Hasilkan suara setiap kali pemilik keluarkan kad kredit
25 November 2015 12:22 AM
LONDON 24 Nov. - Jika anda sukar mengawal perbelanjaan kad kredit, anda mungkin boleh menggunakan beg pintar yang dihasilkan oleh tiga pelajar di Scotland bagi menangani tabiat buruk itu.
Beg pintar yang diperkenalkan oleh pelajar Kolej Jordanstone di Dundee, Leanne Fischler, Kirsty Sneddon, dan Rebecca Smith itu dilengkapi teknologi bagi mengekang pemiliknya untuk berbelanja berlebihan menggunakan kad kredit.
Menurut portal Mail Online, setiap kali pengguna mengeluarkan kad kredit, beg uniseks tersebut boleh mengeluarkan jeritan menerusi pembesar suara yang berbunyi, ‘Adakah anda perlukan kad kredit?’ atau ‘Anda telah banyak berhutang’.
Malah jelas laporan terbabit, pekikan itu akan bertambah kuat jika kad kredit dikeluarkan dengan lebih kerap kerana beg berkenaan dilengkapi alat khas yang boleh mengesan pergerakan kad kredit.
Fischler, 21, berkata, produk itu dihasilkan dengan matlamat mempunyai fungsi berguna kepada pengguna.
“Saya dan rakan mencipta beg ini dengan harapan dapat mengurangkan pembaziran.
“Kita hidup dalam masyarakat yang sentiasa berbelanja secara berlebihan dan beg ini merupakan cara terbaik kepada mereka yang suka melakukan pembaziran,” katanya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada beg pintar itu akan dihasilkan secara komersial.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/beg-pintar-menjerit-8232-kawal-perbelanjaan-1.161980#sthash.fh2mNCF1.dpuf