Pages

Showing posts with label orang minyak. Show all posts
Showing posts with label orang minyak. Show all posts

Monday, January 16, 2012

Jari hitam ubah siaran TV


Jari hitam ubah siaran TV

GOMBAK – Diganggu orang minyak ketika berada di dalam rumah adalah antara pengala­man yang tidak dapat dilupakan oleh seorang kanak perempuan berusia 8 tahun.

Kanak-kanak terbabit, Nurul Aishah Abdul Jamal berkata, dia terkejut selepas terpandang jari berwarna hitam tiba-tiba muncul dan menukar siaran televisyen kira-kira 10.45 malam, 31 Disember lalu.

Menceritakan kisah itu, Nurul Aishah berkata, dia pada mulanya mengagak kakaknya sedang bergurau untuk menakut-nakutkannya.

“Bila saya toleh ke kiri saya nampak orang warna hitam, kurus dan tinggi, macam tidak pakai seluar berdiri di dalam bilik dan kemudian hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan ketika kejadian dia sedang menonton siaran Astro Ceria sebelum rancangan itu berubah ke siaran TV3.

Sementara itu, bapanya, Abdul Jamal Mohd Isa, 53, berkata, anaknya itu hanya menceritakan tentang perkara yang dialami sehari selepas kejadian itu.

“Ketika kejadian ibu dan kakaknya berada di rumah dia langsung tidak cerita apa-apa sehinggalah keesokannya, itu pun setelah dia ternampak seorang lelaki bertubuh gelap,” katanya.

Menurutnya kejadian itu benar-benar menakutkan, namun dia bersyukur anaknya tidak trauma dan tidak diapa-apakan oleh makhluk itu.

“Pelik sebab ketika kejadian di luar rumah ramai penduduk sedang sibuk menyiapkan makanan untuk sambutan tahun baru 2012, jadi berkemungkinan makhluk cuba mengambil kesempatan muncul di dalam rumah,” katanya.

Difahamkan kejadian yang menimpa anaknya itu merupakan kali kedua dilaporkan berlaku di pangsapuri berkenaan sebelum ini. Jari hitam ubah siaran TV - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Orang minyak masuk botol


Orang minyak masuk botol

GOMBAK – Tiga pakar ilmu Islam bergabung. Pengalaman dan ilmu digunakan sepenuhnya. Biarpun terpaksa berhempas pulas lebih dua jam, misi memerangkap orang minyak berakhir dengan jaya.

Melegakan penduduk kampung, bukan hanya orang minyak yang masuk perangkap, gangguan sampingan oleh jin-jin lain turut tumpas. Kesudahan misi, 25 botol digunakan untuk memerangkap jin-jin terbabit, termasuklah jelmaan jin orang minyak yang menjadi ibu gangguan misteri di kampung tersebut.

Pengamal Perubatan Darul Muhsinin, Ustaz Othman Mohd Salleh ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia yakin makhluk dikaitkan dengan kehadiran orang minyak di kampung itu dapat diperangkap.

Menurutnya, lima jin utama yang berada sekitar kawasan kampung itu telah diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

“Orang minyak itu adalah jel­maan jin, jika pengamalnya menggunakan minyak maka jin atau khadamnya akan muncul dalam bentuk itu dan dengan kuasa ALLAH, saya yakin salah satu daripadanya jelmaaan makhluk yang dikatakan orang minyak itu dapat diperangkap ,” katanya.

Upacara pembersihan dengan doa dan ayat suci al-Quran dilakukan jam 11.30 malam semalam, di sebuah rumah dibantu seorang wanita yang menjadi pengantara.

Program bermula dengan soal jawab dilakukan Ustaz Othman melalui jin yang memasuki tubuh wanita sebelum satu persatu jin diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Perjalanan upacara terganggu seketika selepas jin-jin yang hadir terlalu banyak di dalam rumah itu menyebabkan dua lagi ustaz daripada Perubatan Syifa’ Al-Ikhlas dipanggil.

Kehadiran dua ustaz nyata membantu, apabila satu persatu jin yang dikatakan mula memenuhi segenap pelosok rumah berkenaan berjaya diperangkap.

Tepat jam 1.45 pagi upacara tersebut selesai dan terdapat 25 jin berjaya diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol. Orang minyak masuk botol - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wednesday, December 28, 2011

Orang minyak mengganas

Orang minyak
GOMBAK – Gara-gara trauma akibat diganggu orang minyak, sebuah keluarga di Kampung Laksamana dekat sini terpaksa meninggalkan rumah mereka buat sementara waktu bermula Sabtu lalu.
Mangsa, Kamal Bahari Satar, 36, berkata, keputusan itu diambil selepas keluarga diganggu orang minyak selama lima hari berturut-turut.
“Adik ipar yang datang ke sini tidak tahan selepas diganggu oleh orang minyak yang muncul beberapa kali di dalam dan luar rumah,” katanya ketika ditemui semalam.
Anehnya kemunculan orang minyak itu hanya boleh dilihat oleh ahli keluarga perempuan sahaja.
Menurutnya, kejadian kemuncak berlaku awal pagi Sabtu lalu apabila orang minyak tersebut bertindak mengunci pintu rumah dari dalam sewaktu ahli keluarganya berada di dalam rumah.
“Apa yang pasti, lembaga itu yang bersembunyi di bawah meja makan dicucuk dengan buluh runcing oleh orang kampung dan terdapat kesan darah pada buluh tersebut. Makhluk itu kemudiannya masuk ke rumah sebelah dan kelibatnya disaksikan oleh isteri jiran saya sendiri,” katanya.
Menurutnya, turut ditemui kesan tapak tangan berminyak di tembok dan tapak kaki sewaktu kelibat itu muncul di luar rumah dan kesan ini ditemui oleh anggota polis sewaktu melakukan pemeriksaan.
Kamal Bahari berkata, adik iparnya yang dicalit minyak hitam oleh makhluk itu juga terpaksa dibawa menjalani rawatan alternatif selepas terdengar bunyi bisikan memanggilnya keluar dari rumah selepas itu.
“Syukur adik ipar saya kini sudah sembuh sepenuhnya daripada gangguan tersebut, namun keluarga masih trauma dengan keadaan itu terutama adik perempuan saya yang berumur 22 tahun,” katanya.
Orang minyak mengganas - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sunday, September 18, 2011

Penduduk tangkap ‘orang minyak’







KUALA LUMPUR 17 Sept. – Tidur nyenyak penduduk pangsapuri lima tingkat di Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak dekat sini awal pagi ini hanya seketika apabila sebuah keluarga yang tinggal di tingkat bawah perumahan itu diganggu seorang lelaki berbogel yang digelar ‘orang minyak’.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lelaki warga asing yang dipercayai mengamalkan ilmu hitam terbabit ‘mengejutkan’ keluarga Norlida Hassan, 42, apabila dia dilihat bersilat di hadapan rumah wanita itu.
Katanya, ketika kejadian, dia sekeluarga sudah tidur namun dia tersedar apabila dikejutkan dengan bunyi dengus nafas seseorang yang kuat di hadapan rumahnya.
“Selain bunyi dengusan kuat, saya juga terdengar bunyi orang mengetuk-getuk motosikal di luar rumah, seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk keluar melihat.
“Apabila saya intai menerusi tingkap, saya terkejut apabila melihat seorang lelaki muda bertelanjang bulat sedang melakukan aksi pelik namun saya segera menyergah lelaki itu supaya beredar.
“Saya kemudian memberanikan diri membuka pintu rumah untuk menghalau dia dari situ tetapi dia seolah-olah membuka jurus pencak silat dan kelakuannya itu ternyata menyeramkan hingga memaksa saya mengejutkan suami, Ahmad Hashim,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Norlida berkata, lelaki itu kemudian melarikan diri ke arah sebuah belukar tebal di belakang pangsapuri sambil dikejar oleh suaminya dan seorang jiran.
Ahmad yang juga seorang anggota tentera pula berkata, dia bersama jirannya mengejar sejauh 50 meter sebelum dapat menangkap lelaki itu yang cuba bersembunyi di dalam longkang besar berhampiran pangsapuri tersebut.
“Setelah menangkapnya, lelaki yang berusia lingkungan 20-an itu berkelakuan pelik apabila memintanya untuk mencari minyak tanah dan mahu membakar diri.
“Saya fikir dia mungkin pengamal ilmu hitam kerana berkelakuan pelik dan saya terus menghubungi pihak polis yang menahannya kira-kira pukul 3.30 pagi,” jelasnya.
Sementara itu, jurugambar Mingguan Malaysia, Zakaria Idris, 47, yang berada di tempat kejadian turut merasakan lelaki itu berkelakuan pelik dan tidak menyangkal kemungkinan, dia adalah pengamal ilmu sesat seperti ‘orang minyak’.
“Badannya tidak disapu minyak seperti ‘orang minyak’ tetapi darah yang keluar dari luka setelah ditangkap orang ramai itu dilumurkan ke seluruh badan. Malah mulutnya juga terkumat-kamit seolah-olah membaca sesuatu.
“Selain itu dia tidak banyak bercakap meskipun ditanya pelbagai soalan oleh penduduk,” jelasnya.
Difahamkan, kewujudan lelaki yang dipercayai tidak menetap di kawasan itu disedari awal pagi ini. Dia dilihat sedang berbogel di belukar terbabit namun tindakannya ketika itu tidak diambil peduli oleh penduduk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan akan membuat siasatan lanjut.
“Kami masih menyiasat motif suspek dan kami percaya dia adalah pekerja kontrak di kawasan berhampiran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Penasihat Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar ketika dihubungi Mingguan Malaysia mengakui, wujudnya amalan ilmu hitam dalam masyarakat di negara ini.
“Dalam kes ini, saya tidak menolak lelaki terbabit itu pengamal ilmu hitam kerana jika dia adalah seorang pesakit mental, tentu tidak akan terus melarikan diri jika ternampak suami wanita itu.
“Ketika itu, dia mungkin dipengaruhi ‘ilmu’ yang dituntut menerusi kerjasama dengan jin atau syaitan, terutama sekali apabila menjadikan wanita sebagai sasaran,” ujarnya.