Robert Bales
WASHINGTON - Seorang askar Amerika Syarikat (AS), yang ditahan kerana membunuh 16 orang awam di Afghanistan dengan membakar sebahagian mangsa dua minggu lalu,  semalam dikenakan 17 tuduhan membunuh dengan merancang terlebih dahulu.
Pegawai-pegawai tentera AS berkata, Staf Sarjan Robert Bales, 38, dituduh membunuh sembilan kanak-kanak dan lapan orang dewasa di rumah mereka di Kandahar pada 11 Mac.
Selain itu, Bales juga berhadapan dengan enam lagi tuduhan cuba membunuh dengan menyerang seorang lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak.
Dia boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.
"Tuduhan-tuduhan mendakwa bahawa pada atau kira-kira pada 11 Mac 2012, Staf Sarjan Bales telah melakukan pembunuhan dengan merancang terlebih dahulu, membunuh 17 orang awam Afghanistan dan menyerang dan cuba membunuh enam yang lain," kata kenyataan pihak tentera AS.
Bales telah dibawa keluar dari Afghanistan beberapa hari selepas kejadian yang mengejutkan banyak pihak dan mengenakan tekanan ke atas pentadbiran Presiden Barack Obama.
Tertuduh kini ditahan di Kansas.
Laporan sebelum ini menyebut 16 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Bagaimanapun kertas pertubuhan mengatakan seramai 17 orang terbunuh. Tiada butiran mengapa angka kematian meningkat.
Difahamkan pertuduhan ke atas Bales dibacakan secara formal di Fort Leavenworth, Kansas.
Semalam, Taliban menegaskan bahawa pihaknya tiada keyakinan dengan perbicaraan ke atas Bales, yang akan dikendalikan di AS.
"Ini adalah aktiviti yang dirancang dan kami sudah pasti akan membalas dendam ke atas kesemua pasukan tentera Amerika di Afghanistan dan jangan percaya perbicaraan seperti itu," kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid kepada agensi berita Reuters.