Pages

Tuesday, November 22, 2011

3 sahabat ke tali gantung

SHAH ALAM: Tiga sahabat dikenakan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan merompak dan menembak mati seorang ahli perniagaan warga India, lima tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap penyanyi kelab malam; P Ganesh, 42, pengawal peribadi; Mohamed Rafi, 37 dan juruelektrik; G Jaibalan, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir pembelaan.


“Oleh itu tiada hukuman lain yang boleh dikenakan terhadap tertuduh selain hukuman mati,” katanya.

Ketiga-tiga tertuduh yang berada dalam kandang tertuduh kelihatan tenang mendengar keputusan mahkamah itu.


Mengikut pertuduhan, Jaibalan didakwa merompak dan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol Walther jenis PP 9mm Kurz dengan niat menyebabkan kematian Jainul Abdeen, 41, di tempat letak kereta pasar raya Giant Kelana Jaya, Petaling Jaya pada jam 9 malam, 17 Mac 2006.


Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori.

Manakala dua rakannya, Ganesh dan Mohamed Rafi pada masa dan tempat sama didakwa bersama dengan Jaibalan yang melepaskan tembakan selain mempunyai pengetahuan bahawa Jaibalan membawa senjata api itu.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut membawa hukuman mati mandatori.

Noor Azian dalam penghakimannya berkata ketiga-tiga tertuduh dalam pembelaan masing-masing mendakwa wujud individu keempat yang dikenali sebagai Thambi yang melepaskan tembakan hingga menyebabkan kematian warga India itu.


Bagaimanapun mahkamah menerima keterangan saksi pendakwaan ke-10 iaitu sahabat mangsa, Tahoubeek Ali yang turut berada di tempat kejadian melihat dengan jelas bagaimana kejadian itu berlaku selain dapat mengecam ketiga-tiga tertuduh.


“Tahoubeek melihat Ganesh berada di dalam kereta, Mohamed Rafi dilihat memandu kereta manakala Jaibalan yang menghampiri mangsa dan melepaskan tembakan.


“Saksi ini tanpa ragu-ragu menjelaskan peranan yang dimainkan oleh ketiga-tiga tertuduh,” katanya.


Sepanjang perbicaraan berjalan seramai 16 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Md Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

myMetro | 3 sahabat ke tali gantung:

'via Blog this'

No comments: