Pages

Showing posts with label Ahmadinejad. Show all posts
Showing posts with label Ahmadinejad. Show all posts

Saturday, September 24, 2011

Ahmadinejad gelar AS, Eropah penjajah angkuh

NEW YORK: Diplomat Amerika Syarikat dan delegasi 30 negara lain bertindak keluar dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) selepas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan kuasa besar itu dan sekutunya di Eropah Barat sebagai kuasa angkuh yang tamak dan suka campur tangan ketenteraan di negara lain.

Langkah dua diplomat Amerika yang pakar dalam Asia Barat diikuti perwakilan lain daripada lebih 30 negara termasuk Kesatuan Eropah (EU), Australia, New Zealand, Somalia, Liechtenstein, Monaco, San Marino dan Macedonia. Israel turut memboikot ucapan terbabit.
Ucapan berapi-api Ahmadinejad yang anti-Amerika dan anti-Israel perkara biasa dalam UNGA.
Beliau mengecam Amerika dan kuasa besar Eropah kerana menculik berjuta-juta rakyat Afrika dan menjadikan mereka hamba, menggugurkan beribu-ribu butir bom di negara lain dan menguasai Majlis Keselamatan PBB.

Beliau juga mengutuk Amerika kerana menggunakan bom nuklear terhadap Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan melaksanakan dan menyokong pemerintahan diktator tentera dan rejim kuku besi di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Ketua hamba dan kuasa penjajah yang sama menghasut dua perang dunia mencetuskan kesengsaraan besar dan huru-hara di seluruh dunia.

Adakah kuasa angkuh ini benar-benar mempunyai kecekapan dan keupayaan untuk memerintah dunia, sindir Ahmadinejad.
Beliau menjawab soalan itu dengan menggesa perkongsian dan pengurusan bersama dunia untuk menamatkan masalah pada masa ini termasuk diskriminasi seluruh dunia.

Tahun lalu beliau berkata, masa depan adalah milik Iran dan mencabar Amerika Syarikat untuk menerima hakikat bahawa negaranya ada peranan penting di dunia.

Tahun lalu, Ahmadinejad turut menyebabkan perwakilan Amerika, EU dan beberapa lagi keluar dewan apabila berkata majoriti penduduk di Amerika dan seluruh dunia percaya kerajaan Amerika sendiri melakukan serangan 11 September 2011 (9/11) dalam usaha untuk memastikan keselamatan Israel.

Ahmadinejad turut menyalahkan Amerika sebagai kuasa di sebalik sekatan Majlis Keselamatan PBB terhadap Iran berikutan keengganan Tehran menangguhkan pengkayaan uranium. AP 

Sunday, August 28, 2011

Ahmadinejad desak PBB berhenti sokong Israel





2011/08/28

SEORANG penunjuk perasaan membawa sepanduk anti-Israel di London, 
baru-baru ini.
SEORANG penunjuk perasaan membawa sepanduk anti-Israel di London, baru-baru ini.
TEHRAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, berkata tiada ruang buat Israel di rantau ini selepas pembentukan sebuah negara Palestin dan sebaik saja negara itu diwujudkan, kebebasan semua tanah Palestin perlu dipatuhi.

Ulasan Mahmoud Ahmadinejad menggambarkan sikap anti-Israelnya, yang menarik kecaman antarabangsa sejak kali pertama berkata pada 2005 bahawa Israel perlu ‘dihapuskan daripada peta dunia.’
Ahmadinejad bercakap selepas perhimpunan besar-besaran pro-Palestin menandakan Hari Quds. Quds adalah bahasa Arab untuk Baitulmaqdis.
Demonstrasi tahunan itu adalah satu upacara oleh pihak berkuasa Iran untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Palestin dan mengutuk seteru utama Israel.

Kenyataan itu dibuat ketika Palestin berusaha tahun ini untuk mencapai pengiktirafan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ketika mesyuarat Perhimpunan Agung September.

Cubaan mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara muncul di tengah rundingan damai terhenti Israel-Palestin dan walaupun pengundian PBB di New York sebahagian besarnya simbolik, Palestin percaya ia akan menghantar mesej berkuasa kepada Israel.

“Tiada ruang untuk anda di rantau ini. Pengiktirafan Palestin adalah langkah pertama pembebasan keseluruhan Palestin,” katanya. 
Ahmadinejad juga menggesa Barat berhenti menyokong Israel.

“Anda (Barat) dan rejim Zionis tidak akan mempunyai pangkalan di Asia Barat,” katanya ketika memberi amaran dan menolak sokongan Barat untuk penyelesaian dua negara sebagai satu taktik bermaksud ‘menyelamatkan’ Israel. 

Mengulangi retorik anti-Holocaust, Ahmadinejad berkata Israel dicetuskan atas penipuan dan menambah; “rejim Zionis paksi penyatuan semua perompak dan penjenayah di dunia.” – AP 

Monday, May 30, 2011

Ahmadinejad pernah timbang letak jawatan


TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, pernah menimbang untuk meletak jawatan selepas pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei, menolak keputusannya memecat seorang menteri.


“Presiden menimbangkan untuk meletak jawatan, namun beliau memutuskan adalah lebih baik jika beliau meneruskan kerjanya,” kata Timbalan Speaker Parlimen, Mohammad Reza Bahonar.
Ahmadinejad mengelak menghadiri majlis awam selama 10 hari lewat April sebagai bantahan kepda tindakan Khamenei yang mengenepikan keputusannya memecat Menteri Perisikan, Heydar Moslehi.
Persengketaan itu mencetuskan krisis politik dengan golongan konservatif ultra mengecam keputusan Ahmadinejad sebagai ancaman kepada rejim dan mendesak Presiden supaya bertindak selari dengan kehendak pemimpin.

“Pemimpin agung mahu kerajaan meneruskan kerja sehingga akhir penggalnya,” kata Bahonar merujuk kepada Ogos 2013 iaitu berakhirnya penggal kerajaan Ahamdinejad.

Di bawah perlembagaan, Ahmadinejad tidak layak lagi untuk bertanding pada pemilihan presiden akan datang yang dijangka diadakan pada Jun 2013, kerana sudah memegang jawatan berkenaan dua penggal berturut-turut.

“Kepentingan negara tidak akan dapat dijaga jika kerajaan menjadi lemah. Namun adalah penting bagi kerajaan menjauhkan daripada individu yang melakukan sesuatu yang memesong,” kata Bahonar.
Beliau merujuk kepada ketua staf Ahmadinejad, Esfandiar Rahim Mashaie yang didakwa oleh golongan konservatif ultra menjalankan usaha untuk menjejaskan rejim semasa. – AFP
Berita Harian Online | Ahmadinejad pernah timbang letak jawatan

Saturday, October 16, 2010

Ahmadinejad terima hadiah raifal

sumber

Hassan Nasrallah (kanan) menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang anggota tentera Israel kepada Ahmadinejad pada akhir lawatan Presiden Iran itu ke Lebanon di Kedutaan Iran di Beirut, kelmarin. - AFP


BEIRUT 15 Okt. - Pemimpin pergerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang askar Israel, kepada Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pada akhir lawatan beliau ke Lebanon.
Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan di Kedutaan Iran di Beirut lewat semalam pada akhir lawatan dua hari Ahmadinejad ke negara ini.
Semasa lawatan itu, Ahmadinejad mengunjungi kawasan selatan Lebanon yang bersempadan dengan Israel dalam langkah yang dilihat sebagai mencabar rejim Zionis itu.
Hizbullah dalam kenyataannya berkata, Ahmadinejad dan Nasrallah telah membincangkan lawatan 'bersejarah' pemimpin Iran itu.
Sebagai tanda penghargaan dan kesetiaan, Nasrallah menghadiahkan selaras raifal yang dirampas daripada seorang askar Israel semasa perang Hizbullah dengan tentera rejim Yahudi itu pada 2006.
Lawatan Ahmadinejad menunjukkan pengaruh luas yang dimainkan oleh Iran di Lebanon menerusi proksinya, Hizbullah, iaitu kuasa tentera dan politik terbesar di negara ini.
Namun, lawatan itu dikecam oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta blok pro-Barat di Parlimen Lebanon yang menyifatkannya sebagai satu provokasi dan percubaan untuk menggambarkan Lebanon sebagai 'pangkalan Iran di Mediterranean'. - AFP

Friday, October 15, 2010

Ahmadinejad berada 4 kilometer dari Israel




2010/10/15

 
ASKAR Israel berkawal  sebelum lawatan  Ahmadinejad ke sempadan Israel, semalam.
ASKAR Israel berkawal sebelum lawatan Ahmadinejad ke sempadan Israel, semalam.
BEIRUT: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menjejaki kawasan paling hampir dengan Israel, negara musuh ketatnya, ketika melawat selatan Lubnan semalam, dalam rangka lawatannya yang masuk hari kedua semalam.

Pegawai Israel mengecam lawatan berkenaan dan berkata Lubnan sudah menyertai ‘paksi negara pengganas’, apabila membawa Ahmadinejad ke kawasan yang hanya empat kilometer dari sempadan negara Yahudi itu.“Ia adalah satu lawatan provokatif dan tidak memberi kestabilan,” kata jurucakap kementerian luar, Yigal Palmor di Baitulmaqdis. “Nampaknya tujuannya sememangnya untuk bertindak ganas dan beliau datang untuk bermain dengan api.”Pemimpin Iran itu diberi sambutan sebagai seorang wira terutama di kalangan anggota Hizbullah yang keluar beramai-ramai dan menabur beras serta bunga ketika ketibaannya kelmarin.

Ahmadinejad juga akan melawat Qana, yang menempa tempat dalam sejarah apabila 105 orang awam yang berlindung di pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh, selepas ia diserang oleh Israel pada 1996.

Kelmarin Ahmadinejad juga menyokong penentangan Lubnan terhadap ‘rejim Zionis’ dan menawarkan sokongan tidak berbelah bagi kepada negara berkenaan selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya, Michel Sleiman dan pegawai lain.

Beliau kemudian muncul pada satu perhimpunan di selatan Beirut yang dikuasai Hizbullah, dan melambai kepada puluhan ribu orang yang menantinya. 
Dalam ucapannya, beliau mengulangi bahawa Israel akan pupus - kenyataan yang juga dilaungkan oleh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, yang hidup dalam persembunyian sejak peperangan 2006. – AFP