Suu Kyi mungkin bertanding

YANGON - Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam me-ngumumkan akan bertanding dalam satu pilihan raya kecil di negara itu hujung tahun ini, lima hari selepas partinya menamatkan boikot terhadap proses pilihan raya negara itu.

Ia adalah kali pertama penerima Hadiah Nobel Keamanan itu akan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya.

Suu Kyi tidak menjadi calon semasa kemenangan besar Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dalam pilihan raya pada 1990 yang akhirnya tidak diterima tentera Junta negara itu.

Tentera Junta membubarkan NLD, tahun lalu, selepas parti itu menolak untuk menyertai pilihan raya kerana mendakwa undang-undang yang tidak adil menghalang ratusan ahlinya daripada menjadi ahli Parlimen.

Jumaat lalu, NLD mendaftarkan semula parti itu selepas pindaan perlembagaan membenarkan individu yang pernah menjalani hukuman akibat jenayah mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Suu Kyi, 66, dibebaskan tahun lalu selepas 15 tahun dikenakan tahanan rumah.