Pages

Showing posts with label balqis. Show all posts
Showing posts with label balqis. Show all posts

Saturday, October 30, 2010

Siti Balqis mula bengis



Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail dan Mohammad Muda
bhnews@bharian.com.my
2010/10/30

Ibu mahu anak jalani pemeriksaan pakar psikiatri 

JERTIH: Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang didakwa sering ghaib dan mengalami gangguan makhluk halus kini berubah sikap apabila berperangai bengis serta enggan makan dan minum selain tinggal dalam bilik khas yang dihias kain kuning serta berbau harum.
Ibunya, Norizan Said, 47, berkata perubahan sikap anaknya itu disedari selepas dibawa pulang dari Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan, kelmarin dan puncanya mungkin kerana emosi tertekan akibat gangguan berterusan dialami gadis berkenaan.
“Saya akan berusaha apa saja kaedah perubatan supaya dia dapat kembali menjalani kehidupan normal. Saya juga akan membawanya mendapatkan pemeriksaan dengan pakar psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, esok,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, berkata kerajaan negeri sedia membantu gadis itu mendapatkan rawatan di mana-mana hospital kerajaan, tambahan pula Siti Balqis adalah pesakit Thalassaemia (Penyakit Sel Darah Merah). 

“Penghidap penyakit ini memerlukan sokongan dan perhatian serius keluarga kerana jika dibiarkan pesakit boleh menjadi tertekan dan emosi yang tidak terkawal,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, pakar psikiatri berpendapat Siti Balqis perlu dibawa berjumpa pakar bidang berkenaan bagi mendapatkan penilaian jelas secara saintifik agar gadis itu tidak mengalami tekanan perasaan yang boleh membahayakan termasuk mencederakan diri sendiri. 
Pakar Runding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata penilaian dengan pakar psikiatri membolehkan mas-alah sebenar Balqis diketahui, sekali gus membantu gadis itu mendapatkan penjelasan keseluruhan dengan cara saintifik apa yang berlaku terhadapnya. 

Kisah Balqis dari Kampung Gong Nangka, di sini menggemparkan negara apabila dilaporkan ‘ghaib’ di beberapa tempat termasuk gua dan kubur. Terbaru keluarganya mendakwa Balqis disorok ‘jin Islam’ di Gunung Jerai, Kedah, tetapi dia kemudian ditemui polis di rumah seorang kenalannya di Kuala Klawang, Negeri Sembilan, kelmarin. 

Gadis itu juga sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang. 

Pakar Psikiatri yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nik Shaliza Hussin, berkata berjumpa pakar psikiatri tidak bermakna Balqis mempunyai masalah mental, tetapi untuk mengetahui jenis bantuan untuk gadis itu. 

“Andai kata Balqis mempunyai masalah psikologi dan tidak diberikan rawatan sepatutnya, pelbagai perkara boleh berlaku seperti berputus asa, murung, putus semangat serta kompilasi dengan diri sendiri. Keluarganya boleh meneruskan rawatan tradisional tetapi pada masa sama perlu mendapatkan khidmat psikologi,” katanya.

Friday, October 29, 2010

Balqis ke rumah kenalan, bukan ghaib dilarikan jin



Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin, Azman Mahmood, Haryanti Ahmad Rodzidan Mohammad Ishak 
bhkt@bharian.com.my 
2010/10/29

Norwaniza Ramli
Norwaniza Ramli
Misteri konon disorokkan di Gunung Jerai terbongkar 

KUALA TERENGGANU: Misteri kehilangan Siti Balqis Mohd Nor yang didakwa keluarganya disorok ‘Jin Islam' di Gunung Jerai, Kedah, sejak Ahad lalu, terungkai selepas gadis itu ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam.
Siti Balqis sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam pada jam 9 malam, sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang.
Ketika di situ, Siti Balqis, 22, tinggal di rumah seorang sahabat pena perempuan yang dikenalinya menerusi laman berkenalan sebuah majalah remaja pada 2005, tetapi tidak pernah bertemu sebelum ini. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Siti Balqis juga sudah membeli tiket untuk pulang ke kampungnya esok. 

“Dengan penemuan ini, polis menganggap kes ini selesai dan polis tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan Siti Balqis kepada ibunya, Norizan Said, 47, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kampung Raja di sini, semalam. Hadir sama sahabat penanya, Norwaniza Ramli, 19. 

Kamaruddin berkata, polis mendapat maklumat mengenai gadis itu apabila bapa sahabat pena Siti Balqis menghubungi polis daerah Jelebu selepas terbaca berita kehilangan misteri gadis itu dalam akhbar ini. 
Polis juga mendapat petunjuk gadis itu berada di Negeri Sembilan selepas semakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya pada jam 5 pagi Isnin lalu mendapati pencawang terakhir ialah di Kuala Klawang. 

Pada Isnin lalu, Norizan memberitahu menerima SMS daripada anaknya pada jam 5 pagi yang mendakwa berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata laporan Norizan di Balai Polis Jertih pada jam 1.30 pagi Isnin lalu, antara lain menyebut melihat anaknya menaiki kereta Perodua Kembara milik keluarga pada jam 8 malam. 

"Berikutan laporan itu, kita menjalankan siasatan kes orang hilang dan meliputi semua aspek termasuk sama ada gadis berkenaan melarikan diri atau dilarikan," katanya sambil menambah kereta itu ditemui di Stesen Bas Jertih pada jam 1 tengah hari Isnin. 

Norizan ketika ditemui terkejut dengan penemuan itu kerana sebelum ini anaknya menghantar SMS dan memberitahu berada di Gunung Jerai dan dibawa jin berbulu serta yakin anaknya berada di gunung berkenaan berdasarkan gerak hatinya. 

Norwaniza pula berkata, dia selalu berutus surat dan menghubungi Siti Balqis tetapi hanya bertemu selepas kenalannya itu datang sendiri ke rumahnya Isnin lalu. 

"Saya tidak menduga pertemuan ini rupanya dengan seorang gadis yang sering dilaporkan ghaib kerana sebelum ini Siti Balqis tidak pernah menceritakan kisahnya,” katanya. 

Di KUALA KLAWANG, ibu Nurwaniza berkata gadis itu mengajaknya dan anaknya ke Seremban, Selasa lalu dan menggunakan wang sendiri membeli pelbagai makanan dan pakaian bernilai RM279, termasuk tiket bas untuk pulang ke Terengganu. 

Ramlah Meon, 60, berkata beliau pelik melihat Siti Balqis kerap SMS dan apabila ditanya dimaklumkan ia di hantar kepada kawannya. 

“Siti Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang," katanya. 

Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza. 

Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning.

Thursday, October 28, 2010

Siti Balqis lari ke Jelebu, bukan dilarikan jin



28/10/2010 10:27pm

BESUT: Kehilangan Siti Balqis Mohd. Nor yang mencetuskan misteri dan menarik perhatian ramai sejak lebih dua bulan, terjawab hari ini apabila beliau ditemui di rumah rakannya di Jelebu, Negeri Sembilan semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamarudin Mohd Zakaria berkata, polis yang mula menyiasat kes kehilangan gadis itu, mendapati khidmat pesanan ringkas (SMS) Siti Balqis kepada ibunya dihantar dari Negeri Sembilan dan bukan dari Gunung Jerai, Kedah.
"Dengan kerjasama polis Negeri Sembilan, kita dapat mengesan Siti Balqis berada di sebuah rumah rakannya yang dikenali menerusi (aktiviti) surat-menyurat sejak lima tahun lalu, iaitu Norwaniza Ramli, 19, di Batu 18, Kampung Ulu Klawang, Jelebu.
"Anggota telah dihantar ke rumah itu dan dia bersama rakannya itu telah dibawa pulang ke sini pagi tadi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan tiket bas yang ditemui pada Siti Balqis, gadis itu didapati menaiki bas dari Jerteh ke Shah Alam, sebelum ke Negeri Sembilan, dan beliau sebenarnya merancang untuk pulang ke Besut pada 31 Oktober ini.
Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah ibu Siti Balqis Norizan Said dan dua bapa saudaranya Abdullah, 72, dan Daerawi, 62. - Bernama

Balqis hubungi ibu dari alam ghaib



Oleh Mohammad Ishak 
bhkt@bharian.com.my 
2010/10/28

Gadis maklum selamat dalam jagaan jin Islam 

JERTIH: "Umi jangan risau, kak long dalam keadaan selamat dan dijaga orang baik-baik," kata gadis ghaib, Siti Balqis Mohd Nor, 22, ketika berinteraksi menerusi perantaraan alam ghaib dengan ibunya Norizan Said, 47, awal pagi semalam.
Norizan berkata, mereka dapat berinteraksi jam 1.30 pagi dan anaknya memberitahu beliau dalam perjalanan pulang dari Gunung Jerai, Kedah serta kini di Tasik Banding, Perak.
Sehubungan itu, katanya, beliau yakin anak sulung daripada empat beradik itu yang belum ditemui sejak Ahad lalu, selamat dan dijaga Jin Islam berdasarkan petunjuk yang diberikan. 

“Saya yakin tafsiran daripada interaksi kami secara ghaib itu akan menjadi kenyataan beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Gong Nangka, Apal, petang semalam. 

Katanya, selepas ghaib semula pada Ahad lalu, Siti Balqis sempat menghantar SMS kepada beliau memaklumkannya berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat ke tempat berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, malam semalam Siti Balqis dipercayai dalam perjalanan pulang dan singgah di Tasik Banding serta dijangka dihantar jin yang menjaganya malam Sabtu ini. 
Norizan berkata, beliau turut mendail nombor telefon bimbit anaknya kira-kira jam 10 pagi semalam dan hanya mendengar nada dering lagu Cindai nyanyian Datuk Siti Nurhaliza tetapi panggilan itu tidak berjawab. 

Malah, katanya, beliau turut memasukkan kredit RM5 kepada nombor telefon berkenaan kerana bimbang anak gadis itu tidak dapat menghubunginya. 

Dalam perkembangan berkaitan, bomoh dan orang ramai terus mengunjungi rumah Siti Balqis untuk mengetahui perkembangannya.

Wednesday, October 27, 2010

Siti Balqis disorok di Gunung Jerai



Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my
2010/10/27

KELUARGA percaya Siti Balqis (gambar kecil) berada di Gunung Jerai
KELUARGA percaya Siti Balqis (gambar kecil) berada di Gunung Jerai
Sepupu dakwa lihat gadis dighaibkan jin bersama orang tidak dikenali

JERTIH: Keluarga Siti Balqis Mohd Noor, 22, yakin gadis itu dighaibkan jin dan disorokkan di Gunung Jerai, Kedah sejak Ahad lalu, selepas seorang sepupunya melihat kelibat gadis itu bersama beberapa orang tidak dikenali di depan rumahnya di Sungai Petani.
Ibunya, Norizan Said, 47, berkata beliau menerima panggilan daripada anak saudaranya, Noraini Ghani, 25, dari Sungai Petani tengah hari semalam, mendakwa terkejut selepas ternampak kelibat Siti Balqis dan cuba memanggil gadis misteri itu beberapa kali, tetapi beliau terus ghaib.
“Noraini mengetahui Siti Balqis dighaibkan lagi dan dikatakan berada di Gunung Jerai selepas membaca Berita Harian tengah hari ini (semalam), lalu menghubungi saya memaklumkan apa dilihatnya itu (kelibat Siti Balqis).

“Saya sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mengesan Siti Balqis yang ghaib tetapi kali ini saya lebih risau kerana kehilangannya agak lama berbanding sebelum ini. Saya percaya Siti Balqis memang berada di Gunung Jerai berdasarkan SMS dikirim selepas dighaibkan, malah beberapa bomoh turut menyatakan perkara yang sama (Siti Balqis disorok di Gunung Jerai),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Nangka, di sini, semalam.

Norizan berkata, sebelum Siti Balqis dighaibkan semula kira-kira jam 9 malam Ahad lalu, keluarganya berdepan beberapa kejadian aneh termasuk seutas gelang besi tiba-tiba jatuh di ruang tamu rumahnya yang turut disaksikan beberapa bomoh yang berada di rumahnya ketika itu.

Katanya, selepas itu sebiji bola besi berwarna hijau pula jatuh di ruang tamu dan ramai ahli keluarga merebut mahu melihat bola berkenaan dan serentak itu Siti Balqis dighaibkan tanpa disedari ahli keluarga yang sebelum itu mengawal ketat gadis berkenaan.
Sementara itu, usaha Berita Harian menghubungi Siti Balqis menerusi nombor yang diberikan oleh ibunya beberapa kali gagal, malah, Norizan sendiri sudah menghantar beratus SMS kepada Siti Balqis untuk mengetahui lokasi sebenarnya namun tiada jawapan sehingga jam 8 malam semalam.

Norizan berkata, keluarganya juga mengundang pelajar tahfiz al-Quran Bukit Kenak, dekat sini, untuk mengadakan bacaan ayat suci al-Quran malam semalam bagi memohon keberkatan Allah supaya Siti Balqis dikembalikan semula kepada keluarganya.

Siti Balqis sekali lagi menggemparkan ahli keluarganya apabila kembali ghaib kira-kira jam 9 malam Ahad lalu dan belum ditemui hingga malam semalam.

Malah, kehilangan gadis terbabit kali ini lebih membingungkan apabila buat kali pertama dikatakan berada di lokasi agak jauh dari rumahnya di Gunung Jerai, selepas tidak hilang dalam tempoh 15 hari sebelum itu selepas mendapat rawatan perubatan Islam.

Tuesday, October 26, 2010

Gempar Siti Balqis ghaib lagi



Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my
2010/10/26

Siti  Balqis Mohd Nor
Siti Balqis Mohd Nor
SMS diterima dakwa gadis misteri dibawa lari jin ke Gunung Jerai

JERTIH: Gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini sekali lagi menggemparkan ahli keluarganya apabila dia kembali ghaib sejak malam kelmarin dan belum ditemui hingga malam tadi.
Malah, kehilangan gadis terbabit kali ini lebih membingungkan apabila buat pertama kalinya dikatakan berada di lokasi paling jauh dari rumahnya.
Siti Balqis, yang mula menunjukkan perubahan dan tidak hilang dalam tempoh 15 hari lalu selepas mendapat rawatan perubatan secara Islam daripada beberapa pengamal perubatan, ghaib semula jam 9 malam kelmarin dan dikatakan disembunyikan di Gunung Jerai, Kedah.

Kejadian ghaib itu adalah yang pertama selepas pengamal perubatan Islam termasuk penasihat agama program Alam Ilmu Ghaib TV3, Sharhan Shafie datang merawat beliau kali kedua minggu lalu.

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata apa yang ganjil sebelum Siti Balqis hilang malam kelmarin, sebiji bola batu berwarna hijau tiba-tiba terjatuh di dalam rumahnya menyebabkan ahli keluarga terkejut dan masing-masing berebut untuk melihatnya.

“Ketika mereka berebut untuk melihat bola itu, dalam sekelip mata Siti Balqis hilang. Misteri bola batu yang jatuh itu mungkin sebagai umpan oleh jin yang didakwa menjaga Siti Balqis untuk melalaikan orang ramai yang berada di dalam rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Norizan berkata, selepas kehilangan itu, gerakan mencari dilakukan penduduk termasuk di tempat yang pernah Siti Balqis ditemui seperti di atas pokok, di atas siling, atas bumbung dan di kawasan gua Bukit Keluang, tetapi gagal.

“Sehingga jam 10 malam ini (semalam) Siti Balqis masih belum ditemui dan ini adalah kehilangan (ghaib) paling lama berbanding sebelum ini yang mana dia dijumpai semula selepas beberapa jam ghaib,” katanya.

Norizan berkata, pada jam 5 pagi semalam dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Siti Balqis yang mendakwa berada di Gunung Jerai yang dibawa oleh jin berbulu lebat.

Katanya, seluruh ahli keluarga kini dalam kebingungan kerana Siti Balqis gagal dikesan di tempat biasa dan mungkin benar-benar berada di Gunung Jerai seperti diberitahunya menerusi SMS.

Norizan berkata, sudah menjadi tabiat Siti Balqis membawa telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam poket seluar dan akan mengirimkan SMS kepada ibunya apabila dighaibkan jin.

Sementara itu, Sharhan ketika mengadakan sesi rawatan sesi kedua Ahad lalu berkata, Siti Balqis akan menghadapi cabaran dalam tempoh 21 hari dan semalam genap 14 hari menerima rawatan secara Islam sebelum terus ghaib hingga sekarang.

Norizan berkata, dia juga tidak melaporkan kes kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu kepada polis kerana yakin anaknya akan dikembalikan semula oleh jin berdasarkan pengalaman dalam kejadian sebelum ini.

Wednesday, October 20, 2010

Siti Balqis pulih – Ustaz Sharhan


Ustaz Sharhan Shafie (kanan) meneruskan rawatan Siti Balqis Mohd. Nor di Kampung Gong Nangka, Besut, semalam.


BESUT 19 Okt. – Pengamal rawatan Islam, Ustaz Sharhan Shafie mendakwa, gadis ghaib Siti Balqis Mohd. Nor, 22, kini sudah pulih daripada gangguan misteri yang membelenggu dirinya sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, setelah seminggu menjalani rawatan, pihaknya mendapati tiada lagi gangguan dalam diri Siti Balqis sebaliknya gangguan berlaku di luar diri gadis tersebut.
Katanya, fasa pertama tujuh hari telah berlalu tanpa insiden gangguan terutama menyembunyikan gadis tersebut dan akan masuk fasa kedua serta ketiga yang kesemuanya berjumlah 21 hari sejak rawatan pertama dijalankan.
Bagaimanapun menurutnya, keadaan Siti Balqis akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan gadis itu benar-benar pulih daripada gangguan tersebut.
“Jika dalam tempoh 21 hari tiada gangguan berlaku, bermakna Siti Balqis dan keluarganya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya selepas selesai menjalankan rawatan terhadap Siti Balqis di Kampung Gong Nangka, dekat sini malam tadi.
Beliau yang menjalankan rawatan ke atas Siti Balqis dan ibunya, Norizan Said kira-kira dua jam bermula pukul 7 malam hingga 9 malam turut menasihatkan masyarakat Islam supaya sentiasa mengamalkan ayat- ayat al-Quran bagi mengelakkan gangguan.
Pengamal rawatan Islam dari Pusat Rawatan Sinar Zamdurani itu berkata, kehadiran jin dalam sesebuah rumah boleh dikesan antaranya rumah tidak ada seri, rasa berdebar tanpa sebab selain bulu roma tengkuk dan lengan seseorang itu tiba-tiba meremang dan berdiri tegak.
“Jangan ketepikan soal alam ghaib ini atau menganggapnya sebagai tahyul kerana jika kita sendiri tidak mengalaminya, maka sukar untuk kita percaya apa yang berlaku ke atas Siti Balqis dan keluarganya.
“Begitu juga ada pihak menganggap laporan berita mengenai Siti Balqis ini sengaja dibuat-buat dengan tujuan untuk mensensasi dan melariskan surat khabar atau media lain,” katanya.
Mengenai 14 biji permata yang diperolehi Siti Balqis dan ibunya sepanjang tempoh gangguan sebelum didapati hilang, beliau berkata, semuanya berlaku dengan izin Allah.
“Ini mungkin pemberian Allah kepada ibu Siti Balqis yang sabar menghadapi pelbagai dugaan menimpa diri dan anak gadisnya itu dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Balqis kelihatan lebih ceria malah selera makannya bertambah berbanding sebelum ini.

Sunday, October 17, 2010

Gadis misteri dakwa RM2,000 pula dikebas jin




2010/10/17

JERTIH: Selepas beberapa hari menerima 'hadiah' berupa 15 biji batu termasuk delima, nilam dan zamrud dianggarkan berharga ribuan ringgit, keluarga gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, kini bersedih apabila mendakwa wang simpanan RM2,000 lesap. 

Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, berkata wang simpanan hasil sumbangan orang ramai yang mengunjungi rumahnya, diletakkan dalam al-Quran tetapi didapati lesap semalam, dipercayai diambil jin yang menjaga anaknya.“Bilik Siti Balqis sentiasa berkunci, malah orang lain tak berani masuk kerana bimbang ditimpa kejadian buruk,” katanya.“Nasib kami bagai jatuh ditimpa tangga. Selepas penat melalui kejadian misteri menimpa Siti Balqis, kami diuji pula dengan kehilangan wang. Siti Balqis tidak dilarikan lagi sejak lima hari lalu, tetapi wang kami pula hilang," katanya. 

Mengenai penemuan 15 biji batu bernilai tinggi yang tiba-tiba jatuh dalam rumahnya sejak tiga hari lalu, Norizan berkata, kejadian itu tidak lagi berlaku semalam selepas Siti Balqis mengalami kesakitan di badannya. 

Katanya, dia juga menolak permintaan orang ramai yang mahu membeli batu berharga itu walaupun pada harga tinggi kerana dinasihatkan pakar perubatan Islam menyimpannya dalam bekas khas yang direndam dengan air zam zam bagi mengelak hilang. 

Sementara itu, Siti Balqis yang diganggu dengan 12 kali percubaan mengghaibkannya oleh jin dua malam lalu, kini dalam keadaan lesu dan tidak berselera makan sambil dikawal ketat penduduk kampung selepas memberitahu tidak mungkin berjumpa keluarganya jika ghaib sekali lagi, sebaliknya hanya mayatnya. 
sumber

Sunday, April 4, 2010

Cara Asif Memindahkan Istana Balqis




oleh Ibnuyaacob & Ustaz Badri
Artikel ini adalah sebagai membahaskan hujah Muhammad Isa Dawud tentang penggunaan tenaga cahaya dalam operasi pemindahan Istana Balqis oleh Asif Bin Barqiya.
Artikel ini juga ingin menyatakan ‘tidak setuju’ akan pendapat bahawa Asif telah menggunakan tenaga cahaya. Hujah ini bukanlah kajian baru, tetapi hujah yang diambil dari kitab kajian-kajian ulama’-ulama’ tasawuf terdahulu.
Dalam bukunya (Muhammad Isa Dawud) yang bertajuk, “Dajjal Akan Muncul Dari Kerajaan Jin Di Segitiga Bermuda”, dengan panjang lebarnya menerangkan akan teknologi cahaya yang telah dicapai sejak zaman silam.
Penerangan ini mencakupi pelbagai sudut dan intipati bermula dari beberapa kiraan kelajuan cahaya, kenderaan UFO sehinggalah kepada kesimpulan bahawa Asif Bin Barqiya telah menggunakan cahaya.
(kami sendiri berasa hairan mengapa MID tidak menggunakan kitab tasawuf untuk membahas soal Asif bin Barqiya, mustahil beliau tidak mengetahui. Namun mungkin beliau ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat kita fikirkan. Mudah-mudahan Allah melimpahi rahmat dan kesihatan atasnya untuk terus menulis)
Sebenarnya Asif Bin Barqiya bukanlah seorang saintis, tetapi beliau adalah ahli sufi, ahli tasawuf dan pengamal tarekat dengan ilmu-ilmu laduni yang tak terkira banyaknya.
Biografi Asif Bin Barqiya hanya dapat diperoleh melalui kitab-kitab pengajian tasawuf dan kelas-kelas tarekat sama ada di Timur Tengah, Pattani, Malaysia atau Indonesia. Bagi sesiapa yang pernah menyertai kumpulan-kumpulan tarekat Shatriyah atau Ahmadiah, sudah pasti guru-guru tarekat tidak terlepas mendedahkan tentang hal Asif yang zuhud ini.
Bagaimana Asif Memindahkan Istana Balqis?
Sebelum menjawab soalan di atas adalah lebih baik kita renung semula ayat al-Quran berikut:
“Hai pembesar-pembesar siapakah diantar kamu sekelian sanggup membawa singgahsananya kepada ku sebelum mereka datang kepada ku sebagai orang-orang yang berserah diri.”
“Berkata Ifrit (yang cerdik) itu dari golongan jin, aku akan datang kepada ku dengan membawa singgahsana itu kepada mu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai. Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab; “Aku akan membawa singgahsana itu kepada mu sebelum matamu berkedip.”
“Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata; “Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk menguji aku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya) . Dan barang siapa bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” (An-Namli, ayat 38-40)
Jawapannya ialah;
Cara Asif memindahkan Istana Balqis cukup mudah iaitu dengan niat di dalam hati sahaja. Walaupun Asif hanya sekadar berniat, tetapi “niat” yang dicetuskan dalam hati Asif tidak sama dengan cara kita orang biasa berniat.
Niat yang didetikkan oleh Asif sebenarnya “berkaedah”. Dan ia sejenis kaedah teknologi yang berkaitan amalan-amalan tarekat dalam ilmu tasawuf.
Niat beliau telah disokong oleh suatu teknologi tasawuf yang diberi namaKeramat Dunia Ke-19.
Dalam kitab Lum’atul Aurad karangan Wan Ali Bin Abdul Rahman Al-Kelantani ada membahaskan bahawa ketika Asif berniat ‘menghadirkan’istana Balqis, Asif telah menyertakan sekali dalam niatnya kalimah “Yaa zaljalaa..liwal ikram…”.
Ulama’-ulama’ tasawuf keseluruhannya menyetujui bahawa martabat teknologi yang dimiliki Asif adalah antara tertinggi dikalangan manusia biasa (tidak termasuk Nabi & Rasul). Teknologi keramat Asif sudah berada di puncak teknologi tasawuf yang dinamakan capaian akhir “Kun fayakun”.
Perbahasan panjang lebar tentang martabat-martabat keramat seperti ini juga boleh didapati dalam kitab Syarah Hikam dan Sairus As-Salikin.
Apakah Keramat Dunia KE-19?
Keramat Dunia Ke-19 atau ringkasnya KDK-19 ialah suatu martabat ilmu yang dianugerahkan Allah SWT kepada insan-insan yang telah mencapai tahap kekasih Allah. Sesiapa sahaja boleh memperolehnya asalkan bertaqwa, berzuhud, bertarekat dan beramal soleh.
KDK-19 tidak boleh diperoleh hanya dengan kuat beribadat dan berzikir. Terdapat kaedah-kaedah tertentu yang mesti diikuti dan dipandu oleh guru tarekat yang mursyid untuk memperolehnya.
Keramat Dunia Ke-19 bermaksud sesiapa yang memilikinya akan mampumenghadirkan atau mengadakan sesuatu benda, kejadian atau tingkahlaku hanya dengan niat di dalam hati. Dalam erti kata lain apa yang terlintas di hati akan dimakbulkan Allah.
Peringkat-Peringkat Keramat Dunia
Di dalam kitab tasawuf telah diterangkan dengan nyata akan KDK-1 hingga KDK-20. KDK boleh diringkaskan sebagai visi akhir seseorang ahli tarekat. Tetapi ada juga ahli tarekat yang tiada langsung mendapat KDK ini, cuma sekadar mendapat keramat-keramat yang biasa seperti menyembuhkan penyakit, berkomunikasi jarak jauh atau berjalan di atas air.
Berikut ialah senarai teknologi KDK yang menjadi rebutan ahli-ahli tarekat:
KDK-1 : Peringkat ini Allah amat kasihkan dan memuji-muji nama mereka (ahli tasawuf). Alangkah bertuah dan mulianya mereka ini kerana sentiasa dipuji Allah.
KDK-2 : Allah sendiri mengucap terima kasih kepada mereka. Sekiranya kita diucap terima kasih oleh seorang yang hina pun sudah cukup baik, apatah lagi jika Allah sendiri yang mengucapkannya.
KDK-3 : Allah Taala sangat kasih dan cinta akan mereka. Jika seorang raja mencintai kita sudah cukup untuk kita bermegah dan mendapat faedah, apatah lagi raja sekian alam sendiri yang cintakan kita.
KDK-4 : Allah Taala sendiri menjadi wakil untuk mengurus urusan mereka.
KDK-5 : Allah Taala menjamin rezeki ke atas mereka ke mana sahaja mereka pergi.
KDK-6 : Allah Taala mengawal tubuh badan mereka dari disakiti musuh.
KDK-7 : Allah Taala menjadi sahabat teman setia mereka.
KDK-8 : Ahli sufi berjiwa besar dan tidak terasa terhina membuat kerja-kerja yang tidak disukai orang. Malah mereka tidak suka ditolong orang hatta raja sekalipun.
KDK-9 : Tinggi hemah dan kezuhudan seta tidak sedikit pun ternoda dengan kemegahan dunia.
KDK-10 : Kaya hati, tenteram dan aman. Tidak terkejut dengan kekayaan baru yang datang dan tidak pula susah hati bila ditimpa kemiskinan.
KDK-11 : Bersinar-sinar nur hati mereka hingga dapat memberi petunjuk kepada orang ramai tentang ilmu-ilmu rahsia, hikmat-hikmat yang tidak dapat diberi oleh manusia biasa.
KDK-12 : Sentiasa berlapang dada sehingga bala yang besar tidak mampu langsung menggundah-gulanakan jiwa mereka.
KDK-13 : Wajah mereka sentiasa terpancar sinar kehebatan dan mampu merebahkan orang yang melihat atau musuh yang mendekati hatta raja yang zalim sekali pun.
KDK-14 : Allah Taala melimpah keberkatan pada segala pergerakan tubuh dan perilaku mereka seperti tempat tidur, bekas makan dan tempat duduk sehingga diambil orang untuk keberkatan. Malah yang bersahabat dengan mereka juga mendapat tempias ilmu-ilmu keramat mereka.
KDK-15 : Mereka menguasai lipat jalan bumi, udara dan air sehingga jika dikehendaki terbang di udara atau menyelam di laut dalam nescaya diperkenankan Allah.
KDK-16 : Mereka dapat menunduk dan menjinakkan segala jenis binatang buas malah binatang itu dapat dijadikan khadam suruhan pula.
KDK-17 : Mereka dianugerahkan perbendaharaan bumi. Sekiranya mereka mengkehendaki harta karun itu timbul dari perut bumi nescaya berlaku. Mereka juga mampu mendatangkan rezeki (makanan) sendiri jika terasa kelaparan.
KDK-18 : Mereka menjadi tumpuan orang ramai Kepada orang yang berhajat berkasih kepada Allah wajarlah dijadikan mereka ini sebagai wasilah. Berkhadamlah dengan mereka ini mudah-mudahan akan sampai makrifat kepada Allah.
KDK-19 : Apa sahaja yang terlintas di hati atau tergerak lidah untuk meminta sesuatu hajat nescaya tercapailah hajat mereka.
KDK-20 : Terjatuh mesra kasih orang ramai apabila terpandang mereka.
Kesimpulan
Dajjal tahu siapa Asif bin Barqiya, apa kehebatannya dan ini bukan sesuatu jangkaan kerana Dajjal mampu mendapat maklumat berikut melalui Iblis laknatullah. Cuma Dajjal itu tidak mampu meniru dan mencipta ilmu tasawuf kerana ia ilmu makrifat yang berkaitan kezuhudan hati.
Dajjal tidak mampu mencipta teknologi ini kerana ia berasaskan wirid dan zikir. Zikir tidak boleh dilihat kehebatannya, ianya hanya boleh didengar.
Menyedari kekurangan ini Dajjal terpaksa berhempas pulas menggunakan tenaga elektrik dan cahaya untuk menandingi ilmu tasawuf ini. Eksperimen Phildephia sudah menjalani beratus-ratus ujian tanpa diketahui.
Ini bukanlah bermakna Dajjal masih diperingkat tenaga elektrik, Dajjal sudah pun mempunyai teknologi cahaya yang digunakan UFO. Cuma Dajjal belum bersedia menimbulkan teknologi itu di tengah-tengah masyarakat sekarang kerana ia belum sesuai.
Kejayaan menggunakan cahaya akan berlaku juga seperti kejayaan memunculkan gambar di skrin televisyen zaman dahulu. Idea teknologi ini akan didetikkan di otak salah seorang terpilih (the chosen one) tidak lama lagi.
Dengan terhebahnya teknologi itu kelak maka hampirlah saat perang dunia akhir zaman.
P/S : Maklumat ilmu tasawuf adalah sesuatu yang sensitif bagi masyarakat yang tiada ilmu zaman sekarang ini. Bagi yang berminat mengetahuinya dengan lebih lanjut hendaklah menanyakan sendiri kepada tuan guru-tuan guru di mana-mana sekolah pondok. Jangan sesekali menanyakan ilmu ini di internet walaupun ada ustaz-ustaz yang membuka ruang bicara secara online.
(PERHATIAN : Bagi yang berminat menggunakan artikel ini untuk blog peribadi hendaklah kiranya tidak dibuang akan pesanan P/S yang tertera di atas bagi mengelak syak wasangka dan fitnah pembaca bukan Islam. Hendaklah diletak alamat blog ini agar tiada kesangsian dalam mengetahui sumbernya.)