Pages

Showing posts with label hempap. Show all posts
Showing posts with label hempap. Show all posts

Tuesday, January 22, 2013

Nyaris maut dihempap batu

pix_topright St George (Utah): Seorang wanita warga emas nyaris maut apabila bongkah batu besar runtuh dan merempuh dinding bilik tidurnya, malam semalam.
FotoKetika kejadian, Wanda Lee Denhalter, 63, sedang tidur dan tidak sempat melakukan apa-apa untuk mengelak, tetapi dia masih bernasib baik kerana cuma tersepit di antara batu dan dinding rumahnya.

Menurut Wanda, batu sebesar empat meter dan setinggi tiga meter itu merempuh rumahnya kira-kira jam 3 pagi. Dia mengalami patah rahang, tulang dada dan luka besar pada kakinya.
Wanda juga bernasib baik kerana dalam keadaan tersepit itu, dia masih dapat mencapai telefon di rumahnya dan menghubungi perkhidmatan kecemasan bagi mendapatkan bantuan. Jurucakap polis St George berkata, Wanda dikejarkan ke Pusat Perubatan Wilayah Dixie dan menjalani pembedahan hampir empat jam bagi merawat pelbagai kecederaannya. Sementara itu, suami Wanda, Scot Denhalter, berkata dia tiada di rumah ketika kejadian.

“Menurut Wanda, dia terdengar bunyi yang kuat sejurus sebelum batu besar itu melanggar rumah kami,” katanya. Bimbang dengan bunyi itu, kata Denhalter, Wanda beralih ke sebelah katil dan berdiam diri di situ.

Katanya, jika Wanda bangkit dan melihat apa yang berlaku, isterinya itu mungkin terbunuh. “Batu itu menyebabkan katil dan pelbagai perabot lain tercampak lebih satu meter,” katanya.
BAHAGIAN luar rumah musnah dirempuh.
Dalam keadaan terdesak itu, kata Denhalter, Wanda berjaya bangkit dan menghubungi talian kecemasan 911. Sehingga semalam, belum diketahui punca batu itu runtuh, tetapi Denhalter menjangkakan, paip air yang pecah di pinggir tanah tinggi berhampiran rumahnya mungkin ada kaitan dengan insiden itu. Pasangan itu baru berpindah ke rumah berkenaan Disember lalu.

Ketika itu, kata Denhalter, dia menyatakan kebimbangannya terhadap bungkah batu yang ada di lereng berhampiran rumah mereka.
“Tetapi Wanda meyakinkan saya, batu itu tidak akan runtuh,” katanya. - Daily Mail

Thursday, November 29, 2012

‘Durian timpa kepala anakku’

SITU...Samimi menunjukkan tempat durian menimpa dia dan bayinya.
SITU...Samimi menunjukkan tempat durian menimpa dia dan bayinya.
NIBONG TEBAL: “Kepalanya berdarah tapi tak banyak, sebaliknya anak saya terus diam dan tidak sedarkan diri,” kata Samimi Kasmin, 29, ibu bayi berusia 38 hari yang mati akibat ditimpa sebiji buah durian yang baru gugur di belakang rumah mereka di Lorong Badak Mati, Sungai Bakap, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Yusoff Zainal yang cedera di sebelah kiri kepala, disahkan meninggal dunia sejam selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Bakap (HSB).
Samimi berkata, durian seberat 2.1 kilogram yang gugur itu terlebih dulu mengenai bahu kirinya sebelum menimpa kepala bayi yang berada dalam dukungannya.

Menurutnya, ketika kejadian dia mahu mengangkat pakaian di ampaian terletak kira-kira enam meter dari pintu belakang rumahnya.


“Pada mulanya, saya mahu tinggalkan anak di dalam rumah tapi ketika saya baru melangkah ke pintu, dia menangis lalu saya mendukungnya dan keluar untuk mengangkat kain di ampaian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sunday, October 16, 2011

Ajal gadis sunti


PARAH... mangsa dibantu pasukan penyelamat.
PARAH... mangsa dibantu pasukan penyelamat.



REMBAU: Hasrat seorang remaja menghabiskan cuti hujung minggu bersama rakan dipercayai teman lelakinya meragut nyawanya selepas dia terbunuh dihempap dahan pokok pulai seberat lapan tan di Hutan Lipur Gunung Datuk, di sini, semalam.
Nor Syahira Mat Edde, 14, dari Kem Terendak, Melaka dikejarkan ke Hospital Tampin kerana cedera parah di badan, tangan dan kaki, namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di bilik kecemasan.

Rakannya, Mohammad Zul Afiq Abdullah, 22, turut dihempap pokok berkenaan namun hanya cedera di kepala.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.40 pagi, kedua-dua mangsa baru meletakkan motosikal yang ditunggangi berhampiran pokok berkenaan.

Menurut saksi yang juga penyelia hutan lipur itu, Abdul Rahman Idrus, 40, ketika kejadian, dianggarkan lebih 200 pengunjung dan pendaki berada di kawasan tapak kaki gunung itu.


“Difahamkan dua remaja dari Kampung Melekai, Johol, itu baru meletakkan motosikal berhampiran pokok berkenaan.

“Kami kemudian terdengar jeritan kuat dan terkejut melihat seorang lelaki dan perempuan cedera di kepala dan kaki selepas dihempap pokok. Selain itu beberapa kenderaan dan motosikal turut dihempap dahan pokok,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku di hutan lipur berkenaan sepanjang menyelia kawasan itu sejak November tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 45, berkata ketika kejadian dia mencari tempat letak kenderaan selepas menurunkan empat anaknya untuk mandi di kawasan jeram itu.

Menurutnya, sebaik meletakkan kereta, dia dikejutkan dengan bunyi kuat seperti benda jatuh.


“Saya terperanjat mendapati dahan pokok jatuh dan terkena bahagian depan kereta, mujur ketika itu hanya saya di dalamnya,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.58 pagi dan enam anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.


“Pasukan bomba mengambil masa 30 minit untuk membersihkan laluan yang terhalang dengan dahan pokok.


“Siasatan mendapati pokok pulai dipercayai berusia 200 tahun seberat lapan tan itu sudah reput, menyebabkan ia tumbang,” katanya.


Kejadian itu menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada kenderaan lain membabitkan dua kereta, dua motosikal dan satu basikal.
'via Blog this'

Saturday, September 24, 2011

Punca kematian terungkai



KERATAN Kosmo! semalam.

KOTA BHARU - "Kami reda dan terima dengan hati terbuka selepas doktor pakar mengesahkan punca kematian adik saya adalah akibat dihempap pokok dan bukannya dipukul orang."
Demikian jelas Wan Alzubir Wan Daud, 27, abang kepada Wan Mohd. Helmi (gambar), 24, yang mati selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat dihempap pokok ketika ribut dalam kejadian berhampiran hentian rehat dan rawat (R&R) Gua Musang pada Selasa lalu.
"Jenazah adik saya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk dibedah siasat semalam (kelmarin) dan semuanya selesai kira-kira pukul 2 pagi tadi (semalam).
"Menurut doktor yang melakukan bedah siasat, adik saya mengalami kecederaan parah di kepala dan kesan kecederaan tersebut adalah akibat dihempap pokok bukannya dipukul oleh orang," katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! semalam melaporkan bahawa keluarga Wan Mohd. Helmi telah membuat laporan polis selepas meragui punca kematiannya selepas seorang rakan kepada mangsa mendakwa dia mati akibat dipukul.
Pada hari kejadian Selasa lalu, Wan Mohd. Helmi yang mengalami kecederaan parah dihempap pokok telah dihantar ke Hospital Gua Musang sebelum dikejarkan ke HUSM, Kubang Kerian dekat sini dan meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi kelmarin.
Wan Alzubir memberitahu, jenazah adiknya itu telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bintang, Setiu, Terengganu dan selamat dikebumikan kira-kira pukul 9 pagi semalam di tanah perkuburan Islam di kampung tersebut.
Menurutnya, dia dan ahli keluarga lain termasuk ibu kini lebih tenang selepas mengetahui punca sebenar kematian Wan Mohd. Helmi yang berpunca daripada ditimpa pokok dan bukannya dipukul.
"Ibu saya juga nampaknya sudah lega dan boleh menerima kenyataan serta lebih tenang selepas keputusan bedah siasat diperoleh.
"Kami hanya mahukan kebenaran dan sekarang segala-galanya sudah selesai," katanya.
Mengenai laporan polis yang dibuat, dia dan keluarga menyerahkannya kepada pihak polis sama ada untuk meneruskan siasatan atau sebaliknya tetapi pengesahan daripada doktor itu sudah memadai kepadanya dan keluarga.-kosmo

Monday, September 12, 2011

Dapur dihempap pokok kelapa




MOHD. HAZMI (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada penduduk yang turut terlibat dalam kejadian ribut di Kampung Seberang, Sungai Ular, Kuantan semalam.


KUANTAN - Satu keluarga melalui detik cemas apabila bahagian dapur rumah mereka dihempap sebatang pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Seberang, Sungai Ular di sini kelmarin.
Turut rosak dalam kejadian berkenaan ialah 17 buah rumah lagi di sekitar kawasan tersebut iaitu di Kampung Darat Jering dan Kampung Bujuk.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 malam itu, seorang suri rumah, Aminah Abdul Rashid, 28, dan dua anaknya, Nor Fateha Hasliah, 6, dan Mohamad Hafiz yang baru berusia enam bulan berada di rumah, manakala suaminya Omar Ismail, 31, keluar bekerja.
Omar ketika ditemui berkata, dia tersentak apabila dihubungi isterinya yang menangis teresak-esak memberitahu rumah mereka telah dihempap pokok.
"Dalam hati, saya hanya terfikir isteri dan anak-anak terhimpit dan sepantas kilat memecut kenderaan untuk pulang ke rumah.
"Apabila sampai, saya hanya mampu bersyukur apabila melihat mereka anak-beranak selamat walaupun sedih apabila melihat dapur rumah kami ranap ekoran kejadian ini," katanya semasa kunjungan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff di sini semalam.
Omar menambah, dia dan keluarganya kini terpaksa menumpang buat sementara waktu di rumah ibunya, Hasliah Mat Noor, 64, di kawasan berhampiran.

Wednesday, August 24, 2011

Lelaki maut dihempap konkrit



ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat Ibrahim (gambar kecil) 
yang ditimbus pasir di Lati, Pasir Mas semalam.


PASIR MAS – Tindakan seorang tukang rumah menanggalkan kayu sokongan dan kotak binaan konkrit sebuah jambatan membawa padah apabila dia mati dihempap konkrit runtuh di Lati dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi, Ibrahim Awang Kechik, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala selepas dihempap konkrit dan ditimbus pasir yang ditimbun di atas jambatan tersebut.
Mayat Ibrahim yang berada dalam keadaan tertiarap hanya dapat dikeluarkan selepas sejam dengan menggunakan dua buah jengkaut.
Anak mangsa, Siti Sarah, 20, berkata, dia tidak menyangka kemurungan ayahnya sejak beberapa hari lalu adalah petanda Allahyarham akan pergi buat selama-lamanya.
“Selalunya dia seorang yang ceria dan periang, namun sejak beberapa hari lalu ayah jadi pendiam dan tidak banyak cakap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Ibrahim meninggalkan seorang isteri, Mek Seriha Mat Sulaiman, 55, dan sembilan anak. Siti Sarah merupakan anak keempat.-kosmo

Friday, August 5, 2011

Sebak lihat bapa dihempap khemah


Saniah Abdul
Saniah Abdul

Saniah fobia niaga di bazar Stadium Jasin

JASIN: “Saya tidak akan pergi lagi ke bazar Ramadan itu, malah semangat untuk berniaga di situ kali ini juga sudah hilang sama sekali kerana masih terkenangkan tragedi menimpa arwah abah," kata Saniah Abdul, yang menyaksikan bapanya, Abdul Omar, 70, terbunuh dihempap palang besi khemah akibat kejadian ribut di perkarangan Stadium Jasin, dekat sini, awal Ramadan tahun lalu.

“Saya masih fobia, sedih dan terkenang lagi tragedi itu. Masih teringat lagi pesanan arwah abah bahawa tahun ini (tahun lalu) adalah tahun terakhirnya berniaga, sebelum duduk termenung berseorangan selepas saya menasihatkan beliau supaya tidak berniaga lagi kerana keadaannya sudah uzur," katanya kepada Berita Harian semalam.
Dalam tragedi menyayat hati pada hari ketiga Ramadan, kira-kira jam 4.40 petang 13 Ogos tahun lalu itu, Abdul dari Batu 16, Kampung Ayer Merbau terbunuh bersama seorang peniaga kuih, Mahadi Mohamad, 40, dan seorang pengunjung, Muhammad Wahab, 49, dari Kampung Rim, selain kejadian itu turut mencederakan 18 orang lain.

Abdul meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala, akibat dihempap palang besi khemah yang diterbangkan ribut, manakala Mahadi meninggal dunia di Hospital Jasin dan Muhammad yang juga cedera di kepala, meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira jam 7 petang.

Bagi Saniah, 48, yang berniaga bersama bapanya ketika kejadian, Ramadan kali ini disambut pilu kerana mereka tujuh beradik kehilangan bapa yang banyak menceriakan kehidupan seharian.

“Setiap kali menyambut Aidilfitri, abah mesti balik ke sini (Kampung Ayer Merbau) untuk bersama kami anak-beranak, walaupun dia menetap bersama emak tiri di Bukit Rambai tetapi ketiadaannya kali ini, sememangnya dirasai.
“Saya memang tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kepada abah, namun tetap reda dengan pemergiannya. Ketibaan Ramadan ini menyebabkan saya menangis kerana sangat merinduinya.

“Siapa yang mahu kehilangan bapa dalam keadaan seperti itu, malah ia berlaku di depan mata saya," katanya bersama adik kelimanya, Sayang, 43, yang tidak dapat menahan sebak sambil menyekat air mata di pipi sepanjang temubual di kedai makan mereka berhampiran kampung berkenaan, semalam.

Saniah yang sudah berniaga lebih 20 tahun, pada tahun ini memilih berniaga di bazar Ramadan berhampiran Kentucky Fried Chicken Jasin. bharian

Sunday, July 3, 2011

Tragedi cari emas


BERLUMPUR... pasukan bomba dan penyelamat bersama orang ramai mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
BERLUMPUR... pasukan bomba dan penyelamat bersama orang ramai mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

KUCHING: Keghairahan sekumpulan lelaki menceroboh kawasan larangan semata-mata untuk mencari emas berakhir tragedi apabila seorang maut dihempap batu seberat 400 kilogram manakala seorang lagi parah dalam kejadian di sebuah terowong di kaki Gunung Tabai, Jalan Taiton, malam kelmarin.
Ini kejadian kedua dalam tempoh empat bulan ketika mangsa, Phil Gojiak, 19, bersama empat lagi rakan ke lokasi itu untuk melombong emas sebelum seketul batu tiba-tiba menggelongsor lalu menghempap mangsa, jam 11.30 malam.

Rakannya, Tomothu Dalia Goded, 37, parah dan terpaksa menanggung kesakitan enam jam sebelum dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Bau, jam 5.30 pagi.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Pisa, Kronkong, di sini, dikatakan melombong pada kedalaman enam meter dan ketika kejadian, tiga rakannya cuba mengeluarkan batu itu namun gagal.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakan lain baru memasuki terowong sebelum seketul batu besar menghempapnya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, rakan mangsa cuba membantu namun gagal berikutan batu terlalu berat sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
“Kita mendapati lubang terlalu sempit dan hanya boleh dimasuki seorang. Sebab itu mangsa tidak dapat mengelak ketika batu menghempapnya.

“Terowong ini pernah ditutup sebuah syarikat geologi dari Australia yang menjalankan kajian di kawasan terbabit selepas mendapati berlaku pencerobohan individu tertentu untuk melombong emas secara haram.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan Phil dari terowong selepas memulakan operasi jam 11.40 malam,” katanya.

Beliau berkata, usaha membawa keluar mayat mangsa mengambil masa lama memandangkan terowong itu berada enam meter di bawah tanah selain ruang sempit.

Menurutnya, mangsa meninggal di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan lain.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bau untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.” katanya.

Mohd Sabri berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memburu kekayaan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan.

“Jangan sampai nyawa tergadai kerana terlalu ghairah memburu sumber lebih bernilai. Lokasi kejadian berbahaya. Kami bercadang meningkatkan pengawalan, termasuk meminta pihak berkuasa tempatan menyediakan pagar yang lebih berkesan,” katanya.myMetroTragedi cari emas

Monday, June 6, 2011

Cedera dihempap batu nisan


TRENTON (New Jersey): Seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas cedera akibat dihempap batu nisan ketika dia melakukan seks dengan teman lelakinya.
Polis berkata, wanita berusia 39 tahun itu bersama teman lelakinya berada di satu tanah perkuburan untuk melawat kubur seorang anggota keluarganya.

Mereka disyaki melakukan seks di tanah perkuburan itu selepas itu.
Bercakap kepada wartawan, penyiasat, Kapten James Stevens berkata: “Mungkin ada kegiatan luar biasa yang mereka lakukan di tanah perkuburan itu.” Wanita berkenaan bagaimanapun tidak cedera parah.

Pihak pengurusan tanah perkuburan berkata, mereka menanti laporan polis sebelum membuat sebarang pendakwaan. - Agensi
myMetro | Cedera dihempap batu nisan

Sunday, May 29, 2011

Ditimpa mayat separuh bogel hempap kereta



ANGGOTA polis mengawasi lokasi kejadian berhampiran sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, semalam.
ANGGOTA polis mengawasi lokasi kejadian berhampiran sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, semalam.

Wanita jatuh tingkat 13 kondo

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri tua terkejut kereta mereka dihempap mayat seorang wanita separuh bogel dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah kondominium dekat pusat beli-belah di sini pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu berlaku ketika kereta dinaiki pasangan itu memasuki tempat letak kenderaan pusat beli-belah terbabit apabila dikejutkan dengan dentuman kuat belakang kereta mereka.
Mereka keluar memeriksa sebelum melihat seorang wanita dipercayai sudah meninggal dunia terbaring dalam keadaan tidak berbaju dan berlumuran darah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad, berkata wanita terbabit berusia 26 tahun dipercayai terjatuh dari bilik tidur unit sewaannya di tingkat 13 sebuah kondominium berhampiran.

“Hasil siasatan awal mendapati dia berasal dari Vietnam dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan bahan. Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya.

Difahamkan polis mengambil keterangan seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai berada bersama mangsa dalam rumah sewa berkenaan sebelum kejadian terbabit. Berita Harian Online | Ditimpa mayat separuh bogel hempap kereta