Pages

Monday, July 8, 2013

Dilanda 'perang burung camar'


Seorang wanita menjerit ketakutan selepas menjadi mangsa burung camar ketika lalu di kawasan South Shields dan Belfast, London, kelmarin. - AGENSI
LONDON 7 Julai - Beberapa kawasan di Britain kini dilanda ‘perang burung camar’ apabila burung-burung tersebut bertindak ‘menyerang’ orang ramai bagi mendapatkan makanan.
Mereka yang menjadi mangsa dilaporkan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital, termasuk kanak-kanak yang mengalami luka di mulut dan anjing kecil yang mati akibat diserang burung-burung tersebut.
Beberapa kawasan di South Shields dan Belfast terpaksa mengeluarkan amaran berjaga-jaga ekoran serangan burung-burung tersebut.
Di Perranporth, Cornwall, perkhidmatan menghantar surat oleh Royal Mail dihentikan di kawasan pantai selepas beberapa posmen diserang.
Seorang wanita di Fleetwood, Lesley McLaughlin, 69, terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan selepas cedera di kepala akibat ‘diserang’ burung berkenaan.
Burung-burung berkenaan yang bergerak secara berkumpulan dilaporkan selalunya bertumpu di kedai makanan segera, kelab malam dan restoran untuk ‘merampas’ makanan daripada pengunjung.
‘Serangan’ burung tersebut yang paling teruk dilaporkan berlaku di Bank Street, Cornwall menyebabkan jalan raya itu digelar ‘Lorong Burung Camar’. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130708/lu_06/Dilanda-perang-burung-camar#ixzz2YRuQ2p1D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 terperangkap atas pokok

Foto
HARIMAU Sumatera.
Banda Aceh: Lima lelaki terperangkap di atas pokok sejak tiga hari lalu selepas dikejar oleh beberapa ekor harimau Sumatera.
Seorang rakan mereka mati dibaham haiwan berkenaan.

Polis berkata, lima harimau masih berada di bawah pokok itu selepas mengejar lelaki berkenaan Khamis lalu.
Kejadian berlaku selepas lelaki itu yang mencari kayu gaharu di Taman Negara Hutan Leuser di puncak Sungai Rengas, Tenggulun, kawasan Aceh Tamiang, membunuh seekor anak harimau secara tidak sengaja.

Konflik antara manusia dengan haiwan semakin menjadi-jadi di Indonesia. Tetapi, dalam kebanyakan kes, ia berakhir dengan padah menimpa haiwan terbabit.

Ketua Polis Tamiang, Dicky Sondani berkata, selain mencari gaharu, lelaki berkenaan turut memasang perangkap untuk menangkap rusa tetapi secara tidak sengaja memerangkap anak harimau berkenaan.

Harimau dewasa itu menyerang keenam-enam lelaki terbabit dan membaham seorang daripada mereka yang dikenali sebagai David. Lima yang lain - Adi Susilo, Mujiono, Budi Setiawan, Suriadi dan Awaludin - menyelamatkan diri dengan memanjat pokok, kata Dicky.

Menurutnya, 30 orang terdiri daripada polis dan tentera sudah melancarkan gerakan menyelamat mangsa kelmarin selepas dia dan tiga anggotanya terpaksa berpatah balik setelah melihat harimau itu.
Dicky juga berkata, usaha untuk mendapatkan khidmat pawang harimau sehingga semalam masih belum berhasil.

Anggota penyelamat mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari untuk tiba di kawasan terbabit. Lebih buruk lagi, mereka juga terpaksa berdepan dengan harimau dan binatang liar lain, termasuk gajah.

Harimau Sumatera adalah harimau paling kecil di dunia. Hanya 400 hingga 500 ekor dipercayai masih hidup.

“Jika harimau itu masih berada di bawah pokok, kami mungkin terpaksa menembak mereka, paling tidak dengan ubat pelali, untuk menyelamatkan kelima-lima mangsa,” kata Dicky. - Agensi

Setem purba bernilai RM2.8 juta dilelong

SETEM ini dikatakan hanya dicetak sebanyak 32 keping sahaja pada zaman dinasti Qing. Ia akan dilelong di Hong Kong pada hari ini (Isnin).- AFP


HONG KONG - Sekeping setem yang jarang ditemui di China akan dijual pada harga HK$6.9 juta (RM2.8 juta) oleh firma lelongan Interasia Auctions.
Firma Interasia Auction dalam satu kenyataan media berkata, setem itu dikatakan telah dicetak sebanyak 32 keping sahaja pada zaman dinasti Qing.
Setem Red Revenue Small One Dollar 1897 itu merupakan antara setem yang jarang diterbitkan di China.
Setem berwarna merah terang itu dilihat sebagai simbol nasib baik dan bertuah dalam budaya masyarakat China.
Ia jarang ditemui kerana terdapat beberapa ciri pada setem itu seperti logo perkhidmatan pos Dinasti Qing bentuk satu dolar yang disifatkan terlalu kecil dan melambangkan ciri-ciri mesin percetakan versi kedua.
Jelas Interasia Auction lagi, setem tersebut merupakan sebahagian besar barangan yang akan dilelong sepanjang tiga hari membabitkan setem China, Hong Kong dan Asia yang akan berakhir hari ini.
Jumlah keseluruhan lelongan dianggarkan bernilai HK$71.9 juta (RM29.55 juta). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0708&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2YQO5VVZV 
Hakcipta terpelihara