Portal berita Metro.uk melaporkan, Donald Gould, 51, dari Sarasota, Florida, menjadi buah mulut pengguna di internet apabila aksinya bermain piano dengan irama lagu, Styx’s ‘Come Sail Away’ mencuit hati pengguna yang menggunakan laluan pejalan kaki di Sarasota.
Kebolehan Gould bermain piano sangat menakjubkan dan memukau setiap pengguna yang lalu lalang di kaki lima di Sarasota, lalu menyebabkan seorang peminat tidak melepaskan peluang merakamkan aksi lelaki berpakaian lusuh itu bermain piano seperti seorang profesional.
Piano itu didermakan di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada Projek Utama Piano Sarasota, bertujuan menggalakkan aktiviti kreatif di tempat awam.
Seorang peminat, Aroar Natasha mengambil peluang merakamkan persembahan Gould lalu memuat naik rakaman tersebut di laman sosial Facebooknya dan sejak itu ia menerima sekurang-kurangnya dua juta tontonan sejak kelmarin.
Aksi lelaki gelandangan itu turut dikongsi ribuan pengguna Internet di seluruh dunia.
Berikutan itu dia berharap anaknya bersama bekas isterinya turut melihat video tersebut dan menghubunginya.
Dalam satu temubual sehari selepas itu, Gould yang kematian isteri dan juga seorang bekas penagih ditanya: “Berapa banyak lagu popular yang anda mampu mainkan?”
Gould yang bermain piano hampir setiap hari di situ berkata, dia belajar sendiri bermain piano dan telah menjadi gelandangan sejak enam tahun lalu.
“Saya juga berharap video itu akan dilihat oleh seseorang yang sudi menawarkan saya kerja atau mengambil saya menjadi tenaga pengajar muzik,” katanya.
Sementara itu, orang ramai kini berusaha mengumpul dana untuk membantu Gould membeli rumah, kereta dan kelayakan yang diperlukan untuk mengajar muzik.