Pages

Showing posts with label iran. Show all posts
Showing posts with label iran. Show all posts

Thursday, November 29, 2012

Kumpulan saintis Iran didakwa buat pengiraan letupan nuklear




GAMBAR RAJAH yang menunjukkan pengiraan letupan nuklear oleh saintis Iran.


VIENNA - Satu gambar rajah yang diperolehi oleh agensi berita The Associated Press menunjukkan bahawa para saintis di Iran telah mengendalikan simulasi komputer untuk sebuah senjata nuklear yang mampu menghasilkan kuasa letupan tiga kali ganda lebih kuat daripada bom atom pada Perang Dunia Kedua yang memusnahkan Hiroshima, Jepun.
Maklumat mengenai gambar rajah itu telah dibocorkan oleh pegawai-pegawai dari sebuah negara yang tidak bersetuju dengan program nuklear Iran.
Ia didedahkan sebagai hujah sokongan kepada dakwaan mereka yang mahukan program nuklear Iran dihentikan.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang merupakan pemerhati nuklear untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria melaporkan pada tahun lalu bahawa pihaknya telah menerima gambar rajah tersebut.
Menurut agensi tersebut, gambar rajah itu menunjukkan Iran melakukan pengiraan tentang letupan nuklear. - AP

Sunday, November 4, 2012

Iran selesai pasang alat tingkat upaya pengayaan uranium



Loji Nuklear Iran
Kewujudan loji nuklear Fordo ini mula didedahkan pada 2009 selepas ia dikesan oleh Perkhidmatan Perisikan Barat. Foto: AP
TEHERAN - Ketua Agensi Tenaga Atom Iran, kelmarin, mengesahkan negara itu selesai memasang centrifuge (alat berfungsi untuk meningkatkan keupayaan pengayaan uranium) di loji nuklear Fordo terletak berhampiran Qom.

Fereydoun Abbasi turut memberitahu kejayaan negara itu melengkapkan projek pengayaan uranium mereka seperti yang dirancang sebelum ini.

Minggu lalu, diplomat Barat mendakwa Teheran semakin hampir menamatkan projek pembinaan senjata nuklear mereka walaupun centrifuge baru masih belum diaktifkan.

Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebelum ini menyebut Teheran sudah melakukan pengayaan uranium sehingga tahap 20 peratus.

Ogos lalu, IAEA juga melaporkan jumlah centrifuge di Fordo juga telah meningkat sekali ganda mencecah 2,140 unit. - Haaretz

Monday, October 29, 2012

Iran miliki pesawat tanpa pemandu canggih



DUBAI: Iran mendakwa memiliki pesawat tanpa pemandu yang setakat ini dikatakan lebih maju daripada pesawat sama dimiliki Hizbullah yang dilancarkan ke ruang udara Israel bulan ini, kata menteri pertahanan Iran Ahmad Vahidi (gambar) semalam.

Tentera Iran sering kali mengumumkan perkembangan kejuruteraan dan pertahanan mereka walaupun sesetengah penganalisis kadang kala meragui kebenaran laporan seumpama itu.
Awal bulan ini, Israel menembak jatuh sebuah pesawat tanpa pemandu yang terbang kira-kira 55 kilometer ke negeri Yahudi terbabit. Kumpulan militan Lubnan, Hizbullah mendakwa bertanggungjawab terhadap pesawat itu dengan mengatakan sebahagiannya dibuat di Iran dan dipasang di Lubnan.

Republik Islam Iran pada masa ini memiliki pesawat tanpa pemandu dengan teknologi paling terkini berbanding pesawat yang dihantar pasukan Hizbullah ke ruang udara regim Zionis (Israel), kata Vahidi.
Reuters

Thursday, October 4, 2012

Iran tetap teruskan program nuklear

Iran tetap teruskan program nuklear
Barat disyaki mendalangi nilai mata wang Iran
Mahmoud Ahmadinejad
Mahmoud Ahmadinejad
TEHERAN - Iran masih dengan pendiriannya untuk meneruskan program nuklear, walaupun Barat mengenakan pelbagai sekatan, termasuk nilai mata wang yang menguncup baru-baru ini.

"Rakyat Iran tidak akan sesekali mengaku kalah.

"Jika Barat berfikir mampu menekan Iran, itu adalah perbuatan yang gagal dan mereka harus memperbaikinya," kata Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di ibu negara, kelmarin.

Ahmadinejad berkata demikian, selepas nilai mata wang Iran secara tiba-tiba jatuh 80 peratus berbanding tahun lalu, menyaksikan penguncupan nilai sebanyak 17 peratus dalam tempoh sehari, Isnin lalu.

Nilai mata wang Rial kemudian jatuh sekali lagi sebanyak empat peratus kelmarin, iaitu pada 36,100 Rial (RM8.99) bagi setiap dolar.

Ahmadinejad mengakui keciciran nilai mata wang negara Republik Islam itu berpunca daripada peperangan ekonomi yang didalangi Barat dan perang psikologi pasaran tukaran wang asing.

Bagaimanapun, katanya Iran masih memiliki simpanan mata wang asing yang mencukupi sebanyak $100 bilion (RM3.1 bilion).  - Al-Jazeera

Monday, October 1, 2012

Iran rancang lancar enjin carian internet sendiri



TEHERAN - Iran, semalam merancang untuk mewujudkan enjin carian internet mereka sendiri bagi menggantikan perkhidmatan Google dan Gmail.

Akhbar tempatan melaporkan, Timbalan Menteri Telekomunikasi, Ali Hakim Javadi berharap untuk melancarkan enjin carian Fakhr dan perkhidmatan emel, Fajr dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Teheran pernah menyatakan hasrat untuk melancarkan versi internet mereka sendiri yang didakwa lebih 'bersih' bagi membendung pengaruh Barat daripada menular di negara itu. - AP

Wednesday, September 26, 2012

Iran buat Israel bengang

Ahmadinejad ceria (gambar kecil) manakala delegasi Israel keluar dewan ketika pemimpin Iran itu berucap. - Foto APAhmadinejad ceria (gambar kecil) manakala delegasi Israel keluar dewan ketika pemimpin Iran itu berucap. - Foto AP
Duta keluar dewan PBB selepas Tel Aviv digelar negara palsu

New York: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan Israel sebagai negara palsu yang dilindungi Amerika Syarikat menyebabkan duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) keluar dari dewan badan dunia itu kelmarin ketika ahlinya membincangkan tema kepatuhan kepada undang-undang.
Ahmadinejad juga menuduh Amerika Syarikat dan beberapa kerajaan lain menyalahguna kebebasan bersuara dan gagal mengecam fitnah terhadap kepercayaan orang lain dan nabi, merujuk kepada pengedaran video murahan dihasilkan di Amerika menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Mereka yang tidak mengendahkan ucapan penuh kebencian beliau hari ini perlu bertanggungjawab atas tindakannya esok” - Ron Prosor, Duta Israel
Delegasi Amerika tidak meninggalkan mesyuarat seperti yang dilakukan sebelum ini apabila Iran menyerang Israel secara langsung.

Kutuk pencerobohan

Pemimpin Iran itu yang mendesak kemusnahan Israel turut mengutuk pencerobohan rejim Zionis itu di wilayah Palestin dan penggunaan kuasa veto oleh Amerika dalam Majlis Keselamatan untuk menyokong sekutunya.

Beliau menggesa semua negara meletakkan tanggungjawab ke atas penceroboh dan menuntut wilayah yang diceroboh dipulangkan kepada pemilik yang sebenar.
Ahmadinejad menyalahkan kuasa veto Amerika, China, Russia, Britain dan Perancis atas kegagalan Majlis Keselamatan memastikan keamanan di dunia, dan menggesa perubahan dalam peraturan supaya memihak kepada negara yang mahukan keadilan.

Ketika Ahmadinejad memberi ucapan kepada pemimpin dan menteri lebih 100 negara, Duta Israel, Ron Prosor, keluar daripada dewan Perhimpunan Agung itu.

“Ahmadinejad menunjukkan sekali lagi beliau bukan saja mengancam masa depan penduduk Yahudi, beliau mahu memadamkan masa lalu kami. Tiga ribu tahun sejarah Yahudi menunjukkan dengan jelas bahaya membiarkan fanatik seperti Presiden Iran, terutama ketika beliau semakin hampir memiliki senjata nuklear.

“Mereka yang tidak mengendahkan ucapan penuh kebencian beliau hari ini perlu bertanggungjawab atas tindakannya esok,” kata Prosor dalam satu kenyataan.
Prosor menganggap membenarkan Ahmadinejad berucap umpama melantik ‘kaki bakar sebagai ketua bomba.’

Anggap Iran ancaman

Israel melihat Iran sebagai ancaman tetapi Tehran menegaskan program nuklearnya bertujuan untuk keamanan dan cuma untuk menghasilkan tenaga nuklear.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu percaya Tehran semakin dekat menghasilkan senjata nuklear dan mendesak Amerika menyatakan faktor membolehkan tindakan ketenteraan dilancarkan terhadap negara Teluk itu.

Bagaimanapun, Presiden Barack Obama enggan menetapkan sebarang garisan merah.
Ahmadinejad tidak menamakan Israel atau Amerika dalam ucapannya ketika berkata: “Kita menyaksikan sebahagian anggota Majlis Keselamatan yang ada kuasa veto memilih untuk berdiam diri berhubung peledak nuklear rejim palsu tetapi pada masa sama menghalang kemajuan saintifik negara lain.” - AP

Tuesday, September 25, 2012

Anak lelaki pula ditangkap

Sabtu lalu, kakaknya, Faezeh Hashemi ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan atas tuduhan ‘propaganda antinegara’.
Hukuman itu dijatuhkan awal tahun ini tetapi baru kini dapat dikuatkuasakan.

Mehdi dan Fazeh Hashemi dituduh terlibat dalam protes jalanan pada 2009 yang berlaku selepas Presiden Mahmoud Ahmadinejad memenangi pilihan raya untuk penggal kedua.

Pembangkang Iran mendakwa kemenangan Mahmoud adalah menerusi penipuan.

Faezah Hashemi ditahan sementara bersama beribu-ribu yang lain selepas demonstrasi itu sementara Mehdi meninggalkan Teheran.

Bapa mereka ialah ulama terkenal yang pernah menjadi presiden pada 1989 hingga 1997 dan dilihat sebagai berpendirian sederhana dan dipinggir oleh kumpulan ulama Iran.

Akbar yang masih lagi menjadi ahli politik badan arbitrasi, berdepan dengan tuntutan daripada puak konservatif supaya mengecam ketua pembangkang, Mir Hossein Mousavi dan Mehbi Karroubi yang kini dikenakan tahanan rumah.

Presiden Mahmoud yang mengalahkan Akbar untuk jawatan presiden pada 2005, akan mengundurkan diri tahun depan selepas tempoh penggal keduanya berakhir.

Pilihan raya untuk memilih presiden yang baru, dijangka diadakan pada 14 Jun, 2013. - Reuters

Iran beri amaran keras

Iran beri amaran keras
Hajizadeh (kiri) menyatakan Israel tidak akan menyerang Iran
melainkan ia mendapat sokongan Amerika Syarikat. - Foto EPA

TEHERAN - Iran, kelmarin dengan lantang memberi amaran keras untuk menyasarkan tiga pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) jika Israel melancarkan serangan ke atas negara itu.
Komander Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Jeneral Amir Ali Hajizadeh berkata, pangkalan terbesar tentera AS di Qatar, Bahrain dan Afghanistan adalah sasaran sah mereka kerana rejim Zionis tidak akan melancarkan serangan ke atas negara itu tanpa campur tangan Washington.
"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika perang tercetus. Iran tidak mahu memulakan apa-apa peperangan melainkan jika kami berasa terancam dengan musuh," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Jim Gregory menyifatkan amaran Iran tersebut kononnya sebagai retorik untuk meningkatkan lagi ketegangan yang tercetus.

Dalam perkembangan berkaitan, Britain, Perancis dan Jerman sebulat suara menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan lebih tegas ke atas Iran, berikutan keengganan negara itu untuk menghentikan program nuklear mereka.

Difahamkan butiran sekatan baru tersebut masih dalam rundingan dan ia akan dibincangkan semasa mesyuarat di Bruseels pada 15 Oktober depan.

Awal tahun lalu, EU  mengenakan embargo ke atas eksport minyak Iran dan beberapa sektor lain sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara itu pada masa ini. - AFP

Monday, September 24, 2012

Iran tuduh Siemens sabotaj program nuklear

Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan, Alaeddin Boroujerdi
Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan, Alaeddin Boroujerdi

TEHERAN - Iran, kelmarin menuduh Syarikat Siemens di Jerman mengimplan bahan letupan kecil di dalam peralatan yang dibeli oleh negara itu untuk program pengayaan uranium mereka.

Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan, Alaeddin Boroujerdi menyatakan pakar keselamatan Iran berjaya menemui bahan letupan tersebut sebelum ia meletup.

"Ia sepatutnya meletup selepas dipasang pada sistem dan sememangnya  bertujuan untuk memusnahkan program kami, namun kebijaksanaan pakar kami berjaya menggagalkan konspirasi pihak musuh," katanya.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Siemens berkeras menafikan tuduhan itu.

Jurucakap syarikat berpusat di Munich, Alexander Machowetz berkata, Siemens tidak pernah menjalinkan urusan perniagaan bersama Teheran termasuk yang berkaitan dengan program nuklear Iran sejak 1979. -AP

Iran mungkin serang Israel

TEHERAN: Iran mungkin melancarkan serangan terhadap Israel jika rejim Zionis itu melakukan persiapan untuk melancarkan serangan ke atasnya.

Pegawai kanan Pengawal Revolusi, Brigadier Jeneral Amir Ali Hajizadeh memberi amaran itu sehari selepas ketuanya berkata, peperangan antara kedua-dua negara itu pasti berlaku.


“Perang Dunia Ketiga akan meletus sekiranya Israel dan Iran terbabit dalam konflik ketenteraan,” kata Amir yang bertanggungjawab terhadap sistem peluru berpandu Pengawal Revolusi.

“Iran akan melancarkan serangan jika Israel melakukan persiapan sepenuhnya untuk menyerang kami. Tetapi, buat masa ini, kami tidak melihat Israel sudah bersiap sedia untuk menyerang,” katanya.


Beliau juga berkata, Iran akan melihat sebarang serangan yang dilakukan Israel sebagai sudah mendapat kebenaran daripada Amerika Syarikat.


“Kerana itu, sama ada rejim Zionis itu menyerang dengan pengetahuan atau tanpa pengetahuan Amerika Syarikat, kami tetap akan menyerang pangkalan Amerika di Bahrain, Qatar dan Afghanistan,” katanya.

Beliau juga memberi amaran, Israel tidak akan dapat menggambarkan tindak balas Iran.


“Ia akan menanggung kerugian amat besar yang akan membawa kepada kemusnahannya dari muka bumi ini,” kata Amir.

Israel dan Amerika Syarikat percaya program nuklear Iran bertujuan menghasilkan senjata nuklear yang berupaya mengancam kewujudan negara Yahudi itu serta statusnya sebagai satu-satunya negara Asia Barat yang memiliki senjata nuklear.


Kelmarin, Ketua Pengawal Revolusi, Jeneral Mohammad Ali Jafari, berkata, peperangan Iran dengan Israel pasti berlaku, tetapi bila dan di mana, belum dapat dipastikan. - AFP

Sunday, September 16, 2012

Iran minta AS perjelas dalang filem anti-Islam


Duta Iran
Khazaee mewakili Iran, mendesak AS mengambil tindakan adil terhadap dalang filem berkenaan.
NEW YORK - Iran mengharapkan negara barat, khasnya Amerika Syarikat (AS) memperjelaskan siapakah dalang sebenar yang menghasil dan menyiarkan filem anti-Islam dan dengan seriusnya meminta kerajaan tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap individu itu kerana telah menggugat keharmonian agama  dan kemasyarakatan.
Duta Iran dan wakil tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di AS, Mohammad Khazaee berkata, pihaknya mengutuk tindakan mencabul kehormatan Islam, jika dahulunya AS bertindak serius menangani penghinaan serupa itu pastinya tiada mana-mana pihak berani mengulangi kes yang sama.
"Saya yakin penyiaran filem anti-Islam itu adalah sejajar dengan pelaksanaan dasar Islamophobia barat, ke seluruh dunia," katanya kepada IRNA, semalam.
Katanya, penghinaan terhadap agama Islam dan pelan Islamophobia barat mula menular sejak penulis dari British yang menghina Islam, Salman Rushdie menerbitkan bukunya berjudul Kesucian Nabi dalam Islam pada tahun
Susulan itu, beberapa negara barat lain mula meneruskan kesinambungan menghina Islam dengan mencerca kitab-kitab suci, al-Quran serta rumah ibadah masyarakat Muslim.
Khazaee menegaskan, penerbitan filem Innocence of Muslims itu sekali gus telah menentang konvensyen antarabangsa dan mesyuarat tahunan PBB yang sememangnya mengutuk apa jua jenis pencabulan terhadap mana-mana kepercayaan agama suci, perutusan berkaitan agama dan kitab suci masing-masing. -Bernama

Sunday, September 9, 2012

Kanada putus hubungan diplomatik dengan Iran




         
OTTAWA: Kanada menutup kedutaannya di Teheran dan mengarahkan duta Iran diusir, sekali gus memutuskan hubungan diplomatik dengan negara itu, semalam.

Tanpa merujuk sebarang insiden yang mendorong keputusan itu, Menteri Luar Kanada, John Baird, menuduh Iran “ancaman terbesar kepada keamanan dunia.” Ottawa juga mengecam sokongan Teheran terhadap rejim Presiden Bashar al-Assad selain galakannya terhadap “pembunuhan beramai-ramai ke atas Israel.” “Kerajaan bimbang keselamatan kakitangannya yang terbabit dalam misi diplomatik di Teheran.


“Kanada melihat Iran sebagai ancaman besar kepada keamanan global. katanya. - AFP

Friday, September 7, 2012

Usah serang Iran: Russia




         
MOSCOW: Russia semalam memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel supaya tidak menyerang Iran.

Agensi berita Interfax memetik Timbalan Menteri Luar, Sergei Ryabkov sebagai berkata, Moscow tidak melihat sebarang bukti bahawa program nuklear Republik Islam itu bertujuan untuk menghasilkan senjata nuklear.
“Kami memberi amaran kepada mereka yang sudah biasa dengan penyelesaian secara ketenteraan bahawa tindakan seperti itu adalah berbahaya kepada kestabilan serantau.

“Serangan terhadap Iran akan memberi kesan amat buruk kepada keselamatan dan ekonomi.


“Kesannya juga akan mejangkau jauh dari sempadan Asia Barat,” kata Ryabkov.


Pegawai Russia sebelum ini memberi amaran serupa tetapi kenyataan Rybakov membayangkan kebimbangan Moscow mengenai kemungkinan Israel menyerang kemudahan nuklear Iran.

Retorik Israel yang semakin meningkat mengenai program nuklear Republik Islam itu yang didakwa bertujuan menghasilkan senjata atom mencetuskan spekulasi bahawa Israel mungkin menyerang Iran sebelum pilihan raya Presiden AS November ini.

“Kami seperti sebelum ini, tidak melihat sebarang tanda yang menunjukan program itu bertujuan untuk ketenteraan. Tiada tanda,” kata Ryabkov, pegawai Russia yang bertanggungjawab terhadap urusan diplomasi mengenai program nuklear Iran.

“Kami melihat sesuatu yang berbeza, wujud bahan nuklear di Iran yang di bawah kawalan pemeriksa dan pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Bahan nuklear ini tidak diubah untuk keperluan tentera. Ini disahkan oleh IAEA,” katanya. - Reuters

Thursday, September 6, 2012

Ahmadinejad akui Iran sukar jual minyak



TEHERAN 5 Sept. - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad buat pertama kalinya mengakui, negaranya menghadapi 'masalah' untuk mengeksport minyak ekoran sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Barat.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan pimpinannya berazam menghadapi masalah itu dan cabaran lain yang dikenakan oleh Barat.
"Ada beberapa masalah dalam menjual minyak dan kami cuba menguruskannya,'' katanya dalam satu temu bual dengan satu saluran televisyen rasmi.
Ahmadinejad turut menuduh 'musuh' menggunakan 'perang psikologi' ke atas Iran dengan mengenakan sekatan yang memberi kesan kepada ekonomi Teheran.
Beliau berkata, sekatan itu turut menjejaskan pelbagai urusan negara ini, selain penjualan minyak termasuk pertukaran wang asing serta urusan bank Iran dan bank pusat.
"Kami cuba memintas sekatan itu seperti memaklumkan kapal minyak untuk mengambil laluan tertentu. Tetapi apabila ada halangan terbaru diwujudkan, ia mengambil masa untuk menanganinya,'' tambahnya.
Ia merupakan pengakuan pertama oleh Ahmadinejad yang sebelum ini menafikan sekatan Barat memberi kesan terhadap Teheran. - AFP

AS, Israel tiada beza: Iran



         
DUBAI: Iran tidak membezakan kepentingan Amerika Syarikat dan Israel serta berjanji akan bertindak balas ke atas kedua-dua negara jika diserang, kata seorang panglima tentera semalam.

Kenyataan itu dibuat selepas Rumah Putih menafikan laporan berita Israel bahawa mereka sedang berunding dengan Teheran bagi mengelakkan perang Israel - Iran.


Laporan itu juga mendakwa Presiden Barack Obama menafikan dia terlalu berlembut dengan Teheran. Panglima Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Iran, Ali Fadavi, berkata tiada sebarang perbezaan antara rejim Zionis dan AS.

“Kita tidak perlu mengiktiraf sebarang perbezaan antara kedua-duanya.


“Berdasarkan hakikat itu, hari ini AS mengambil langkah mengancam Republik Islam,” katanya dipetik agensi berita Fars.


Menurut Ali, jika AS melakukan “kebodohan” paling kecil pun, mereka tidak akan dibiarkan meninggalkan Teluk dengan selamat.

Iran memiliki peluru berpandu yang mampu sampai ke sasaran Israel dan AS di rantau Teluk.


Baru-baru ini, Teheran menjalankan latihan tentera dan mempamerkan senjata mereka yang dipertingkatkan keupayaannya bagi membuktikan kemampuan mereka mempertahankan diri jika diserang. Menurut Israel - negara tunggal Timur Tengah yang dipercayai memiliki senjata nuklear - Iran mengancam kewujudan negara Yahudi itu jika Iran dibenarkan memiliki bom nuklear. Teheran pula tetap mempertahankan diri dengan mendakwa, program nuklear mereka dibangunkan untuk keamanan. - Reuters

Wednesday, September 5, 2012

Pangkalan AS sasaran Iran




         
BEIRUT: Iran mungkin menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan Israel ke atas kemudahan nuklearnya.

Setiausaha Agung Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan, Sayed Hassan Nasrallah berkata semalam, Iran akan melancarkan serangan itu meskipun tentera Amerika tidak memainkan sebarang peranan dalam serangan yang dilakukan Israel.


“Satu keputusan sudah diambil untuk bertindak balas dan ia akan dilakukan secara besar-besaran. Tindak balas itu bukan setakat dalam wilayah Israel, malah pangkalan tentera Amerika Syarikat di seluruh rantau ini akan menjadi sasaran Iran,” katanya. Retorik di Israel yang semakin meningkat mengenai aktiviti nuklear Iran yang menurut Barat menjadi sebahagan daripada program senjata Republik Islam itu, meningkatkan spekulasi bahawa rejim Zionis itu mungkin menyerang Iran sebelum pilihan raya Amerika Syarikat November ini.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin menggesa kuasa dunia menetapkan ‘garis jelas’ bagi meyakinkan Iran bahawa mereka akan menghalangnya daripada memperoleh senjata nuklear.


Israel yang dipercayai menjadi satu-satunya negara di Asia Barat yang mempunyai senjata nuklear melihat program nuklear Iran sebagai ancaman kepada penguasaannya di rantau itu dan terhadap kewujudannya.


Sayed Hassan berkata, terdapat perbezaan pendapat mengenai rancangan menyerang Iran.

“Secara peribadi saya tidak yakin Israel akan menyerang Iran dalam masa beberapa bulan akan datang atau dalam masa terdekat ini,” katanya.


Menurutnya, ini kerana keadaan ekonomi global yang rapuh, yang akan terus lemah akibat daripada sebarang peningkatan mendadak harga minyak mentah akibat daripada konflik di Teluk dan juga kemungkinan jumlah kematian yang besar di Israel jika perang meletus dengan Iran.

“Netanyahu dan Ehud Barak (Menteri Pertahanan Israel) membesar-besarkan ganjaran tetapi enggan mendedahkan kesan yang akan dihadapi sekiranya perang meletus,” kata Sayed Hassan, merujuk kepada anggaran Barak bahawa hanya 500 orang akan terbunuh dalam konflik yang bertujuan memusnahkan kemudahan nuklear Iran. - Reuters

Tuesday, September 4, 2012

AS cuba hindar Israel serang Iran




       
WASHINGTON: Pentadbiran Barack Obama kini mengambil pelbagai langkah yang diharap dapat menghalang Israel menyerang kemudahan nuklear Iran, lapor The New York Times, semalam.

Akhbar itu melaporkan, langkah berkenaan dibuat bagi memaksa Teheran berbincang lebih serius berhubung program nuklearnya, selain menawarkan Israel alternatif kepada rancangan mereka menyerang Iran. Memetik sumber dirahsiakan, akhbar itu berkata, AS dan lebih 25 negara lain akan mengadakan latihan tentera paling besar di Teluk bulan ini.


“Ia adalah cubaan menghalang Iran menyekat pengeksportan minyak melalui Selat Hormuz,” lapor akhbar itu. Washington juga menyiapkan sistem radar baru di Qatar yang akan digabungkan dengan radar sedia ada di Israel dan Turki bagi membentuk benteng antimisil meluas. - AFP

Monday, September 3, 2012

Reaktor tenaga nuklear Bushehr di tahap maksimum




         
TEHERAN: Reaktor tenaga nuklear tunggal Iran kini mencapai kemampuan sepenuhnya, kata seorang pegawai kanan negara itu semalam.

Timbalan Ketua Program Nuklear Iran, Mohamad Ahmadian, berkata reaktor di loji tenaha Bushehr kini “berkeupayaan penuh 1,000 megawat.” Reaktor itu memulakan operasi kali pertama tahun lalu dengan kemampuan minimum. Ia dibina di selatan negara itu dengan bantuan Russia dan menjadi asas kepada Iran menjadi pemimpin teknologi nuklear di kalangan negara umat Islam.


Iran turut mengendalikan reaktor penyelidikan lebih kecil dan satu lagi reaktor masih dalam pembinaan. - AP

Friday, August 31, 2012

Sidang Nam bakal pulih hubungan Mesir, Iran



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Ogos 2012
Ali Khamenei
Ali Khamenei berbincang dengan Mursi dan dikelilingi pegawai-pegawai Iran ketika sidang pembukaan Nam di Tehran, Iran.
TEHRAN - Pemerhati menyifatkan hubungan antara Iran dan Mesir bakal terjalin semula selepas kehadiran Presiden Mesir, Mohammed Mursi pada Sidang Kemuncak Negara-negara Berkecuali (Nam) di Tehran yang bermula semalam.

Lawatan Mursi kali pertama ke Iran lebih sedekad lalu itu, turut mengukir sejarah tersendiri, apabila Mursi mengambil peluang memulakan cadangan keamanan mengenai krisis Syria.

Stesen televisyen tempatan Iran, dalam siaran langsungnya, menunjukkan Mursi disambut oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di Dewan Sidang Kemuncak Nam.

Tehran menamatkan hubungan diplomatiknya dengan Mesir pada 1979 kerana keputusan Mesir menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

Kepemimpinan Iran menyokong pemberontakan Mesir pada 2011 serta peralihan kuasa yang berpihak kepada Mursi sebagai presiden baru negara itu.

Sementara itu, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam ucapan pembukaannya berkata, sebagai negara Islam, Iran tidak akan menggunakan senjata nuklear kerana sebarang senjata pemusnah adalah satu dosa.

"Saya desak semua negara Islam supaya tidak menggunakan senjata nuklear di Timur Tengah," katanya.

Nam dibentuk pada 1961, mempunyai 120 negara anggota yang mewakili kebanyakan negara membangun dan melihat ia sebagai bebas daripada pengaruh Washington dan Moscow.

Tiada hasrat hasilkan senjata atom: Khameini



         
TEHERAN: Iran tidak berminat untuk menghasilkan senjata nuklear tetapi akan meneruskan usaha untuk mendapatkan tenaga nuklear untuk tujuan keamanan.

“Motto kami ialah tenaga nuklear untuk semua dan tiada senjata nuklear untuk sesiapa,” kata pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei kepada ketua kerajaan dari negara sedang membangun di Teheran.


Iran yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) berharap sidang itu akan membuktikan Barat gagal memencil dan menghukumnya. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon yang menghadiri sidang itu menggesa Iran mengambil langkah konkrit untuk membuktikan program nuklearnya bertujuan untuk keamanan. - Reuters