Pages

Showing posts with label baling. Show all posts
Showing posts with label baling. Show all posts

Sunday, May 13, 2012

Abang baling kasut

BREIVIK di mahkamah, semalam.
BREIVIK di mahkamah, semalam.

OSLO: Abang kepada seorang mangsa yang ditembak mati dengan kejam oleh Anders Behring Breivik, membaling kasut di perbicaraan pembunuh itu di mahkamah sambil menjerit “Pergi jahanam! Kau bunuh adik aku!”
Kejadian itu berlaku selepas beberapa hari saksi memberi keterangan dalam kes pembunuhan beramai-ramai paling ganas di Norway.
Kasut yang dibaling itu tidak mengenai Breivik, sebaliknya mengenai seorang daripada peguamnya, Vibeke Hein Baera, yang duduk paling dekat dengan galeri awam ketika laporan bedah siasat dibacakan.

Polis berkata, “penyerang” yang dibawa keluar dari mahkamah, adalah abang seorang daripada 69 mangsa yang ditembak mati oleh Breivik di sebuah pulau kecil di Utoeya ketika perkhemahan belia yang dianjurkan oleh Parti Buruh, Julai lalu.


Breivik mengaku membunuh semua mangsa tetapi tidak kepada tanggungjawab jenayah atas alasan dia melindungi keaslian penduduk Norway daripada penghijrahan orang Islam dan polisi multikulturalisme oleh parti pemerintah, Parti Buruh.

Akhbar Aftenposten menamakan lelaki yang membaling kasut itu sebagai Hayder Mustafa Qasim, abang kepada pencari suaka dari Iraq yang dibunuh Breivik.

Hayder memberitahu akhbar itu, “Saya buka kasut dan berdiri, menjerit kepada si pembunuh, pandang matanya dan baling kasut itu.”

Katanya, “Saya jerit “Pergi jahanam!” Dia pandang tepat ke mata saya. Saya rasa dia faham maksud saya.”

Kejadian itu serupa dengan kejadian di mana seorang wartawan Iraq membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush pada 2008.

Membaling kasut ke arah seseorang adalah perbuatan paling menghina di Timur Tengah kerana kasut dianggap objek tidak bersih.

Akhbar tempatan melaporkan, Brejvik, 33, berkata selepas insiden itu, “Kalau ada sesiapa mahu baling sesuatu ke arah saya, buatlah ketika saya masuk atau tinggalkan mahkamah. Jangan baling apa-apa ke peguam.”

Kejadian yang berlaku kelmarin adalah yang pertama dalam perbicaraan itu. Kebanyakan pemerhati terkejut dengan sikap Breivik yang tenang ketika di mahkamah.

Polis cuba untuk tidak membesarkan kejadian itu.

Pegawai polis yang bertanggungjawab dalam operasi di mahkamah berkata, “Kami menganggap ini sebagai kejadian spontan akibat rasa emosi yang tidak boleh ditahan.” - Reuters

Monday, April 9, 2012

Pengacara dibaling dengan telur




VOURHAS (kiri) cuba mengelak balingan telur dan yogurt di studio televisyen Epiros TV1 di Ioannina, utara Greece pada Jumaat lalu.


ATHENS - Seorang pengacara stesen televisyen swasta, Epiros TV1, Panagiotis Vourhas dibaling dengan telur dan yogurt oleh sekumpulan penceroboh di bandar Ioannina, utara Greece pada Jumaat lalu.
Menurut pihak pengurusan televisyen itu, seramai 17 orang menceroboh masuk dengan sebahagian muka mereka ditutup dengan sapu tangan.
Ketika kejadian, Vourhas sedang mewawancara seorang ahli politik tempatan di studio televisyen itu.
Baju dan muka pengacara tersebut terkena balingan telur dan yogurt itu.
Para penceroboh itu merupakan sebuah kumpulan dari tenggara Greece yang marah kerana Vourhas mewawancara jurucakap parti Golden Dawn yang menyokong Nazi baru-baru ini.
Jurucakap itu diwawancara Vourhas dalam program bual bicaranya. - Agensi

Thursday, March 8, 2012

Baling selipar, bekas imam dipenjara setahun

Berita Harian Online | Baling selipar, bekas imam dipenjara setahun:PUTRAJAYA: Seorang bekas imam yang bertindak membaling sepasang selipar ke arah tiga hakim dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Persekutuan hari ini setelah didapati bersalah menghina mahkamah. 

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusikan tiga panel hakim itu, berkata hukuman berkenaan adalah setimpal dengan tindakan Hoslan Hussin, 46, yang menjatuhkan maruah institusi kehakiman.
Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan Hoslan adalah serius, tidak boleh dibiarkan serta perlu dibendung.
"Kamu sebagai pesalah, jika tidak dikenakan tindakan akan boleh menggugat kuasa mahkamah dan boleh menjatuhkan maruah mahkamah. Apa-apa kritikan yang hendak dibuat terhadap hakim hendaklah dibuat dengan munasabah dan baik, bukan dengan cara mengugut dan maki hamun. 

"Mahkamah yang ada bidang kuasa perlu dihormati oleh semua pihak. Perlu dinyatakan bahawa tindakan prosiding yang diambil di dalam kes ini (menghina mahkamah) bukan untuk melindungi maruah kami secara peribadi tetapi adalah untuk melindungi maruah dan kewibawaan mahkamah yang mulia ini dalam sistem kehakiman di negara ini. 

"Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pencegahan untuk kepentingan awam," kata Hakim Zulkefli. - BERNAMA 
'via Blog this'

Thursday, September 15, 2011

Remaja koma dibaling topi keledar meninggal

ALOR SETAR: “Salah tetap salah. Buat masa ini saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” kata Che Kassim Darus, 49, bapa Mohd Solihin, 14, yang meninggal dunia pagi semalam, selepas lebih sebulan koma akibat cedera parah di kepala terkena topi keledar dipercayai dibaling anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, dekat Perlis, 6 Ogos lalu.
Che Kassim berkata, anak keduanya itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar pada jam 7.43 pagi semalam selepas dipindahkan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Selasa lalu.

Harian Metro pada 10 Ogos lalu melaporkan Mohd Solihin cedera parah di kepala selepas terjatuh dari motosikalnya akibat terkena topi keledar berkenaan. Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, remaja yang sudah tidak bersekolah dikatakan menunggang motosikal sendirian manakala dua rakannya menunggang motosikal di belakang apabila dia terjatuh. Rakannya mendakwa ternampak seorang daripada dua anggota polis di situ membaling objek dipercayai topi keledar.

Berikutan itu, mangsa dipercayai terpelanting dan menyebabkan bahagian belakang kepalanya bengkak dan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke HTF sebelum dipindahkan ke HSB selepas keadaannya kritikal.

Che Kassim berkata, walaupun sedih tetapi dia reda dengan pemergian anak kedua daripada sembilan beradik itu kerana jika dia terus hidup, keadaannya teruk kerana terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Ditanya mengenai sebarang tindakan yang akan diambil berhubung kejadian itu, Che Kassim enggan mengulas kerana belum mahu memikirkan perkara itu. Jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Lubuk Sireh petang semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros mengesahkan menerima laporan mengenai kematian mangsa.

Katanya, pasukan forensik polis akan menyiasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan sehingga kini mengklasifikasikan kes kematian mengejut.

“Mengenai laporan keluarga mangsa kononnya mangsa maut akibat dibaling topi keledar anggota polis, kamimenyerahkan laporan berkenaan kepada penasihat undang-undang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman,” katanya.

Wednesday, August 10, 2011

Remaja koma dibaling topi keledar

 MOHAMMAD Solehin   koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah selepas didakwa terbabit dalam kemalangan Sabtu lalu.
MOHAMMAD Solehin koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah selepas didakwa terbabit dalam kemalangan Sabtu lalu.

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dari Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, Perlis, koma sejak empat hari lalu selepas terjatuh daripada motosikal, didakwa berpunca akibat dibaling dengan topi keledar oleh anggota polis yang cuba menahannya pada malam minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, Mohd Solihin Che Kassim sedang menunggang motosikal bersama rakannya di perkampungan itu apabila dua anggota polis yang melakukan rondaan cuba menahannya tetapi mangsa dikatakan tidak berhenti.
Tindakan remaja itu menyebabkan seorang daripada anggota polis terbabit membaling topi keledar ke arah motosikal mangsa yang menunggang tanpa memakai topi keledar, menyebabkan dia terjatuh.
Bapa mangsa, Che Kassim Darus, 47, berkata ketika kejadian dia sedang solat terawih di surau kampung itu apabila diberitahu anaknya cedera kerana terjatuh motosikal dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di situ, dia mendapati Mohd Solihin yang juga anak kedua daripada sembilan beradik dan tidak lagi bersekolah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah serta belakang kepalanya bengkak.

Beliau berkata, rakan anaknya memberitahu dua anggota polis yang melakukan rondaan di situ membaling topi keledar ke arah motosikal Mohd Solihin, menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh.

“Saya kesal dengan kejadian ini dan jika anak saya melakukan kesalahan, polis boleh mengambil tindakan lain dan bukan membahayakan nyawanya.
“Kami sekeluarga sedih kerana dia masih koma, sedangkan tidak lama lagi Aidilfitri akan menjelma,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, Che Kassim membuat dua laporan di Balai Polis Kaki Bukit dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

Beliau turut menafikan anaknya berlumba haram atau lari daripada sekatan polis ketika kejadian itu. 
-bharian

Wednesday, June 8, 2011

Lelaki maki, baling polis dengan sos cili kena dakwa


Che Muhammad Aiman

Che Muhammad Aiman

KUALA TERENGGANU: Tiga lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan memaki dan membaling plastik berisi sos cili terhadap polis serta memiliki mercun ketika perlawanan Liga Super, Terengganu menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam kelmarin.

Kes pertama membabitkan penganggur, Tuan Mohd Hasbullah Tuan Abd Razif, 24, yang didakwa mengeluarkan perkataan ‘baliklah polis berambus, polis bodoh’ terhadap anggota polis yang bertugas di luar stadium itu jam 11.30 malam, selepas tamat perlawanan.
Tuan Mohd Hasbullah yang berasal dari Kampung Chepoh di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dikenakan hukuman denda RM80 oleh Majistret Noor Adila Abd Latif.
Dalam kes kedua, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), Che Muhammad Aiman Che Azmi , 19, dari Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir di sini, dipenjara sehari dan denda RM1,000 selepas mengaku salah memiliki mercun tanpa lesen. Jika gagal membayar denda itu, tertuduh akan dipenjara tiga minggu lagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika pemeriksaan di pintu masuk F Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah jam 7.30 malam kelmarin, tertuduh didapati memiliki beg sandang berisi tiga mercun bola.

Dalam kes ketiga, remaja berusia 17 tahun dari Kampung Binjai Bongkok, Marang didakwa membaling plastik berisi sos cili kepada polis yang bertugas jam 10.10 malam kelmarin di stadium berkenaan selepas tamat perlawanan bola sepak itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda tidak lebih RM1,000. Berita Harian Online | Lelaki maki, baling polis dengan sos cili kena dakwa

Saturday, January 1, 2011

Rumah dihujani bateri, batu

SEGAMAT: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Siapa sangka peribahasa itu menjadi pengalaman unik dan menakutkan bagi penduduk Ladang Bukit Dato Tenang Station, Labis, dekat sini, apabila kediaman mereka dihujani batu dan bateri sejak dua bulan lalu.
Kejadian misteri dan menyeramkan itu mengakibatkan enam keluarga resah dan tidak dapat tidur malam apabila batu gravel, batu landasan kereta api dan juga bateri lampu picit dibaling menghentam dinding dan tingkap hingga pecah.

Malah, kejadian turut disaksikan anggota dari Balai Polis Tenang yang menyiasat tempat kejadian pada malam Rabu lalu.

Seorang mangsa, Ellan Senaya, 39, berkata kejadian misteri itu dikatakan bermula kira-kira dua bulan lalu selepas seorang bomoh dikatakan menangkap makhluk halus sebelum memenjarakannya di dalam botol sebelum ditanam di kawasan perkuburan masyarakat India di situ.

Namun, pada awalnya, kejadian baling batu itu tidak dihiraukan sangat oleh kira-kira 450 penduduk ladang berkenaan kerana mereka beranggapan ia perbuatan kanak-kanak nakal.

“Sebelum ini, hanya bumbung rumah yang dilempar batu dan ia hanya membabitkan enam rumah bahagian dapurnya menghadap pokok getah di lereng bukit di ladang itu.


“Batu dan objek lain disyaki dilempar dari ladang getah menyebabkan ada juga cermin tingkap rumah yang pecah.

“Sejak kebelakangan ini, kejadian misteri itu semakin menjadi-jadi tidak mengira siang atau malam. Pada waktu malam sehingga awal pagi semakin rancak menyebabkan ada jiran saya yang cedera di kepala serta cermin tingkap rumah banyak yang pecah akibat dibaling batu,” katanya.
Ellan yang tinggal di ladang itu hampir 39 tahun berkata, keluarganya amat takut dengan kejadian misteri yang pertama berlaku sejak dia tinggal dan dibesarkan di ladang itu.

Katanya, semua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tenang pada Rabu lalu dan dua orang anggota polis pergi ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Seorang anggota polis, Konstabel Saifudin Yacob, 25, terpaksa memakai topi keledar ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah malam apabila menyaksikan beberapa cermin tingkap yang pecah tanpa di ketahui sebabnya.

Seorang anggota polis bantuan, Veloo Punusamy, 47, yang berkawal di tempat kejadian pada tengah malam kelmarin turut menyaksikan beberapa batu memecahkan cermin tingkap rumah seorang penduduk.

Apabila beliau bertindak balas dengan cuba memeriksa lokasi arah datangnya batu itu, semakin banyak pula cermin tingkap pecah akibat dibaling dengan batu gravel, batu landasan kereta api dan bateri lampu picit seolah-olah tindakan Veloo menyebabkan kemarahan kepada pihak yang membaling batu berkenaan.

Jiran Ellan, Sathia Kumar, 28, berkata dua sempat merakamkam beberapa gambar yang memaparkan objek misteri berbentuk pancaran cahaya panjang.

Manakala rakannya mendakwa pernah melihat bayangan makhluk setinggi 1.2 meter berwarna putih di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali menasihatkan penduduk supaya lebih waspada dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai perkara itu kerana polis sedang menjalankan siasatan.

Wednesday, November 10, 2010

Trend baling bantal dalam pesawat


GAMBAR menunjukkan beberapa penumpang membaling bantal dalam pesawat syarikat Continental pada ketinggian 10,972 meter.


PHOENIX - Berpuluh-puluh penumpang membaling bantal dalam sebuah pesawat komersial dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Phoenix ke Lapangan Terbang Paine Field, Washington pada Jumaat lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Kumpulan itu yang merupakan anggota-anggota forum penerbangan mengambil bahagian dalam penjelajahan ke enam buah bandar menerusi syarikat penerbangan Continental, United dan U.S Air.
Mereka diundang oleh bos-bos penerbangan itu untuk memberi komen mengenai layanan dan perkhidmatan syarikat itu.
Seorang penumpang dalam laman sebuah laman web menyatakan membaling bantal menjadi lebih seronok pada ketinggian 10,972 meter.
Sebelum ini, beberapa penumpang mambaling bantal dalam pesawat Lufthansa dari Jerman pada Ogos lalu. - Agensi

Tuesday, October 26, 2010

John Howard dibaling kasut kali kedua





2010/10/26

SYDNEY: Bekas Perdana Menteri Australia, John Howard, nyaris terkena kasut yang dibaling aktivis antiperang Iraq. 

Kejadian itu berlaku secara dramatik dan disiarkan secara langsung televisyen rasmi, mengingatkan semula kepada ‘protes paling terkenal di seluruh dunia’ yang menimpa bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush.
Aktivis terbabit berdiri dan membaling sepasang kasut yang tersasar sambil menjerit slogan antiperang dalam sesi soal jawab secara langsung televisyen ABC.
Penunjuk perasaan itu segera dibawa keluar dari dewan. Howard pula dilaporkan masih tersenyum dan tidak terkejut dengan kejadian berkenaan. 

Ia berlaku selepas satu rakaman bekas tahanan Guantanamo yang juga warga Australia, David Hicks, diperdengarkan dan selepas Howard awalnya disoal mengenai dasar pemerintahannya. 

November lalu, seorang penunjuk perasaan membaling kasut ketika Howard berucap di Universiti Cambridge, Britain. – AFP

Monday, April 19, 2010

Harapan Baling


Oleh Mohd Azis Ngah dan Safuri Kamarudin
bminggu@bharian.com.my
2010/04/18



<strong></strong>

Majoriti penduduknya penoreh getah dan petani yang dahagakan pembangunan dan kemudahan asas

UBI kayu rebus kopi O panas, pulut tabur nyior (kelapa) dan ikan pekasam goreng, cukup menyelerakan. Sesekali menjamu selera dengan makanan tradisional itu memang mengasyikkan.
Peluang berkumpul bersama penduduk Kampung Dalam Wang, Mukim Pulai, Baling Kedah memberi banyak pandangan dan idea baru pelbagai isu membawa kepada cerita politik dan ekonomi. Bukannya omong kosong kerana semua yang dibincangkan secara spontan ‘berisi’, kebetulannya, malam itu, negara kecoh dengan kemelut sebuah parti politik dan isu itu juga turut diperdebatkan. 

Mereka terbuka terhadap perkembangan dunia luar dan dulunya, ramai beranggapan berada di Baling umpama tinggal di kawasan terasing daripada dunia luar. Andaian itu tidak tepat, memang Baling kawasan luar bandar, tetapi mereka tidak begitu ketinggalan. 

Dulunya, Baling digambarkan sebagai daerah pedalaman mundur, miskin, kawasan hitam, kelaparan dan pelbagai isu yang sinonim kerana daerah ini pernah merakam peristiwa besar negara. 

Peristiwa Rundingan Baling 1955, mogok dan tunjuk perasaan harga getah 1974 dan Peristiwa Memali 1985 menyebabkan Baling terkenal bukan kerana pembangunannya tetapi kerana sejarahnya. 
Itu cerita lama, kekal sebagai sejarah negara, tetapi penulis lebih berminat dengan cerita sosio ekonomi penduduknya. Majoritinya menoreh getah, petani, hidup sara diri, memang ada yang hidup selesa, tetapi nisbahnya terlalu kecil jika dibandingkan penduduk miskin.

Bak kata rakan setugas di Baling, jika mahukan cerita politik, hal pembangunan, cerita jenayah boleh jenguk ke Pulau Pinang, jika ke Sungai Petani, banyak cerita sosial akibat kejutan budaya dan pembangunan pesat di sana. 

Habis tu, apa cerita di Baling...yang ada cuma cerita kesusahan, penderitaan rakyat memerlukan bantuan, kemudahan asas, kisah rakyat menuntut pembelaan kerana mungkin ada terlepas pandang. 

Bukannya pihak berwajib tidak menjalankan tugas, mungkin tercicir atau ada yang degil disebabkan perbezaan fahaman politik. Di sinilah pentingnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bertindak memastikan semuanya merasai nikmat pembangunan. 

Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, jumlah peruntukan bantuan 2009 meningkat sebanyak RM1.5 juta berbanding RM4.5 juta sebelumnya melalui pelbagai skim bantuan kepada 2,373 penerima. 

Pegawai JKM Baling, Syed Mohd Abd Ghani Syed Ali, berkata jumlah itu belum dikira permohonan baru yang belum selesai disiasat membabitkan sebanyak 4,389 kes, tidak termasuk penerima sedia ada.

Bantuan itu dikira berdasarkan purata garis kemiskinan di Semenanjung Malaysia iaitu RM720 sebulan membabitkan jumlah isi rumah seramai lima orang. Jumlah perkapita ini membabitkan semua golongan pada kadar pendapatan mereka yang bekerja kampung sebagai petani dan penoreh getah. 

Antara sedar atau tidak, ketika berkumpul di rumah Pengerusi JKKK Pusat Kampung Dalam Wang, Wan Haris Che Mat atau Pak Su, penulis melihat mereka bekerja kuat menjayakan agenda kerajaan Pusat. 

Sekejap datang penduduk membawa borang untuk ditandatangani dan mendapatkan sokongan. Seorang pengerusi JKKK kampung bersebelahan membawa berita gembira, katanya, Jabatan Bekalan Air (JBA) baru saja maklumkan akan memasang paip air utama. 

Beberapa minit kemudian, rakan mereka menerima panggilan kontraktor memaklumkan akan memasang tiang elektrik dalam beberapa hari lagi. Semuanya melalui usaha keras JKKK bertindak, meneliti aduan dan mengemukakan permohonan.

Itu semua khabar gembira untuk penduduk, bayangkan selepas hampir setengah abad negara merdeka, masih ada yang tidak menikmati kemudahan elektrik dan air. Contohnya penduduk di Kampung Batu Lapan masih menggunakan perigi untuk mendapatkan bekalan air dan masih ada penduduk Kampung Bukit Sebelah tinggal di rumah pondok sementara menunggu masa berpindah ke rumah baru. 

Ketika Baling dalam proses membangun, rakyat seharusnya bersyukur dengan kesungguhan Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN) Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim merencanakan agenda kerajaan Pusat. 

Kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim juga sepatutnya memberi aspirasi baru. Mereka berusaha kuat memastikan penduduk mendapat hak melalui pelbagai skim bantuan kerajaan walaupun perubahannya secara perlahan dan berperingkat. 

Teringat pula kata-kata Pak Su apabila jurugambar merakam detik kami menjamu selera ubi rebus, katanya jangan disangka orang Baling makan ubi kayu saja, itu cuma makanan ringan. 

Peruntukkan JKM Baling
2009: RM6 juta kepada 2,373 penerima 
2008: 4.5 juta kepada 2,200 penerima. 

Peristiwa bersejarah Baling

  • 28 dan 29 Disember 1955: Rundingan Baling antara Bapa Kemerdekaan Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera Baling. 

  • 19 November 1974: Tunjuk perasaan akibat harga getah merudum. 

  • 19 November 1985: Peristiwa Memali mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota keselamatan dan ramai tercedera. 

    Penduduk Baling:

  • 80 peratus bersawah padi dan menoreh. 

  • Hampir 90 peratus penduduk menikmati kemudahan asas elektrik, bekalan air 

  • 10 peratus masih belum menerima sepenuhnya kemudahan asas.