Pages

Showing posts with label pukul. Show all posts
Showing posts with label pukul. Show all posts

Monday, August 6, 2012

Membelasah ‘demi tuhan’



BENTLEY menunjukkan bagaimana dia menggunakan kaedah aneh ‘menyembuhkan’ pesakit kanser.
BENTLEY menunjukkan bagaimana dia menggunakan
kaedah aneh ‘menyembuhkan’ pesakit kanser.
 
LONDON: Lawatan seorang ketua kumpulan kerohanian AS ke Britain mencetuskan kontroversi semalam, dengan seorang ahli parlimen menggesa kerajaan menghalang kemasukannya ke negara itu.

Todd Bentley sebelum ini dilaporkan bersalah melakukan serangan seksual ke atas seorang budak tujuh tahun ketika dia berusia 15 tahun - dijadual melawat Britain akhir bulan ini. Dia menjadi perhatian kerana kononnya mampu menyembuhkan penyakit kanser di kalangan pengikutnya di AS.


Dengan badannya dipenuhi tatu, Bentley dikenali ramai empat tahun lalu melalui gereja dikendalikannya, Fresh Fire Ministries.

Ajaran dibawa Bentley mendakwa dia digunakan tuhan untuk menyembuhkan sakit orang ramai.


Bagaimanapun, kemarahan orang ramai lebih tertumpu kepada cara dia mengendalikan rawatan berkenaan. Dalam satu rakaman video mengenai kaedah perubatannya, Bentley dilihat menghentak perut pesakit kanser kolon menggunakan lututnya.


Dalam insiden lain, seorang lelaki ditolak dengan kasar sehingga dia tertiarap dan menyebabkan gigi mangsa patah. Melalui satu rakaman di YouTube, Bentley berkata: “Dan saya terfikir mengapa kuasa tuhan tidak berkesan. Dan tuhan berkata, kerana kamu tidak menendang wanita itu di mukanya.” Menurut Bentley, ada seorang wanita tua di depan pentas tempat dia berdiri apabila tiba-tiba ‘malaikat’ berbisik kepadanya.


Menurut ‘malaikat’ itu, Bentley disuruh menendang muka wanita terbabit dan sebaik saja kasutnya terkena ke sasaran, wanita itu tumbang “di bawah kuasa tuhan.” Ahli parlimen dari Parti Buruh, Malcolm Wicks, meminta Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May, menghalang kemasukan Bentley.


Katanya, lawatan Bentley tidak membawa sebarang faedah, sebaliknya hanya memudaratkan.

“Saya sangat bersyukur jika ada sebarang langkah diambil bagi menghalang kemasukannya ke Britain,” katanya. - DM

Friday, May 11, 2012

Lempar nota cemas

PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah  suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.
PENGSAN...keadaan muka Juliani yang lebam selepas dibelasah
suaminya dengan kayu golf dan tali pinggang.

KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menulis nota “tolong selamatkan ibu, kami di W1310” dan melontarnya dari tingkat 13 sebuah kondominium di Batu Kawa, di sini, bagi mendapatkan pertolongan selepas ibunya dibelasah bapanya sehingga tidak sedarkan diri, malam kelmarin.
Nyata usaha itu tidak sia-sia, apabila nota berkenaan ditemui seorang penghuni kondominium sama yang kebetulan melalui blok pangsapuri itu, biarpun agak lewat iaitu kira-kira jam 1 tengah hari semalam, selepas 14 jam ia ditulis.

Wanita mahu dikenali sebagai Mei, 40, berkata, dia menemui nota berkenaan di kaki lima berhampiran pintu utama blok itu dan membuang kertas itu ke dalam tong sampah berhampiran selepas membacanya.

“Saya sempat membaca nota di atas kertas itu, tetapi agak ragu dengan kesahihannya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah dan pulang ke rumah.

“Namun, saya berasa tidak sedap hati sebelum kembali semula ke tong sampah tadi untuk mengambil kertas itu dan pergi ke rumah yang dinyatakan.

“Saya menekan loceng beberapa kali sebelum seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan trauma sedang menangis membuka pintu, saya lihat seorang wanita terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu dengan kesan lebam di muka dan kepala,” katanya ketika ditemui Harian Metro.


Mei berkata, terkejut dengan apa yang dilihatnya, dia terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa seorang warga Indonesia dikenali sebagai Juliani, berusia 26 tahun, seorang suri rumah dipukul suaminya menggunakan kayu golf dan tali pinggang sehingga tidak sedarkan diri.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 malam kelmarin, apabila suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain ketika dia keluar bekerja.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia kerap dipukul suaminya, tetapi kejadian kelmarin paling teruk sehingga mangsa tidak sedarkan diri kerana mendakwa suaminya memukul dan menendangnya tanpa belas kasihan.

“Suspek seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Mangsa yang sudah sedar masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Roslan berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Konsul Indonesia dan kes disiasat mengikut bawah Seksyen 324, Kanun Keseksaan.

Tuesday, April 10, 2012

Padah cinta Facebook

TAIPEI: Seorang lelaki yang dihantui rasa cemburu menyerang seorang pengguna Facebook yang menggoda isterinya dalam talian, membelasahnya hingga mati dengan kayu besbol, kata polis.
Chou You-huang, 34, penduduk di Pingtung, di selatan Taiwan memberitahu polis dia ingin bertemu dengan mangsa, Chuang Shih-chang, 40, selepas mendapat tahu mengenai hubungan mangsa dengan isterinya di Internet. Apabila Chuang muncul di tempat dijanjikan di luar restoran awal pagi Sabtu lalu, Chou dan dua rakannya menyerang mangsa dengan kayu besbol.

Ketiga-tiga lelaki itu membelasah mangsa habis-habisan sebelum meninggalkannya di situ. Mereka percaya kecederaan mangsa tidak akan membawa maut. Bagaimanapun, Chuang ditemui mati sejurus selepas itu dan polis kemudian menahan tiga suspek berkenaan. - AFP

Wednesday, March 21, 2012

Dibelasah lalu dicerai

PETALING JAYA: Seorang jururawat bernasib malang apabila dia yang ‘menangkap’ suaminya berkhalwat dengan wanita lain di rumah mereka, di sini, bukan saja dibelasah teruk malah turut diceraikan dengan talak satu, kelmarin.
Menurut sumber, mangsa berusia 32 tahun cedera di kepala, mata, telinga dan tangan akibat ditumbuk serta diterajang suaminya yang berang selepas perbuatannya membawa kekasih gelap masuk ke rumah ketika ketiadaan mangsa terbongkar.
Katanya, perbuatan keji suami mangsa berusia 30 tahun itu terbongkar apabila mangsa yang pulang ke rumah dari tempat kerja tidak dapat membuka pintu kerana dikunci dari dalam, kira-kira jam 11.30 pagi.

“Mangsa kemudian menghubungi suaminya yang berada dalam rumah memintanya membuka pintu, tetapi lelaki terbabit mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian.


“Sebaik pintu dibuka, mangsa bertanya suaminya mengapa lambat membuka pintu sebelum menuju ke bilik air kerana mengesyaki sesuatu kerana curiga dengan kelakuan lelaki terbabit,” katanya.

Thursday, February 23, 2012

Pukul isteri kerana ikan puyu

ocpc
PADANG SERAI - Hanya kerana ikan puyu seorang wanita cedera di badan kerana dipukul suaminya.

Wanita yang berusia 40-an itu ditemui berjalan berseorangan sambil menangis kira-kira jam 1.30 pagi sebelum dibawa ke Balai Polis Padang Serai oleh unit MPV.

Dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa memberitahu suaminya ada memelihara ikan puyu, bagaimanapun ikan puyu itu ditemui mati atas simen.

“Suami mangsa yang berang apabila mendapati ikan kesaya­ngannya mati telah memukul isterinya beberapa kali di badan sebelum menghalaunya keluar dari rumah.

“Kami juga difahamkan suaminya memang seorang yang panas baran dan sering memukul mangsa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memujuk wanita terbabit pulang selepas membuat laporan, bagaimanapun dia enggan berbuat demikian kerana takut dipukul suaminya lagi.

“Sekiranya suami mangsa tidak memukul atau mencederakannya, kes ini tidak akan dibuka sebaliknya menasihatkan suami supaya tidak bertindak kasar terhadap isteri,” katanya. Pukul isteri kerana ikan puyu - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Friday, February 17, 2012

‘Dia cemburu buta’

BALKISYH...buat laporan polis
BALKISYH...buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Angkara cemburu buta, seorang pelakon, Balkisyh Semundur Khan, 25, bukan saja ditampar, kepalanya dihentak pada almari malah turut dicekik suaminya berusia 28 tahun di rumah mereka di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, pelakon yang membintangi filem Diva selain tercalon sebagai pelakon harapan wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20 itu bernasib baik apabila melarikan diri dari rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.

Balkisyh yang juga pemenang tempat ketiga pencarian Gadis Metro pada 2004 ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku disebabkan perselisihan faham kerana sikap cemburu buta suami.
Pelakon berkenaan dikatakan baru menamatkan sesi penggambaran drama bertajuk Landasan Cinta yang akan ditayangkan pada 25 Februari ini menerusi slot Samarinda di TV3.

“Suami saya seorang yang cemburu buta dan gagal mengawal kemarahan menyebabkan saya dipukul. “Namun, selepas mengetahui kebenaran, suami kembali bertenang dan kami berdua berbaik semula,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kisah cemburu buta suaminya itu sejak berumah tangga pada 2007.

Menurut sumber, pelakon itu dipukul suami sebaik tiba di rumah.
“Mangsa bertanyakan punca kejadian itu, tetapi dijawab dengan tamparan dan wanita itu cuba menolak suaminya dalam usaha melepaskan diri.

“Bagaimanapun, suaminya menarik baju mangsa sebelum menghentak kepala di almari menyebabkan pelakon terbabit jatuh,” katanya.
Sumber berkata, mangsa kemudian cuba mengambil telefon bimbitnya namun dicekik suaminya itu.

“Suami mangsa yang melihat isterinya itu mengalami kesukaran bernafas berhenti berbuat demikian dan kesempatan itu diambil pelakon terbabit keluar dari rumah bersama anak perempuannya yang berusia dua tahun,” katanya.

Katanya, pelakon berkenaan membuat laporan di balai polis berhampiran kediamannya dan difahamkan, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
myMetro | ‘Dia cemburu buta’:

'via Blog this'

Friday, December 30, 2011

Pegawai PTD dituduh pukul suami dengan fail



KAMALIAH


SEPANG – Seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) berdepan hukuman penjara dan denda selepas dituduh memukul suaminya menggunakan fail pejabat sembilan bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Kamaliah Basir, 35, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan kepada suaminya, Zaihan Md. Lani, 48, dengan menggunakan fail pejabat pada bahagian badan mangsa.
Kejadian didakwa berlaku di dalam kereta di perhentian simpang tiga lampu isyarat Persiaran Semarak Api dan Persiaran Apec, Cyberjaya, Sepang di sini pada pukul 12.45 tengah hari 3 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Monday, September 26, 2011

Pekerja swasta dakwa dipukul polis

JITRA – Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang dekat sini pada 11.30 pagi Sabtu lepas.
Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata, ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.
"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut.
"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.
"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul.
"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab.
“Masa tu baru saya tau dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis,” kata mangsa.
Dia berkata dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya. – Bernama

Friday, September 23, 2011

Keluarga ragui punca kematian Mohd. Helmi



MARIAM menunjukkan laporan polis berhubung kematian Wan Mohd. Helmi di HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang lelaki yang ditemui cedera teruk pada kepala selepas didakwa kemalangan akibat dihempap pokok ketika ribut berhampiran hentian rawat dan rehat (R&R) Gua Musang Selasa lalu, meninggal dunia pada pukul 5 pagi semalam di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.
Bagaimanapun, kematian lelaki itu, Wan Mohd. Helmi Wan Daud, 24, yang berasal dari Bandar Permaisuri, Setiu, menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli keluarganya kerana dakwaan awal bahawa kecederaan itu disebabkan dihempap pokok dinafikan oleh rakan mangsa yang mendakwa mangsa telah dipukul.
Menurut bapa angkatnya yang tinggal bersama arwah di Gua Musang, Tuan Ismail Tuan Mat, 66, bertindak atas maklumat terbaharu itu, keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Kubang Kerian di sini semalam.
"Pada malam Selasa lalu, seorang jiran memberitahu, Wan Mohd. Helmi cedera dan pengsan kerana dihempap pokok dalam kejadian ribut dan dia dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum dikejarkan ke HUSM.
"Bagaimanapun, dia meninggal dunia pukul 5 pagi tadi (semalam) namun, dua rakannya yang ada bersama-sama di tempat kejadian pada masa itu ketika datang melawatnya di HUSM semalam (kelmarin) memberitahu, arwah cedera bukan disebabkan dihempap pokok tetapi dipukul orang," katanya.

Wednesday, September 21, 2011

Belasah percuma

SAKIT...mata kanan Mohd Syawal yang lebam.
SAKIT...mata kanan Mohd Syawal yang lebam
MERU: Malang bagi seorang pekerja bengkel apabila dibelasah hingga pengsan sebelum ditinggalkan di tepi jalan penyerangnya yang tersilap sasaran menyerang mangsa untuk membalas dendam terhadap orang lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada Sabtu lalu, mangsa yang cedera teruk di mata, muka, kepala dan badan selepas ditumbuk serta dipijak hingga pengsan oleh tiga lelaki warga asing berusia 30-an dimasukkan ke wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini.

Mangsa, Mohd Syawal Rosnaini, 25, berkata kejadian berlaku kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Perepat, di sini, ketika dia baru pulang dari tempat kerjanya.

“Rumah saya dengan tempat kerja di bengkel besi kira-kira dua kilometer dan saya biasanya ikut jalan dalam serta tak pakai topi keledar.

“Ketika berhenti di simpang tiga Jalan Keretapi Lama menuju rumah, tiba-tiba muka saya ditumbuk seorang lelaki yang berada di simpang itu.

“Saya terjatuh sebelum datang dua lagi lelaki membelasah saya. Kepala, muka dan badan saya ditumbuk serta dipijak bertubi-tubi hingga tak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perepat, semalam, selepas dibenarkan keluar hospital.


Menurutnya, dia tersedar dari pengsan di dalam kereta bapanya, Rosnaini Ahmad, 52, ketika dalam perjalanan ke hospital pada hari kejadian.

Syawal berkata, rakannya yang membantu serta memberitahu kejadian kepada bapanya memberitahu dua daripada tiga warga asing itu ditangkap beberapa penduduk, manakala seorang lagi melarikan diri.

“Rakan saya menyatakan selepas didesak berulang kali dua lelaki terbabit mengakui mereka tersilap orang kerana menyangka saya mengugut wang seorang daripada penyerang itu beberapa hari sebelum kejadian.

“Mereka sangka saya melakukan perbuatan itu dan mahu membalas dendam,” katanya.

Sementara itu, Rosnaini berkata, dia terkejut apabila seorang daripada rakan anak sulungnya itu datang ke rumah dan memaklumkan Syawal pengsan tepi jalan.

“Dengan dibantu penduduk, saya membawa Syawal ke hospital,” katanya.

Dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sunday, September 11, 2011

Dakwa dibelasah Polis

KUALA TERENGGANU: “Saya terkilan dengan layanan diberikan anggota polis terhadap anak saya hingga menyebabkan dia cedera di muka dan mata kiri.
“Malah, anak saya turut lebam di kakinya selain patah satu batang gigi akibat ditendang anggota berkenaan ketika soal siasat, Rabu lalu,” kata Manap@Awang Ismail, 63, bapa kepada Mohd Azam Manap, 31, yang mendakwa cedera dibelasah seorang anggota polis ketika dalam tahanan.

Sebelum ini, Mohd Azam yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di rumahnya di Pekan Tepoh, di sini, jam 2.30 pagi Selasa lalu oleh sepasukan polis selepas dipercayai terbabit dalam satu kes curi.

Ketika menceritakan kejadian itu, Mohd Azam mendakwa insiden itu berlaku dalam tempoh 15 minit apabila dia ditendang beberapa kali.

“Saya bukan saja dibelasah tanpa belas, malah anggota terbabit turut menyapukan darah di lantai ke muka saya menggunakan mop lantai.

“Ketika itu ada beberapa orang dalam bilik berkenaan. Namun, hanya seorang membelasah saya. Dia hanya berhenti memukul selepas melihat keadaan saya tidak bermaya,” katanya ketika ditemui di pejabat Metro Ahad di sini, semalam.


Selain dipercayai terbabit dalam kes curi, Mohd Azam ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun, Mohd Azam dibebaskan selepas diikat jamin Khamis lalu.

Akibat kecederaan itu, Mohd Azam mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurut Manap, anggota berkenaan tidak sewajarnya menggunakan kekerasan ketika menjalankan soal siasat walaupun anaknya ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes curi.

“Sebagai bapa, saya sedih apabila anak saya diperlakukan sedemikian. Jika dia bersalah sekali pun, anggota berkenaan perlu mengikut undang-undang dan bukan bertindak sesuka hati.

“Mujur doktor memaklumkan keadaan anak saya tidak serius walaupun ketika ini penglihatannya ada kalanya kabur. Berikutan kejadian ini, saya membuat satu laporan di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Saya tidak berniat mengeruhkan keadaan tetapi hanya mahukan keadilan, selain tidak mahu orang lain menerima nasib sama seperti anak saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Saturday, September 10, 2011

Kempunan rokok sebelum ajal



Wai Keong


KUALA LUMPUR - Episod sedih mengenai kehidupan seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang terpaksa menggunakan tangan untuk bergerak berakhir apabila dia mati selepas tujuh hari dibelasah dengan rotan disyaki oleh orang yang enggan memberinya sebatang rokok.
Ng Wai Keong, 59, atau lebih dikenali sebagai Hong Kong Boy yang hidup merempat sejak rumah keluarganya di Sungai Besi terbakar beberapa tahun lalu, dilaporkan mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan paru-paru.
Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku pukul 11 pagi 3 September lalu di hadapan sebuah kelab malam di Sungai Besi apabila mangsa dikatakan meminta sebatang rokok daripada seorang lelaki berusia 34 tahun.
Bagaimanapun katanya, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol enggan memberikan rokok tersebut hingga memaksa mangsa mendesaknya beberapa kali.
"Perbuatan mangsa itu telah menimbulkan kemarahan suspek yang terus memukul kepala mangsa hingga pengsan dengan menggunakan rotan yang diambil dari but keretanya. Mangsa kemudian dikejarkan ke HKL untuk rawatan," katanya di sini semalam.

Friday, September 9, 2011

Bapa tonton video anak dipukul

ABU BAKAR (kanan) dan Danial masing-masing menunjukkan laporan
polis dan rakaman video kejadian pukul oleh pelajar senior di Alor Setar semalam.

ALOR SETAR - Seorang bapa terkejut apabila menonton video anaknya dipukul bertubi-tubi oleh seorang pelajar senior di asrama sebuah sekolah agama di Jitra dekat sini.
Kejadian dipercayai berlaku pada 2 April lalu kira-kira pukul 6.15 petang tetapi hanya disedari Abu Bakar Salleh, 43, setelah menemui satu kad memori lama telefon bimbit milik anaknya itu, Danial Wafiy Nuruddin, 14, awal Julai lalu.
Katanya, klip video yang memaparkan aksi pelajar tingkatan tiga menyepak, menumbuk dan memukul anaknya itu dengan kayu dipercayai dirakam salah seorang rakannya.
"Saya amat terkejut dan sedih melihat Danial diperlakukan seperti itu. Danial takut dan trauma sehingga sanggup menyembunyikan perkara itu selama beberapa bulan.
"Ia hanya terbongkar setelah kami menemui satu memori kad daripada telefon bimbit lamanya. Jika tidak entah apalah nasibnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bongok, Alor Janggus di sini semalam.
Menurut Abu Bakar, beliau membuat laporan di Balai Polis Jitra kerana bimbang dan risau dengan keselamatan anaknya ekoran kejadian tersebut.
-kosmo

Wednesday, September 7, 2011

Dibelasah ketika ambil anak

GOMBAK: Seorang wanita melecur kaki kanan dan cedera di muka dipukul bekas suami ketika datang mengambil anak lelakinya di rumah mentuanya Kampung Melayu Sri Kundang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun mengambil anaknya berusia dua tahun untuk tinggal sementara dengannya kerana rindu.

Pada mulanya, bekas ibu mentuanya membenarkan mangsa mengambil anaknya itu sebelum dibawa dengan motosikal.

Bagaimanapun, belum sempat mangsa meneruskan perjalanan, tiba-tiba bekas suami yang menyedari kehadirannya berlari keluar menghalang mangsa membawa anak mereka.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan tindakan itu naik berang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Masing-masing enggan mengalah dan pertengkaran berlaku sebelum lelaki itu menarik motosikal mangsa menyebabkannya terjatuh,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri dihempap motosikal itu sementara kaki kanan tersepit di celah ekzos yang panas menyebabkan dia menjerit kesakitan.

“Bekas suami mangsa kemudian menumbuk mukanya beberapa kali sebelum mengambil anaknya,” katanya.
Katanya, dalam kesakitan, mangsa bangun semula dan terus ke Balai Polis Kuang untuk membuat laporan berhubung kejadian itu sebelum menerima rawatan di klinik berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Tiga ‘polis’ culik 9 jam

KAJANG: Seorang lelaki bukan saja diculik dan dikurung lebih sembilan jam sebaliknya turut dibelasah sekumpulan tiga lelaki yang menyamar anggota polis dalam kejadian di rumahnya di Cheras Perdana, di sini, 29 Ogos lalu.
Lebih malang, mangsa yang berusia 26 tahun itu patah rusuk kiri akibat dipukul dan lebam seluruh badan ditinggalkan separuh bogel di dalam longkang di kawasan berhampiran rumahnya selepas gagal membayar wang tebusan RM2,000. Mangsa yang ditemui orang ramai dihantar ke Hospital Kajang (HK) sebelum tidak sedarkan diri selama empat hari.

Kejadian itu bermula kira-kira jam 4 petang, apabila mangsa yang berseorangan di rumah sewanya dikejutkan dengan ketukan kuat tiga lelaki yang memperkenalkan diri anggota polis berpakaian biasa dan ingin membuat pemeriksaan.

Menurut sumber, mangsa pada mulanya tidak mengesyaki niat serong kumpulan terbabit membenarkan mereka masuk.

“Mangsa meminta kumpulan terbabit menunjukkan kad kuasa, namun tindakannya menyebabkan suspek berang sebelum mereka memukul mangsa.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan kumpulan terbabit menjerit meminta tolong apabila mereka menendang dan menumbuknya,” katanya.


Sumber berkata, kumpulan terbabit kemudian mengheret mangsa masuk ke dalam kereta mereka yang ditinggalkan di kawasan berkenaan sebelum membawanya ke sebuah rumah di kawasan Pandan Indah dan mengurungnya.

Di rumah itu, seorang daripada suspek menghubungi rakan mangsa bagi meminta wang tebusan untuk melepaskan mangsa yang kononnya ditahan di sebuah balai polis atas kesalahan tidak dinyatakan. Pada mulanya, suspek meminta rakan mangsa RM5,000 dan selepas berbincang dan proses tawar menawar, jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM2,000.
“Bagaimanapun, rakan mangsa tidak dapat memenuhi permintaan suspek kerana berada di kampung halaman menyambut Aidilfitri.

“Kegagalan rakan mangsa memenuhi permintaan itu walaupun sudah berunding menyebabkan suspek berang dan memukul mangsa hingga mangsa tidak bermaya,” katanya.

Katanya, sebaik mangsa dibelasah, suspek yang masih tidak berpuas hati meninggalkan mangsa separuh bogel di dalam longkang berdekatan rumahnya kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Orang ramai yang lalu berhampiran kawasan itu menemui mangsa tidak bermaya sebelum menghantarnya ke HK untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dalam keadaan lemah dihantar ke HK dan ditahan selama empat hari kerana tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada 4 September lalu selepas doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussien Onn kerana bimbang kumpulan terbabit kembali mengganggunya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mangsa.

Sunday, August 28, 2011

Dipukul tanpa sebab

KESAL... Muhammad Farzuan (kanan) dan Fendi menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.
KESAL... Muhammad Farzuan (kanan) dan Fendi menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.
GEORGETOWN: “Kami dipukul, dipijak dan ditendang seperti haiwan di depan orang ramai, sedangkan kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” dakwa dua sahabat apabila dipukul sekumpulan 15 anggota skim rondaan sukarela (SRS) di Batu Ferringhi, di sini, malam Khamis lalu.
Muhammad Farzuan Romzi, 20, dan Fendi Abdul Latif, 21, masing-masing dari Teluk Bahang berkata, kejadian berlaku jam 11.30 malam ketika mereka mengunjungi rumah seorang rakan di Mutiara Apartment, Batu Ferringhi.

Bagaimanapun, Muhammad Farzuan berkata, rakannya yang menetap di tingkat empat tiada di rumah dan mereka menunggu di tepi tangga sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang mendakwa mereka anggota SRS sebelum memukul mereka menggunakan kayu, besi dan topi keledar.

Katanya, dia dan rakannya hampir pengsan selepas dibelasah tanpa belas kasihan dan mengalami lebam di seluruh anggota badan dan muka sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Saya terkejut dengan kejadian itu dan lebih menyedihkan apabila dituduh cuba melakukan jenayah pecah rumah dan menghidu gam selain dibelasah dan diseret dari tingkat tiga hingga tingkat bawah tanpa belas kasihan serta diperlakukan seperti binatang,” katanya.

Fendi berkata, dia kesal kerana kumpulan lelaki itu mengambil tindakan tanpa usul periksa, selain trauma dengan kejadian terbabit.


Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Ferringghi, jam 11 pagi semalam bagi meminta polis melakukan siasatan.

Friday, August 26, 2011

Ugut bunuh isteri enggan ikut balik kampung

KUALA LUMPUR: Seorang guru berusia 37 tahun membuat laporan polis mendakwa dipukul dan diugut bunuh suaminya kerana enggan pulang beraya di kampung suaminya itu di selatan tanah air, kelmarin. Difahamkan, mangsa enggan pulang ke kampung halaman suaminya yang berusia lewat 30-an itu kerana mahu menjaga ibunya yang sakit di Flat Sri Cheras, di sini. Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa meminta izin daripada suaminya untuk tidak pulang ke kampung berhari raya. Menurut sumber, mangsa juga meminta izin suaminya untuk membenarkan empat anaknya beraya bersamanya. “Tindakan mangsa menimbulkan kemarahan suaminya sebelum berlaku pertengkaran lebih 20 minit. “Gagal mengawal kemarahannya itu, suami mangsa mengugut mencederakannya jika dia dan empat anak tidak mengikutnya pulang ke kampung. “Biarpun mangsa cuba memberikan penjelasan, suaminya yang hilang pertimbangan terus memukulnya lebih 10 minit,” katanya. Sumber berkata, suami mangsa kemudian mengugut membunuh isterinya itu jika masih berkeras untuk tidak pulang ke kampung bersamanya. “Suami mangsa kemudian keluar sebelum mangsa pergi mendapatkan rawatan di hospital berhampiran,” katanya. Bagaimanapun, mangsa hanya dirawat sebagai pesakit luar. Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini. Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Saturday, August 13, 2011

Belasah isteri waktu sahur

PETALING JAYA : Seorang suami yang kemaruk seks sanggup menumbuk, memijak dan memukul isterinya sebaik mangsa enggan mengadakan hubungan kelamin selepas pasangan berkenaan bersahur di rumah mereka di Bandar Sri Damansara, di sini kelmarin.
Tidak cukup membelasah isterinya yang berusia 18 tahun, suami berkenaan turut mengugut mahu membunuhnya dengan pisau pemotong daging kerana kehendaknya untuk melakukan hubungan seks tidak ditunaikan.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 pagi turut menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai kerani cedera di kaki kanan selain lebam di muka serta seluruh badan.

Wanita terbabit yang mahu dikenali sebagai Linda berkata, disebabkan sudah hampir tamat waktu Imsak , dia menolak pelawaan suaminya dengan sopan namun suaminya tetap memaksa.


Katanya, akibat dipaksa dia menolak pelawaan suami dengan mengatakan jika dia bersetuju dengan pelawaannya, dia akan membatalkan puasa dan tidak akan menghalalkan tindakannya itu.-hmetro

Friday, August 12, 2011

Polis siasat punca remaja parah



MOHD. NASHIR (kiri) mendengar penerangan daripada pegawainya ketika melawat Muhammad Solihin yang koma di HSB, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Polis telah memulakan siasatan berhubung dakwaan seorang remaja, Muhammad Solihin Che Kassim, 14, yang dikatakan koma selepas dibaling dengan topi keledar oleh dua anggota polis ketika melakukan rondaan di Kampung Felcra Lubuk Sireh, Chuping, Perlis Sabtu lalu.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Perlis, Supritendan Mohd. Nashir Ya berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang merbahayakan nyawa manusia.
Katanya, siasatan dibuat selepas pihaknya menerima tiga laporan daripada pihak-pihak terlibat iaitu bapa mangsa, Che Kassim Darus, 41, satu daripada anggota polis yang dikatakan membaling topi keledar kepada mangsa dan satu lagi laporan daripada seorang polis trafik.
“Keterangan saksi-saksi sedang dikumpul sebelum membuat rumusan mengenai kes tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melawat Muhammad Solihin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan Che Kassim mendakwa anaknya cedera parah di kepala akibat terkena topi keledar yang dibaling oleh anggota polis sewaktu menjalankan rondaan pukul 9.40 malam Sabtu lalu.-kosmo

Wednesday, August 10, 2011

Sepak muka isteri tegur pulang lewat

GOMBAK: Hanya ditegur pulang lewat, seorang suami sanggup menampar, menghantuk kepala, memijak perut dan menyepak muka isterinya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Selayang Pandang, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, wanita terbabit yang berusia 29 tahun bertanyakan suaminya berusia 30-an ke mana lelaki itu pergi hingga pulang awal pagi.

Bagaimanapun, suaminya yang kepenatan dan mengantuk menyuruh isterinya jangan banyak bertanya kerana dia ingin tidur.

Mangsa yang masih tidak berpuas hati menghalang suaminya masuk bilik kerana mahu meminta penjelasan lanjut.

Menurut sumber, berang dengan tindakan isterinya, lelaki itu naik angin dan menampar pipi mangsa.

“Lelaki terbabit turut menolak kepala isteri ke dinding sebelum menghantuknya beberapa kali dan menendang mangsa hingga terjatuh.
“Lelaki itu turut memijak perut isterinya menyebabkan wanita itu meraung kesakitan.

“Mangsa yang dalam kesakitan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Selayang kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.-hmetro