Pages

Showing posts with label pati. Show all posts
Showing posts with label pati. Show all posts

Friday, June 24, 2011

Budak rindu ibu bolos sempadan



DUA kanak-kanak warga Myanmar, Han Sen Tan, 6 (kanan), dan Ton Lin Mon, 4, antara 21   pendatang   tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di Chuping, Perlis, malam kelmarin. - Foto Eizairi Shamsudin
DUA kanak-kanak warga Myanmar, Han Sen Tan, 6 (kanan), dan Ton Lin Mon, 4, antara 21 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di Chuping, Perlis, malam kelmarin. - Foto Eizairi Shamsudin

Dua beradik 4 dan 6 tahun antara 21 mangsa Myanmar ditahan di Chuping

KANGAR: Dua beradik lelaki warga Myanmar berusia empat dan enam tahun sanggup membolosi pagar sempadan negara, di sini semata-mata untuk melepaskan rindu kepada ibu kandung mereka yang berada di Kuala Lumpur, berikutan sudah lebih tiga tahun terpisah.

Kedua-dua kanak-kanak itu masuk ke negara ini melalui pagar sempadan berhampiran ladang tebu Chuping, di sini dengan ditemani bapa mereka berusia 45, yang pernah dua kali membolosi sempadan secara haram sebelum ini.
Berdasarkan maklumat, kedua-dua beradik itu dikatakan membayar RM1,000 setiap seorang kepada tekong darat untuk menguruskan pergerakan mereka selepas merentasi sempadan, manakala bapa mereka pula dikenakan RM2,500.
Bagaimanapun, hasrat tiga beranak itu tidak kesampaian selepas mereka ditahan bersama 18 warga Myanmar lain dalam satu serbuan di sekitar ladang tebu Chuping, di sini, kira-kira jam 10.45 malam kelmarin.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata ketika ditahan dua kanak-kanak itu keletihan dan kelaparan selepas terpaksa berjalan kaki kira-kira dua jam merentasi kawasan ladang dari pagar sempadan menghala Kilang Gula Felda Perlis (KGFP), di sini.

Berdasarkan maklumat, katanya, bapa kanak-kanak itu yang boleh berbahasa Melayu pernah membolosi sempadan Malaysia-Thailand selama dua kali sebelum ini.

“Dia yang bekerja secara haram sebelum ini pulang ke Myanmar untuk membawa dua anaknya itu ke Kuala Lumpur, atas permintaan isterinya yang bekerja sebagai tukang masak di Kuala Lumpur, yang sangat merindui mereka selepas lebih tiga tahun tidak bertemu,” katanya.
Mengulas serbuan malam kelmarin, Zakaria berkata, seramai 21 warga Myanmar berusia antara empat dan 45 tahun meliputi 16 lelaki, empat kanak-kanak dan seorang wanita ditahan selepas dikesan memasuki negara ini dengan menggunting pagar dawai di sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

Berdasarkan maklumat, kumpulan warga asing itu masuk ke negara ini dengan bantuan tekong darat dan dikatakan akan dihantar ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, mengikut destinasi ditetapkan.

“Semua yang ditahan kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, UPP Perlis mengendalikan 37 kes membabitkan penahanan 136 pendatang asing di sepanjang sempadan Perlis-Thailand.

“Sebahagian besar pendatang ditahan membabitkan warga Myanmar iaitu seramai 75 orang diikuti Thailand (11), Indonesia (enam), Bangladesh (empat) dan selebihnya dua dari Pakistan,” katanya.
Berita Harian Online | Budak rindu ibu bolos sempadan

Tuesday, October 19, 2010

Wanita asing jadi buruh binaan



ZAHIRUL FAHMI (duduk di kiri) bertanya sesuatu kepada buruh binaan wanita warga asing yang ditahan bersama pendatang asing tanpa izin lain di Kangar semalam.


KANGAR – Kemunculan wanita warga asing di tapak pembinaan biasanya untuk bekerja sebagai tukang masak atau pencuci tetapi lain pula halnya dengan tiga wanita yang ditahan pihak berkuasa di tapak pembinaan Utan Aji di sini semalam.
Tiga wanita berumur 21 sehingga 35 tahun itu rupa-rupanya bekerja sebagai buruh binaan dan rahsia mereka terbongkar apabila mereka ditahan bersama 11 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dalam satu serbuan pukul 11.15 pagi.
Pengarah Imigresen Perlis, Zahirul Fahmi Zaini (gambar kecil) berkata, kesemua wanita itu berasal dari Indonesia dan dipercayai sudah setahun bekerja di tapak pembinaan itu tetapi tidak memiliki sebarang permit.
“Kerana inginkan wang, wanita ini sanggup melakukan kerja-kerja berat di tapak pembinaan seperti menampal dinding dan mengangkat bata,” katanya.
Menurut beliau, seorang daripada wanita itu mengaku telah berkahwin dan mempunyai seorang anak manakala 11 lelaki lain terdiri daripada 10 warga Myanmar dan seorang Indonesia berusia antara 20 dan 45 tahunhttp://www.kosmo.com.my

Saturday, August 7, 2010

Hilangnya PATI Afghanistan





SEBAHAGIAN daripada PATI yang ditangkap di tapak pembinaan di Kampung Payoh, Kemaman, Terengganu dikawal oleh anggota Rela. Kes PATI melarikan diri dari depot tahanan menggemparkan penduduk negara ini. - Gambar hiasan


INSIDEN 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Ahad lalu bukan setakat menggemparkan negara.
Ia turut 'menelanjangkan' kelemahan yang berlaku dalam sistem kawalan di pusat tahanan pendatang asing itu yang sudah mula beroperasi sejak Julai 2001. Bukan kali pertama tetapi kali kedua dalam tempoh tidak sampai lima bulan dua kejadian PATI melarikan diri berlaku di depot itu.
Kesan daripada kejadian tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman dengan penuh rasa tanggungjawab bersedia menerima hukuman untuk ditukarkan apabila kerajaan memberi kata dua berikutan kegagalannya mengatasi kejadian itu daripada berulang.
Abdul Rahman yang saya kenali, merupakan seorang ketua yang amat dedikasi dan tegas, selain mudah diajak berbincang. Beliau juga bukan seorang yang hanky-panky. Tabik harus diberikan kepadanya kerana sanggup menerima hukuman daripada kesalahan yang dilakukan, mungkin anggota dan pegawai bawahannya.
Berbalik kepada kes PATI yang melarikan diri dari Depot Tahanan KLIA itu, sehingga hari ini iaitu selepas enam hari melarikan diri, mereka masih gagal dikesan. Ke mana perginya semua PATI Afghanistan itu? Enam hari bukan tempoh sekejap. Sepatutnya mereka sudah dikesan sebaik sahaja melarikan diri. Mereka bukannya penduduk Malaysia yang mahir dengan keadaan jalan raya di negara ini.
Enam hari tanpa keperluan seperti makanan, pakaian dan tempat tidur adalah tempoh yang begitu menyiksakan bagi seseorang pelarian. Mereka boleh mati kerana tidak mempunyai makanan yang cukup.
PATI dari Afghanistan itu pada awalnya ditahan selepas diselamatkan ketika menaiki bot untuk pergi ke sebuah negara lain dan Malaysia cuma dijadikan transit sindiket pemerdagangan manusia.
Atas sebab itu juga, kebanyakan kes tahanan depot melarikan diri melibatkan mangsa pemerdagangan orang seperti Afghanistan kerana mereka sebenarnya tidak berhajat untuk tinggal atau datang ke Malaysia. Apa yang menghairankan, gerakan memburu mereka sudah dilakukan oleh pihak Imigresen dan juga polis, tetapi kenapa masih belum berhasil.
Jika pelatih pusat serenti di negara ini melarikan diri, sudah tentu mereka dapat ditemui dan diberkas semula dalam tempoh yang singkat, tetapi nampaknya dalam kes PATI ini, ia agak unik.
Tentu ada sebabnya. Menurut penganalisis jenayah tanah air, Kamal Affandi Hashim, proses melarikan diri dari tahanan terbahagi kepada tiga iaitu sebelum, ketika melarikan diri dan selepas melarikan diri.
Sebelum melarikan diri, mereka perlu berkomunikasi dengan orang perantaraan untuk mengatur koordinasi, masa dan tempat yang sesuai untuk bertindak dan penggunaan orang tengah atau 'utusan' ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Ketika melarikan diri pula, tahanan itu perlu ada penunjuk arah yang akan membantunya melarikan diri supaya mereka tidak sesat atau ditangkap. Bagi sesetengah kes, tahanan sengaja mengalihkan perhatian pihak pengawal dengan mewujudkan suasana kecoh atau kelam kabut supaya dalam kesibukan itu, mereka berpeluang melarikan diri. Selepas melarikan diri pula, tahanan memerlukan peralatan dan kemudahan untuk terus hidup antaranya pakaian, tempat tinggal, makanan dan pengangkutan.
Mereka juga tidak mampu untuk membeli sendiri segala perkakasan itu dan sekali lagi, khidmat orang tengah diperlukan.
"Masalah yang berlaku adalah, masih ada orang tempatan yang bersekongkol dan membantu tahanan melarikan diri. Ini yang menyukarkan usaha mengesan dan menangkap mereka.
"Ada yang sanggup meminjamkan kenderaan untuk digunakan tahanan, malah ada yang sanggup membelikan makanan kepada mereka," kata Kamal Affandi.
Dalam kes 20 tahanan Afghanistan ini, kemungkinan mereka masih berada dalam negara ini juga tidak mustahil. Mereka perlu tinggal sementara bagi mencari perlindungan daripada diburu. Mereka juga hanya akan bergerak meninggalkan negara ini pada waktu yang tidak dijangka seperti malam atau awal pagi.
Tidak mustahil juga mereka akan bergerak dalam bilangan yang kecil, dipecah-pecahkan kepada dua atau tiga orang dan keluar pada waktu siang, sudah pasti siapa pun tidak menyangka bahawa mereka ini adalah tahanan yang melarikan diri tempoh hari.
Pihak berkuasa sebenarnya mempunyai kaedah tersendiri untuk mengesan tahanan asing yang melarikan diri ini. Lambat atau cepat, ia bergantung kepada kekuatan sumber risikan mereka dan maklumat yang diterima daripada orang awam. Justeru, orang awam perlu memberi maklumat kepada polis sekiranya mengesyaki sesuatu yang mencurigakan berlaku di persekitaran anda.
Sebagai contoh, rumah terpencil yang sebelum ini sunyi, tiba-tiba 'meriah' dengan cahaya lampu.
Begitu juga pengusaha makanan yang didatangi individu yang memesan jumlah makanan yang agak banyak dan perlu dihantar ke satu tempat yang tersorok. Laporkan syak wasangka itu kerana mungkin ia untuk tahanan yang melarikan diri.
Apa yang pasti, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan tahanan Afghanistan ini didalangi oleh individu atau kumpulan tertentu untuk melarikan diri.
Pendatang asing yang melarikan diri dari tahanan bukan sahaja membimbangkan kita, malah kerajaan turut risaukan keselamatan mereka.
Ini kerana mereka masih berada di bawah tanggungjawab kerajaan setelah diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan orang.
Apa-apa yang berlaku kepada mereka, sudah pasti kerajaan terpaksa bertanggungjawab atas keselamatan tahanan terbabit kerana mereka juga perlu dijaga atas dasar perikemanusiaan.