Pages

Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

Sunday, December 5, 2010

Oh Pemuda Pemudi ( Muhasabah )

ertikan masa mudamu !!

Saya duduk dan memandang. Memandang satu pandangan masa hadapan. Mengira dan menghitung umur. Oh, telah 24tahun. Muda? Masih mudakah?

Saya akan cakap betapa saya merasakan saya sudah tua. Tua untuk bermain-main. Tua untuk tidak serius. Tua untuk sekadar bermain di medan teori. Tua untuk buat tidak kisah.

Artikel ini lebih untuk diri. Mengingatkan akan tanggungjawab hakiki.

Saya cuma membayangkan bebanan yang akan saya pikul beberapa tahun nanti.

Ah… bukan saya sahaja. Semua yang seangkatan dengan saya akan memikulnya.

Tetapi apakah umur-umur kami ini menyedari?

Atau masih memilih untuk berfoya-foya dengan kemudaan yang masih wujud pada diri?

Yang disuruh kejar, menanda ia bukan benda kecil

Rasulullah SAW ada menggesa manusia untuk mengejar lima sebelum lima. Di dalam riwayat yang sohih, gesaan untuk kelima-lima perkara itu dimulakan dengan:

“Kejarlah lima sebelum lima, masa mudamu sebelum masa tuamu…”

Masa mudamu sebelum masa tuamu.

Dan semestinya yang disuruh kita menyambarnya ini, bukanlah perkara kecil. Jika kecil Rasulullah SAW tidak akan memesanya sedemikian rupa. Perkataan ‘kejar’ itu sendiri sudah menunjukkan besarnya akan perkara ini.
Mengapa masa muda? Apa yang pemuda dan pemudi ada?


Kekuatan, tenaga, kecerdasan, semangat membara

Pemuda-pemudi punya kelebihan yang besar berbanding para veteran dalam banyak perkara. Tinggal hikmah dan pengalaman sahaja yang mungkin tidak mampu ditandingi. Itupun hakikatnya, tembok itu mampu dipecahkan dan perkaraitu akan diperbincangkan sebentar nanti.

Justeru persoalan utama adalah, ke mana pemuda dan pemudi mengeksploitasikan kekuatannya, tenaganya, kecerdasan akal mudanya dan semangat membaranya?

Kita lihat hari ini pemuda pemudi kita terjerumus ke satu alam kotor yang merosakkan. Kita lihat betapa mereka kuat berpegang dengan stylo yang mereka rasa cool, dengan gaya hidup yang mereka rasa macho, dan fesyen yang mereka rasa popular.

Mereka mempunyai tenaga, maka ke mana dihabiskan? Kita dapat lihat ramai pemuda pemudi kita mampu ber’clubbing’ sampai pagi. Menari menari dan melakukan pelbagai perkara lagi.

Mereka mempunyai keberanian, ke arah mana mereka halakan? Kita dapat lihat betapa banyak kelahiran anak luar nikah. Bukankah itu hasil ‘keberanian’ pemuda pemudi melakukan sesuatu yang dinyatakan sebagai ‘terlarang’? Belum dikira yang berani merempit atau memandu laju kerana darah muda.

Mereka mempunyai kecerdasan akal, ke arah mana mereka gunakan? Sampai kalau tak ada penghisap shisha sendiri, sanggup reka asal boleh sedut asap. Tak ke genius? Belum dikira lagi teknik-teknik pecah asrama, lari dari warden@ibu bapa, karang skrip tipu itu ini.

Resmi darah muda, panas, semangat berapi-api, ke arah mana disalurkan?

Akhirnya kita balik ke persoalan pokok.

Ke arah mana semua ini? Ke arah yang bermakna kah? Yang boleh dikira sebagai ‘kehidupan’ kah?

“Ala bro, buat apa fikir-fikir ni? Umur masih muda”

Ya. Umur masih muda. Sebab itu ajak fikir. Kalau sudah tua, terlambat tak bermakna.

Pernah tak terfikir akan satu perkara yang dinamakan masa hadapan?


Masa hadapan dunia, masa hadapan Islam

Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata:

“Sekiranya kau ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda pemudinya hari ini”

 Persoalan penting di sini adalah, betapa pemuda pemudi adalah kunci kesejahteraan masa hadapan. Baik keluarga, masyarakat, negara, dunia mahupun Islam itu sendiri. Kunci kelangsungan perjuangan Islam zaman berzaman adalah kerana wujudnya pewaris-pewaris matang yang menjadi penggerak arus pejuangan Islam itu sendiri. Begitulah juga keluarga memerlukan pemuda-pemudinya menjaga diri agar tidak rosak masa hadapan famili. Samalah juga masyarakat, akan menjadi rosak dan terbantut sekiranya pemuda pemudinya rosak tidak membangun. Begitulah negara dan dunia sekalipun. Semuanya bergantung harap kepada pemuda pemudi.

Pembinaan seseorang yang hebat itu, bermula semasa mudanya.

Siapakah yang akan mencorakkan dunia 10 tahun lagi? Adakah masih veteran hari ini?

Siapakah yang akan memegang negara 20 tahun lagi? Adakah masih muka-muka pemimpin hari ini?

Siapakah yang akan menjadi ahli komuniti di dalam masyarakat 10 tahun lagi? Adakah masih ayah ibu kita?

Siapakah yang akan menjadi bapa, ibu kepada anak-anak masa hadapan lagi? Apakah masih datuk dan nenek kita hari ini?

Siapakah yang hendak membawa Islam 10 tahun lagi? Masih Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi yang telah berumur serta berkerusi roda? Atau mengharapkan Imam Hassan Al-Banna hidup semula?

Jawapannya hanya satu.

Pemuda pemudi hari ini. Namun siapakah antara kita yang memahami?

Ibnu Abbas berkata: Tidaklah Allah memberikan kepada seorang hamba ilmu pengetahuan kecuali kepada para pemuda, karena banyak kelebihan dan kebaikan yang terdapat di dalamnya”, kemudian beliau membaca firman Allah:

“Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk”. (Al-Kahfi:13)


Dan proses bukan sekelip mata

Umur 24 sudah saya kira sebagai tua. Tua untuk bermain-main. Tua untuk merasa lengah. Tua untuk tidak bersedia. Tua untuk berlagha-lagha melampau.

Hal ini kerana proses mengubah diri bukan memakan masa yang pendek. Saya sudah berumur 24 tahun. Lagi lima tahun saya akan berumur 29 tahun. Apakah saya sudah cukup matang untuk menjadi ahli masyarakat yang berumur 29 tahun? Yang menjadi suami kepada isteri, yang menjadi ayah kepada anak, yang menjadi ahli komuniti masyarakat, yang menjadi pekerja, yang menjadi pembawa Islam?

Atau 29 tahun saya masih budak-budak, pemikiran tidak matang, hidup ikut emosi, jalan tak fikir akhirat, tidak kisah kiri kanan dan masa hadapan masyarakat?

Dan saya hanya ada 5 tahun sebelum menjadi 29 tahun. Adakah saya telah merancang 5 tahun saya ini untuk menjadi seorang Abu Hanifah berumur 29 tahun yang lebih baik dari veteran-veteran berumur 29 tahun hari ini?

Memandang hal ini menyebabkan saya merasakan saya telah tua.

Mu’adz dan Mu’awwidz menumbangkan Abu Jahal kala umur mereka masih belasan. Usamah bin Zaid RA menjadi jeneral kala umurnya 18 tahun. Menumbangkan Rom pada umurnya 19 tahun. Muhammad Al-Fateh menjadi raja ketika umurnya 19 tahun, dan menumbangkan Konstantinopel pada umur 23 tahun. Itulah kualiti yang membangunkan ummah yang hebat.

Saya? Pemuda pemudi hari ini?

Berapa masa yang diperlukan untuk menjadi seorang yang berkualiti, yang pantas menggantikan veteran hari ini lantas membawa dunia ke arah yang lebih baik?

Apakah masih mampu kita berfoya-foya dan buat tidak endah?

Kehidupan ada matlamat, manusia ada tanggungjawab

Paling tidak manusia itu akan memimpin dirinya sendiri. Dan perlu disedari dan difahami, betapa diri kita adalah salah satu dari bata yang hendak membina bangunan bernama ummah.

Apakah kita suka menjadikan diri kita sebagai bata yang rapuh, punca kepada keruntuhan ummah? Saya tidak faham bagaimana beraninya kita berhadapan dengan Allah SWT nanti dengan membawa kesalahan sedemikian besar.
Hidup punya matlamat. Matlamat di dunia adalah mentadbir dunia ini sebagai khalifah, menegakkan Islam dan menjamin kemaslahatan seluruh alam. Matlamat di akhirat adalah syurga Allah SWT. Mahu tidak mahu, hendak mencapai kedua-dua ini satu keperibadian perlu dibina. Keperibadian berkuliti.

Dan pemuda pemudi sepatutnya mula peka.

Lihat semula diri.

Hendak menjadi yang bagaimana?

Betapa asas pembangunan ummah sepenting pemuda pemudi, bila rosak menjanjikan kehancuran masyarakat dan kegelapan masa hadapan. Tidak mahu percaya akan hal ini, saya sarankan anda melihat keadaan sekeliling. Jenayah-jenayah hari ini. Institusi keluarga yang gagal. Pendidikan yang berterabur. Kelam-kabut dan kucar-kacir politik hari ini. Islam yang ditinggalkan.

Mengapa semua ini berlaku? Hal ini kerana yang menggerakkan dunia hari ini adalah pemuda-pemudi yang tidak sedar suatu masa dahulu.

Apakah kita sekadar hendak meneruskan rantaian ini?

Untuk saya, jawapannya adalah tidak.

Saturday, November 27, 2010

Siapakah Kita Sebenarnya.. ( Muhasabah )



"Siapakah orang yang sombong?

Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhansekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?

Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dunggu kepala otaknya?

Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengankelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang kuat?

Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia didalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?

Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?

Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.

Siapakah orang yang buta?

Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?

Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?

Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaimana.s.

Siapakah orang yang manis senyumanya?

Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?

Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akandosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yang kaya?

Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?

Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasamenumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang pandai?

Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi

Siapakah orang yang bodoh?

Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?

Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?

Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?

Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang,

pertama ; sekiranya ia haid dan kedua ; ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?

Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?

Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik? 

Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?

Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?

Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?

Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka."