Pages

Wednesday, January 8, 2014

AS dilanda sejuk melampau


TASIK Michigan beku akibat suhu sejuk melampau di Chicago, Illinois kelmarin.- AFP



INDIANAPOLIS - Aliran udara sejuk berbahaya yang melanda bahagian tengah hingga selatan dan timur Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan banyak sekolah serta perniagaan ditutup manakala 16 orang dilaporkan meninggal dunia.
Suhu di kawasan tersebut semalam mencecah negatif 27 darjah Celsius sekali gus memecah rekod suhu paling sejuk yang pernah dicatatkan di negara berkenaan.
Di Toronto, seorang pegawai di Lapangan Terbang Antarbangsa Pearson memberitahu, suhu sejuk yang ekstrem menyebabkan amaran keselamatan telah dikeluarkan kepada para petugas.
Seramai 187 juta penduduk di kawasan terbabit akan terjejas akibat 'pusaran polar' itu apabila ia merebak ke seluruh AS.
Sebuah syarikat utiliti, PJM Interconnection yang membekalkan tenaga elektrik kepada lebih 61 juta pengguna di tengah Atlantik, tengah dan selatan AS semalam meminta para pengguna menjimatkan penggunaan tenaga ekoran cuaca sejuk.
Dalam pada itu, di Indiana pula lebih 30,000 terpaksa bergelap selepas bekalan elektrik di beberapa kawasan terputus kelmarin.
Lebih 500 penumpang terpaksa bermalam di dalam gerabak kereta api apabila tiga perkhidmatan berkenaan yang menuju ke Chicago terpaksa berhenti akibat salji tebal di Illinois.
Seorang kakitangan meteorologi, Bob Oravec di Pusat Ramalan Cuaca di College Park, Maryland berkata, aliran udara sejuk meningkatkan kebimbangan jalan raya yang basah akibat salji yang cair pada minggu lalu akan membeku semula.
"Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda keadaan akan kembali normal apabila suhu kembali meningkat diramalkan di tengah AS,'' katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2pkzhNPRl 
Hakcipta terpelihara