Lebih menarik, bangunan 80 tingkat berkeluasan 93,000 meter persegi yang dikenali sebagai Oakwood Tower itu dibina sepenuhnya daripada kayu dan turut menempatkan beberapa kediaman.
Menurut portal Dailymail.co.uk, konsep bangunan itu diperkenalkan oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson dan bakal diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi di London selepas The Shard serta bangunan kayu tertinggi di dunia.
Pengarah Pusat Cambridge (Inovasi Menggunakan Bahan Semula Jadi), Micheal Romage berkata, Barbican yang wujud sejak pertengahan abad lalu telah berjaya ‘menghidupkan’ kota London dengan suasana kediaman.
Oleh yang demikian ujarnya, London perlu memiliki bangunan tinggi bagi memastikan pembangunan kota itu yang semakin padat dapat diseimbangkan dengan penempatan kediaman.
“Kami percaya orang ramai dan bangunan tinggi terutamanya yang diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi mempunyai perkaitan berbanding bangunan yang dibina daripada batu dan konkrit,” katanya.
Ketika ini, blok pangsapuri setinggi 14 tingkat di Bergen, Norway diiktiraf sebagai binaan kayu tertinggi di dunia.
Selain Norway dan Britain, beberapa buah negara termasuk Perancis dan Sweden turut mempunyai perancangan untuk membina bangunan yang sama.
Sementara itu, firma arkitek untuk pembinaan Oakwood Tower iaitu PLP Architecture menerusi wakilnya, Kevin Flanagan berkata, penggunaan kayu sebagai bahan utama dalam pembinaan bangunan boleh menjadi cara baharu mengubah corak pembangunan di London.
“Bangunan kayu sebenarnya mempunyai potensi dari segi seni bina untuk menghasilkan suasana yang lebih menyenangkan selain pengalaman kehidupan di bandar dengan cara baharu,” jelasnya.