Pages

Showing posts with label natrah. Show all posts
Showing posts with label natrah. Show all posts

Friday, November 4, 2011

Jejak tempat nenek bermanja

PERTEMUAN BERMAKNA...Sasha (tiga dari kanan) dan  Romy (empat dari kanan) diraikan kedatangan mereka oleh keluarga angkat Natrah 
di Kampung Mak Cili Paya, Kemaman, semalam.
PERTEMUAN BERMAKNA...Sasha (tiga dari kanan) dan Romy (empat dari kanan) diraikan kedatangan mereka oleh keluarga angkat Natrah di Kampung Mak Cili Paya, Kemaman, semalam.

NATRAH...meninggal 2009
NATRAH...meninggal 2009
CHUKAI: “Nenek (Natrah Maarof) tidak pernah menceritakan kisah silamnya kepada cucu-cucunya. Hanya ibu yang rajin bercerita mengenai kisah dia di Malaysia.
“Semua diceritakan ibu membuatkan saya sentiasa ingin datang ke negara ini dan kini saya amat gembira apabila hasrat itu terlaksana.” Demikian kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah atau nama sebenarnya, Maria Bertha Hertogh yang dibawa oleh Tourism Malaysia (TM) Terengganu ke negeri ini untuk melihat tempat pernah didiami neneknya lebih 60 tahun lalu. Menerusi program dinamakan Building Bridges (BB) dilaksanakan dengan kerjasama TM di The Hague, Belanda, Sasha bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dijadualkan berada di negeri ini selama empat hari bermula semalam.

“Sukar diceritakan bagaimana perasaan saya apabila dapat melihat kawasan yang pernah didiami nenek satu ketika dulu,” katanya.

Dua bersaudara itu semalam dipertemukan dengan Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat kepada Natrah di kediamannya di Kampung Mak Chili Paya di sini.

Sasha, anak kepada pasangan Carolein Van Gastel dan Jan Van Gastel berkata, dia dan Romy hanya dimaklumkan mengenai pertemuan dengan Rokayah kira-kira seminggu sebelum berlepas ke negara ini.

“Sejak itu, pelbagai gambaran bermain di fikiran saya dan berasa amat gembira apabila dilayan dengan mesra,” katanya yang terharu dengan layanan keluarga Rokayah.


Seperti Sasha, Romy, anak kepada pasangan Frans dan Carla Wolkenfelt, turut berkongsi perasaan gembira dengan pertemuan dengan Rokayah serta keluarganya.

“Sebelum ini, saya hanya melihat keindahan dan keunikan Malaysia melalui pembacaan, Internet dan (cerita) ayah. Namun, program ini peluang keemasan untuk saya lebih mengenali keluarga angkat nenek di Malaysia walaupun kami tidak pernah bersua muka.
“Lebih membuat saya terharu, layanan mereka berikan terhadap saya dan Sasha. Mereka amat mesra dan melayan kami seolah-olah pernah bertemu sebelum ini.

“Walaupun pertemuan hanya sekitar empat jam, ia meninggalkan banyak kenangan manis. Malah, layanan mesra yang mereka berikan kepada kami membuatkan saya faham mengapa nenek begitu dekat dengan budaya dan adat Melayu,” katanya yang menggemari makanan pedas di Malaysia.

Bagi Rokayah pula, pertemuan dengan dua cucu Natrah adalah satu perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini.

“Saya tidak menyangka akan bertemu semula dengan waris Natrah dan selama ini menganggap perhubungan dengan keluarga Natrah sudah terputus,” katanya.

Rokayah, anak kedua daripada lapan beradik, adalah anak kepada Kamariah yang menjadi adik-beradik angkat dengan Natrah ketika wanita Belanda itu dibesarkan Che Aminah Mohamad di Terengganu pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Menurut Rokayah, pertemuan itu sememangnya tidak dijangka apatah lagi selepas ketiadaan ibu saudaranya (Natrah) yang meninggal dunia pada 9 Julai 2009.

“Saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan berkesempatan bertemu dengan tiga generasi dalam keluarga Natrah sendiri.

“Jika diikutkan, tidak banyak kenangan antara saya dan Natrah apatah lagi ketika itu saya masih kecil. Namun, ikatan kekeluargaan yang ada menyebabkan rasa kasih dan sayang itu tidak pernah putus.

“Bayangkan, saya hanya bertemu Natrah pada 1998 iaitu selepas 46 tahun kami terpisah. Ia satu pertemuan yang penuh bermakna sebelum dua anak Natrah, Carolein dan Silvia bersama pasangan masing-masing melawat kami awal Januari lalu.

“Kini, tanpa disangka dua cucunya pula datang. Lebih membuatkan saya tersentuh apabila memandang wajah Sasha yang mirip neneknya (Natrah),” katanya yang juga pesara guru.

Menurutnya, kehadiran dua gadis remaja itu seakan-akan rahmat dan hadiah bermakna sempena sambutan Aidiladha, Ahad ini.

“Pertemuan bukan saja mengeratkan hubungan dua negara tetapi ikatan kekeluargaan yang tidak terputus walaupun berlainan agama dan budaya.

“Apa yang diharapkan, hubungan kekeluargaan ini akan berkekalan. Malah, saya turut menyimpan hasrat untuk melawat keluarga Natrah di Belanda,” katanya.

Monday, November 1, 2010

Juliana tidak cabar Maya

DIBERI kepercayaan memegang watak Natrah, gadis Belanda yang menjadi rebutan antara ibu kandung, Adeline Hertogh dan ibu angkat, Che Aminah, Juliana Evans, 21, mengharapkan watak itu mampu memberi impak besar terhadap kerjaya lakonannya.
Meskipun sudah empat tahun berkecimpung dalam bidang lakonan dan membintangi banyak drama antaranya, Kasut Tumit Tinggi, Warkah Terakhir, Sayang Cendana, Sabar dan Cornetto Inikan Cinta, kebanyakannya hanya watak ringan yang kurang meninggalkan kenangan kepada penonton.
pix_middle
Bukan tidak bersyukur dengan peluang yang diberi selama ini, tetapi Juliana mahu membuktikan yang dia boleh memberikan persembahan yang lebih baik daripada itu dan Natrah menjadikan impian gadis kacukan Melayu - Inggeris itu kenyataan.


Bagaimanapun naskhah Natrah lakonan Juliana ini tidak kena mengena dengan pementasan teater Natrah yang bakal dipentaskan buat kali kedua di Panggung Sari, Istana Budaya, lakonan Maya Karin dan Remy Ishak.

Bagaimanapun, Natrah yang ini bakal disiarkan menerusi slot Suatu Ketika di Astro Citra yang turut dijayakan Sherie Merlis (Che Aminah), Natasha Hudson (Adeline Hertog), Fikree Bakar (Mansor Adabi), Shahrolnizam dan Namron.

Penggambaran drama ini mengambil masa hampir sebulan yang dimulakan pada 7 Oktober lalu. Ia dirakamkan di Batu Gajah, Perak, Hulu Langat, Pusat Kusta Sungai Buloh dan Kuala Lumpur.

Berbalik kepada Juliana, walaupun dia mengakui watak Natrah agak berat, dia gembira dengan tawaran itu kerana inilah waktunya untuk membuktikan kemampuan diri.

“Tanggungjawab saya untuk menyelami watak Natrah memang berat kerana semua orang tahu siapa Natrah. Ia membabitkan masalah undang-undang dua negara.

“Apabila pengarah drama ini, Kak Wan Hasliza Wan Zainuddin, memberikan skrip kepada saya, terus saya menolak segala kerja lain untuk memberikan tumpuan kepada watak Natrah. Saya menggunakan peluang yang diberi ini dengan sehabis baik.

“Kajian dimulakan dengan membaca buku Natrah, tulisan Datin Fatini Yaakob. Sewaktu membacanya saya menangis betapa pada usia 13 tahun, Natrah melalui zaman remaja yang berliku. Menjadi rebutan antara ibu kandung dan ibu angkat serta perkahwinannya dengan Mansor Adabi dikatakan tidak sah kerana dia berkahwin di bawah umur.

“Terbawa-bawa mengenai penderitaan Natrah dalam buku itu memberi kesan yang baik kepada lakonan saya kerana secara automatik apabila berdepan dengan lensa kamera saya boleh menangis. Sebelum ini, jika saya terpaksa menjayakan babak sedih, cukup susah untuk mengeluarkan air mata.

“Dapat pula beraksi dengan pelakon seperti Sherie Merlis, Shahrolnizam, Namron dan Natasha Hudson, lagi mudahlah untuk saya menghayati watak. Di luar penggambaran pun, saya sangat rapat dengan Sherie yang bersifat keibuan dan peramah.

“Faktor sekitar memainkan peranan penting kerana kalau kita dapat pelakon yang biasa-biasa saja, kita pun sukar untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Cabaran lain membawakan watak Natrah apabila Juliana terpaksa bertutur dalam bahasa Indonesia dan loghat Terengganu.

“Loghat Terengganu sangat susah dan selepas selalu diadakan pembacaan skrip barulah saya biasa dengannya. Untuk lebih lancar, produksi menyediakan guru bahasa Indonesia dan Terengganu.

“Saya betul-betul meletakkan diri saya dalam kedudukan Natrah. Saya cuba rasai apa yang dilaluinya. Walaupun saya terpaksa membawakan watak gadis berusia 13 tahun, tidaklah sukar sangat untuk membawakan watak kebudak-budakan kerana watak saya di luar pun lebih kurang begitu,” katanya.

Disebabkan kisah Natrah berlaku pada 1950-an sehingga menimbulkan rusuhan di Singapura, cabaran bukan hanya pada pertuturan, tetapi juga pada pakaian dan props yang digunakan.

Ketika Harian Metro ke lokasi penggambaran drama itu di Rumah Pena, Kuala Lumpur, sedang berlangsung adegan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura apabila Natrah ditempatkan di bawah pengawasan jabatan itu sehingga Che Aminah mengemukakan rayuan untuk mendapatkan semula Natrah. Walaupun Natrah dibesarkan di Kemaman, Terengganu, perbicaraan berlangsung di Singapura.

“Bagi memulakan penggambaran sesuatu babak, yang tak tahannya terpaksa menunggu lama untuk menyiapkan set. Meskipun Rumah Pena ini menepati kehendak pengarah tetapi perabotnya moden. Jadi semua perabot yang ada itu terpaksa diketepikan untuk dimasukkan perabot baru yang digunakan pada era 50-an yang disewa dari luar.

“Baju untuk Natrah juga dibuat baru dan pada saya sangat menarik. Saya berharap menerusi drama ini orang mula melihat bakat sebenar lakonan saya,” katanya.

Juliana memulakan kerjayanya dalam bidang modeling dan bergiat cergas sehingga ke hari ini. Kemudian dia mengacarakan program kanak-kanak, E-Zon untuk Astro Ria dan pada usia 16 tahun dia mengacarakan program Remaja terbitan TV3 dan barulah mengorak langkah dalam bidang lakonan.

Ditanya mengenai kepuasan, dia lebih menyukai bidang pengacaraan. Namun, katanya dia mencuba bakat dalam bidang lakonan kerana minat dan ingin menambah duit poket untuk menampung pengajiannya di Kolej Sunway dalam bidang Komunikasi yang kini dalam tahun dua.

“Sebagai pelakon, saya ingin melihat sejauh mana boleh pergi dalam bidang ini,” katanya.


PROFIL
NAMA: Juliana Sophie Johari Evans
TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989
KETURUNAN: Berdarah kacukan Inggeris (bapa) dan Melayu (ibu)
KELUARGA: Bongsu daripada tiga beradik
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya
IKLAN: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear
PROGRAM TV: E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ), Bintang Kecil Raya (TV9) dan Remaja (TV3)
DRAMA: Kami The Series (8TV), Ghost (8TV), Kasut Tumit Tinggi (Astro Prima), Warkah Terakhir, Sabar, Cornetto Inikah Cinta
FILEM: Kami The Movie dan Hooperz.