diarahkan menjalani ujian air kencing,” katanya.

Katanya, operasi seperti ini diteruskan dari masa ke masa supaya golongan remaja dan belia boleh akan mematuhi peraturan serta takut untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama Islam.

Operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama Agensi Anti Dadah Kelantan (AADK), Jabatan Pelajaran Kelantan (JPN) dan polis.

Turut serta dalam operasi berkenaan Ketua Inspektor MPKB-BRI, Mohamad Ali dan pegawai JPN, Wan Suraya Arifin.

'via Blog this'

Saturday, August 27, 2011

‘Habuan’ selamat dua adik maksiat

JOHOR BAHRU: Demi menyelamatkan dua adik perempuannya daripada terus bergelumang dosa, seorang kakak menempuh pengalaman pahit apabila putus jari kelengkeng akibat ditetak teman lelaki seorang adiknya.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Hidayah itu berkata, selain putus jari kelengkeng, jari manisnya cedera dan kecacatan itu menyebabkan dia kehilangan pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.
“Lebih memilukan majlis perkahwinan saya yang sepatutnya diadakan akhir Jun lalu turut dibatalkan. Itu ‘habuan’ yang saya terima dalam usaha menyelamatkan dua adik daripada kancah maksiat,” katanya.

Menurutnya, insiden itu berlaku pada 24 Mei lalu di rumah sewa kedua-dua adik perempuannya, dikenali sebagai Aishah, 20 dan Ain, 16, di sebuah taman perumahan di sini dan mereka bersekedudukan dengan teman lelaki masing-masing.


“Kakak mana boleh bersabar dengan sikap mereka yang bukan saja tinggal bersekedudukan dengan lelaki bukan Islam itu sejak April lalu, malah teman lelaki seorang daripada adik saya juga terbabit penagihan dadah,” katanya.hmetro

Monday, June 13, 2011

Pasangan cemar tasik


TAK SENONOH...aksi dua pasangan di Taman Tasik Shah Alam.
TAK SENONOH...aksi dua pasangan di Taman Tasik Shah Alam.


SHAH ALAM: Keindahan taman tasik berhadapan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, dicemari gelagat beberapa pasangan kekasih yang tanpa segan silu melakukan aksi manja di tempat awam.
Pasangan yang asyik bercinta itu berpelukan dan berciuman di kerusi rehat yang disediakan untuk orang awam.

Telatah merpati dua sejoli terbabit diperhatikan orang awam di kawasan itu, tetapi ia tidak diendahkan pasangan terbabit.

Menurut pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Mah, 37, dia terkejut melihat telatah mereka kerana ia tidak boleh diterima masyarakat Melayu yang kaya nilai budaya timur.

“Walaupun jika mereka sah sebagai suami isteri sekalipun, ia tidak bermaksud mereka sewenang-wenangnya boleh melakukan aksi tidak senonoh di tempat awam,” katanya ketika ditemui di sini.


Status pasangan terbabit sama ada berkahwin mahupun bujang tidak diketahui. Namun, rata-rata pengunjung menggeleng kepala melihat aksi mereka.

myMetro | Pasangan cemar tasik

Sunday, April 10, 2011

Keluarga cacamarba

KUALA LUMPUR: Hanya kerana tidak puas bersama suami yang kini uzur, seorang wanita didakwa tergamak menggoda menantunya sehingga menyebabkan rumah tangga anak tirinya bergolak.
Lebih menjijikkan, pasangan itu tidak segan silu bermesra di kawasan perumahan dan ada ketikanya mengaku sebagai suami isteri.

Perkara itu dibongkar anak tiri wanita berkenaan, Azimah (bukan nama sebenar), yang kini menjeruk perasaan apabila suaminya dikebas ibu tirinya.

Menyedihkan apabila dia hanya mengetahui hubungan itu beberapa bulan lalu sedangkan mereka dipercayai sudah berbuat demikian hampir tiga tahun lalu.

Secara kebetulan, keperitan itu sama seperti dilalui ibunya kira-kira 17 tahun lalu apabila terpaksa berkongsi kasih sayang ayahnya. Azimah mendakwa ibu tirinya seorang yang kuat seks dan perkara itu diakui bapanya yang kini tidak mampu lagi melayan wanita itu apabila menghampiri usia 70 tahun.


“Bapa saya pernah berhasrat melepaskan ibu tiri saya apabila tidak mampu melayan nafsu isterinya namun dia enggan diceraikan,” katanya yang ditemui di Bandar Kinrara, baru-baru ini.

Katanya, hubungan ibu tiri dengan suaminya memang rapat sejak kebelakangan ini namun dia langsung tidak menjangka mereka mempunyai hubungan serius.

Menurutnya, ibu tirinya menjadi sebahagian daripada keluarga sejak 1994 sebagai isteri kedua bapanya dan dikurniakan tiga anak.

“Pada awalnya memang sukar saya menerima kehadiran ibu tiri saya dan sering mencari pasal dengannya.

“Namun lama-kelamaan saya pujuk diri saya supaya menerimanya dan menganggapnya suratan takdir,” kata wanita berusia 42 tahun itu.


Namun, kekerapan suaminya menghabiskan masa bersama ibu tirinya sejak Ogos lalu membuatnya terfikir adakah hubungan mereka hanya sekadar menantu dan mentua atau sebaliknya.


Kemuncaknya, tindakan suaminya yang mahu pulang beraya di rumah ibu tirinya di Kelantan dengan alasan mereka berasal dari kawasan sama menguatkan lagi kesangsiannya.


“Suami memberitahu mahu beraya di rumah mama (ibu tiri) dan membiarkan saya sendirian di sini (Puchong) dan pulang ke Kelantan bersama anak saya.


“Malah saya dimaklumkan anak mereka pernah berduaduaan di dalam rumah keluarga mama dan lebih mengejutkan, keluarganya menutup mata merelakan perbuatan itu,” katanya.


Azimah berkata, hubungan terlarang mereka terbongkar dan suaminya mengaku menjalinkan hubungan dengan ibu tirinya.


Pembongkaran itu membawa kepada perpisahan sementara lebih seminggu bagi menenangkan diri.


Atas nama kasih dan sayang terhadap lelaki yang dikahwininya hampir 10 tahun lalu, dia memberi peluang kedua kepada suaminya.


Namun, Azimah sekali lagi kecewa apabila pasangan terlarang itu masih menjalinkan hubungan dan merancang untuk berkahwin.


“Bagaimana mereka mahu berkahwin sedangkan bapa saya belum menceraikan mama, takkan mereka tidak tahu.


“Saya pasti mama lebih tahu status dirinya dan dia bukannya cetek agama,” katanya yang kini tawar hati kepada suaminya.

myMetroKeluarga cacamarba

Tuesday, January 25, 2011

5 Syarat Nak Buat Maksiat


Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullahkalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak. 

Monday, November 29, 2010

MAKSIAT memiliki pengaruh bahaya dan buruk bagi hati serta fizikal manusia.




http://filer.deltacis.net/users/hashim/007.jpg
Antara pengaruh buruk serta bahaya dosa, ia akan memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati. Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman.
Imam Malik berkata: “Aku melihat Allah meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.”
Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.”

# Rezeki tidak lancar

Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.”
Seperti ketakwaan kepada Allah mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran.
# Keterasingan antara Allah
Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu.
Ada seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.”
# Keterasingan antara manusia
Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan.
# Allah akan menyulitkan urusannya
Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada takwa disulitkan urusannya.
# Kegelapan dalam hati
Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedari.
# Maksiat melemahkan kekuatan hati
Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya.
Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka.
# Malas mengerjakan ibadat
Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah nilainya melebihi dunia dan segala isinya.
# Terbiasa berbuat dosa
Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri.
Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan.
Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Saturday, November 27, 2010

Pelaku maksiat tidak akan hidup tenang





Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya
Manusia dicipta untuk bertarung lawan kejahatan, sabar lakukan kebaikan
MENGAPAKAH al-Quran banyak menyebutkan tentang kisah-kisah pelbagai kaum yang berakhir dengan kehancuran? Ia adalah supaya manusia sentiasa beringat bahawa segala bentuk kejahatan itu adalah warisan kehancuran yang mesti ditinggalkan. Jenayah homoseksual adalah peninggalan kaum Nabi Lut, kesombongan dan kezaliman adalah budaya Firaun, manakala gaya hidup bermegah-megah dan melampau telah dipelopori oleh kaum Nabi Hud. Penolakan terhadap seruan iman pula telah berlaku semenjak diutuskan Nabi Adam AS seterusnya berlanjutan hingga kerasulan Muhammad SAW.
Orang yang berasa dirinya suci kadang-kadang memandang orang lain dengan pandangan hina. Mereka sepatutnya memahami hakikat bahawa tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang terlindung daripada kejahatan dirinya sendiri melainkan Nabi dan Rasul-Nya. Kerana aura kejahatan itu merebak di setiap sudut dan ruang dalam kehidupan sehari-hari. Hanya orang beriman saja yang boleh selamat, iaitu mereka yang memiliki sikap sentiasa berjaga-jaga dan waspada terhadap amal perbuatannya yang mudah dicemari oleh unsur-unsur kejahatan.
Sepertimana sikap Umar bin al-Khattab RA yang amat berhati-hati dengan gangguan kejahatan pada dirinya sendiri. Beliau bertanya kepada seorang sahabat:
“Apakah yang dimaksudkan dengan takwa?” Sahabat menjawab: “Pernahkah kamu melewati satu jalan yang dipenuhi duri-duri yang tajam? Pasti kamu akan berhati-hati melaluinya supaya tidak terpijak duri-duri itu. Begitulah keadaan orang yang bertakwa, dia sentiasa beringat dan menjaga dirinya daripada kejahatan dan maksiat yang boleh membahayakan iman.”
Kebaikan dan kejahatan memberi kesan dan pengaruh pada setiap pergerakan manusia. Abdullah bin Abbas pernah berkata:
“Kebaikan memiliki cahaya pada wajah dan hati, melapangkan rezeki, menguatkan badan dan disukai setiap makhluk Allah SWT. Sedangkan kejahatan mengakibatkan kegelapan pada wajah dan hati, lemahnya badan, sempitnya rezeki dan kebencian di hati setiap makhluk.”
Kebaikan dan kejahatan ini akan hidup sepanjang hayat manusia dan terkubur bersama jasadnya ketika mati.
Begitulah hakikat diri kita dicipta hanya untuk bertarung melawan kejahatan dan bersabar melakukan kebaikan. Segala sesuatu yang kita lakukan tidak pernah terlepas dari dua kutub yang saling tarik menarik; kejahatan dan kebaikan. Kedua-duanya memberi kesan terhadap perasaan, pemikiran dan pergerakan kita setiap hari.
Apakah kesan maksiat yang dapat dirasa dalam hati dan peribadi?
Kita memerlukan kejujuran untuk menjawabnya. Benarkah kata-kata Ibnu Abbas di atas?
* Kegelapan di dalam hati
Hati yang suram angkara maksiat tidak mampu menangkap cahaya kebaikan. Apabila maksiat itu telah menjadi darah daging, akibatnya tidak terdetik pun rasa takut melakukan maksiat itu. Hatinya hilang rasa, tidak sensitif dan ragu-ragu lagi melakukan maksiat. Yang paling teruk apabila dia menganggap maksiat itu adalah kebaikan. Atau menilainya sebagai perbuatan yang dimaafkan kerana rahmat Allah Taala. Buta hati! Begitulah keadaan orang yang akhirnya menganggap kejahatan sebagai suatu kebaikan sepertimana dalam firman Allah yang bermaksud:
”Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” – (Surah al-Kahfi: Ayat 103-104)
Tetapi seorang hamba Allah yang beriman amat sensitif hatinya terhadap dosa seakan-akan melihat dosa yang ringan ibarat gunung yang akan menghempapnya. Alangkah dahsyatnya kesan melakukan maksiat, tak kira yang ringan dan kecil sekalipun. Kerana dosa besar itu bermula dari melakukan yang kecil. Zina bermula dari pandangan mata dan senyuman, kemudian berkenalan yang melahirkan rindu dan mahu sentiasa bersama. Bermula menyentuh kulit tanpa sengaja akhirnya ingin memegang dan bersatu jiwa dan raga.
Begitu pula penipu kelas jerung sememangnya telah terbiasa melakukan penipuan kelas bilis, sedikit demi sedikit hingga tidak terasa bahangnya dosa dan maksiat yang telah sebati dalam jiwanya. Betapa pentingnya kita menjaga perkara-perkara yang kecil kerana ia boleh membesar secara senyap. Dosa besar bermula dari melakukan dosa kecil. Semua ini menyumbang kepada kegelapan di hati. Bagaimana mungkin rahmat Allah SWT jatuh di hati yang gelap, kotor dan busuk. Melainkan dengan ketentuan-Nya siapapun boleh diselamatkan jika Allah Taala berkehendak.
* Kegelapan di wajah
Pelaku maksiat sentiasa diikuti bayang-bayang dosa dan rasa bersalah. Hatinya tidak tenang, wajahnya pula menyimpan kesusahan dan kegelisahan. Walaupun di hadapan orang ramai semua itu boleh disembunyikan tetapi dia akan sampai pada tahap tidak boleh menyembunyikan aibnya lagi. Ketika itu Allah Taala telah menyingkap hijab dirinya dan terbukalah segala cacat cela di hadapan manusia. Jika pandangan orang telah menghina dan memburukkan diri kita akibat perbuatan kita sendiri maka kita tidak akan mampu menampakkan keceriaan dan seri pada wajah. Yang tinggal hanya kesedihan, rasa bersalah dan gelisah akibat maksiat yang merendahkah maruah diri sendiri.
* Sempitnya rezeki dan kebencian orang lain
Ummul Mukminin Aisyah RA pernah menuliskan surat kepada Khalifah Muawiyah RA yang berisi:
“Ketahuilah orang-orang yang telah melakukan maksiat kepada Allah, maka orang yang memujinya berbalik akan mencelanya.”
Seorang pemimpin negara seperti Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan RA sentiasa menjadi tumpuan rakyatnya. Oleh itu Aisyah RA berwasiat agar sentiasa sang khalifah menjaga hubungannya dengan Allah Taala dan jangan sekali-kali bermaksiat kepada-Nya kerana perbuatan maksiat itu akan mempengaruhi setiap keputusan sang khalifah dalam mentadbir negara. Seterusnya memberi kesan kepada rakyat, adakah mereka memuji atau membencinya?
Tiada seorangpun manusia yang suka melihat kejahatan berleluasa. Sekecil apapun kejahatan tetap kejahatan dan membawa bala kepada orang lain. Seperti seorang Muslim yang melihat Muslim lain meletakkan keretanya di tepi jalan yang mengganggu jalan kenderaan lain akan merasa benci dengan perbuatan saudaranya itu. Kejahatan bermula dari perkara yang kecil, akhirnya membawa kepada kejahatan lain. Pertengkaran dan buli di atas jalan raya boleh terjadi dan akhirnya menumpahkan darah.
Bagaimana pula orang yang dibenci itu boleh bermuamalat dengan orang lain, sedangkan peniaga yang berakhlak buruk tentulah akan dijauhi. Begitu pula dengan orang yang suka menahan rezeki saudaranya, apatah lagi mendengki, ibarat mahukan milik orang lain, yang di tangan sendiri pasti akan terlepas. Tiada keberkatan dalam rezekinya dan dia kehilangan kasih sayang daripada saudara-saudaranya seiman.
Al-Imam al-Syafie pernah mengeluh dan bersedih menanggung kesan dan akibat maksiat yang beliau rasakan dalam hatinya, beliau mengadu kepada Waki’ (salah seorang guru al-Syafie) dalam untaian syairnya:
”Aku mengadu kepada Waki’mengenai buruknya hafalanku; beliau memberi petunjuk kepadaku agar aku meninggalkan maksiat; Beliau berkata: Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya; sedangkan cahaya Allah tidak mungkin diberikan kepada pelaku maksiat.”
- Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak.

Sunday, November 14, 2010

14 Maksiat yang wajib kita jauhi


http://bashar22.jeeran.com/untitled677676676766.bmp
  1. Makan riba ( mendapat sesuatu secara ).
  2. Minum minuman yang memabukkan.
  3. Makan harta anak secara tidak sah.
  4. Makan makanan yang diharamkan oleh Allah SWT.
  5. Mengumpat, adu-domba, dusta, memaki dan melaknat.
  6. Memandang kepada wanita ajnabi yang membuka aurat secara menimbulkan nafsu.
  7. Mendengar umpatan atau mendengar orang mengumpat.
  8. Mengurangkan sukatan dalam timbangan.
  9. Khianat, mencuri, memukul dan membunuh secara tidak sah.
  10. Berjalan ke tempat yang diharamkan.
  11. Berzina, liwat, mengeluarkan air mani secara tidak sah.
  12. Menderhaka kepada kedua ibu bapa.
  13. Memutus tali Silatul Rahim atau memutus perasaan kasih sayang.
  14. Menzalimi sesama makhluk.
Kitab Faridatul Faraid, m/s : 55.

Friday, November 12, 2010

12 Maksiat Hati


http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc4/hs276.snc4/40152_138225272897062_100001287697500_223884_3937469_n.jpg
  1. Buruk sangka terhadap Allah SWT.
  2. Merasa aman daripada kemurkaan Allah SWT.
  3. Putus asa dengan rahmat Allah SWT.
  4. Bersifat takabbur sesama manusia.
  5. Riak atau melakukan kebajikan dengan tujuan bermegah-megah.
  6. Ujub atau berbangga dengan amal ibadat yang dilakukan.
  7. Dengki dan dendam.
  8. Berazam mengekali ibadat atau berazam sentiasa hidup dalam keadaan maksiat.
  9. Sayang mengeluarkan harta untuk nafqah dan zakat.
  10. Buruk sangka sesama manusia..
  11. Menghina manusia lain tanpa kebenaran syarak.
  12. Memberi sumbangan dan terlibat dalam perkara maksiat.
Kitab Faridah Fara'id , m/s : 55.

Monday, March 29, 2010

Tazkirah Jumaat:Taubat satu keperluan untuk menyucikan diri



Ustaz Zainudin Hashim   
Allah SWT menjelaskan menerusi ayat 7-8 surah as-Syams yang bermaksud : “Dan jiwa manusia serta kesempurnaan penciptaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan (kejahatan) dan taqwa (kebaikan).
Terdapat golongan Mufassirun (ahli-ahli tafsir) menjelaskan bahawa Allah SWT menjadikan hati manusia cenderung kepada kejahatan kemudian baru cenderung kepada kebaikan atau makruf, itupun jika ditakdirkan umurnya dipanjangkan oleh Allah SWT.
Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ada menegaskan, bahawa ramai di kalangan manusia tidak sedar terjebak dalam melakukan dosa dan maksiat, terutamanya yang dilakukan oleh pancaindera yang zahir (luaran) seperti dosa tangan, kaki, mata, telinga, lidah, hidung dan sebagainya termasuk dosa perut dan kemaluan.
Dosa tangan ialah dengan melakukan kecurian atau mengambil hak orang lain secara paksa, dosa kaki iaitu berjalan menuju tempat yang ditegah oleh agama seperti tempat pelacuran dan lain-lain, dosa mata melihat kepada yang diharamkan oleh Allah seperti melihat aurat orang lain, dosa telinga melaui pendengaran kepada perkara mengumpat dan lain-lain.
Begitu juga dengan dosa lidah dengan mengutuk orang lain atau memfitnah, dosa hidung dengan menghidu sesuatu yang diharamkan Allah, dosa perut memakan makanan yang diharamkan atau sumber riba dan dosa kemaluan dengan melakukan perbuatan zina.
Tetapi sebahagian besar daripada mereka lupa dan mungkin tidak mengetahui sedalam-dalamnya dosa serta maksiat yang dilakukan oleh hati, sedangkan dosa hati adalah lebih bahaya daripada dosa-dosa di atas.
Ini kerana hati seseorang itu boleh terjebak pada niat yang serong daripada agama, tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu kebaikan dan yang lebih parah lagi terlibat pada syirik, riya’, bangga diri, cinta pada dunia, kufur (ingkar kepada hukum Allah), hasad dan banyak lagi.
Inilah yang membezakan antara dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. dan Iblis, dosa Nabi Adama hanya melibatkan pancaindera kerana memakan dari pokok yang terlarang, sementara dosa Iblis lebih teruk daripada itu kerana melibatkan persoalan hati iaitu kufur kepada perintah Allah kerana enggan sujud kepada Adam lantaran sombong.
Walau apapun dosa atau maksiat yang dilakukan oleh seseorang muslim/muslimah, besar atau kecil, sengaja atau tidak, sedar atau sebaliknya, dia perlu memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Pengampun terhadap dosa-dosa pancaindera dan hati dengan bertaubat kepada Allah, iaitu berazam untuk meninggalkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya dan bersungguh-sungguh untuk tidak mahu mengulanginya pada masa-masa akan datang.
Perkara ini pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik kesalahan itu adalah bertaubat kepada Allah”.-Az