Pages

Showing posts with label rakam. Show all posts
Showing posts with label rakam. Show all posts

Friday, November 12, 2010

Rakam gambar Bumi dari angkasa dengan kos RM39,885


KAPAL terbang kertas meluncur ke udara dengan menggunakan gas helium.


LONDON - Sekumpulan peminat sains angkasa lepas di Britain menemui cara murah untuk merakamkan gambar pemandangan Bumi seperti rakaman satelit dengan hanya menggunakan kapal terbang kertas, lapor sebuah akhbar semalam.
Pesawat tanpa enjin itu meluncur pada ketinggian 27.4 kilometer di udara yang merupakan altitud tertinggi bagi sebuah kapal terbang kertas.
Pesawat kecil yang bersayap sepanjang satu meter dan dicipta oleh Steve Daniels, John Oates dan Lester Haines dengan kos cuma £8,000 (RM39,885) sekali gus jauh lebih murah berbanding harga sebuah roket.
Ia yang dilengkapi kamera video kecil dan sistem Perkhidmatan Paket Radio Umum (GPRS), dilancarkan ke udara dengan menggunakan sebuah belon berisi gas helium di kawasan pedalaman Sepanyol, kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Madrid baru-baru ini.
Belon itu meletup pada altitud melebihi 27 kilometer menyebabkan kapal terbang kertas itu meluncur di udara sebelum mendarat kira-kira 160 kilometer dari lokasi pelancaran selepas dikesan dengan menggunakan perkhidmatan GPRS. - Agensi

Sunday, June 20, 2010

Rakam imej dalam gelap

JOHOR BAHRU: Kegagalan mendapatkan imej jelas suspek pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin pada 2008 mendorong seorang pelajar peringkat Doktor Falsafah (Phd) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta kamera litar tertutup (CCTV) lebih canggih serta mampu merakam imej dalam keadaan gelap.
Lebih menarik, kamera menggunakan sistem stereo itu tidak hanya berupaya merakam imej sebaliknya mampu mendedahkan identiti suspek dengan lebih jelas.
Menurut Mohd Farid Mohd Ariff, 30, CCTV itu menggabungkan tiga teknologi imej digital iaitu kamera resolusi tinggi, penapis infra merah dan peranti tiga dimensi (3D).

“Ia adalah yang pertama di dunia dan dibangunkan sejak dua tahun lalu oleh kumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi UTM.

“Saya mendapat ilham mencipta CCTV itu selepas kegagalan mengesan pembunuh Nurin kerana imej dihasilkan kabur menyebabkan siasatan sukar dijalankan,” katanya ketika memperkenalkan produk itu di UTM, semalam.

Menurut Mohd Farid, menerusi CCTV berkenaan, ia berupaya merakam apa saja objek bergerak manakala semua rakaman akan diproses sebelum maklumat lengkap terhasil dalam tempoh 15 minit.

Beliau yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Pemetaan Forensik, berkata ciptaan itu menggabungkan teknologi kamera video digital dengan tiga elemen terkini dalam kajian Fotogrametri.

“Ia menghasilkan imej lebih jelas sekali gus memudahkan siasatan terhadap suspek kerana menghasilkan data fizikal seperti ketinggian, bentuk wajah, saiz serta identiti lain,” katanya.

Katanya, produk itu sebahagian daripada program tesis peringkat Phd dan diharap boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti suspek serta menjalankan siasatan dengan lebih cepat dan tepat.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Penyelidikan Fotogrametri dan Pengimbasan Laser Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi, Dr Zulkepli Majid, berkata komponen kamera berkenaan boleh digabungkan dengan ‘bingkai kalabrasi ruang’ bagi mendapatkan data mengenai suspek dan direkod dalam CCTV itu.

“Kamera ini boleh mengambil imej 3D manakala imej stereo pula mampu mengambil dua gambar sekali gus dan menggabungkannya untuk mendapatkan imej lebih jelas menggunakan kamera enam megapixel.
“Selain itu, sistem infra merah pula membolehkan gambar dirakam dengan jelas biarpun dalam keadaan gelap,” katanya.

Disamping kecanggihan cirinya, Dr Zulkepli berkata, pihaknya juga sedang membangunkan sistem untuk mengenal pasti kontur muka suspek yang memakai topeng.

“Kaedah itu lebih baik berbanding sistem forensik seperti digunakan Interpol dan Biro siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI),” katanya.

Menurutnya, CCTV berkenaan boleh merakam imej bergerak selama tiga hingga empat hari dan jarak rakaman terbaik antara tiga hingga enam meter dengan data boleh dikumpul di dalam pusat penyimpanan CCTV atau beroperasi secara dalam talian terus ke pelayan (server) utama.
“Pemprosesan data akan dijalankan menggunakan kaedah fotogrametri yang memberikan imej tepat dan cepat mengenai fizikal suspek.

“Berbanding CCTV dengan sistem mono, kamera ini lebih mahal iaitu kira-kira RM6,000 bagi set CCTV tidak termasuk sistem pengesanan imej, latihan dan peralatan. Untuk keseluruhan sistem, ia boleh dibeli dengan harga RM60,000 dan sesuai dipasang untuk pengawasan di kawasan jenayah terpilih,” katanya.