Pages

Showing posts with label cemburu. Show all posts
Showing posts with label cemburu. Show all posts

Sunday, September 11, 2011

Harimau betina bunuh pasangan gara-gara cemburu






EL PASO, Amerika Syarikat (AS) - Seekor harimau jantan bernama Wzui (gambar) mati setelah diserang oleh pasangannya di Zoo El Paso di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian berlaku pada Khamis lalu apabila harimau betina Malaya berusia tiga tahun, Seri menggigit leher Wzui yang tiga tahun lebih tua, menyebabkan harimau jantan itu mati akibat keurangan oksigen.
Ketika kejadian, kedua-dua binatang buas itu sedang mengawan di zoo berkenaan.
"Kami tidak menjangka perkara seperti ini akan berlaku," kata pengarah Zoo El Paso, Steve Marshal.
Menurutnya, serangan itu dipercayai berpunca daripada cemburu.
Wzui sebelum ini katanya, pernah mendampingi seekor harimau betina bernama Melor yang tiba dari Zoo Tulsa sembilan bulan lalu. - Agensi

Friday, September 9, 2011

Cemburu disyaki motif kontraktor dibunuh

VIJAYALAKSHMI

JOHOR BAHRU - "Saya mahu tahu motif penjenayah membunuh bapa saya kerana saya mengesyaki ia mungkin ada kaitan dengan motif cemburu dalam perniagaan perkapalan milik mendiang."
Demikian luahan V. Nishindren, 18, anak sulung S. Vijayaratnam, 47, yang maut ditetak dua lelaki bersenjatakan parang di Jalan Tasek 24, Bandar Seri Alam, Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, ibu Nishindren, G. Vijayalakshmi, 45, cedera parah. Pasangan itu dicederakan selepas penjenayah yang dipercayai mabuk gagal masuk ke bilik utama rumah itu untuk melarikan barang berharga.
Menurut Nishindren, mendiang bapanya memiliki satu perniagaan subkontraktor perkapalan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang sejak tujuh tahun lalu.
Oleh itu, Nishindren yang juga merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Mantin, Negeri Sembilan mahu polis menyiasat motif tindakan kejam yang mungkin ada kaitan dengan perniagaan mendiang bapanya.
"Saya minta polis siasat motif pembunuhan mungkin ia sebab dendam atau cemburu berkaitan dengan kejayaan perniagaan ayah saya," kata remaja itu yang juga mahu polis segera memberkas dua lagi suspek.
Nishindren turut memaklumkan keadaan emaknya semalam semakin stabil.
-kosmo

Saturday, January 8, 2011

'Mak cik tetak ibu bekali-kali'

myMetro | 'Mak cik tetak ibu bekali-kali'
JITRA: “Mak cik (ibu tiri) tiba-tiba berang lalu melibas parang ke arah adik, tapi nasib baik adik sempat mengelak. Dia kemudian menyerang ibu dan menetaknya berkali-kali di muka dan kepala. Saya yang cuba membantu turut ditetak di kaki.
“Dalam pergelutan itu, saya sempat merampas parang berkenaan dan mencampaknya ke luar rumah. Mak cik (ibu tiri) berlari ke dalam bilik dan mengurungkan diri, manakala saya keluar mendapatkan bantuan jiran,” kata Nurul Shuhada Saad, 17, mengenai kejadian ibu tirinya menyerang ibunya di rumah mereka di Kampung Seri Muda, Sungai Korok, di sini, pagi semalam.

Akibat kejadian itu, Siti Aminah Hanafi, 40-an, parah di muka dan tangan akibat ditetak madunya yang mengamuk dipercayai kerana cemburu. Nurul Shuhada yang cuba meleraikan pergaduhan itu cedera di kaki kanan.

Suspek yang berasal dari Kuala Nerang berkahwin dengan suami mangsa, Saad Husin, 45, dan menjadi isteri keduanya sejak lebih setahun lalu. Dia yang mempunyai seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, dibawa suaminya tinggal serumah bersama madunya sejak dua minggu lalu.


Nurul Shuhada ketika ditemui di Hospital Jitra (HJ), di sini, berkata ketika kejadian dia bersama ibunya berada di dapur sebelum mereka meminta ibu tirinya membawa bayi itu keluar dari bilik untuk diberi makan.

BERKUMPUL...penduduk di depan rumah mangsa, semalam
BERKUMPUL...penduduk di depan rumah mangsa, semalam

Katanya, kerana tiada jawapan daripada ibu tirinya, dia memasuki bilik untuk membawa bayi itu keluar, tetapi wanita itu berang sebelum melibas parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter itu ke arah adiknya, Siti Musliha, 13, yang berada berdekatan.

“Selepas menyerang adik, dia menyerang ibu dan menetaknya berkali-kali di muka dan kepala sebelum saya membantu meleraikan pergaduhan itu,” katanya.

Dua beranak yang cedera itu dibawa ke HJ oleh jiran sebelum Siti Aminah dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, kerana kecederaan serius selain menghidap kencing manis.

Nurul Shuhada berkata, turut berada di rumah berkenaan ketika kejadian ialah adik perempuan bongsunya yang berusia lapan tahun, manakala bapanya tiada di rumah kerana keluar ke kedai makan.

Remaja itu mendakwa sejak madu ibunya berpindah ke situ, kedua-dua mereka kerap bertengkar kerana ibu tirinya terlalu cemburu.

Nurul Shuhada membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini, petang semalam.

Jiran mangsa, Nang Yah Nik Salleh, 52, ketika ditemui berkata dia terkejut apabila ternampak mangsa terduduk di pintu rumah dalam keadaan berlumuran darah dan melambai-lambai meminta tolong kepadanya yang berada kira-kira 10 meter dari rumahnya.

“Sebelum itu saya terdengar suara orang menjerit dan bergaduh. Apabila keluar rumah saya nampak Aminah dalam keadaan berlumuran darah. Saya yang ketakutan segera memberitahu jiran lain sebelum mereka membawanya ke hospital,” katanya.

Nang Yah berkata, sejak kedua-dua madu itu tinggal serumah, dia kerap terdengar mereka bertengkar, tetapi tidak menyangka isteri kedua itu sanggup bertindak sedemikian.

Sementara itu, suami mangsa, Saad ketika ditemui di HSB berkata, hubungan kedua-dua isterinya sebelum ini baik dan tidak pernah menghadapi sebarang masalah.

“Ketika kejadian saya ke kedai makan untuk bersarapan dan apabila pulang saya dapati kejadian ini sudah berlaku. Ketika itu saya dapati jiran kami membantu isteri pertama dan anak-anak ke hospital untuk menerima rawatan.

“Pada saya tiada apa-apa, ini cuma masalah keluarga dan biar ia diselesaikan secara kekeluargaan. Saya tidak mahu hal ini diperbesarkan kerana ia hal keluarga kami,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, selepas kejadian itu isteri keduanya dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kuala Nerang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof mengesahkan polis menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan dijalankan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata tajam.

Katanya, polis mengesan suspek bagi membantu siasatan.

Sunday, May 9, 2010

Cemburu seorang lelaki








PERASAAN cemburu sering dikaitkan dengan mesej kasih sayang. Bagaimanapun perasaan cemburu yang gagal diurus boleh mendatangkan masalah besar dalam satu-satu perhubungan.
Misalnya di Melaka baru-baru ini, seorang jururawat, Hashimah Nong, 40, cedera parah apabila kemaluannya dirodok oleh suaminya yang juga seorang anggota tentera berusia 40-an.
Menurut Hashimah, suaminya mendengar bisikan suara jin yang memberitahu kononnya dia telah berzina dengan orang lain.
Tindakan suami Hashimah itu dianggap luar biasa malah ada pihak yang mempertikaikan kewarasan lelaki yang disifatkan pendiam dan perahsia itu.
Kisah Hashimah merupakan satu contoh jenayah cemburu di negara ini.
Kerana mahu mengelak kejadian sama berlaku, seorang mangsa lelaki cemburu, Nor Zanariah Zakaria, 27, nekad memutuskan pertunangannya dengan seorang lelaki yang didakwanya cemburu buta.
Patah tangan
“Jika dahulu saya memang suka dia cemburu sebab mahukan perhatiannya. Tetapi selepas bertunang, cemburunya semakin menjadi-jadi.
“Malah, saya pernah dipukul hingga patah tangan hanya kerana tidak mengangkat telefon,” ujar Zanariah.
Wanita malang itu sering menjadi mangsa kekasaran tunangnya walaupun atas kesalahan yang kecil.
Tidak hanya dengan pukul, telinganya juga sudah lali dengan ugutan dan maki hamun daripada insan yang pernah melayannya bagai seorang puteri raja.
“Sikapnya mula berubah enam bulan sebelum kami dijadualkan melangsungkan perkahwinan. Dia semakin panas baran dan sikap cemburu butanya sering menjadi punca perang mulut antara kami berdua.
“Saya sendiri tidak faham, apa yang mahu dicemburukan. Alasan yang selalu dipertahankan, dia cemburu kerana tidak mahu kehilangan perhatian saya.
“Saya cuba mencari jalan tengah dengan bersikap terbuka dan memperkenalkan rakan-rakan sepejabat dengannya.
“Namun sifat terbuka saya dijadikan senjata untuk menuduh saya yang bukan-bukan. Setiap hari ada sahaja perkara yang diragukan sampai naik rimas dibuatnya,” kata Zanariah.
Bercerita lebih lanjut sikap tunangnya, Zanariah mendakwa dia pernah dijerkah di depan rakan-rakan sepejabat hanya kerana bekerja syif malam dengan seorang rakan lelaki.


LELAKI yang terlalu cemburu sanggup bertindak di luar pemikiran waras.



“Ia bukan perkara pelik bagi kakitangan beruniform seperti saya bekerja pada waktu malam, tetapi tunang saya tidak boleh menerima keadaan itu, lebih-lebih lagi jika rakan syif malam adalah lelaki,” luah anak sulung daripada tujuh beradik itu.
Akibat tidak tahan dengan sikap tunangnya yang cemburu buta itu, Zanariah tekad memutuskan tali pertunangan walaupun hari perkahwinan hanya berbaki 45 hari.
“Saya tidak kisah menanggung malu asalkan hidup saya tidak merana selepas itu,” tuturnya.
Mengulas insiden yang dialami Hashimah dan Zanariah, Perunding Kanan Psikiatri Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Azhar Md. Zin berkata, terdapat beberapa perkara yang mendorong lelaki bersikap cemburu buta.
Bisikan
“Berdasarkan cerita Hashimah, (saya dapati) ada dua faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku.
“Bisikan yang didengari oleh si suami yang mendakwa isterinya curang sehingga mendorongnya mencederakan isteri jelas menunjukkan wujud gangguan mental.
“Ini tidak mustahil kerana cemburu yang melampau boleh terjadi disebabkan masalah psikiatri seperti sakit jiwa.
“Bagi lelaki normal, dia akan bertindak agresif tetapi tidak sampai mengakibatkan kecederaan melampau.
“Marah atau pukul mungkin perkara biasa, tetapi tidak jika sampai merodok kemaluan isteri dengan pisau,” katanya.
Selain gangguan mental, Azhar berpendapat, kejadian ganas itu juga mungkin berpunca daripada sifat biologi suami Hashimah yang memang dikuasai perasaan cemburu sejak kecil.
“Lelaki cenderung untuk bersikap agresif apabila gagal mengawal cemburu. Malah, kebanyakan kes yang saya kendalikan menunjukkan lelaki boleh mencederakan dan menyusahkan orang lain.
“Bagi perempuan pula, mereka lebih suka pendam perasaan dan perasaan itu meletus apabila mereka tidak mampu menangani masalah itu lagi.
“Bagaimanapun, jarang wanita (yang dikuasai perasaan) cemburu sanggup melakukan tindakan agresif melainkan ada gangguan mental,” jelasnya.
Sementara itu, Perunding Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Marhani Midin berkata, individu yang tidak bijak mengawal perasaan cemburu akan menerima tekanan perasaan.
“Mengamalkan gaya hidup sihat boleh mengelak tekanan perasaan yang keterlaluan, tidak kira sama ada marah, cemburu atau sayang.
Emosi


ZANARIAH (kanan) mengalami tekanan hebat akibat sikap bekas tunangnya yang cemburu buta.



“Individu yang pandai mengurus perasaan supaya tidak berlebih-lebihan biasanya boleh berdepan dengan apa sahaja bentuk dugaan.
“Cemburu yang membabi buta boleh menjadi satu bentuk tekanan perasaan jika tidak boleh dikawal dan tidak mustahil ia mampu membawa kepada masalah yang lebih besar seperti jenayah,” katanya.
Jelas beliau, tekanan perasaan boleh diselesaikan dengan beberapa kaedah, namun ia terpulang bagaimana individu tersebut melihat cemburu sebagai masalah kepada mereka.
“Untuk menyelesaikan masalah cemburu keterlaluan, individu perlu memastikan punca yang mencetuskan rasa cemburu yang meluap-luap dalam dirinya.
“Apabila sudah dapat punca, mereka boleh mengatasi tekanan cemburu itu dengan dua kaedah berbeza iaitu memilih untuk menyelesaikan masalah yang menjadi penyebab cemburu ataupun memilih untuk mengawal emosi daripada menjadi cemburu.
“Contohnya, jika si suami pernah terbaca SMS daripada lelaki di telefon bimbit isterinya, berhenti mengulangi perbuatan tersebut. Proses itu memang mengambil masa kerana dorongan perasaan ingin tahu yang meluap-luap, tetapi ia perlu dikawal.
“Sekiranya timbul keraguan, bincang secara baik dan jangan gunakan kekerasan untuk memaksa pasangan mengakui apa yang dia telah lakukan.
“Jika perbincangan itu ikhlas daripada hati ke hati, ia akan berjalan lancar dan api cemburu boleh dipadamkan secara beransur-ansur,” katanya.
Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula memberitahu, tiada bisikan halus yang boleh mendorong seseorang melakukan perkara luar jangkaan.
“Itu bisikan individu itu sendiri iaitu bisikan syaitan yang bertopengkan manusia. Syaitan tidak mampu mempengaruhi manusia jika individu itu dilandasi dengan keimanan.
“Manusia kini macam-macam bila sudah melakukan satu perkara yang teruk, mereka memberi alasan mendengar bisikan, pengaruh orang lain, hasutan dan sebagainya sedangkan mereka diberikan akal untuk berfikir dengan waras,” ujarnya.
Katanya, cemburu merupakan perkara lumrah bagi setiap individu malah sifat ini berlaku sejak zaman Nabi Adam ribuan tahun dahulu.
“Contohilah cemburu dengan jiran yang bahagia misalnya dan contohi mereka bukannya dengan menoreh kemaluan isteri,” katanya tegas.