Pages

Tuesday, November 22, 2011

Rusuhan ragut 35 nyawa

PENUNJUK perasaan membantu rakan mereka yang terkena gas pemedih mata ketika bertempur dengan polis di Dataran Tahrir, semalam.
PENUNJUK perasaan membantu rakan mereka yang terkena gas pemedih mata ketika bertempur dengan polis di Dataran Tahrir, semalam.

KAHERAH: Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir memasuki hari ketiga semalam sementara angka kematian meningkat kepada 35.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan kemungkinan pilihan raya pertama sejak penggulingan Hosni Mubarak akan terjejas.


Polis dan tentera menggunakan belantan, gas pemedih mata dan peluru getah dalam usaha untuk menyuraikan beribu-ribu penunjuk perasaan yang berhimpun di dataran berkenaan bagi mendesak pemimpin tentera menyerahhkan kuasa kepada pihak berkuasa awam.

Menjelang tengah hari semalam, orang ramai sekali lagi berarak ke Dataran Tahrir, pusat tunjuk perasaan yang menggulingkan Hosni pada Februari lalu.


Kementerian Kesihatan berkata, 22 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku sejak Sabtu lalu, menjelang pilihan raya Parlimen 28 November depan, yang pertama sejak pemerintahan Hosni berakhir.


“Kematian di Dataran Tahrir di Kaherah dan di beberapa wilayah lain mencecah 35 orang sejak pertempuran bermula Sabtu lalu,” menurut kenyataan kementerian itu yang disiarkan agensi berita rasmi Mesir, MENA.

Keganasan itu juga menyebabkan ratusan orang cedera ketika tunjuk perasaan meletus di Kaherah, Iskandariah dan Suez. Pertempuran itu mula meletus Sabtu lalu, sehari selepas orang ramai mengadakan perhimpunan antitentera secara aman.


Tunjuk perasaan itu disambung pada Ahad, berlarutan hingga ke malam dan awal pagi semalam.

Polis dan tentera menguasai Dataran Tahrir kelmarin sebelum diusir oleh penunjuk perasaan yang menguasainya semula, seperti yang berlaku Sabtu lalu.


Seorang wartawan melaporkan, penunjuk perasaan melontar bom minyak ke arah kereta perisai tentera dan polis pencegah rusuhan.


Menurutnya, polis bertindak balas dengan menggunakan senapang patah dan peluru getah.


Pertempuran sengit meletus di jalan raya menghala ke Kementerian Dalam Negeri dengan penunjuk perasaan melaungkan slogan: “Rakyat mahu gulingkan ketua tentera,” merujuk kepada Hussein Tantawi, bekas Menteri Pertahanan dalam kerajaan Hosni yang kini mengetuai kerajaan tentera.


Di Iskandariah, upacara pengebumian seorang mangsa bertukar menjadi pertempuran dengan polis yang terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata.


Di bandar Suez, polis menggunakan peluru hidup yang dilepaskan ke udara bagi menghalang penunjuk perasaan daripada menyerbu sebuah balai polis. - Reuters

No comments: