Pages

Showing posts with label bakar. Show all posts
Showing posts with label bakar. Show all posts

Wednesday, October 24, 2012

Lelaki Tibet bakar diri

GAMBAR dirakam kelmarin menunjukkan seorang lelaki Tibet dikenali
sebagai Dhondup membakar dirinya di Biara Labrang dalam wilayah Gansu di China.

BEIJING - Seorang lelaki Tibet berusia dalam lingkungan 50-an maut selepas membakar dirinya di sebuah biara utama di barat laut China, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang beribu pejabat di London.
Pertubuhan berkenaan, Bebaskan Tibet menyatakan, Insiden tersebut merupakan perbuatan membakar terbaharu bagi memprotes penguasaan China ke atas Tibet.
Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Dhondup, melaungkan slogan bebaskan Tibet semasa dia menyalakan api pada badannya di dewan ibadat Biara Labrang, dalam wilayah Gansu kelmarin.
Agensi berita rasmi Xinhua memetik seorang pegawai pemerintah sebagai berkata, seorang pengembala membakar dirinya di biara itu sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) kelmarin.
"Dhondup merupakan antara lapan penduduk Tibet yang telah mengorbankan nyawa mereka bagi membantah pemerintahan China di Tibet sepanjang bulan lalu," kata pengarah pertubuhan hak asasi manusia berkenaan, Stephanie Brigden.- Agensi

Wednesday, August 8, 2012

Masjid di AS dibakar, mungkin kerana khianat



AP
SEORANG anggota bomba memadamkan api di bangunan masjid di Joplin yang terbakar kelmarin.


JOPLIN, Missouri - Sebuah masjid di barat daya negeri Missouri, Amerika Syarikat terbakar kelmarin dalam kebakaran kedua di pusat Islam tersebut dalam tempoh kurang sebulan.
Pihak berkuasa menyelongkar timbunan runtuhan masjid tersebut seharian kelmarin untuk mencari bukti kemungkinan kebakaran disebabkan oleh perbuatan khianat.
Pejabat Syerif Daerah Jasper memberitahu, tiada kecederaan dilaporkan tetapi bangunan masjid Persatuan Islam Joplin ranap dalam kebakaran yang mula dilaporkan sekitar pukul 3.30 pagi.
Beberapa penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Biro Alkohol, Tembakau Dan Senjata Api serta Jabatan Syerif Daerah Joplin berada di lokasi kejadian seharian kelmarin.
Mereka memindahkan timbunan runtuhan dengan sebuah jentolak dan beberapa peralatan lain.
Turut berada di lokasi berkenaan adalah sekumpulan penduduk Islam yang berkumpul untuk melakukan solat Maghrib dan berbuka puasa di laman masjid itu.
Ia merupakan kali kedua pihak berkuasa dipanggil ke masjid itu sepanjang musim panas tahun ini.
Masjid berkenaan terletak di dalam sebuah bangunan bekas gereja di pinggir bandar ini.
Satu kebakaran dilaporkan sekitar waktu yang sama pada berlaku pada 4 Julai lalu dan didapati berpunca daripada perbuatan khianat tetapi tiada dakwaan dibuat setakat ini.
FBI turut menyiarkan rakaman sistem kamera litar tertutup suspek dan menawarkan ganjaran AS$15,000 (RM47,797) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek tersebut. - AP

Tuesday, April 10, 2012

Kumpulan pemisah bakar 18 CCTV di Yala

BANGKOK: Kumpulan pemisah semalam didakwa membakar 18 kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di tiga daerah di Yala, selatan Thai.
Ketua Polis di balai polis Kotabaru, Leftenan Kolonel Somprat Kankanon bersama skuad pemusnah bom dan pakar forensik mengumpulkan bukti di lokasi di Jalan YalaKotabaru selepas kumpulan pemisah dikatakan membakar CCTV. Sebanyak 18 CCTV di Kotabaru, Noen Ngam dan Ba Ngoy didapati rosak.

Sementara itu, Ketua Polis Yala, Mejar Jeneral Pira Boonliang meminta anggotanya supaya memeriksa rakaman CCTV untuk mengenal pasti mereka yang terbabit. - The Nation

Thursday, February 23, 2012

Amerika Syarikat minta maaf

KEPULAN asap besar dilihat selepas sebuah trak dibakar di luar markas tentera NATO dalam bantahan anti Amerika di Jalalabad, timur Kabul.
KEPULAN asap besar dilihat selepas sebuah trak dibakar
 di luar markas tentera NATO dalam
 bantahan anti Amerika di Jalalabad, timur Kabul.


Tentera AS bakar kitab suci al-Quran cetus kemarahan penduduk Afghanistan

KABUL: Amerika Syarikat memohon maaf atas tindakan tenteranya membakar kitab suci al-Quran yang diambil dari rak sebuah perpustakaan pusat tahanan bersebelahan dengan pangkalan besar askarnya di timur Afghanistan atas alasan ia mengandungi mesej atau ungkapan bersifat ekstrim.
Rumah Putih pula bersetuju dengan pandangan pegawai tentera yang mengatakan pembakaran al-Quran dan bahan bacaan Islam lain selepas dibuang dalam timbunan sampah, adalah tidak disengajakan.
Keputusan dibuat bukan atas sebab agama. Bukan dibuat kerana tidak menghormati agama Islam. Ia adalah satu kesilapan. Sebaik saja kami tahu mengenainya kami hentikannya. - John Allen, Pemerintah kanan tentera Amerika dan NATO di Afghanistan
Namun, lebih 2,000 penduduk Afghanistan membantah insiden di luar Pangkalan Tentera Udara Bagram yang didorong tuduhan bahawa tentera asing tidak menghormati budaya mereka dan agama Islam walaupun askar Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersedia berundur menjelang 2014.

Penunjuk perasaan yang berkumpul di luar Pangkalan Udara Bagram, satu daripada pangkalan terbesar Amerika di Afghanistan, menjerit, ‘Mati, mati, orang asing!’ Sesetengah melepaskan tembakan raifal ke udara. Orang lain membaling batu ke arahi pintu pagar pangkalan tentera itu dan membakar tayar.

Selain protes di Kabul, bantahan turut berlalu di Jalalabad dan lima orang maut selepas penunjuk perasaan bergaduh dengan anggota keselamatan.

Pemerintah kanan tentera Amerika dan NATO di Afghanistan, Jeneral John Allen, berkata buku itu tersilap diberi kepada tentera untuk dibakar.
“Keputusan dibuat bukan atas sebab agama. Bukan dibuat kerana tidak menghormati agama Islam. Ia adalah satu kesilapan. Sebaik saja kami tahu mengenainya kami hentikannya” kata Allen.

Seorang pegawai tentera Barat yang tahu mengenai insiden itu mendakwa, al-Quran dan bacaan Islam lain dalam perpustakaan itu digunakan untuk menghasut pelampau dan tahanan di Pusat Tahanan Parwan bersebelahan Bagram, bertukar mesej keganasan selepas menggunakan bahan bacaan itu.

Pegawai tentera yang enggan dikenali itu berkata beratus-ratus penerbitan termasuk al-Quran, dikeluarkan dari perpustakaan. Sesetengah penerbitan mempunyai kandungan bersifat ekstrim manakala yang lain ada mesej bertulis,” kata pegawai. Pegawai berkata dokumen itu hitam dan terbakar namun tiada satu pun daripadanya musnah sama sekali.

“Kami akan teliti alasan bahan itu dikeluarkan. Kami akan meneliti di mana keputusan dibuat untuk menghapuskannya dengan cara ini,” kata Allen.

Beliau turut mengeluarkan perintah baru mengarahkan semua tentera bersekutu di Afghanistan tahu cara menguruskan bahan keagamaan selewat-lewatnya 3 Mac depan. Latihan itu termasuk pengenalan bahan keagamaan, serta cara menguruskan dan simpanan, katanya.

Rumah Putih turut memohon maaf dengan setiausaha media Jay Carney menyifatkannya ‘satu insiden malang’ yang tidak menunjukkan perasaan hormat tentera Amerika wujud kepada amalan agama rakyat Afghanistan. – AP

Berita Harian Online | Amerika Syarikat minta maaf:

'via Blog this'

6 terbunuh protes bakar al-Quran di Afghanistan

Protes
KABUL - Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera di Afghanistan berikutan protes berhubung insiden membuang dan membakar kitab suci al-Quran di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) Bagram, utara Kabul.

Beberapa naskhah dilaporkan dibakar, Isnin lalu.

Menurut laporan BBC, seorang terbunuh di Kabul, seorang lagi di bandar raya timur Jalalabad dan sekurang-kurangnya empat orang di wilayah Parwan.

Pegawai-pegawai AS memohon maaf kelmarin atas kejadian secara tidak senjaga meletakkan al-Quran dalam alat membakar di pangkalan udara itu.

Pegawai-pegawai di Bagram dilaporkan mengesyaki banduan Taliban menggunakan al-Quran untuk menghantar mesej antara satu sama lain.

Beberapa naskhah dengan kesan bakar ditemui oleh pekerja-pekerja tempatan.

Protes yang bermula di Bagram tersebar ke seluruh Afghanistan.

Protes yang serupa pernah diadakan tahun lalu ekoran tindakan seorang pastor dari Florida membakar kitab suci orang Islam itu.

6 terbunuh protes bakar al-Quran di Afghanistan - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wednesday, February 22, 2012

Tentera asing bakar al-Quran


Penduduk Afghanistan yang mengadakan tunjuk perasaan dan membalingkan bom api sambil melaungkan slogan anti-AS di hadapan pintu pagar pangkalan tentera AS di Bagram membantah tindakan tentera asing membakar kitab al-Quran di pangkalan itu, semalam. - AFP


KABUL 21 Feb. - Satu protes tercetus di luar sebuah pangkalan utama tentera Amerika Syarikat (AS) di Pakistan dan Kabul, hari ini ekoran dakwaan tentera asing membakar bahan bacaan Islam termasuk kitab suci Al-Quran.
Menurut seorang jurugambar AFP, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan mengepung pangkalan udara Bagram, utara Kabul. Mereka turut melemparkan bom petrol ke arah pagar pangkalan tersebut.
Komander AS di Afghanistan, Jeneral John Allen berkata, beliau ada menerima laporan tentang tindakan tentera melupuskan bahan bacaan Islam termasuk al-Quran dengan cara yang tidak sepatutnya.
Beliau juga katanya telah mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung kejadian tersebut yang dilakukan tentera di Bagram.
"Selepas mengetahui tentang perkara itu, kami segera menghentikannya. Semua bahan bacaan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk diuruskan dengan betul.
"Saya meminta maaf bagi setiap kesilapan yang mungkin berlaku kepada Presiden Hamid Karzai, Republik Islam Afghanistan dan yang paling penting kepada semua rakyat negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Penjara Bagram, Ahmad Kabir berkata, kebanyakan penunjuk perasaan merupakan pekerja di pangkalan tentera terbabit dan sebahagiannya mendakwa ternampak cebisan al-Quran dibakar di pangkalan itu.
"Saya tidak nampak kejadian itu, jadi siasatan perlu dilakukan untuk mendapatkan kepastian," katanya.
Jurucakap polis Ashamat Estanakzai pula berkata, satu lagi protes disertai 500 penunjuk perasaan turut diadakan di daerah Pul-e-charkhi, berhampiran pangkalan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Jalalabad.
Beberapa protes sama sebelum ini bertukar ganas di Afghanistan, sebuah negara Islam yang memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan menghina agama. - AFP/AP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Wednesday, January 18, 2012

Ketua kampung bakar pejabat kerajaan

HONG KONG: Polis China menahan seorang ketua kampung di utara negara itu selepas dia membakar hangus pejabat kerajaan bagi membantah amalan rasuah, kata satu pertubuhan hak asasi manusia semalam.
Akibat tindakan Gao Jinje itu, dua cedera parah.

Bertugas di Kampung Beitai di wilayah Hebei, Gao mempertikaikan pihak berkuasa tempatan di bandar Chengde atas amalan rasuah dan salah guna kuasa pada Ahad.

Pusat Hak Asasi Manusia dan Demokrasi berkata, selepas bertengkar, Gao mencurah cecair mudah terbakar ke kompleks kerajaan dan menyalakan api.

“Kebakaran itu memusnahkan lebih 20 pejabat,” katanya.

Gao kini ditahan polis tetapi tidak diketahui berada di mana. - AF

Saturday, January 14, 2012

Keganasan agama di Nigeria, 2 maut masjid dibakar

KANO, Nigeria 13 Jan. - Sekumpulan etnik Kristian membunuh dua orang penduduk Islam dan membakar beberapa masjid serta rumah dalam serangan di sebuah penempatan penduduk Islam di timur laut Nigeria, semalam.
Ia merupakan keganasan terbaru di negara ini ketika Nigeria dilanda mogok pekerja ekoran tindakan kerajaan menarik balik subsidi petrol untuk mengekalkan harga gasolin.
Seorang penduduk kampung terbabit, Abubakar Hussaini berkata, serangan berlaku pada kira-kira pukul 11.30 malam (6.30 pagi waktu Malaysia) apabila sekumpulan perusuh dari Imbur menyerang perkampungan Gwalam dengan membakar rumah-rumah dan masjid.
Katanya, penduduk kampung Imbur kebanyakannya beragama Kristian.
"Setakat ini, dua penduduk disahkan maut dan kami masih tidak mengetahui nasib penduduk yang melarikan diri ke dalam kawasan semak ketika serangan berlaku," katanya.
Keganasan itu berlaku di negeri Adamawa yang bakal mengadakan pilihan raya gabenor pada 21 Januari ini.
Insiden keganasan etnik dan agama sering berlaku di Nigeria menjelang pilihan raya, walaupun beberapa penduduk percaya serangan bermotifkan balas dendam ekoran pembunuhan penduduk Kristian oleh kumpulan militan Boko Haram, baru-baru ini. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Thursday, October 27, 2011

‘Hanya arwah, suami tahu’

KUALA TERENGGANU: “Hanya arwah dan adik ipar tahu apa yang berlaku pada hari kejadian. Sebagai ahli keluarga, saya serahkan kepada polis menyiasat punca dan individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini,” kata Zalina Yahaya, 33, kakak sulung kepada Suriani Yahaya, 28, yang meninggal dunia selepas disyaki dibakar suami sendiri, awal pagi kelmarin.
Suriani yang juga seorang jururawat meninggal dunia jam 4.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin, selepas 10 hari bertarung nyawa akibat melecur lebih 80 peratus.

Menurut Zalina, dia dan ahli keluarganya sebolehnya tidak mahu memperbesar-besarkan peristiwa itu demi menjaga hati dan perasaan kedua-dua keluarga apatah lagi hubungan mereka dengan keluarga adik ipar sangat baik.

“Apabila berita menimpa Suriani dilaporkan dalam akhbar, pelbagai reaksi diterima terutama yang menyalahkan adik ipar. Namun, kami memohon orang ramai tidak membuat andaian melulu kerana ia masih dalam siasatan polis.

“Jika difikirkan, tidak mungkin adik ipar sanggup berbuat sedemikian apatah lagi sepanjang mengenalinya, dia seorang yang baik. Malah, sepanjang pengetahuan saya, hubungan mereka suami isteri tidak mempunyai masalah.

“Tragedi ini benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terhadap mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Ya, Paya Resak, Marang, di sini, semalam.


Suriani, anak ketiga daripada enam beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Resak kira-kira jam 9 malam kelmarin. Dia meninggalkan dua cahaya mata lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun.

Harian Metro pada 17 Oktober lalu melaporkan seorang jururawat di HKL kritikal apabila lebih 80 peratus tubuhnya melecur dipercayai dibakar suami sendiri ketika mangsa mandi di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Lelaki bakar al-Quran dibebaskan



COLMAR, Perancis 26 Okt. - Sebuah mahkamah rayuan semalam mengesahkan pembebasan seorang lelaki Perancis yang didakwa menghasut kebencian kaum menerusi rakaman video yang disiarkan di Internet menunjukkan tindakannya membakar al-Quran.
Lelaki itu, Ernesto Rojas Abbate (gambar), 31, ditahan Oktober tahun lalu selepas menyiarkan rakaman tersebut termasuk rakaman dia kencing pada abu helaian al-Quran yang dibakarnya itu.
Terdahulu, pendakwa raya yang menuntut mahkamah menangguhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda 1,000 euro (RM4,350) mengemukakan rayuan selepas mahkamah membebaskan Abbate, Mei lalu.
Dalam rakaman video terbabit, Abbate yang menetap di Strasbourg menggunakan beberapa muka surat al-Quran untuk menggambarkan peristiwa serangan 11 September 2001 di New York.
Dia menghasilkan kapal terbang kertas daripada helaian al-Quran dan kemudiannya mencampakkan kapal terbang kertas itu ke arah dua gelas yang menyerupai bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC). - AFP

Saturday, September 10, 2011

Khianat awal pagi




TINESH menunjukkan kesan minyak petrol yang disyaki digunakan untuk
membakar motosikal dan kereta di Flat D20, Seberang Jaya, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM – Entah apa motifnya, sebanyak enam motosikal dan sebuah kereta milik penghuni Flat D20 Seberang Jaya di sini musnah disyaki dibakar orang tertentu semalam.
Kejadian pukul 4 pagi itu membabitkan dua buah motosikal jenis Honda EX5, masing-masing satu Honda Wave, Yamaha, Modenas dan sebuah kereta Perodua Kelisa.
Pemilik motosikal, K. Tinesh Kumar, 23, berkata, dia enggan menuduh sesiapa tetapi dapat merasakan ia disebabkan oleh perbuatan khianat pihak tertentu.
“Beberapa hari lalu, saya ada menegur sekumpulan remaja yang bergaduh di sini dan mereka marah hingga hampir bertumbuk pula dengan saya.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti pula sama ada mereka ingin membalas dendam dan saya serahkan saja kepada polis untuk menyiasat,” ceritanya yang kerugian hampir RM4,000.
Tambahnya, dia menyedari kejadian itu selepas dikejutkan ibunya yang terdengar bunyi bising.
Menurut Tinesh, sebaik turun, dia dapati motosikalnya hangus dan dia turut menemui satu bekas berisi petrol berhampiran tempat kejadian.

Wednesday, September 7, 2011

Syak janda

PASIR GUDANG: Akibat memandang ringan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang dihantar seorang janda dua anak, keluarga seorang pemandu lori, Ahmad Yaacob, 58, dan dua jirannya di Jalan Asli, Taman Pasir Putih di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, penghuni ketiga-tiga rumah itu sedang tidur apabila kediaman masing-masing dijilat api tetapi semua mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Kebakaran dikatakan dari ruang tempat letak kenderaan kediaman Ahmad.

Menurut Ahmad, mereka keliru sama ada kejadian berlaku secara kebetulan atau angkara bekas teman wanita anaknya yang dikenali menerusi laman sosial facebook.

“Ini kerana, wanita terbabit pernah menghantar SMS berbaur ugutan termasuk mahu membakar kediaman kami.

“Dia mula berdendam kerana kami memintanya keluar selepas sebulan menumpang di rumah ini. Kami tidak sangka akibat memandang ringan ugutannya sebelum ini, mengakibatkan kami sekeluarga selain jiran menjadi mangsa hingga hilang tempat tinggal,” katanya, semalam.


Mengimbau kejadian, menurut Ahmad, dia baru saja masuk tidur di tingkat bawah, manakala tiga lagi anaknya tidur di tingkat atas.

Katanya, dia sedar selepas dikejutkan dengan bunyi letupan seperti mercun sebelum terhidu bau asap menyelubungi rumah berkenaan.
“Saya keluar dari bilik dan mendapati api sudah marak hingga merebak ke dalam rumah. Saya menjerit mengejutkan anak di tingkat atas untuk menyelamatkan diri.

“Kami menyelamatkan diri menerusi pintu belakang kerana api marak menghalang laluan depan.

“Kebakaran turut memusnahkan van dan empat motosikal yang berada di halaman rumah termasuk wang tunai RM1,000 milik anak yang disimpan di dalam van berkenaan,” katanya.

Ahmad yang rugi lebih RM100,000 akibat kebakaran itu tidak menolak ia angkara khianat dan bukan disebabkan litar lintas memandangkan api bermula dari bahagian depan kediaman mereka.

Malah selepas kejadian, Ahmad memaklumkan, jiran memberitahu mereka melihat seorang lelaki berbadan sasa menunggang motosikal sambil membaling objek ke arah kediamannya.

Ahmad kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian di Balai Polis Taman Pasir Putih, petang semalam.

Anak perempuannya, Nur Nabilah, 21, turut mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan dendam seorang wanita terhadap keluarga mereka apatah lagi jiran ternampak sebuah motosikal berlegar di depan rumah mereka sebelum kejadian.

“Kami tidak menuduh tetapi mengesyaki ia adalah perbuatan seorang wanita berusia 27 tahun juga kenalan abang yang dikenalinya menerusi facebook.

“Kami meminta wanita terbabit keluar dari rumah selepas dia menumpang lebih sebulan sejak Julai lalu. Selepas itu wanita berkenaan pernah menghantar SMS berbaur ugutan kepada abang saya dan menyatakan mahu membakar rumah kami selepas dia keluar dari sini,” katanya.

Menurut Nabilah, sebelum itu, wanita terbabit memaklumkan hanya mahu menumpang buat seketika sementara menunggu mendapat kerja. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang, ketika melawat ketiga-tiga keluarga turut menghulurkan bantuan peribadi berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga.

Pada masa sama, setiap keluarga berkenaan turut menerima sumbangan RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi meringankan beban mereka, semua 15 mangsa berkenaan ditempatkan sementara di Flat Kejiranan 8 di Taman Air Biru, Pasir Gudang, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Kami akan membantu mangsa dari semasa ke semasa bagi memastikan nasib mereka terbela,” katanya.

Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 2 Mohd Salleh KVP Mohamed berkata, punca sebenar kebakaran masih disiasat.

Tuesday, September 6, 2011

Mayat terbakar di tepi loji kumbahan


ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang remaja perempuan yang ditemui rentung di Lembah Jaya semalam.

AMPANG JAYA – Penduduk di kawasan Lembah Jaya di sini gempar apabila menemui mayat seorang remaja perempuan yang rentung hampir 80 peratus di dalam semak berhampiran loji kumbahan sebuah flat semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mayat yang pada mulanya disangka anak patung itu ditemui pada pukul 1.35 petang oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.
Katanya, siasatan awal pihaknya percaya mayat tersebut telah dibakar di tempat lain sebelum dibuang di situ.
“Setakat ini, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui. Kita akan menjalankan siasatan terperinci pada cebisan baju yang ditemui serta di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Tambahnya, polis akan menyemak semula laporan berkaitan orang hilang dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.kosmo

Lantai Masjid Palestin dibakar peneroka Yahudi


BEBERAPA penduduk Palestin melihat tayar yang dibakar dalam sebuah masjid di Qusra dekat Nablus semalam.

QUSRA - Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad semalam menyatakan pemerintah Israel bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat.
Beliau mengeluarkan satu kenyataan berhubung kejadian kebakaran itu selepas beberapa buah tayar terbakar ditemui di lantai sebuah masjid di sini yang terletak 15 kilometer ke tenggara Nablus.
Bangunan masjid itu juga dicat dengan grafiti tulisan Ibrani.
Terdapat kesan kebakaran di dalam masjid itu yang didakwa dilakukan oleh peneroka haram Yahudi yang bertindak balas ekoran tiga buah rumah dirobohkan.
Tiga buah rumah peneroka haram Yahudi itu dirobohkan atas arahan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak yang disokong Mahkamah Tinggi.
Pemerintah Israel menganggap penempatan yang dibina di Tebing Barat tanpa kelulusan akan dianggap struktur haram.
Kakitangan-kakitangan pihak berkuasa Israel kerap dihantar untuk memusnahkan struktur haram itu.
Namun, masyarakat antarabangsa memutuskan bahawa semua penempatan Yahudi di Tebing Barat, Palestin termasuk di timur Baitulmuqaddis adalah haram. - AFP

Monday, September 5, 2011

Mayat remaja terbakar ditemui di Ampang



ANGGOTA Forensik Polis memerika mayat remaja perempuan ditemui mati berhampiran loji kumbahan Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan. Foto: Hazreen Mohamad (05/09/2011)
ANGGOTA Forensik Polis memerika mayat remaja perempuan ditemui mati berhampiran loji kumbahan Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan. Foto: Hazreen Mohamad (05/09/2011)hmetro
KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita dengan kesan 80 peratus kebakaran pada badannya ditemui di tepi jalan berhampiran sebuah loji kumbahan di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner miruddin Jamaluddin, berkata mayat yang ditemui oleh orang awam kira-kira 1.35 tengah hari dilihat tidak berpakaian kerana dipercayai terbakar selain rambutnya juga sudah terbakar.
"Mayat wanita yang ditemui dalam keadaan terlentang itu dipercayai seorang remaja berdasarkan keadaan fizikalnya," katanya di tempat kejadian di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti identiti serta tempoh kematian.

Amiruddin juga meminta sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga supaya tampil selain akan menyoal siasat penduduk sekeliling bagi mengumpul maklumat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang saksi, Rahmad Saidon, 60, berkata beliau mengetahui kejadian berkenaan selepas dimaklumkan oleh penduduk setempat yang menemui mayat itu.
"Pada mulanya saya menyangka objek itu (mayat itu) adalah patung namun bila diperhati ia adalah mayat wanita yang terbakar selepas ternampak mata, gigi dan kukunya," katanya.

Beliau yang tinggal bertentangan dengan tempat mayat tersebut ditemui berkata, kira-kira 10.30 malam tadi, beliau terdengar bunyi seperti orang berjalan di luar rumahnya namun apabila ditinjau tiada sesiapa kelihatan.

"Manakala pada 3.30 pagi tadi, saya terdengar bunyi beberapa motosikal yang lalu lalang di luar rumah...Apa yang menghairankan saya bunyi tersebut bukan seperti biasa kerana kebiasaannya waktu seperti itu laluan agak sunyi," katanya. - BERNAMA 

Friday, September 2, 2011

Enam motosikal, dua kereta hangus terbakar


keadaan enam buah motosikal yang hangus terbakar di Taman Muda, Ampang semalam.

KUALA LUMPUR – Enam buah motosikal dan dua buah kereta hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai akibat perbuatan khianat di Taman Muda, Ampang di sini semalam.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.30 pagi di Apartment Rivera.
“Kejadian berlaku ketika penduduk nyenyak tidur. Asap daripada motosikal dan kereta yang dibakar itu naik ke tingkat atas menyebabkan kesemua mereka terjaga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, penghuni blok apartmen berkenaan turun untuk melihat apa yang berlaku dan setelah menyedari terdapat kenderaan terbakar mereka memaklumkannya kepada pihak polis dan bomba.
Amiruddin berkata, ia kejadian kebakaran kedua di kawasan sama. Tahun lepas, lapan buah motosikal dan sebuah kereta dibakar.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api.kosmo

Thursday, August 11, 2011

16,000 polis Britain dikerah




ASAP tebal memenuhi ruang udara sebuah gudang Sony Centre di Enfield, London, semalam selepas dibakar oleh perusuh. – Reuter



LONDON 10 Ogos – Rusuhan terburuk di Britain dalam tempoh puluhan tahun berlarutan ke hari keempat hari ini apabila gerombolan pemuda mengganas di Manchester dan kawasan perindustrian tengah England tetapi keadaan di London agak tenang selepas 16,000 anggota polis dikerahkan untuk membendung keganasan. Di Manchester, perusuh memecah masuk dan mencuri barang kedai serta menghalau jurugambar dari tempat kejadian dalam keganasan terburuk di bandar raya ketiga terbesar di Britain itu dalam tempoh 30 tahun. Kejadian mencuri juga berleluasa di Birmingham buat malam kedua dan dalam insiden paling serius malam tadi, tiga lelaki yang baru keluar dari sebuah masjid terbunuh apabila mereka dirempuh sebuah kereta dalam kes langgar lari di bandar raya tersebut. Di tempat lain, perusuh membakar bangunan di West Bromwich dan Wolverhampton di tengah England dan sebuah balai polis di Nottingham diserang dengan bom petrol, walaupun tiada kecederaan dilaporkan, sementara kira-kira 200 perusuh membaling objek ke arah polis di Liverpool. Bagaimanapun di London, tiada lagi gelombang keganasan yang menyebabkan beberapa bahagian ibu kota ini terbakar malam semalam, selepas polis dikerahkan beramai-ramai dan kumpulan penduduk membanjiri jalan untuk mempertahankan komuniti mereka. Scotland Yard awal hari ini berkata, 768 orang ditangkap di London kerana disyaki melakukan keganasan, mencetuskan kekacauan dan mencuri. Sebanyak 109 lagi ditangkap di wilayah West Midlands, 108 di Manchester dan Salford, dan 44 di Liverpool dan sekitarnya, manakala di Bristol 19 tangkapan dilakukan kerana pelbagai kesalahan termasuk memiliki topeng ski. Fokus keganasan malam tadi ialah Manchester, barat laut England, di mana polis terpaksa berundur akibat kemaraan ratusan pemuda yang menutup muka dengan skarf dan topeng ski. Dua perusuh memecahkan pintu kaca pusat membeli-belah Arndale, gedung membeli-belah utama di Manchester, membolehkan ratusan pemuda masuk dan melarikan pelbagai barangan termasuk pakaian dan kasut. Polis hanya mampu menjadi pemerhati apabila pencuri mengosongkan sebuah kedai barangan elektrik manakala kumpulan lain bersemuka dan memaki-hamun anggota polis. Dalam perkembangan yang tidak akan membantu meredakan ketegangan, badan pemantau polis Britain berkata, pihaknya tidak menemui bukti Mark Duggan, lelaki yang ditembak mati oleh polis minggu lepas dalam insiden yang mencetuskan protes dan seterusnya rusuhan di London, telah melepaskan tembakan ke arah polis. Dalam operasi terancang, anggota polis bersenjata menahan teksi yang dinaiki oleh Duggan, 29, di daerah berbilang etnik Tottenham, utara London, tembakan dilepaskan dan Duggan mati di tempat kejadian. Keluarga Duggan berkata, hasil siasatan itu menyebabkan mereka berasa amat kesal dan mereka menuntut ‘jawapan’ daripada polis. – AFP, utusan

Kota London bagaikan medan perang

PEMILIK kedai menyewa peralatan dapur di utara London,  Azim Mohamed (kiri) dan pembantunya, Riaz Mohamed hanya mampu melihat kedai mereka musnah dibakar perusuh.
PEMILIK kedai menyewa peralatan dapur di utara London, Azim Mohamed (kiri) dan pembantunya, Riaz Mohamed hanya mampu melihat kedai mereka musnah dibakar perusuh.
KEGANASAN dan kekacauan dicetuskan perusuh sejak malam Sabtu lalu menjadikan beberapa kawasan di bandar raya ini bagaikan medan perang dengan banyak kesan kemusnahan.

Beberapa kawasan dilihat seperti pelantar minyak apabila api marak membakar bangunan akibat perusuh melontar bom petrol serta mercun.
Paling teruk ialah deretan premis dan bangunan di London Road, Croydon yang hangus dibakar perusuh, malam kelmarin hingga sesetengahnya dilihat bagaikan dibom apabila hanya tinggal rangka.
Perusuh yang majoritinya belia turut membakar dan merosakkan kenderaan di bahu jalan. Tidak cukup dengan itu, mereka membaling batu kedai dan pusat beli-belah sehingga menyebabkan cermin dan tingkap permis itu pecah.

Mereka juga menceroboh premis berkenaan dan mencuri pelbagai barangan mengakibatkan pemiliknya rugi besar. Ramai peniaga menutup premis lebih awal dan mengetatkan keselamatan bagi mengelak jadi sasaran dan menanggung kerugian.

Mereka juga sanggup berjaga sepanjang malam untuk berkawal dan mengelakkan premis dan bangunan menjadi sasaran kerana rusuhan hanya dicetuskan pada waktu malam.

Bagaimanapun, bandar raya ini mulai tenang sejak beberapa kejadian sejak malam Sabtu lalu, tetapi penduduk tetap bimbang ia berulang. Kumpulan perusuh dikatakan mengalihkan tumpuan dengan menjadikan bandar seperti Manchester dan Birmingham yang hanya tiga jam perjalanan dari bandar raya ini sebagai sasaran baru.
Rusuhan yang paling buruk sejak beberapa dekad lalu tercetus berikutan kemarahan orang ramai terhadap kematian Mark Duggan, 29, yang ditembak polis, pada Khamis lalu.bharian

Wednesday, August 3, 2011

15 motosikal, 3 kereta dibakar




SEBAHAGIAN motosikal yang hangus di tempat letak kenderaan di Flat Seri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Ketenangan kira-kira 300 umat Islam bersahur pada hari kedua Ramadan bertukar kecoh apabila tiga buah kereta dan 15 motosikal milik penduduk di Flat Seri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras di sini semalam tiba-tiba terbakar angkara perbuatan khianat.
Kejadian pada pukul 4 pagi di tempat letak kenderaan di flat tersebut memusnahkan semua 15 buah motosikal dan masing-masing sebuah Proton Savvy, Perodua Kancil dan Proton Pesona.
Proton Savvy dan 15 buah motosikal hangus seratus peratus.
Kerugian akibat kejadian itu dianggarkan lebih RM50,000.
Pemilik sebuah motosikal, Intan Tajuddin, 27, berkata, dia mengetahui mengenai kebakaran melibatkan skuter Yamaha Ego miliknya ketika bangun bersahur pukul 5 pagi.
“Sebaik selesai bersahur saya dikejutkan dengan panggilan seorang jiran yang memaklumkan skuter saya terbakar,” kata Intan.

Sunday, July 31, 2011

Pesakit mental guna pemetik api bakar bilik

KUALA LUMPUR - Kebakaran yang berlaku di Bilik Isolasi Pesakit Mental, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala lumpur (HKL) awal pagi kelmarin dikenal pasti berpunca daripada tindakan seorang pesakit mental memulakan kebakaran dengan menggunakan pemetik api yang ada padanya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, punca kejadian pada 12.30 pagi itu diketahui melalui pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV) di bilik itu.
Katanya, ekoran itu api merebak dengan pantas serta mengeluarkan asap tebal sehingga menyebabkan perkhidmatan di Jabatan Kecemasan tergendala.
"Petugas hospital cuba memadamkan api dengan alat pemadam api dan mengeluarkan pesakit. Bagaimanapun, api merebak dengan pantas sehingga meragut nyawa pesakit mental berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Hasan berkata, sebelum kejadian, pesakit mental itu yang bertindak agresif telah dibawa oleh polis dengan diiringi dua anggota keluarganya ke Jabatan Kecemasan HKL pada pukul 10.15 malam.
Beliau berkata, pesakit itu yang pernah menerima rawatan di HKL, ditempatkan di Bilik Isolasi Pesakit Mental selaras dengan Prosedur Operasi Standard bagi pesakit mental yang agresif.
Katanya, pesakit lain serta petugas Jabatan Kecemasan telah dipindahkan keluar sehingga api berjaya dipadamkan oleh anggota pasukan Bomba dan Penyelamat pada pukul 12.55 pagi.
Hasan berkata, kejadian itu menyebabkan perkhidmatan di jabatan tersebut tergendala selama 94 minit dan disambung semula pada pukul 1.20 pagi dan kerosakan hanya melibatkan bilik berkenaan. - Bernama
http://www.kosmo.com.