Pages

Showing posts with label kemboja. Show all posts
Showing posts with label kemboja. Show all posts

Friday, July 13, 2012

Gabungan Patogen punca penyakit misteri di Kemboja


Gabungan Patogen punca penyakit misteri di Kemboja
Hospital Kantha Bopha terus dikunjungi orang ramai.
PHNOM PENH - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Kemboja mengenal pasti punca penyakit misteri meragut 60 kanak-kanak di Kemboja adalah disebabkan kewujudan tiga virus di dalam tubuh kanak-kanak tersebut.

Gabungan virus itu dikenali sebagai Patogen terdiri daripada Enterovirus 71, Streptokokus dan denggi, manakala pengambilan steroid yang tidak bersesuaian berupaya mengaktifkan virus tersebut sekali gus melemahkan sistem imunisasi badan.

Sementara itu, Doktor Pediatrik Hospital Kantha Bopha, Dr Beat Richner berkata, setakat ini tiada kes kematian baru dicatatkan.

Friday, December 23, 2011

Kemboja-Thai setuju undur tentera di sempadan


Tea Banh (kanan) bersama Yuthasak Sasiprapha di Phnom Penh, Kemboja, kelmarin. - REUTERS


PHNOM PENH 22 Dis. - Kemboja dan Thailand bersetuju untuk mengundurkan tentera masing-masing daripada satu kawasan di sempadan negara yang dituntut kedua-dua pihak, kata laporan media hari ini.
Bagaimanapun, media melaporkan tiada jadual ditetapkan untuk melaksanakan tindakan berkenaan.
Akhbar Phnom Penh Post berkata, kedua-dua negara jiran itu bersetuju untuk melaksanakan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai lalu yang mengarahkan mereka mengundurkan tentera dari kawasan berdekatan kuil purba Preah Vihear dan membenarkan pemerhati Indonesia memantau gencatan senjata tersebut.
''Oleh itu, sepatutnya tidak akan timbul sebarang halangan dan saya ingin mengesahkan proses ini akan melibatkan penyertaan pemerhati Indonesia, Thai dan Kemboja,'' kata Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Banh dalam satu pertemuan semalam di sini.
Katanya, kumpulan pemerhati itu akan bertugas dengan segera untuk memperincikan pengunduran tentera tersebut.
Menteri Pertahanan Thai, Yuthasak Sasiprapha berkata, kedua-dua pihak akan mengundurkan tentera masing-masing secepat mungkin apabila Bangkok meluluskan perjanjian itu.
Kemboja dan Thailand bertempur di sempadan sejak beberapa tahun ini terutama berdekatan Preah Vihear yang dianugerahkan oleh ICJ kepada Kemboja pada 1962.
Kedua-dua pihak mendakwa kawasan yang berdekatan kuil purba itu masih belum diputuskan milik siapa oleh mahkamah antarabangsa itu.
Perdana Menteri baru Thai, Yingluck Shinawatra bersetuju dengan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Sen pada September lalu untuk mengundurkan tentera dari kawasan tuntutan berkenaan. - DPA
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Sunday, June 5, 2011

Raja Kemboja bagai tahanan dalam istana



Raja Norodom Sihamoni
Raja Norodom Sihamoni

Hun Sen bolot kuasa selepas rampasan 1997

PHNOM PENH: Raja Norodom Sihamoni mungkin menjadi pewaris kepada susur galur kerajaan kira-kira 2,000 tahun lalu, namun beliau sentiasa kelihatan lebih sesuai dengan persekitaran seni di Eropah, di mana beliau pernah menjadi penari balet, berbanding pergolakan politik di tanah airnya.
Kini, pembantu rapat dan pakar berkata, beliau semakin ketara menjadi tahanan dalam istananya sendiri dengan Perdana Menteri, Hun Sen, mengukuhkan kuasa sejak rampasan 1997 ketika Kemboja secara perlahan keluar daripada kancah Perang Vietnam dan perang saudaranya selepas selepas beberapa lama.
Kumpulan hak asasi manusia pula menuduh beliau dan rakan perniagaannya menambah kekayaan mereka, sementara kebanyakan penduduk terus miskin.

Sihamoni dikelilingi pemerhati kerajaan dan diawasi Menteri Hal Ehwal Diraja, Kong Som Ol, pegawai rapat kepada Hun Sen.

Sihamoni diiringi secara rapat dalam beberapa kunjungannya ke luar dinding istana dengan media dijarakkan. Walaupun perlembagaan memberinya kuasa, ia tidak pernah digunakan.

“Saya fikir kita boleh guna perkataan ‘raja boneka’. Kuasanya dikurangkan hingga kosong,” kata Son Chhay, seorang Ahli Parlimen pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan.
Tidak seperti bapanya, Raja Norodom Sihanouk, memiliki enam isteri dan ramai kekasih, Sihamoni masih bujang dan sudah pasti tidak meninggalkan seorang waris bagi meneruskan dinasti bapanya. – Agensi Berita Harian Online | Raja Kemboja bagai tahanan dalam istana

Tuesday, May 24, 2011

Thai tangkap penduduk Islam Kemboja


BANGKOK 23 Mei - Pihak berkuasa Thailand menangkap 113 penduduk Islam Kemboja di pintu masuk sempadan di pasar Rong Klua ketika mereka dalam perjalanan menuju ke selatan Thai sebelum memasuki Malaysia.

Pihak berkuasa khuatir mereka boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara ini, menurut Thai News Agency hari ini.
Kumpulan Melayu Champa yang termasuk kanak-kanak itu membawa beg dan pasport sah, serta mendakwa mereka dalam perjalanan untuk menziarahi saudara mara di kawasan sempadan Malaysia, kata pihak berkuasa Thai.
Dalam operasi bersama yang dijalankan oleh renjer separa tentera Pasukan Petugas Burapha, polis imigresen wilayah Sa Kaeo dan polis dari balai polis Khlong Luek, ubat-ubatan, monosodium glutamate, beg galas dan khemah turut dirampas.
Pihak berkuasa mengesyaki barang-barang itu hendak dibekalkan kepada puak pemisah di selatan Thai.
Bagaimanapun rakyat Kemboja itu dibenarkan meneruskan perjalanan mereka selepas polis mengumpulkan maklumat peribadi dan mengambil gambar mereka. - Bernama
Di pekan Poipet, wilayah Banteay Meanchey di Kemboja, dilaporkan bahawa sebilangan orang Islam Kemboja berhimpun di Malaysia dan mereka yang melakukan perjalanan mengikut Thailand itu mahu menyertai perhimpunan itu.
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Thursday, May 5, 2011

Thai bedil 50,000 kali: Kemboja


PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, semalam menuduh tentera Thailand melepaskan 50,000 bedilan meriam dan serangan mortar ketika pertempuran meletus di sempadan dua negara berkenaan dalam tempoh seminggu lalu. 


Hun Sen berkata, beberapa bedilan mengenai wilayah Oddar Meanchey tidak meletup dan bom perlu dimatikan sebelum orang awam kembali ke kawasan terbabit.
Kemboja masih lagi mempunyai masalah jerangkap samar belum meletup terutama periuk api sejak era perang Vietnam dan kempen gerila beberapa dekad selepas itu.
Ketika kebanyakan kawasan masih lagi tidak dapat dimasuki wartawan, saksi tidak pernah melaporkan mengenai bedilan dan serangan Thailand. 

“Mustahil kami membedil sebanyak itu,” kata jurucakap tentera Thailand, Kolonel Prawit Hukaew, di rantau timur laut. 

Pertempuran bermula pada 22 April dan semakin berkurangan sejak beberapa hari lalu tetapi stesen televisyen MCOT Thailand, melaporkan seorang askar Thailand terbunuh malam Isnin lalu, menjadikan kematian meningkat kepada seorang penduduk awam Thailand dan 17 tentera kedua-dua pihak terbunuh. 

Konflik berkenaan membabitkan kawasan tanah di sepanjang sempadan yang menjadi pertikaian sejak setengah abad lalu. 
Pertempuran terbaru adalah kali keenam sejak 2008, apabila kuil kurun ke-11, Preah Vihear diberikan status Tapak Warisan Dunia oleh PBB, dibantah Thailand. 

Khamis lalu komander tempatan kedua-dua negara itu mengadakan rundingan gencatan senjata, yang sebenarnya tidak menamatkan pertempuran tetapi mengurangkan kekerapannya. Isnin lalu, berpuluh ribu pelarian dari zon perang mula kembali ke rumah. 

Hun Sen berkata, kedua-dua komander serantau akan bertemu bagi melaksanakan gencatan senjata. 

Hun Sen sepatutnya bertemu Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva untuk membincangkan isu sempadan pada mesyuarat hujung minggu ini di Indonesia. 

Dua negara itu pada awalnya bersetuju membenarkan pemantau Indonesia ditempatkan di sempadan dan cuba mendapatkan penyelesaian bagi pertikaian berkenaan. 

Kemboja minggu lalu meminta mahkamah tertinggi PBB supaya mengarahkan Thailand menarik balik tentera dan menangguhkan aktiviti ketenteraan di kuil yang mencetuskan pertempuran. – AP ,bharian

Wednesday, April 27, 2011

Thailand dan Kemboja sedia runding gencatan senjata



Sekumpulan askar Kemboja berehat di sebalik binaan kuil Preah Vihear. Pertempuran terbaru nyata mengeruhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.


PHANOM DONG RAK, Thailand - Thailand dan Kemboja semalam bersiap-sedia untuk satu rundingan gencatan senjata selepas pertempuran terburuk di sempadan kedua-dua buah negara berlaku semalam mengakibatkan 13 orang askar terbunuh.
Berpuluh-puluh ribu orang awam terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing kerana askar-askar Thailand dan Kemboja melepaskan tembakan senjata berat seperti mortar, sekali gus menggoyah perdamaian sementara yang dipersetujui sejak Februari lalu.
"Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Banh telah bersetuju untuk bertemu rakan sejawatannya dari Thailand di Phnom Penh untuk membincangkan proses gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak," jelas Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon menyatakan kesediaan sama. "Kami akan berpeluang untuk berbincang. Saya fikir situasi akan reda dalam tempoh beberapa hari," kata Wongsuwon.
Askar Thailand dan Kemboja saling berbalas serangan selama 30 minit berhampiran kuil Preah Vihear berusia 900 tahun yang menjadi fokus ketegangan selepas lokasi itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008.
Pada 10 Februari lalu, sepuluh orang terbunuh berhampiran kuil tersebut, membuatkan PBB mendesak gencatan senjata tetap dikuatkuasakan. - AFP
Kosmo! Online - Dunia

Monday, April 25, 2011

Pertempuran masuk hari ketiga di sempadan Thailand



BANGKOK - Tidak ada sebarang tanda gencatan senjata dilaksanakan dalam pertelingkahan antara tentera Thailand dan Kemboja di sempadan negara itu, lapor agensi berita Bernama semalam.
Pertempuran yang memasuki hari ketiga bertumpu di Kuil Tamuen di daerah Phanom Dongrak wilayah Surin seawal pukul 9.45 pagi semalam yang menyaksikan seorang anggota tentera Thailand tercedera.
Ketua Tentera Wilayah II Thailand, Leftenan Jeneral Tawatchai Samutsakorn berkata, empat tentera Thailand terkorban manakala 22 lagi cedera sejak pertempuran antara dua pihak tercetua Jumaat lepas.
"Mereka yang menembak dahulu, kami cuma membalas, dan kami hanya menyasarkan anggota tentera sahaja," katanya.
Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva semalam berkata tentera Thailand tidak memulakan pertempuran, tapi mereka mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kedaulatan negara dan bertindak balas apabila diserang.
Menteri Luar, Kasit Piromya berkata, beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatannya di Kemboja, Hor Namhong menerusi telefon kelmarin dan mereka merancang untuk mengadakan perjumpaan dalam masa empat atau lima hari lagi.
Pertempuran itu berlaku akibat perbalahan tuntutan berhubung satu kawasan tanah kecil di sempadan ekdua-dua buah negara. - Agensi