JAKARTA - INDONESIA. Gempa bumi berkekuatan 5.5 pada skala Richter melanda Sumatera Barat tengah hari ini, mengakibatkan penduduk di kawasan terjejas bertempiaran lari meninggalkan rumah masing-masing bagi menyelamatkan diri.
  
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, kejadian pada 12.43 tengah hari di 74 kilometer ke Barat Laut Sungai Penuh, Jambi, menggegar kawasan penempatan penduduk selama kira-kira 30 saat.
  
Pusat gempa terletak dekat pantai namun kejadian itu tidak berpotensi tsunami.
  
Kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyebut pusat gempa terletak di daerah kecil Air Haji dalam daerah Pesisir Selatan, Sumatera Barat.
  
Gegaran turut dirasai penduduk daerah Mukomuko di Bengkulu, menyebabkan mereka keluar rumah menyelamatkan diri dan hanya masuk semula selepas gegaran berhenti.
  
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut belum ada laporan berhubung kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dalam kejadian berkenaan.
  
Sebahagian besar kawasan yang terjejas dengan gempa bumi itu ialah ladang kelapa sawit. - Bernama