Pages

Tuesday, October 23, 2012

Tentera Syria terus bedil Aleppo

BEIRUT: Daerah utara Aleppo terus dibedil tentera udara Syria meskipun wujud syor agar satu gencatan senjata dilaksanakan hujung minggu ini sempena umat Islam menyambut Aidiladha.

Serangan terbaru itu menjelang tiga hari lagi umat Islam menyambut Aidiladha dengan pelan gencatan senjata dicadangkan oleh wakil khas antarabangsa, Lakhdar Brahimi masih kabur. Dalam serangan di Aleppo itu, seorang pemberontak maut ketika pesawat mengebom bandar Katergi.

Dalam serangan di bandar Harasta di Damsyik, sekurang-kurangnya dua pemberontak maut. - AFP

Tembakan di Lebanon, empat terbunuh

Tentera Lebanon menggunakan kereta kebal berkawal di kawasan
berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dan pasukan
bersenjata Sunnah di Beirut, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 22 Okt. - Sebanyak empat orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dan berpuluh orang yang lain cedera dalam dua kejadian tembakan berasingan, di sini dan di Tripoli, selepas majlis pengkebumian pegawai perisikan kanan Lebanon yang terbunuh dalam satu serangan bom kereta, Jumaat lalu.
Kanak-kanak berumur sembilan tahun itu terbunuh setelah mengalami kecederaan di kepala akibat terkena tembakan apabila penyokong dan penentang Presiden Syria, Bashar al-Assad berbalas-balas tembakan di bandar Tripoli, Lebanon.
Sebanyak tiga orang lain turut terbunuh dan 26 orang lain cedera dalam pertempuran antara puak Alawite yang menyokong al-Assad dan puak Sunnah.
Sementara itu, lima orang cedera dalam kejadian berbalas-balas tembakan di pinggir bandar Tariq al-Jadida, malam tadi selepas sekumpulan orang yang menghadiri majlis pengkebumian Ketua Perisikan Keselamatan Dalam Negeri, Jeneral Wissam al-Hassan, cuba menyerbu pejabat Perdana Menteri, Najib Mikati, kata sumber keselamatan dan perubatan.
Beribu-ribu orang berkumpul di Dataran Syahid, Beirut untuk menghadiri pengkebumian Jeneral Wissam yang dibunuh empat hari lalu.
Media tempatan melaporkan, tentera menutup beberapa jalan raya di kawasan kejadian.
Dalam pada itu, tentera Lebanon menyatakan akan mengambil 'pendekatan tegas' bagi mengawal keadaan daripada bertambah buruk terutama di kawasan terbabit.
Keganasan berlaku selepas seorang pemimpin pembangkang menggesa Najib meletakkan jawatan bagi membolehkan rundingan dibuat berhubung krisis tersebut.
Sekumpulan orang kemudian berarak ke pejabat Perdana Menteri dan meruntuhkan sekatan termasuk pagar berduri di sekeliling pejabat Perdana Menteri, serta melemparkan batu ke arah askar dan polis.
Pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan ke udara dan gas pemedih mata bagi memaksa penunjuk perasaan bersurai. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121023/lu_02/Tembakan-di-Lebanon-empat-terbunuh#ixzz2A69Is0nM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pakaian samurai wanita dilelong



Pakaian perisai samurai yang digunakan oleh pahlawan wanita Jepun ini diramal mencecah harga beratus-ratus ribu pound. - AGENSI
LONDON 22 Okt. - Sepasang pakaian perisai samurai yang digunakan oleh pahlawan wanita Jepun bakal dilelong di sini awal bulan depan, dan harganya dijangka mencecah beratus ribu pound.
Wakil firma lelongan Bonhams, Suzannah Yip berkata, kelengkapan samurai itu yang dibuat pada tahun 1800-an akan dilelong pada harga permulaan 40,000 pound (RM200,000) di London pada 6 November ini.
"Jumlah pakaian samurai untuk wanita sangat sedikit dan sukar ditemui.
"Pakaian yang dilelong ini dilengkapi perisai, yang berbeza dengan yang dipakai oleh lelaki kerana ia lebih mirip seperti pakaian tradisional wanita Jepun, kimono," katanya.
Perisai tersebut boleh dipakai oleh wanita yang bertubuh kecil yang mempunyai ketinggian kurang 1.5 meter.
Namun, dengan latihan yang ketat dan menggunakan pedang katana yang berbahaya, samurai wanita boleh menjadi lebih hebat berbanding lelaki yang dua kali ganda lebih besar.
Malah, untuk melindungi identiti wanita, pakaian perisai itu turut dilengkapi topeng merah yang mempunyai dua gigi taring dan misai.
Menurut Yip, perisai berkenaan dibuat khas untuk wanita Jepun kelas atasan dan pertengahan, namun ramai yang tidak menggunakannya semasa pertempuran.
"Gaya pakaian samurai juga berubah-rubah mengikut zaman dengan beberapa elemen berlainan dimasukkan.
"Perisai yang diperbuat daripada besi ini lebih ringan berbanding perisai lelaki," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121023/lu_06/Pakaian-samurai-wanita-dilelong#ixzz2A68sZ0AT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 pakar cipta jean mesra alam

HELEN bersama koleksi jean mesra alamnya.
HELEN bersama koleksi jean mesra alamnya. LOS ANGELES: Kebanyakan seluar jean berwarna biru. Tetapi pada masa depan, ia mungkin hijau.
Seorang ahli kimia dan seorang pereka fesyen menghasilkan seluar denim mesra alam yang dapat menghapuskan bahan buangan bahaya dalam udara.

Seluar berkenaan disalut dengan partikel titanium dioksida yang boleh bertindak terhadap cahaya dan udara bagi meneutralkan nitrogen oksida, bahan pencemaran yang dikeluarkan oleh kenderaan dan kilang.

Produk sampingan yang tidak berbahaya dan nitrat larut air itu boleh terhapus apabila seluar itu dicuci.

Sama seperti pengubah bermangkin yang membantu mengurangkan pencemaran ketika kenderaan dipandu, seluar berkenaan boleh membantu menghijaukan planet. Kira-kira 1.3 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun dikaitkan dengan kualiti udara yang buruk.

Semua jenis kain boleh digunakan sebagai Pakaian Bermangkin tetapi jean dianggap sebagai medium terbaik bagi proses itu kerana ia menjadi pakaian ramai penduduk dunia.

Mereka yang bertanggungjawab menghasilkan produk itu ialah ahli kimia Universiti Sheffield, Tony Ryan dan Profesor Helen Storey dari Kolej Fesyen London.

Hasil rekaan Helen pernah dipakai oleh bintang ternama, termasuk Madonna dan Cher.

Dia berminat menceburi bidang sains sejak 2004 menerusi adiknya, pakar biologi dan mula memberi tumpuan terhadap sains hijau apabila berkenalan dengan Tony.

Proses Pakaian Bermangkin sudahpun dikemukakan kepada syarikat sabun, Ecover untuk menghasilkan bahan tambahan pencuci yang diberi nama CatClo. Bahan itu terkandung dalam serbuk pencuci perapi fabrik.

Ujian keselamatan dilakukan terhadap produk berkenaan tetapi tidak ada bukti menunjukkan ia menjejaskan kulit manusia atau bekalan air.

Ia mungkin mula dijual dalam masa dua tahun lagi.

Helen berkata, jean menjadi bahan ideal pakaian untuk ciptaan mereka kerana terdapat lebih banyak jean di planet berbanding manusia. - DM

Batu penyendal pintu sebenarnya meteorit


PROFESOR fizik dan astronomi di Universiti Eastern Kentucky, Rodney Piercey memeriksa meteorit yang ditemui pada tahun 1853.


TENNESSEE - Sebuah keluarga di Amerika Syarikat terkejut apabila mendapati seketul batu milik mereka sebenarnya seketul meteorit atau tahi bintang berusia empat bilion tahun, lapor akhbar MailOnline semalam.
Pasukan penyelidik Universiti Tennessee memperoleh meteorit seberat 15 kilogram itu daripada keluarga Donna Lewis di sini yang menggunakannya sebagai penyendal pintu dan pelapik pokok bunga hiasan sejak beberapa tahun lalu.
Pada mulanya, batu itu ditemui di sebuah padang ragut ternakan dekat Tazewell, Tennessee, pada tahun 1930-an oleh seorang lelaki, Tilmon Brooks.
Brooks ialah datuk Donna Lewis yang merupakan seorang setiausaha sekolah di Pineville, Kentucky.
Ujian yang dilakukan di Universiti Tennessee merumuskan bahawa meteorit itu berasal daripada hujan meteor yang pernah berlaku di sini pada 1853.
"Saya lihat kanak-kanak di sekolah kami berasa teruja apabila melihat batu meteor itu.
"Saya sangat lega apabila mengetahui Universiti Tennessee akan menyimpan meteorit ini dengan baik bagi tujuan penyelidikan," kata Lewis. - Agensi

Berjalan kaki 5,700km untuk tunaikan haji

SENAD HADZIC

SARAJEVO - Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.
"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.
Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.
Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.
"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.
"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad.
"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.
Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.
Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan.
Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. - AFP