Pages

Friday, January 1, 2016

Cacing parasit ditemui hidup dalam mata

London: Satu video yang menggerunkan memaparkan seekor cacing menggeliang-geliut di dalam mata seorang wanita.
Video itu dirakam seorang doktor memeriksa mata wanita berkenaan menggunakan mikroskop dan menemui satu cacing kecil di bawah mata hitamnya.
Cacing itu dilihat bergerak-gerak walaupun wanita itu mengerlipkan matanya.
Tidak dapat dipastikan di mana lokasi video itu dirakam dan bagaimana doktor mengeluarkan cacing berkenaan dari mata wanita itu.
Video itu dimuat naik di laman perkongsian video, LiveLeak semalam, tetapi telah ditonton lebih 20,000 kali dan menerima pelbagai reaksi dari pengguna Internet.
“Ia sangat menjijikkan dan membuatkan seluruh badan saya menggeletar,” kata seorang pengguna.
Menurut maklumat di video berkenaan, cacing itu dikenali sebagai nematod atau cacing bulat dan boleh membesar sehingga satu meter panjang.
Cacing parasit itu juga boleh menyebarkan penyakit berbahaya kepada manusia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 6:29 AM


GAMBAR menunjukkan cacing parasit (dalam bulatan) yang ditemui di dalam mata seorang pesakit wanita.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103704#sthash.Hn28kHyz.dpuf

'Telefon bimbit kuno' cetus spekulasi

Vienna: Penemuan objek pelik tidak ubah seperti telefon bimbit kuno oleh pakar arkeologi menjadi viral di Internet menyebabkan ramai membuat spekulasi bahawa ia membuktikan mengembara merentas masa sesuatu yang boleh berlaku.
Antara spekulasi pengguna Internet termasuk bahawa barang itu salinan telefon bimbit diperbuat daripada tanah liat, dengan tulisan pepaku Sumeria pada ‘kekuncinya.’
Ada dakwaan mengatakan ‘telefon’ itu dari kurun ke-13 dan bukti tamadun yang jauh maju pada zaman itu dengan teknologi dibawa balik pengembara masa dari masa depan.
Laman web konspirasi, tothedeathmedia.com berkata: “Mengikut laporan, pakar arkeologi membuat penemuan ini ketika pencarian artifak di Fuschl am See, Salzburg.
“Malangnya tidak banyak maklumat mengenai penemuan menakjubkan ini.”
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang menganggapnya sekadar penipuan terutama disebabkan kurangnya maklumat yang mengesahkan penemuan itu.
Pada masa sama, pencari makhluk asing dan UFO menganggap gambar itu bukti alien dari tamadun lebih maju pernah datang ke bumi membawa teknologi mereka.
Editor majalah UFO Sightings Daily, Scott C Waring berkata: “Kita tidak boleh nafikan ini mungkin penipuan. Perkara seperti ini amat sensasi, tetapi pada masa sama ada juga kemungkinan pembuatnya melihat telefon bimbit seumpamanya pada zaman dulu dan menirunya dalam bentuk ini.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 6:37 AM


OBJEK didakwa telefon bimbit kuno dikatakan menyerupai telefon bimbit kurun ke-21.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103706#sthash.XVjpsLXs.dpuf