Pages

Showing posts with label iPad. Show all posts
Showing posts with label iPad. Show all posts

Thursday, September 6, 2012

Gambar iPad mini didedah



Laman web Apple.pro mendedahkan gambar pertama iPad mini bersaiz lapan inci, dipercayai akan dilancarkan bulan depan. - AGENSI
SAN FRANCISCO 5 Sept. - Laman web peminat Apple, Apple.pro semalam buat pertama kali mendedahkan gambar komputer tablet iPad mini yang dipercayai bakal dilancarkan bulan depan.
Apple terkenal dengan sikap suka berahsia menjelang pelancaran baru produknya, namun sumber industri, pembekal dan rakan kongsi syarikat mengesahkan bahawa gajet itu akan berada di pasaran pada musim luruh ini.
Gajet baru tersebut dipercayai mempunyai skrin lapan inci, menjadikannya versi komputer tablet yang sedikit kecil daripada iPad 10 inci.
Ia juga akan membolehkan Apple mempunyai produk mudah alih yang berbeza dengan model sebelum ini, sekali gus menjadi 'senjata' yang mampu memberi saingan kepada Google yang tampil dengan komputer tablet Nexus berukuran tujuh inci.
Apple.pro turut melaporkan bahawa gajet terbaru itu merupakan model yang dilengkapi rangkaian mudah alih 3G yang membolehkan pengguna mengakses data di mana sahaja.
Walaupun pengasas Apple, Steve Jobs sebelum ini menolak idea untuk mengeluarkan iPad bersaiz lebih kecil, kejayaan Nexus dan Amazon menerusi Kindle Fire mungkin mengubah tanggapan Apple terhadap gajet berkenaan.
Apple juga dipercayai akan mengumumkan pelancaran iPhone 5 pada bulan ini, walaupun tarikhnya masih tidak dapat disahkan. - AGENSI

Saturday, June 30, 2012

Kapal layar dikendalikan menerusi iPad




KAPAL layar Adastra berlabuh di Pelabuhan Manila di Manila, Filipina semalam.


MANILA, Filipina - Sebuah kapal layar futuristik berharga AS$15 juta (RM47.7 juta) milik seorang ahli perniagaan perkapalan Hong Kong telah berlabuh di Pelabuhan Manila di sini semalam.
Berbentuk seperti sebuah kapal angkasa, kapal persiaran mewah sepanjang 42.5 meter yang diberi nama Adastra itu memiliki dua lunjuran besar.
Adastra diperbuat daripada gentian karbon dan Kevlar bagi menjadikan kapal berkenaan ringan.
Syarikat reka bentuk kapal layar, John Shuttleworth Yacht Designs Ltd menyatakan kapal tersebut amat canggih dan ia boleh dikendalikan dengan menggunakan sebuah komputer tablet iPad.
Akhbar South China Morning Post melaporkan pada awal bulan ini bahawa Adastra dibina di Zhuhai, China oleh firma Australia, McConaghy untuk usahawan, Anthony Marder.
Marder memberitahu akhbar berkenaan bahawa kapal tersebut berlabuh di sini untuk kerja-kerja pelarasan sebelum ia melakukan pelayaran ke seluruh dunia. - Agensi

Sunday, October 16, 2011

Bayi keliru mana satu iPad, majalah




BAYI perempuan ini keliru apabila majalah yang diberikan tidak berfungsi sama seperti iPad milik ibunya. - YouTube


LONDON - Benarkah pengasas bersama firma elektronik Apple Corp, mendiang Steve Jobs telah menunjukkan hala tuju masa depan manusia?
Sebuah akhbar di Britain melaporkan itulah yang kelihatan berlaku kepada seorang bayi perempuan.
Baru berusia setahun, bayi itu sudah pandai mengetik skrin komputer iPad milik ibunya tetapi apabila sebuah majalah diletakkan di hadapannya, dia menjadi keliru.
Anak kecil tersebut tidak faham mengapa gambar dalam majalah tidak bergerak seperti imej di skrin iPad apabila ditekan.
Telatah lucunya mencetuskan sensasi di laman perkongsian video YouTube selepas ibunya menghantar rakaman klip video berkenaan yang disiarkan baru-baru ini.
"Bagi anak saya, majalah adalah komputer iPad yang tidak berfungsi. Semua itu berlaku kerana Steve Jobs. Dia mungkin tidak berminat dengan buku apabila meningkat dewasa kelak," kata tulisan pada penghujung klip video berkenaan. - Agensi

Friday, June 3, 2011

Remaja jual buah pinggang demi iPad


BEIJING: Seorang remaja yang terdesak mahu mendapatkan iPad 2 nekad menjual satu daripada buah pinggangnya bagi mencapai apa yang diidamkan, lapor media semalam.
Dikenali hanya sebagai Zheng, dia dikatakan menjual organ penting itu pada harga kira-kira RM9,800.

Zheng, 17, berkata dia menjual buah pinggangnya selepas ternampak iklan dalam talian yang menawarkan wang kepada sesiapa yang mahu menjadi penderma organ.

“Saya mahu membeli iPad 2 tapi tak ada wang,” katanya kepada stesen televisyen Shenzhen.

Zheng berkata, melihat wang yang ditawarkan ejen dalam iklan itu, dia pun berunding dan pergi ke bandar Chenzhou di wilayah Hunan untuk menjalani pembedahan.


Dia kemudian dimasukkan ke hospital tempatan dan dibenarkan pulang tiga hari selepas menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, Zheng mengalami komplikasi dan keadaan kesihatannya yang terganggu itu menyebabkan ibunya menyedari ada yang tidak kena pada remaja terbabit.

Ibu Zheng, Liu, berkata dia terkejut apabila anaknya pulang bersama satu komputer riba serta telefon bimbit Apple.

Curiga dengan apa yang dilihatnya, Liu mendesak Zheng menceritakan apa yang berlaku.

“Akhirnya dia mengaku menjual buah pinggangnya,” katanya.


Liu kemudian pergi bersama Zheng ke Chenzhou dan membuat laporan polis. Bagaimanapun, polis gagal mengesan ejen terbabit kerana nombor telefon yang digunakan sebelum ini dimatikan. - Agensi

myMetro | Remaja jual buah pinggang demi iPad

Friday, April 22, 2011

Semua iPad habis dijual




SEBUAH iPad 2 dipamerkan di Pusat Yerba Buena di San Francisco pada 11 Mac lalu.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat Apple Inc. mengumumkan semua komputer tablet iPad keluarannya telah habis dijual dan ia kini sukar memenuhi permintaan pengguna untuk gajet popular itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs menyatakan bahawa syarikat berkenaan, yang beribu pejabat di negeri California, telah menjual sebanyak 19.5 juta komputer iPad generasi pertama dan kedua pada tahun lalu dengan 4.7 juta lagi dijual sepanjang suku pertama tahun ini.
"Kami menjual setiap iPad 2 yang kami keluarkan," kata Ketua Pegawai Kewangan Apple, Peter Oppenheimer.
Menurutnya, pendapatan syarikat tersebut untuk tahun lalu adalah berjumlah AS$24.7 bilion (RM74.3 bilion) manakala AS$5.99 bilion (RM18.02 bilion) lagi diperoleh menerusi jualan pada suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Apple, Tim Cook berkata, syarikat itu sedang meningkatkan pengeluaran iPad bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna dan akan memasarkan komputer tersebut ke 13 lagi negara dengan jumlah keseluruhan negara pasaran Ipad meningkat kepada 39 buah negara.
Apple melancarkan iPad pada penghujung April tahun lalu yang kemudian menjadi komputer tablet paling laris dan sukar ditandingi oleh jenama lain. - Agensi

Sunday, January 9, 2011

Kapal mewah dikawal iPad

SH: "

BERLIN - Satu perisian baru yang dicipta syarikat perkapalan Jerman dapat memberikan penumpang kawalan penuh terhadap keseluruhan kapal layar - kecuali sistem pengkemudian - hanya dengan menggunakan gajet iPad.

Penumpang kapal dapat mengawal peralatan hiburan dan suhu serta suasana di atas kapal, termasuk keadaan langsir dan lampu melalui sentuhan pada iPad, iaitu peranti keluaran syarikat teknologi Apple.

Kapten kapal akan memberikan sebuah iPad kepada setiap penumpang supaya perjalanan dapat disesuaikan dengan kehendak pelanggan melalui kawalan mereka sendiri.

Dengan bayaran sebanyak AS$850,000 (RM2.6 juta) untuk perjalanan selama seminggu, penumpang dapat menukarkan gimnasium di atas kapal menjadi lantai tarian, selain dimanjakan dengan mandian pancur aromaterapi.

Kapal layar mewah pertama yang menggunakan teknologi itu, Solemates, kini sedang membawa penumpang pertama, iaitu artis terkenal, P Diddy bersama keluarganya."

Wednesday, December 22, 2010

Doktor guna iPad untuk bantu rawat pesakit




DUA doktor menggunakan komputer tablet iPad di Hospital Mayanei, Israel baru-baru ini.


BNEI BRAK, Israel - Doktor-doktor di Hospital Mayanei Hayeshua di sini diberikan komputer tablet, iPad setiap seorang untuk membantu mereka mengetahui rekod kesihatan para pesakit.
Mereka menggunakan komputer itu untuk memeriksa rekod pesakit, imbasan sinar-X dan melihat keputusan ujian-ujian perubatan.
Komputer iPad itu yang menggunakan bahasa Ibrani, juga boleh digunakan untuk mengakses maklumat dari luar hospital supaya doktor-doktor boleh memberi bimbingan kepada rakan sekerja mereka pada setiap masa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) hospital berkenaan, Dr Yoram Liwer berkata, kualiti gambar yang menakjubkan pada skrin komputer iPad kini membantu para doktor untuk merevolusikan urusan penjagaan pesakit.
"iPad dikenali hari ini sebagai peralatan utama di bidang perubatan. Ia membawa banyak manfaat kepada pesakit dan staf hospital," katanya. - Agensi
kosmo

Saturday, September 18, 2010

iPad jadi rebutan di China


BEIJING 17 Sept. - Beratus-ratus pelanggan berbaris panjang untuk membeli iPad yang dijual secara rasmi buat kali pertama di China, hari ini.
Pelancaran iPad di China yang merupakan pasaran Internet terbesar di dunia dilakukan selepas peminat berpeluang membeli produk Apple tersebut di pasaran tidak rasmi sejak beberapa bulan lalu.
Gedung Apple di Beijing dan Shanghai serta wakil penjual sah di seluruh negara ini mula menawarkan model iPad yang dilengkapi ciri Wi-Fi hari ini, setelah berjuta-juta model tersebut sudahpun dijual di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Penganalisis meramalkan permintaan tinggi untuk iPad di China sekalipun kekurangan perisian dalam bahasa Mandarin dan sekalipun negara ini merupakan pasaran tidak rasmi yang sangat besar bagi produk Apple yang dibawa masuk dari Hong Kong, Singapura dan AS untuk dijual semula.
Di gedung utama Apple di Beijing, seorang pelanggan, Han Ziwen, 35, berkata, dia berkhemah selama 60 jam untuk memastikan dia berada di barisan hadapan apabila pintu dibuka pada pukul 8 pagi ini (waktu sama di Malaysia).
Pemilik kedai buku itu menjulang dua buah iPad sebagai tanda kemenangan, disambut tepuk sorak beratus-ratus pelanggan lain yang berdiri dalam hujan lebat.
Ziwen membeli iPad dalam versi-versi 16 gigabait dan 32 gigabait pada harga 8,776 yuan (RM4,176), melebihi gaji bulanan kebanyakan rakyat China.
"Bagi saya kedua-duanya tidak mahal," katanya.
Di Shanghai, sehingga 200 orang beratur di luar gedung bawah tanah Apple yang dibuka pada Julai lalu.
Pembeli pertama, Ma Ya, 46, berkata, dia menunggu sejak pukul 1 petang semalam untuk merebut peluang membeli sebuah iPad baru.
"Saya sudah pun memiliki sebuah iPad 32GB yang dibeli di Jepun. Saya mungkin menghadiahkan iPad lama itu kepada seorang kakitangan," kata Ma Ya, seorang peniaga karya seni. - AFP